Sabtu, 16 Jun 2012

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Ucapan Penangguhan berkenaan isu Scorpene

Posted: 15 Jun 2012 07:37 PM PDT

PERKARA: USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI AKHIR PERSIDANGAN DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 17(1)

Saya, Puan Nurul Izzah binti Anwar [Lembah Pantai] mohon mencadangkan agar Dewan ini ditangguhkan dengan merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 17(1) bagi ucapan penangguhan berkaitan isu komisen dan penjualan dokumen rasmi sulit dalam kes Kapal Selam Scorpene.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Pengkhianatan: Dakwaan Penjualan Dokumen Sulit Pertahanan Negara

Pendedahan isu komisen dan penjualan dokumen rasmi sulit Kementerian Pertahanan Malaysia mengenai Kapal Selam Scorpene kepada Syarikat Pertahanan Perancis, Thint Asia seperti yang didakwa oleh SUARAM di Bangkok pada 30 Mei 2012 adalah satu pengkhianatan teramat besar yang memerlukan penjelasan segera Kerajaan untuk mengesahkan atau menafikan pendedahan ini agar dapat mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini termasuk nyawa anggota keselamatan negara kepada bahaya.

Dakwaan SUARAM yang merujuk kepada bahan bukti rampasan pihak polis Perancis dan Hakim Siasatan Roger Le Loire dan Serge Tournaire yang dilantik oleh 'Tribunal de Grande Istance' Perancis, dan secara khusus melibatkan beberapa persoalan yang perlu dirungkai dan dijelaskan :

 1. Syarikat Thint Asia (Thales International) yang telah membayar €36 juta (RM142 juta) kepada Terasasi (Hong Kong) Ltd. untuk dokumen rahsia oleh TLDM.

 2. Dakwaan bahawa Terasasi menerima bayaran secara berkala daripada Thint Asia, termasuk sebanyak 360,000 euro bersamaan RM1.44 juta yang disertakan dengan nota bertulis " Razak mahu dibayar dengan cepat." Rakyat Malaysia memerlukan penjelasan samada Razak yang disebut merujuk kepada Abdul Razak Baginda atau Najib Razak memandangkan dua Kapal Selam Scorpene yang dibeli daripada Syarikat Thales International oleh Kerajaan Malaysia berada di bawah seliaan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Pertahanan pada tahun 2002.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Kenyataan Menteri Pertahanan pada 8 Jun 2012 bahawa siasatan hanya dibuat jika terbukti aktiviti menjual rahsia itu berlaku tetapi dalam nada yang sama pula mengatakan bahawa sudah pun dikesan maklumat itu telah dikeluarkan dari negara dan sedang dipantau; amat mengelirukan.

Demi mempertahankan nama baik Malaysia dan kerahsiaan pertahanan Negara, Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan perlu mengambil beberapa langkah antaranya ;

a)    menjelaskan apakah benar maklumat yang dikesan keluar daripada Malaysia;

b)    samada Kerajaan Malaysia akan memohon untuk menjadi wakil pemerhati di Mahkamah 'Tribunal de Grande Istance' Perancis untuk mendapat akses kepada kertas pembuktian yang dirujuk oleh SUARAM;

c)    menubuhkan satu Suruhanjaya Di Raja Bebas untuk menyiasat proses pembelian Scorpene jika terdapat unsur rasuah dan penjualan rahsia sulit Negara

d)    Kerajaan Malaysia juga perlu menyokong usul reformasi parlimen agar sistem Jawatankuasa Tetap termasuk untuk Pertahanan diwujudkan demi menjamin segala urusan penting kerajaan bebas dari rasuah dan pengkhianatan.

Akhir sekali, saya memohon agar pihak Kementerian Pertahan dan Kerajaan Malaysia menjelaskan secara terperinci kebimbangan-kebimbangan dan persoalan yang diutarakan ini. Kita tidak mahu dokumen rahsia Negara 'dijual beli' sebegitu sahaja dan mendatangkan kebimbangan dan kekhuatiran rakyat.

Sekian, saya mohon mencadangkan.

Wassalam. Terima kasih.

Tiada ulasan:

Nuffnang