:: cina islam | 2011 :: |
- Kahwin katak untuk panggil hujan
- Syukur, muhasabah diri tanda taqwa
- Negara dilanda jerebu
- Rohingya: Dewan Ulamak minta Malaysia ambil tindakan
- Membayangkan TV lebih bebas semasa kempen PRU13
- Jambatan runtuh: 1 maut, 10 masih hilang di Bangladesh
- Rezeki asam tempoyak
Kahwin katak untuk panggil hujan Posted: 15 Jun 2012 08:46 PM PDT 26 Rejab 1433H. [MOD] - TAKHATPUR - Upacara perkahwinan antara haiwan bukan lagi asing di kalangan masyarakat di India. Terbaru, ritual perkahwinan antara katak berlangsung di sebuah perkampungan di wilayah Chhattisgarh, Takhatpur, India. Penduduk percaya, upacara perkahwinan luar biasa ini dapat menyelesaikan 'sumpah kemarau' yang melanda kawasan itu sejak beberapa bulan hingga mengakibatkan kekurangan bekalan air. Perkahwinan antara katak tersebut dilakukan dengan penuh adat istiadat perkahwinan masyarakat Takhatpur, termasuk dihiburkan dengan pelbagai lagu dan hadiah. Mengikut kepercayaan, sejurus pasangan katak itu 'bercium', seluruh masyarakat di perkampungan itu akan bernazar untuk mohon hujan. Kemudian, pasangan katak tersebut dilepaskan berhampiran sungai di perkampungan itu, sekali gus membawa nazar daripada penduduk kampung terbabit. Selain katak, perkahwinan antara haiwan seperti keldai dan kerbau juga masih dilakukan oleh beberapa golongan masyarakat di India bagi memenuhi niat. harakahdaily/- |
Syukur, muhasabah diri tanda taqwa Posted: 15 Jun 2012 08:41 PM PDT 26 Rejab 1433H. [MOD] - Sebagai manusia kita seharusnya bersyukur kerana Allah telah menciptakan kita sebagai sebaik-baik makhluk dan ciptaan. Manusia diciptakan berakal, berperasaan dan mempunyai fitrah semulajadi yang tidak semua dikurniakan kepada makhluk-makhluk Allah yang lain. Seperti firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya." (Surah at-Tin: Ayat 4). Justeru, kita seharusnya merafakkan tanda syukur kita kepada Tuhan dengan cara menjadikan diri kita sesempurna insan. Dalam erti kata lain, mencontohi nabi kita Muhammad SAW yang mana baginda merupakan uswatun hasanatun atau contoh ikutan terbaik untuk umat manusia sepanjang zaman. Hal ini kerana peribadi dan akhlak baginda Rasulullah begitu mulia dan terpuji semulia nama baginda. Baginda telah menunjukkan sifat dan peribadi yang begitu agung, di mana sekali pun baginda SAW tidak menzahirkan kemarahan atau kebencian bila mana baginda dihina, dicaci, dicerca dengan begitu hebat sekali semasa zaman baginda, bahkan segala keburukan yang dilemparkan ke atas baginda dibalas dengan baik, sabar, malah mendoakan kebaikan kepada musuh-musuh baginda. Lantaran itu, asbab kemuliaan sifat yang diperlihatkan Nabi Muhammad itulah yang telah menyedari seterusnya mengubah persepsi musuh-musuh baginda dan secara tidak langsung menyebabkan keislaman majoriti daripada mereka. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa hebatnya peribadi dan akhlak nabi tercinta kita, Muhammad SAW. Di mana kan kita cari ganti serupa dengan baginda bukan? Namun demikian, hidup di dunia akhir zaman ini begitu banyak ranjaunya. Antara manusia masing-masing berlumba-lumba mengejar kenikmatan hidup dan habuan duniawi. Sehingga kadang-kadaang terlupa bahawa segala kesenangan di dunia hanya bersifat sementara dan segalanya akan dipulangkan kembali kepada pemilik asal yang hakiki iaitu Allah SWT. Dengan keadaan sedimikian, tidak hairanlah jika ramai manusia yang saling berdengkian antara satu sama lain. Hanya kerana tidak sanggup jika nikmat yang dimiliki orang lain melebihi diri sendiri, kehendak nafsu diturutkan. Misalnya, peniaga yang dengki dengan kejayaan yang diperoleh pesaingnya sanggup mengenakan sihir semata-mata untuk menghilangkan nikmat yang dikecap oleh orang lain, di samping ingin menjadi masyhur dan cepat kaya tanpa ada tandingan. Hal ini jelas terbukti apabila media massa saban hari melaporkan kes-kes jenayah yang berlaku bahana daripada perbuatan dengki khianat. Masyarakat juga sering didedahkan dengan amalan-amalan khurafat seperti sihir, ilmu hitam dan magis yang mana digunakan oleh dukun, pawangmahupun bomoh seperti yang dipertontonkan melalui kebanyakan rancangan televisyen terutama filem dan drama Melayu. Ekoran dengan itu, perbuatan itu secara tidak langsung menggalakkan masyarakat untuk mencuba sesuatu yang boleh dianggap luar biasa bagi mereka. Apa tidaknya, jika sering didedahkan dengan informasi negatif, tidak mustahil jika inkuiri seseorangyang pada mulanya hanya tertarik dan kagum bertukar menjadi kehendak untuk mencuba, lalu membenamkan kewarasan akal serta iman di dada. Fitrah manusia adalah cintakan dan suka melakukan kebaikan. Walau bagaimanapun, disebabkan iman yang tipis mereka tewas dan cenderung untuk melakukan kejahatan dan keburukan. Hanya kerana? terpedaya dengan hawa nafsu dan hasutan syaitan. Oleh itu tidak hairanlah jika dikatakan orang yang jahat sekalipun masih inginkan layanan yang baik diberikan kepada mereka. Dan kerana itu jugalah wujudnya manusia yang tidak beriman kepada Allah tetapi masih membuat kebaikan. Hal ini disebabkan seseorang itu berfitrah dengan fitrah hasanah atau kebaikan. Banyak contoh yang dapat kita lihat, antaranya melihat kepada negara yang mendapat jolokan negara paling bersih iaitu Switzerland. Sebagaimana yang kita maklum bahawa Switzerland bukanlah sebuah negara Islam, namun mengamalkan aspek kehidupan yang amat dituntut dalam Islam iaitu bersih. Malah Islam itu sendiri adalah agama yang suci dan bersih. Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Menjadi bersihlah kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih." (Hadis Riwayat: Ibnu Hibban). Manakala sabda baginda lagi yang bermaksud: "Kebersihan itu dapat mengajak orang kepada iman. Sedang iman itu akan bersama pemiliknya ke syurga." (Hadis Riwayat: Thabrani). Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya kebersihan dan Islam itu agama yang mengajak kepada kebersihan. Namun demikian jika dilihat dari sudut yang berbeza, manusia juga cenderung untuk melihat keburukan orang mengatasi kebaikan yang dilakukan. Jika dilihat dan dinilai pada keburukan dan kesilapan, semua orang tidak terlepas dari melakukannya. Sedangkan para nabi juga melakukan kesilapan, apatah lagi kita sebagai manusia biasa yang lebih banyak terdedah pada dosa. Sekiranya penilaian manusia terhadap manusia yang lain berdasarkan kesalahan yang dilakukan, apa akan berlaku jika seseorang pendakwah turut melakukan perkara yang sama. Benar, semua orang tidak terlepas dari melakukan dosa. Namun, jika manusia menghukum sedemikian terhadap perdakwah misalnya, sudah semestinya sebagai manusiabiasa yang lemah, berat untuk mengikut apa yang disampaikan oleh mereka. Kerana hati kecil pasti berkata, tiada guna mengikut orang yang mengajak kebaikan sedangkan diri sendiri juga tidak sempurna, turut melakukan dosa seperti orang lain. Kerana itulah perlunya kita meneliti apa yang dimaksudkan dengan kata-kata Saidina Ali r.a iaitu "Janganlah melihat kepada siapa yang berkata, lihatlah kepada apa yang dikatakan." Di samping itu, perlulah juga kita ketahui bahawa dua perkara yang perlu kita ingat iaitu keburukan kita terhadap orang lain, dan kebaikan orang terhadap kita. Begitu juga dua perkara yang perlu kita lupakan iaitu kebaikan kita terhadap orang dan keburukan orang tehadap kita. Dengan itu, secara tidak langsung kita dapat perbaiki diri kita menjadi insan yang lebih baik. Justeru,jadilah orang yang beruntung di mana hari ini lebih baik darisemalam. Hal ini selari dengan maksud hadis Rasulullah iaitu "Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam." (Hadis Riwayat: Bukhari dan Muslim) Lantaran itu, janganlah sentiasa melihat keburukan yang ada pada orang lain, sebaliknya selalu bermuhasabah dan melihat pada diri sendiri. Banyak mana dosa dan kebaikan yang diperbuat saban hari. Lihat kembali ke dalam diri, apa yang masih kurang. Kebaikan apa yang masih belum mencukupi. Tambah nilai segala kekurangan diri dan dosa-dosa yang pernah dilakukan dengan cara selalu mengingati mati, di samping dapat meningkatkan iman dan menggalakkan melakukan kebaikan. Tambahan pula, tiada kebaikan yang diperoleh jika masa yang dihabiskan hanya dengan melihat keburukan dan aib orang lain tanpa berbalik kepada diri sendiri. Bahkan mendapat kemurkaan Allah dan juga menutup ruang untuk perbaiki diri sendiri. Hal ini turut disebut dalam firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." (Surah al-Hujurat: Ayat 12). Justeru marilah sama-sama kita bermuhasabah dengan merenung jauh-jauh ke dalam diri. Tambahkan amal jika berasakan masih kekurangan amal untuk dijadikan bekalan dikemudian hari. Juga berfikirlah sambil menghisab diri sendiri, kerana sesungguhnya berfikir sejenak itu lebih baik daripada beramal sepanjang malam. Tuntasnya, sebagai hamba Allah yang bertaqwa, kita seharusnya sering bersangka baik terhadapNya walau apa pun ujian yang datang melanda. Kerana Allah adalah menurut sangkaan hambaNya terhadapNya. Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia. |
Posted: 15 Jun 2012 08:32 PM PDT 26 Rejab 1433H. [MOD] - KOMBINASI gambar yang menyaksikan Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas ditelan Jerebu semalam (kiri) dan pemandangan bandar raya Kuala Lumpur pada sudut yang sama dirakam sebelum ini. KUALA LUMPUR - Kualiti udara di Lembah Klang dan Perak merosot semalam berpunca daripada pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia. Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan di sini menjangkakan keadaan berjerebu itu akan berterusan untuk beberapa hari akan datang berikutan cuaca yang diramal kering di beberapa negeri di utara dan pantai barat Semenanjung. Katanya, laporan imej satelit NOAA-18 yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meterological Centre menunjukkan bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia meningkat sejak Selasa lepas. Imej satelit itu juga menunjukkan jerebu dibawa angin dari kawasan titik panas di Wilayah Riau, Sumatera Tengah menghala ke pantai barat Semenanjung Malaysia. Berikutan itu, JAS telah mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Kebakaran Terbuka di semua negeri serta mempertingkatkan pelaksanaan prosedur standard operasi Program Pencegahan Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar. kosmo/- |
Rohingya: Dewan Ulamak minta Malaysia ambil tindakan Posted: 15 Jun 2012 08:28 PM PDT 26 Rejab 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia didesak supaya memainkan peranan yang lebih prihatin sebagai salah sebuah anggota Asean yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi untuk memastikan umat Islam di rantau ini tidak dizalimi oleh mana-mana pihak. Demikian tegas Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din ketika mengulas laporan media antarabangsa mengenai situasi yang menyedihkan yang menimpa umat Islam Rohingya di Myanmar. Menurutnya, Malaysia sepatutnya menggunakan segala saluran diplomatik untuk mengenakan tekanan kepada kerajaan Myanmar supaya menghentikan konflik itu daripada terus menghimpit umat Islam di sana. Justeru, ujarnya, Dewan Ulamak PAS mendesak agar kerajaan Malaysia mengambil tindakan yang segera khususnya mengenakan tekanan secara diplomatik untuk memastikan umat Islam di negara itu dibela dan tidak dizalimi. "Tidak gunanya kita berbangga sebagai sebuah negara umat Islam tetapi tidak prihatin dengan apa yang berlaku ke atas saudara sesama Islam di rantau yang sama. "Kita mahu umat Islam di sana dibantu, dan mendesak kerajaan Malaysia jangan hanya berpeluk tubuh, hulurkan tangan persaudaraan sesama Islam untuk membantu umat Islam di sana," ujarnya. Jelasnya, seluruh umat Islam di dunia seperti satu tubuh seperti mana sabda Rasulullah s.a.w. dan apa yang dirasai oleh umat Islam di Myanmar akan turut dirasai oleh umat Islam di sini. "Dalam masa yang sama, kita juga menyeru umat Islam di Malaysia turut mendoakan kepada saudara kita di Myanmar dan seluruh dunia agar dipermudahkan urusan mereka serta dikurniakan kesabaran dan seterusnya memperolehi kemenangan di dunia dan di akhirat," ujar beliau. Sebelum ini Harakahdaily melaporkan warga Rohingya di Malaysia berkumpul berhampiran kedutaan Amerika Syarikat memohon bantuan antarabangsa untuk menyelamatkan saki baki keluarga mereka yang berada di Myanmar. Mereka merayu bantuan antarabangsa menangani insiden terbaru yang berlaku di wilayah Arakan, Myanmar sekarang ini. Semalam, hampir 2,000 warga Rohingya berarak menuju ke kedutaan Myanmar bagi membantah pembunuhan saudara mara mereka oleh regim negara itu. Mereka mula berarak dari Masjid Tabung Haji sejurus selesai solat Jumaat menuju ke bangunan kedutaan kira-kira 1 kilometer dari masjid dengan membawa sepanduk mengecam kekejaman regim, dan gambar-gambar mangsa yang dibunuh kejam oleh penyokong regim. Mereka mengecam tindakan pembunuhan hampir 1,500 muslim Rohingya dan 3,000 lagi cedera dalam perbalahan etnik di negara itu beberapa hari lalu. Himpunan hari ini adalah anjuran NGO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam (Mapim) yang turut disokong Dewan Pemuda PAS. harakahdaily/- |
Membayangkan TV lebih bebas semasa kempen PRU13 Posted: 15 Jun 2012 08:22 PM PDT 26 Rejab 1433H. [MOD] - Kerajaan telah memberi respons terhadap tuntutan akses media yang adil dan saksama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13. Bagaimanapun tidak ramai pemimpin Pakatan Rakyat yang menyuarakan reaksi, walaupun akhbar harian milik Umno membesar-besarkannya. Mungkin aktivis pembangkang tidak menaruh apa-apa harapan positif terhadap perkembangan yang sepatutnya dapat membantu proses pendemokrasian itu. Minggu lalu, jemaah menteri meluluskan kertas kabinet yang dikemukakan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim, yang dikatakan memberi peluang sama rata setiap parti politik yang bertanding pada PRU13 untuk menjelaskan manifesto masing-masing menerusi stesen televisyen. Saya agak kerap menyentuh tuntutan penting ini, bukan sahaja merujuk situasi selepas Parlimen dibubarkan atau semasa kempen pilihan raya, tetapi meliputi konsep kebebasan media yang menyeluruh. Undang-undang yang menyekat, yang diwarisi sejak zaman penjajah, terutama Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, mesti dimansuhkan segera. Begitu juga dengan segala peruntukan tidak demokratik dalam peraturan yang mengongkong, misalnya Akta Rahsia Rasmi, Akta Fitnah, Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia. (Saya tidak pasti apakah "hantu" ISA masih boleh mengamuk apabila kerajaan berasa perlu berbuat demikian, selepas ia dimansuhkan, tetapi melalui akta-akta lain?) Media bukan hanya perlu dibebaskan dan bertindak adil dalam waktu yang begitu terhad -- ingat, kempen PRU tidak pernah melebihi dua minggu -- malah tidak wajar dicengkam kebebasannya dalam apa jua keadaan. Secara logiknya, jika dalam tempoh tidak kritikal pun, iaitu di luar musim pilihan raya, media dikawal dengan begitu ketat, apakah mungkin di waktu genting -- apatah lagi yang menyaksikan pertarungan paling sengit dalam sejarah pilihan raya negara ini -- "keajaiban" bakal berlaku? Dalam masa sama, seperti kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Umno-BN telah melakukan proses indoktrinasi sepanjang tahun, dan tentunya akan ditingkatkan menjelang pilihan raya. Ia meliputi media yang dibiayai dana awam dan juga yang dimiliki syarikat swasta. Justeru, banyak pihak memandang sinis ura-ura kerajaan mahu memberi "peluang sama rata" itu, apatah lagi melalui siaran TV, medium yang paling terkongkong dan dikawal cukup ketat oleh elit penguasa. Di kala oposisi diberikan permit terbatas untuk menerbitkan lidah rasmi, seperti Harakah dan Roket (Suara Keadilan masih diharamkan KDN), dengan syarat-syarat "pelik dan aneh", harapan untuk melihat pembangkang memiliki saluran TV atau radio tidak pernah terbayang pun. Sejak kemunculan televisyen pada penghujung 1963, RTM melalui TV1 dilihat bukan sahaja berfungsi menjelaskan dasar dan rancangan kerajaan tetapi lebih bertindak sebagai alat propaganda parti pemerintah. Pemimpin Umno-BN sememangnya tidak dapat membedakan di antara keperluan kerajaan dengan kepentingan parti pemerintah. Jentera, sumber dan kemudahan kerajaan diperalatkan demi mencapai motif peribadi, kelompok dan parti. Ketika TV3 dilancarkan 28 tahun lalu, melalui Sistem Televisyen Malaysia Berhad, ramai mengharapkan dasar kewartawanan sempit RTM itu tidak "dilanggannya". Monopoli kerajaan seolah-olah berakhir. Sesekali nampak "keberanian" TV3 untuk melaporkan berita dari perspektif berbeda, sekurang-kurangnya memberi sedikit ruang kepada parti dan pemimpin pembangkang. Seingat saya, sewaktu tercetus konroversi kematian (pembunuhan) seorang petugas kempen PAS, Allahyarham Osman Talib, dalam pilihan raya kecil Padang Terap, Kedah, di Felda Lubuk Merbau, pada Januari 1985, siaran berita TV3 ditunggu-tunggu. Bosan dengan laporan lapuk RTM yang berat sebelah, hanya dengan sedikit kelainan, dengan turut memuatkan beberapa patah perkataan pandangan pemimpin PAS terhadap tragedi berdarah itu, sudah cukup untuk memberi kelegaan. Rupanya harapan untuk melihat pembaharuan dalam dasar editorial TV3 ia hanya ilusi. TV3, yang kemudiannya dikendalikan Media Prima Berhad, dengan tiga lagi saluran televisyen (NTV7, 8TV dan TV9), bertindak lebih profesional untuk menjadi perkakas terbaik dan efisyen buat Umno-BN! Malah, kini, Media Prima lebih dipercayai oleh strategis media Perdana Menteri Najib Razak untuk melancarkan propaganda BN secara lebih berkesan. Misalnya, siri "Jelajah Janji Ditepati" yang mempromosi dan menjenamakan semula pelbagai bentuk bantuan one-off dikendalikan TV3. Chamil Wariya, bekas Ketua Divisyen Berita dan Hal Ehwal Semasa TV3, cuba mengungkapkan apa yang sebenarnya berlaku di stesen televisyen berkenaan, terutama daru segi pendemokrasian kandungan laporan politik, dalam bukun Memapar Realitui: Prinsip-Prinsip Utama dan Asas Kewartawanan Siaran. Baginya, kecuali di Astro Awani, program-program berita Media Prima Berhad, RTM dan Bernama TV masih mengekalkan pendirian mesra kerajaan. (Saya rasa istilah lebih tepat ialah mesra Umno-BN, kalaupun bukan mesin propaganda parti berkenaan). "Pengaruh pemilikan tidak mengizinkan bilik-bilik berita TV untuk mengambil pendekatan dan dasar editorial yang benar-benar bebas seperti terdapat di negara-negara Barat atau malah di Indonesia," tulisan Chamil dipetik. Beliau mengemukakan contoh stesen TV di Indonesia terutama dua saluran beritanya -- Metro TV dan TV One -- mengambil sikap yang lebih terbuka dalam memberi publisiti kepada pemimpin kerajaan dan pembangkang. Parti politik dan calon yang bertanding diberi ruang untuk berdebat secara terbuka dan bertamadun pada masa pilihan raya, baik ketika pemilihan presiden, gabenor, wali kota dan wakil ke Dewan Permesyuaratan Rakyat (DPR). "Di Malaysia, kita masih jauh daripada itu, kecuali berlaku perubahan radikal dalam pemilikan stesen-stesen TV swasta itu sendiri. Selagi stesen TV masih digenggam oleh kalangan yang rapat dengan kerajaan, pendemokrasian kandungan editorial, tidak akan berlaku," tambah Chamil. Seterusnya beliau memberikan beberapa contoh kes penerbit program TV yang dikenakan tindakan kerana telah melanggar dasar RTM, seperti dialami Chow Z Lam, penerbit rancangan Galeri Mandarin di TV2 menjelang pilihan raya kecil Parlimen Sibu, Sarawak, Mei 2010, mengenai Empangan Bakun, yang didakwa mempunyai "elemen yang sesnitif yang mungkin memudaratkan BN ..." Dasar kewartawanan stesen TV Media Prima, seperti ditekankan Chamil, juga seperti RTM, yang cenderung menyiarkan berita negatif pembangkang. Meskipun ada usaha untuk merubahnya dalam era Abdullah Ahmad Badawi, seperti turut mengkritik pemimpin kerajaan dan memberi tempat kepada pembangkang, akhirnya ia mengundang teguran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Pengerusi SKMM, Dr Halim Shafie mengutus surat, bertajuk Ucapan pemimpin parti pembangkang di stesen televisyen dan radio swasta, kepada stesen-stesen TV dan radio swasta, pada 7 Jun 2007. Antara lain, beliau menyatakan: "Adalalah dimaklumkan bahawa pihak kerajaan mendapati bahawa beberapa stesen TV dan radio swasta telah menyiarkan ucapan dari pemimpin parti pembangkang. Sehubungan dengan itu, pihak tuan adalah diminta untuk tidak lagi menyiarkan ucapan sedemikian di masa-masa akan datang." Chamil juga merumuskan bahawa kepemimpinan editorial TV (dan Media Prima) di zaman Najib, bermula 3 Mac 2009, yang diterajui Johan Jafar dan Ahmad A Talib, kembali kepada asal. "Wartawan yang ingin memampilkan pembangkang atas nama pegangan mahu melaksanakan pemberitaan seimbang, saksama, objektif dan mahu memberi pandangan pihak yang satu lagi kepada dasar dan pendirian kerajaan sebagaimana yang diamalkan dalam demokrasi Barat, tidak dapat tempat dalam organisasi media itu (Media Prima)," ujarnya. Kita dapat menyaksikan bagaimana program bual bicara ehwal semasa yang agak terbuka dan diminati ramai, misalnya Hujah di TV9, yang dikendalikan oleh pensyarah kanan Sains Politik, Dr Mohammad Agus Yusof, terpaksa berdepan pelbagai kerumitan, terutama kerana mengundang personaliti pembangkang. Begitu juga dengan Debat di RTM1. Percubaan Astro Awani, melalui saluran 501, yang bermula pada September 2007, juga dilihat agak memberangsangkan, jika dilihat dalam konteks media Malaysia yang terkongkong. Suara pembangkang, pemimpin NGO dan tokoh akademik yang bebas dan "mencabar versi rasmi" muncul dalam program bual bicara Awani. Para wartawan dan editornya juga saya kira berbeda daripada karyawan RTM dan Media Prima; ada kesungguhan untuk menampilkan pembaharuan dalam dunia kewartawanan televisyen. Khususnya semasa pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak, saya sendiri menunggu ulasan berani dan bernas daripada ahli-ahli penal yang diundang. Namun begitu, saya perhatikan, rakan-rakan di Awani turut dikawal oleh pegawai-pegawai Pejabat Perdana Menteri, yang sentiasa "memberikan nasihat, tapi bukan dalam bentuk hitam-putih, dan ia mesti dipatuhi". Berdasarkan situasi itu, saya sukar membayangkan kesediaan kerajaan untuk memberi ruang dan peluang sama rata buat parti dan calon-calon bertanding, khususnya melalui televisyen. Kita masih menunggu perincian bagaimana slot kempen itu dijalankan nanti. Apakah sekadar menyampaikan manifesto pilihan raya, dalam waktu terbatas, dengan syarat-syarat ketat pula? Ya, bagaimana bentuk akses sama rata itu? Kalau selama ini, hanya untuk menyiarkan iklan berbayar manifesto pilihan raya, akhbar yang dikawal Umno-BN langsung tidak memberi ruang kepada pembangkang, apakah kali ini ia benar-benar satu pembaharuan politik? Sama-sama kita tunggu. Dalam buku Reformasi Pembiayaan Politik di Malaysia, terbitan Transparency International - Malaysia, saya tertarik dengan pernyataan di halaman terakhirnya: "Di Amerika Latin, hampir semua negara memastikan kebebasan akses kepada media semasa pilihan raya dan terdapat prosedur dalam memperuntukkan masa ke udara dan ruang dalam media cetak, justeru mewujudkan satu aras medan permainan untuk semua pihak." Sesungguhnya Malaysia yang mengimpikan akan melonjak ke tahap negara maju pada tahun 2020 masih jauh tertinggal di belakang dalam hal akses media dan peruntukan airtime buat pembangkang sewaktu pilihan raya. Banyak negara yang dianggap lebih mundur tetapi kemajuan demokrasinya jauh membanggakan berbanding kita. Apa pun, saya masih mengimpikan, seperti diuar-uarkan juak-juak Najib, transformasi bakal menjelma dalam PRU13 nanti. Semoga saya tidak bermimpi di siang hari .... harzkhdaily/- |
Jambatan runtuh: 1 maut, 10 masih hilang di Bangladesh Posted: 15 Jun 2012 08:18 PM PDT 26 Rejab 1433H. [MOD] - DHAKA: Seorang maut manakala lebih 10 yang lain masih hilang apabila beberapa kenderaan tercampak ke dalam terusan selepas jambatan kecil yang menghubungkan laluan di wilayah Companyganj runtuh. Dalam kejadian itu, Pegawai polis Bangladesh berkata, enam lori, sebuah bas kecil dan beca automatik antara yang terperosok di dalam terusan berkenaan sehingga mengeluarkan bunyi kuat. "Kami sudah menemui satu mayat dan menyelamat 15 yang lain. Mangsa yang terselamat sudah dihantar ke hospital berdekatan," kata Ketua Polis Daerah berkenaan, Shakhawat Hossain ketika dihubungi di sini, hari ini. berita harian/- |
Posted: 15 Jun 2012 08:15 PM PDT 26 Rejab 1433H. [MOD] - BUKIT BETONG - Seorang warga emas di sini mampu menjana pendapatan antara RM520 hingga RM780 sebulan dengan hanya menjual asam tempoyak. Usahawan tempoyak, Patimah Aminullah, 64, berkata, dia sebelum ini membuat asam tempoyak hanya pada musim durian. "Sebelum ini saya membuat asam tempoyak secara kecilkecilan pada musim durian dan hanya menjual kepada jiran-jiran serta mereka yang gemar dengan masakan tersebut. "Tetapi lama-kelamaan, asam tempoyak saya laris dalam kalangan masyarakat di sini termasuk bandar Lipis," katanya, di sini, semalam. Sehubungan itu Patimah berkata, sambutan menggalakkan itu menyebabkan suaminya, Wan Jamaluddin Wan Mohamad, 72, mencadangkan dia membuat asam tempoyak secara komersial memandangkan banyak permintaan selepas musim buah-buahan. "Sejak dua tahun lalu, kami memborong durian terus dari kebun di Kampung Betau, Kampung Kuala Medang, Kampung Tanjong Gahai dan sekitar kawasan ini. "Saya bersengkang mata hingga lewat malam untuk memproses isi durian untuk dijadikan asam," katanya. Patimah berkata, isi durian diasingkan sebelum dimasukkan ke dalam bekas kaca dalam peti sejuk supaya tahan lama sehingga durian berbuah semula pada musim berikutnya. "Saya mempunyai simpanan asam tempoyak seberat 2,000 kilogram dalam dua peti sejuk besar di rumah. "Isi tersebut diasingkan dalam plastik yang diikat kemas dan disejukkan untuk dijual pada harga RM13 sekilogram," katanya. sinar harian/- |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2012 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan