Jumaat, 15 Jun 2012

Khalid Samad

Khalid Samad


Sketsa Jumaat: Ketua Kampung, Perompak dan UMNO

Posted: 14 Jun 2012 07:00 PM PDT

Baru-baru ini ada seorang hamba Allah sempat bersembang dengan dan menyuruh saya supaya bersyukur kepada UMNO/BN. Bila saya tanya mengapa, dia menjawab kerana BN telah membangunkan Negara ini dengan pelbagai jenis pembangunan dan seterusnya mula menyenaraikan segala jenis pembangunan yang mampu difikirkannya satu persatu. Selesai dia bercakap, maka saya menjawab balik, "adakah patut saya bersyukur kepada BN yang membina sesuatu dengan harga RM 500 Juta sedangkan benda yang sama boleh dibina dengan harga RM 300 Juta? Kalau tuan merupakan Pengarah Syarikat dan salah seorang kakitangan tuan membayar RM500 untuk barang yang bernilai RM300 adakah tuan akan berterima kasih dengan dia?" Dia kemudianya diam tidak berkata apa-apa.

Bagi memudahkan seseorang memahami apa yang ingin kita sampaikan, perumpamaan adalah amat berkesan. Dalam soal apa yang berlaku di bawah kerajaan UMNO/BN ini, saya selalu berikan beberapa perumpamaan supaya ianya bertambah mudah untuk difahami. Dua perumpamaan mudah yang boleh difikirkan bersama adalah begini:


Satu kumpulan penduduk yang tinggal di sebuah kampung berpakat melantik salah seorang dari mereka menjadi Ketua Kampung. Kerana kedudukan kampung tersebut yang jauh dari bandar menyukarkan mereka dalam urusan jual beli, maka mereka kemudiannya mengutip duit dari setiap anggota dan diserahkan kepada ketua mereka untuk membeli makanan di bandar berhampiran. Ketua ini mengambil 30% untuk dirinya dan menggunakan baki 70% itu untuk membeli makanan. Setelah dibeli maka diserahkan kepada anggota lain untuk memakannya. Maka ada yang bertanya, "kenapa sikit sangat?" Ketua itu menjawab,kamu sepatutnya berterima kasih dengan apa yang telah saya berjaya belikan untuk kamu. Di kampung sebelah sana, habis semua duit diambil oleh ketua yang mereka lantik! Di sini sekurang-kurangnya kamu dapat juga makanan!

Pada masa yang sama, sebuah rumah di kampung yang berhampiran telah dimasuki perompak. Setelah mengikat tuan rumah sekeluarga maka perompak tersebut mula mengaut barang kemas dan wang yang dijumpainya. Tuan rumah yang diikat mula mengutuk perbuatan tersebut dan menyatakan bahawa perbuatan mencuri harta keluarganya adalah zalim dan tidak bertamadun. Lalu dengan satu nafas perompak itu menjawab, "kamu patutnya bersyukur kerana saya tidak bawa lori dan curi seluuuruh isi kandungan rumah kamu! Saya berbaik hati meninggalkan TV serta peti sejuk dan saya tidak mencederakan ahli keluarga kamu. Kalau pencuri lain, habis licin dia kerjakan kamu!"

Sebenarnya inilah apa yang berlaku di bawah BN. Mereka khianat dan mencuri tetapi mereka ingin rakyat bersyukur kepada mereka dan terus mengundi mereka. Mereka tunjuk pada pembangunan yang telah mereka lakukan tetapi hakikatnya ianya hanya sebahagian (mungkin 70%) dari apa yang mampu dilakukan. Mereka telah mencuri sebahagian (mungkin 30%) dari kekayaan Negara untuk diri sendiri dan kroni mereka tetapi pada masa yang sama mereka minta rakyat bersyukur atas 'pemberian' mereka!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Politik Ganas: Apa Sepatutnya Peranan DS Najib

Posted: 14 Jun 2012 06:30 PM PDT

Dengan munculnya trend ganas yang merosakkan suasana politik Negara pada satu malam di Kerinchi dan beberapa tempat lain baru-baru ini, DS Najib sepatutnya menenangkan suasana dengan menyeru semua pihak, termasuk Pemuda UMNO, untuk menghayati konsep demokrasi. DS Najib sepatutnya menyeru semua pihak, khususnya pihak UMNO dan BN, supaya menyerahkan pilihan kepada rakyat dan apabila rakyat sudah memilih maka pilihan rakyat harus dihormati. DS Najib sepatutnya menjelaskan bahawa dalam sistem demokrasi, mesti akan ada parti yang ditolak rakyat dan tidak mungkin sesebuah parti terus berkuasa buat selama-lamanya.

DS Najib sepatutnya menyatakan dengan jelas dan terang bahawa sebagai rakyat yang mencintai Negara ini maka semua mesti bersedia untuk menghadapi kemungkinan kalah. Yang kalah pula mesti menerima keputusan rakyat dengan baik. Oleh yang demikian, tiada keperluan untuk bertindak ganas.

DS Najib mesti mengakhiri rayuannya kepada rakyat dengan memberi jaminan bahawa sekiranya BN sendiri kalah maka UMNO/BN akan menyerah kuasa dengan baik dan tenang. Begitu juga dia harus merayu, sekiranya PR ditolak rakyat, maka terimalah keputusan rakyat dengan baik. Barulah beliau akan dilihat sebagai pemimpin yang berkaliber yang mementingkan Negara lebih dari diri dan parti sendiri.

Dalam soal ini, perlu dijelaskan bahawa dakwaan bahawa PR akan mengganas sekiranya kalah adalah tidak berasas sama sekali. PR telah kalah berkali-kali tetapi tidak sekalipun menganjurkan rampasan kuasa secara ganas. Apa yang lebih merisaukan adalah UMNO/BN itu sendiri yang tidak pernah kalah dan bagaimana mereka akan bertindak selepas itu!? Oleh yang demikian, peranan Najib untuk meredakan keadaan adalah amat penting dan mustahak.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Pakatan Namakan Ejen BN Untuk 'Beli MP'

Posted: 14 Jun 2012 06:13 PM PDT

Oleh Hazlan Zakaria (Malaysiakini)

Pakatan Rakyat hari ini mendakwa ketua parti KITA Kedah, Zamil Ibrahim telah membuat rundingan supaya MP pembangkang berpaling tadah, seperti didakwa dalam satu video yang dirakam setahun lalu.

Bercakap dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini, MP Shah Alam, Khalid Samad berkata, Pakatan Rakyat mahu individu didakwa ejen BN itu supaya menjelaskan perkara itu.



MP PAS itu berkata, mereka akan mendedahkan lebih banyak bukti berhubung dakwaan transaksi tersebut sekiranya individu berkenaan enggan memberi komen.

Beliau berkata demikian selepas menayangkan satu rakaman video, didakwa menunjukkan pertemuan "ejen" berkenaan dengan seorang wakil Pakatan bagi merundingkan untuk berpaling tadah.

Video berkenaan, didakwa sebahagian daripada rakaman sepanjang tiga jam, didakwa dirakam secara rahsia ketika MP Pakatan itu mula ditemui.

Rakaman tersebut menunjukkan lima orang – empat lelaki dan seorang wanita – di satu meja di sebuah restoran yang didakwa terletak di Lembah Klang.

Khalid sebelum ini telah memaklumkan kepada pemberita mengenai dakwaan tersebut, tetapi ini kali pertama beliau memainkan rakaman tersebut kepada pemberita dan turut menamakan individu terlibat.

Zamil didakwa sebagai lelaki yang membelakangi kamera dalam rakaman tersebut.

Turut disebut dalam rakaman pendek itu ialah seorang lelaki yang didakwa sebagai "Zahrain", yang dipercayai merujuk kepada MP PKR Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim.

Ditanya mengenai perkara itu dalam satu sidang media di bangunan parlimen hari ini, Zahrain berkata beliau tidak mengetahui mengenai dakwaan berkenaan, dan menafikan bahawa beliau telah dibayar untuk berpaling tadah.

Zakrain juga berkata beliau meninggalkan parti itu kerana hilang keyakinan kepada kepimpinan parti dan bukannya kerana tawaran wang ringgit.

Dihubungi selepas itu, Zamil tidak mengesahkan atau mengiyakan dakwaan bahawa beliau memainkan peranan dalam rundingan supaya seorang MP PKR berpaling tadah.

"Saya nak tengok kenyataan daripada Khalid dulu. Insya-Allah saya akan adakan sidang media di Sungai Petani esok," katanya kepada Malaysiakini.

Zamil juga menafikan dakwaan bahawa beliau merupakan seorang ejen Umno dan "tak ada kena mengena dengan Umno."

Namun, Zamil mengakui bahawa beliau berhasrat untuk "menghancurkan PKR."

Berita dan video ihsan Malaysiakini
-Pejabat YB Khalid Samad-

Tiada ulasan:

Nuffnang