Isnin, 21 Mei 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Tiong Lai Salah Fakta: Sampah Bukan Punca Kes Denggi Meningkat Di Selangor

Posted: 20 May 2012 11:30 PM PDT

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liong Tiong Lai diselar kerana memberikan kenyataan yang mengelirukan dan berbau politik dengan menyatakan punca utama peningkatan kes denggi di Selangor disebabkan oleh pungutan sampah yang tidak mengikut jadual ditetapkan.

Berdasarkan analisa kita semenjak Januari 2011 hingga Mei 2012, peningkatan kes denggi antara lain adalah disebabkan pembiakan nyamuk Aedes di kawasan tapak-tapak perumahan terbengkalai, rumah-rumah kosong, kawasan sekolah dan pejabat serta premis kerajaan di seluruh Negeri Selangor.

'Sampling' di hotspot tersebut jelas menunjukkan bahawa ianya tiada kena mengena dengan isu pungutan sampah seperti yang dibangkitkan oleh Tiong Lai.

Kita sarankan Tiong Lai agar bersikap lebih professional dan janganlah terikut-ikut perangai buruk pemimpin UMNO/BN yang membangkitkan pelbagai isu sejak kebelakangan ini untuk memburuk-buruk pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor.   

Isu pungutan sampah telah berjaya ditangani oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan berkesan sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Ia hanya diperbesarkan dan seterusnya diputarbelitkan oleh media perdana pro UMNO/BN saban hari.

Apa yang menarik diperhatikan di sini ialah dalam kenyataan media Datuk Seri Dr. Hassan Abdul Rahman ,Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia yang dipetik oleh Bernama pada 18 Mei, 2012 tersebut mencatitkan bahawa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikatakan "bersih" dan tidak menghadapi masalah kutipan sampah pula menduduki tempat kedua dengan 360 kes (dengan peningkatan 59%) dalam peningkatan kes denggi di Negara kita selepas Negeri Selangor

Harus diingat bahawa pejabat Tiong Lai sendiri yaitu Kementerian Kesihatan Malaysia terletak di Putrajaya dan Putrajaya sendiri adalah antara kawasan panas wabak (hotspot) tertinggi kes pembiakan nyamuk denggi.

Kerajaan Negeri juga merasa kesal apabila Tiong Lai menuding jari kepada Kerajaan Negeri sedangkan Kementerian Kesihatan / Kerajaan Persekutuan sendiri telah gagal menurun peruntukan dana kepada Kerajaan Negeri dalam menyediakan peralatan dan  tenaga kerja tambahan sedangkan Kerajaan Negeri melalui PBT dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri dan Daerah telah bersungguh-sungguh menjalankan aktiviti dan program-program pembasmian denggi di seluruh 12 PBT di Negeri Selangor.

Saya mencabar Tiong Lai agar turun padang dan menunjukkan kepada saya di mana longgokan sampah di bawah selian PBT setempat yang menjadi lokaliti 'hotspot' kes denggi tersebut.

Kegagalan beliau berbuat demikian akan mengesahkan kepada umum bahawa beliau hanyalah bercakap kosong dan isu yang sedang hangat dibangkitkan adalah merupakan propaganda politik.        


YB Dr. Xavier Jayakumar
EXCO Negeri Selangor
merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Negeri Selangor

Tarikh : 21 Mei, 2012

RM 7.82 juta bagi SAR dan SJKS di Selangor

Posted: 18 May 2012 02:30 AM PDT

SEPANG, 18 MEI : Kerajaan Selangor memberikan bantuan pelajaran sebanyak RM4.83 juta kepada 180 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan sebanyak RM2.99 juta kepada 93 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh Selangor.

Bantuan Pelajaran bagi tahun 2012 ini akan disalurkan melalui Pejabat ADUN dan Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat di kesemua 56 DUN Selangor.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, usaha ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk membela nasib sekolah-sekolah di bawah kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri juga berusaha meningkatkan kualiti dan prestasi SAR dengan menaikkan gaji guru serta menyediakan infrastruktur yang lebih selesa untuk para pelajar," katanya ketika memberi ucapan di majlis dialog bersama rakyat di Dewan Orang Ramai Sepang pagi ini.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali menyarankan ADUN dan Penyelaras DUN menyampaikan maklumat berkenaan peruntukan itu kepada sekolah-sekolah dan membantu urusan permohonan.

"Pihak Adun dan Pusat Khidmat juga diminta untuk memantau sekolah-sekolah yang menerima bantuan pembangunan pendidikan daripada kerajaan negeri," ujarnya ketika ditemui disini hari ini.

Bagi tahun 2011, katanya, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan pendidikan sebanyak RM16 juta untuk SAR, RM6 juta untuk SJKC dan RM4 juta untuk SJKT.

Barisan exco yang turut hadir pagi ini adalah Dr. Ahmad Yunus Hairi, Dr. Yaakob Sapari, Dr. Xavier Jayakumar, Rodziah Ismail, Iskandar A. Samad.

Pada majlis yang sama, Abdul Khalid turut menyampaikan Sijil Amanah Saham Bumiputera, dan Skim Mesra Usia Emas Fasa Kedua bagi kawasan DUN Sungai Pelek.


Sumber: Selangorku

MB: Kerajaan Negeri Prihatin Selesaikan Isu Rakyat

Posted: 18 May 2012 02:00 AM PDT

SEPANG, 18 MEI : Soo Kian Huat, 51, menghadapi masalah berhubung cermin keretanya dipecah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan berhasrat membawa perkara tersebut kepada pihak berwajib namun masalah tersebut gagal diselesaikan.

Walaupun hal tersebut dianggap perkara remeh namun sebagai penduduk setempat hal tersebut menimbulkan ketakutan dikalangan orang awam.

Hari ini beliau berkesempatan untuk berjumpa dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengajukan perkara tersebut.

Soo mendakwa, jalan awam di belakang rumahnya telah dibina bangunan komersial yang diragui kebenarannya dan akhirnya menyebabkan jalan tersebut ditutup.

Katanya, pelan tapak kawasan itu juga telah diubah dari pelan asal kerana pembinaan bangunan komersial tersebut diluluskan kerajaan Umno-BN dahulu.

"Saya mempunyai bukti yang mendakwa ini adalah berpunca daripada mereka," katanya yang datang dari Banting untuk menemui Abdul Khalid.

Sebelum ini, beliau cuba membawa perkara ini ke Pejabat Tanah dan Majlis Daerah Kuala Langat namun tiada apa-apa tindakan sehingga kini.

Abdul Khalid berkata, masalah ini akan diselesaikan melalui satu sesi pendengaran awam yang akan dihadiri oleh penduduk dan pemaju serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kerajaan negeri akan cuba membantu menyelesaikan perkara ini sambil cuba menyiasat adakah isu ini adalah betul atau tidak," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Syed Mohd Ali Syed Muhammad As-Salam, 45, menyatakan kaunter aduan yang disediakan memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mengutarakan masalah kepada kerajaan negeri.

"Pentadbiran kerajaan negeri bagus kerana turun padang untuk mendengar masalah penduduk untuk diberikan tindakan selanjutnya," katanya lagi.

Abdul Khalid dalam ucapannya berkata kerajaan serius dalam menangani isu yang dibangkitkan rakyat supaya mereka mendapat pembelaan sewajarnya.

"Program hari ini adalah bertujuan rakyat dapat bersemuka dengan pemimpin-pemimpin negeri untuk menyelesaikan sesuatu perkara" katanya ketika memberi ucapan di majlis dialog bersama rakyat di Dewan Orang Ramai Sepang pagi tadi.

Sementara itu, Program Dialog Bersama Rakyat ini turut dihadiri Exco-exco Selangor iaitu Dr. Ahmad Yunus Hairi, Dr. Yaakob Sapari, Dr. Xavier Jayakumar, Dr. Halimah Ali, Rodziah Ismail, Iskandar A. Samad.


Sumber: Selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang