Nurul Izzah Anwar |
Biar Patah Hujah, Jangan Patah Hati Posted: 23 May 2012 12:47 AM PDT Biar Patah Hujah, Jangan Patah Hati Akal membezakan antara manusia dan haiwan. Akal berfungsi untuk berfikir dan menilai sesuatu secara logik. Hati pula adalah tempat letaknya perasaan dan penilaian menggunakan emosi hati nurani. Pun begitu, jika akal tidak digunakan secara optimum dan berkesan, kita boleh saja dipermainkan oleh perasaan, jatuh ke dalam kancah emosi atau hawa nafsu yang tidak terkawal. Hasutan dan fitnah jika berulamkan kelucahan dengan mudah membawa kepada amarah yang amat merugikan. Persoalannya sekarang, adakah bangsa Melayu mengutamakan rasional berbekal akal fikiran atau emosi melulu dalam membuat keputusan yang memberi kesan kepada bangsa dan negara? Keputusan terbaik memerlukan akal fikiran memainkan peranan mengawal hati dan bukan sebaliknya. Manusia semestinya perlu membuka minda melihat secara meluas sesuatu Seringkali kita akan berdepan dengan hujah-hujah intelektual untuk menjustifikasikan sesuatu yang batil seperti fahaman-fahaman palsu. Ini berlaku pada zaman Feudal, zaman Nazi, zaman Komunis, zaman Apartheid dan zaman nasionalisme jingoistik apabila hujah-hujah logikal dihasilkan bertujuan mengagung, mempertahan mahupun mempromosikan fahaman-fahaman palsu ini. Ramai juga termakan dan telah membuka pintu hati menerima hujah-hujah fahaman palsu ini sebagai akidah mereka. Malah mereka bukan sahaja menjadi ahli-ahli parti Nazi, Komunis, aparteid dan Nasionalisma jingoistik tetapi menjadi fanatik seumur hidup. Lihat sahaja di Bukit Jalil minggu lepas dan kita dapat melihat liputan merah amarah dengan pemimpin berhujah lesu menghasut emosi sehingga kebolehan mengira pun tak masuk akal dimana 40,000 dikatakan 100,000 pula. Ini berlaku bila emosi dan bukan akal menjadi teras perjuangan – kerana syaitan pun berbisik ke hati, bukan ke akal. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk kita menilai empat hujah pokok politik yang mencorak masa depan bangsa dengan akal cerdas dan hati terbuka. Elok benar kita gunakan akal untuk patahkan hujah palsu agar kita tidak 'patah hati' nanti selepas PRU-13. Pertama, hujah hak Melayu terancam jika BN kalah pilihanraya bukan sahaja tidak masuk akal tapi dijadikan bahan api membakar emosi dengan menghasut bangsa hilang pertimbangan akal mempertahankan fahaman lapuk. Mana masuk akal atau logiknya apabila kedudukan istimewa Melayu sudah terpahat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang hanya boleh diubah dengan undi dua pertiga Parlimen dan restu Majlis Raja-Raja. Mana masuk akal apabila jumlah pengundi Melayu melebihi 60% dan masih kekal sebagai majoriti di bumi sendiri. Penjawat awam pula hampir 80% juga berbangsa Melayu. Bermaksud hak Melayu terpelihara tidak kira pihak mana membentuk kerajaan. Kedua, hujah negara akan bangkrap jika pembangkang memerintah juga tidak masuk akal dan menutup hati daripada hakikat bahawa majoriti rakyat masih miskin manakala majoriti menteri kabinet, keluarga dan kroni adalah jutawan belaka. Ketika ini iklim ekonomi dengan hutang negara 53% KDNK apabila ditambah dengan hutang isi rumah 70% KDNK menjadikan jumlah RM 1.1 trilion – ketirisan ekonomi yang dianggarkan juga melebihi RM1 trilion dan keperluan pelaburan RM1.4 trilion untuk menjayakan program-program ETP kerajaan – memperlihatkan kita sudah melangkau 'Krisis Ekonomi BerTrilion' – di mana kos sara hidup meningkat tetapi tangga gaji hanya meningkat 2.6% secara purata setahun dengan jurang kemiskinan tertinggi di Asia Tenggara pada 0.46 mengikut indeks GINI – membuktikan BN dan bukan Pakatan Rakyat yang akan membangkrapkan negara. Hanya dengan membasmi rasuah, keborosan dan ketirisan serta memulihkan demokrasi berperlembagaan yang dicadangkan PR akan mencetuskan pembangunan ekonomi yang rancak lagi saksama dan mampan. Dasar-dasar merakyatkan ekonomi, menghapuskan pengherotan ekonomi, peningkatan kualiti pendidikan dan penyelidikan akan menjadikan negara lebih menarik kepada semua golongan pelabur tempatan dan asing untuk bersama membina ekonomi berpendapatan tinggi. Ketiga, hujah bahawa hanya BN membawa pembangunan dengan membina sekolah, perumahan kos rendah, jalanraya dan memberikan perkhidmatan pendidikan, perubatan dan sebagainya memang langsung tidak masuk akal. Hata ini adalah hujah sama yang digunakan penjajah British apabila rakyat mahukan kemerdekaan. Bukankah British membina prasarana dan memberikan perkhidmatan asas hasil daripada sumber asli negara ini sendiri? Dan bukankah BN juga menggunakan sumber cukai dan pendapatan hasil bumi dan keringat rakyat juga? Ini yang dikatakan lembu punya susu, sapi dapat nama. Dan yang patut membuka mata kita adalah kebanyakan prasarana dan perkhidmatan asas telah diswastakan di mana kutipan tol dan untung terus masuk saku kroni. Rakyat hanya terus dibebankan dengan kos hidup tinggi, dan tatkala projek penswastaan gagal, kerajaan BN akan membeli kembali saham-saham dengan duit rakyat pada harga yang terlalu tinggi. Keempat, hujah bahawa Pilihanraya kita adalah bebas dan adil atau 'bersih' lagi tidak masuk akal dan membutakan hati pada hakikat tanah air masih sebuah Negara Polis otokrasi dunia ketiga bertopengkan demokrasi dengan pilihanraya yang Perkara yang paling utama menentukan negara terus maju dan makmur adalah jaminan Pilihanraya bebas dan adil. Hanya dengan ini kita dapat memilih kerajaan yang 'sah' untuk mewakili suara, kuasa dan kepentingan rakyat. Adakah Pilihanraya kita bebas dan adil jika: daftar pemilih masih pincang; warga asing diberikan kewarganegaraan untuk mengundi; undi pos digandakan kategori dan bilangannya; beratus orang pengundi tinggal di satu alamat sahaja; TV, radio dan suratkhabar hanya untuk sebelah pihak sahaja; waktu berkempen yang terlalu pendek; kerusi-kerusi parlimen ditetapkan melalui persempadanan tidak adil di mana hanya 20% pengundi menentukan majoriti mudah 112 kerusi; dan jentera kerajaan digunakan habis-habisan? Jika Pilihanraya yang tidak Bebas dan Adil menentukan sebuah kerajaan, maka kesimpulannya adalah ia sebuah kerajaan yang tiada legitimasi atau dalam bahasa mudah ia adalah sebuah kerajaan haram. Akhir kata, demi masa depan anak-anak kita jangan pula kita menjadi buta hati dan buta perut serta terus hilang akal daripada mematahkan hujah-hujah palsu dan membersihkan apa yang sudah nyata terlalu kotor. Cukuplah! |
You are subscribed to email updates from Nurul Izzah Anwar To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan