Selasa, 22 Mei 2012

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


MAFTA: Demokrasi Malaysia Dikorbankan Demi Perdagangan Bebas?

Posted: 22 May 2012 06:33 AM PDT

KENYATAAN MEDIA
22 Mei 2012
UNTUK SEBARAN SEGERA

Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA):
Demokrasi Malaysia Dikorbankan Demi Perdagangan Bebas?

Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA) akan dimeterai pada hari ini, 22 Mei 2012, setelah 7 tahun rundingan diadakan secara tertutup.

Selama 7 tahun yang dimaksudkan, kebanyakan rakyat Malaysia tidak dilibatkan sebagai pihak berkepentingan – terutamanya pihak Parlimen – didalam merangkakan perjanjian 21-Bab ini.

Agak malang sekali apabila tiada perbincangan, perbahasan atau apa jua bentuk penglibatan apakan lagi tidak ada proses meratifikasi perjanjian oleh Parlimen dan ini telah menafikan hak umum untuk memantau maupun menyemak perjanjian-perjanjian antarabangsa; sama ada perjanjian dua-hala (bilateral) atau pelbagai-hala (multilateral) yang memberi kesan kepada kepentingan dan kedaulatan negara.

Walaupun kerajaan dibenarkan memeterai sebarang perjanjian antarabangsa tanpa memerlukan kelulusan Parlimen, keputusan untuk menandatangani perjanjian MAFTA hanya membuktikan kerajaan BN membelakangkan pendapat umum dan gagal  mengambil kira kebimbangan dan sentimen rakyat.

KEADILAN sememangnya menyokong prinsip Perjanjian Perdagangan Bebas (Free Trade) yang melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk proses merafitasikan pengesahan perjanjian oleh Parlimen; dan ia juga mesti berteraskan kepada konsep dan prinsip Perdagangan Adil (Fair Trade) tanpa mengancam kedudukan sosio-ekonomi, alam sekitar, kebudayaan, hak pekerja, keselamatan awam dan keselamatan negara.

KEADILAN juga amat prihatin dan bimbang dengan kemungkinan bertambahnya pemindahan industri-industri berbahaya yang mencemarkan alam sekitar dan kesihatan umum dari negara-negara yang memiliki piawaian alam sekitar yang lebih ketat ke Malaysia akibat daripada perjanjian perdagangan bebas.

MAFTA yang diselebungi rahsia tanpa ketelusan serta pemberian maklumat secara terbuka, tidak dapat mengelak dari perhatian umum terhadap kontroversi Lynas. Kilang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang, dijadualkan mula beroperasi pada suku kedua 2012. Ia akan mengimpot bahan mentah nadir bumi (rare earth) dari Australia Barat dan wajib menuntut jawapan segera mengenai kesanggupan Australia menerima semula sisa buangan dari hasil proses pengilangan nadir bumi LAMP berdasarkan perjanjian yang memungkinkan sisa ini ditakrifkan sebagai 'bahan perdagangan'.

KEADILAN turut menuntut kerajaan Australia yang wajib mematuhi peraturan anti-rasuah MAFTA, untuk meminta Lynas memaklumkan jika ada sebarang pembayaran atau amalan rasuah yang berlaku semasa  usaha mendapatkan kelulusan kerajaan Malaysia untuk beroperasi.

KEADILAN juga berpendapat kerajaan Australia menuntut kerajaan Malaysia memberikan jaminan bahawa:

  • wujudnya kebebasan media demi keperluan maklumat yang tepat dan telus untuk memudahkan urusan perdagangan bebas;
  • wujudnya pilihanraya bebas dan adil agar kerajaan Australia dapat berurusan secara rasmi dengan sebuah kerajaan Malaysia yang 'sah' demi melaksankan terma-terma perjanjian ini;
  • melindungi hak-hak pekerja seperti hak untuk menubuhkan kesatuan pekerja secara bebas di Malaysia sebagai pra-syarat untuk berdagang atau berniaga.

KEADILAN juga menekankan bahawa kedua-dua kerajaan perlu memberikan penjelasan tentang persepsi negatif yang timbul mengenai kontroversi Lynas dan dasar perjanjian pemohon suaka 'Malaysia Solution' yang telah gagal dilaksanakan.

Akhir sekali, KEADILAN menuntut peranan legislatif dan hak demokrasi Parlimen Malaysia untuk menyemak dan meratifisasikan pengesahan semua bentuk perjanjian antarabangsa termasuk meluluskan sebarang perundangan berkaitan untuk mematuhi terma-terma perjanjian, dikembalikan dengan segera. Sejarah telah menyaksikan bahawa pihak eksekutif kerajaan sering gagal menjamin kepentingan dan kedaulatan negara terpelihara didalam perjanjian-perjanjian antarabangsa sebelum ini seperti pertikaian sempadan (territorial disputes) Pulau Batu Putih dengan Singapura dan Blok L dan M dengan Brunei; Perjanjian Bekalan Air dengan Singapura dan Perjanjian Tanah KTM Tanjung Pagar juga dengan Singapura.

KEADILAN  juga amat kesal dengan kerajaan Australia yang telah gagal menggunakan peluang keemasan untuk menjadikan tuntutan reformasi Parlimen dan Demokrasi di Malaysia sebagai satu prasyarat moral sebelum ke meja rundingan MAFTA. Bukankah rakyat kedua-dua negara akan memperolehi manfaat bersama apabila Perjanjian Perdagangan Bebas benar-benar membawa kepada kebebasan Demokrasi untuk semua?

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen  Lembah Pantai
dan Naib Presiden Parti KEADILAN Rakyat

Tiada ulasan:

Nuffnang