Khalid Samad |
Mengapa Pengerusi MAIS Bersetuju? Posted: 07 May 2012 06:40 PM PDT Pendedahan tempoh hari oleh Saudara Rafizi Ramli berhubung konsesi membina dan menyewa asrama KUIS yang diberi kepada Redha Resources Sdn. Bhd (RRSB) yang merupakan sebuah lagi syarikat kroni UMNO, amat mendukacitakan. Jelas terbukti kroni UMNO membina kekayaan atas derita orang Melayu yang kononnya mereka perjuangkan. Menurut Saudara Rafizi, KUIS telah menyerahkan konsesi pembinaan dan penyewaan asrama ini kepada RRSB pada tahun 2007. Berdasarkan konsesi ini, RRSB akan membina asrama untuk para pelajar KUIS dan menyewakannya kembali kepada KUIS. Konsesi ini adalah bagi tempoh 33 tahun. Kadar sewanya pula adalah RM15.4 Juta setahun. Ini bererti pendapatan RRSB selepas 33 tahun adalah sebanyak RM508.2 Juta. Setelah menerima konsesi tersebut, pihak RRSB telah melantik rakan kongsi mereka, Bina Puri Holdings Sdn Bhd (BPHSB), untuk membina asrama berkenaan. Harga kontrak pembinaan asrama tersebut adalah hanya sebanyak RM96.1 Juta! Berdasarkan maklumat dan fakta di atas, adalah jelas bahawa konsesi ini amat menguntungkan RRSB dan membebankan KUIS. Akhirnya beban kos sewaan asrama ini terpaksa KUIS serahkan untuk ditanggung para pelajar melalui yuran yang tinggi. Dalam erti kata lain, UMNO kayakan kroninya dengan menindas orang Melayu, bukan dengan membantu mereka. Untuk makluman tuan-tuan semua, RRSB adalah milik YB Sulaiman Abdul Razak, ADUN UMNO/BN. Beliau memiliki 51% saham syarikat RRSB dan isterinya pula 6%. Baki 43% adalah milik BPHSB yang telah membina asrama berkenaan. Sekiranya bayaran untuk BPHSB diterima melalui agihan sewa RM15.4 Juta setahun dibuat mengikut peratusan pemilikan sahamnya. Pemilikkan sebanyak 43% saham bererti BPHSB mendapat RM6.622 Juta dari RM 15.4 Juta setahun dan sebanyak RM218.53 Juta selepas 33 tahun. Ini merupakan pulangan yang munasabah bagi BPHSB. Ini turut bererti bahawa RRSB pula mendapat RM8.778 Juta setahun bersamaan RM289.7 Juta selepas 33 tahun tanpa membuat apa-apa sebenarnya, kecuali menjadi kroni UMNO/BN. Saudara Rafizi mengecam pentadbiran Khir Toyo atas pengkhianatan ini dan memang sepatutnya beliau bertindak begitu. Tetapi Khir Toyo adalah pemimpin UMNO dan bagi saya ianya tidak begitu menghairankan apabila seorang pemimpin UMNO mengkayakan anak buahnya melalui konsesi yang menzalimi orang Melayu. Itu sudah menjadi kenyataan politik Melayu sejak berzaman. Pemimpin Melayu yang bercakap berkobar-kobar mengenai memperjuangkan Melayu, akhirnya dia kaya sambil Melayu semakin tersepit. Itulah UMNO. Walaubagaimanapun, yang membuatkan saya lebih hairan ialah mengapa Pengerusi MAIS tidak membantah dan mendiamkan diri? KUIS adalah milik MAIS 100%! Sebagai Pengerusi MAIS, apabila melihat konsesi berat sebelah sebegini, wajib membantah dan meminta kadar yang lebih munasabah dikenakan. Sebagai seorang yang memikul amanah mentadbir MAIS, beliau wajib mementingkan KUIS dan para pelajar KUIS. Beliau tidak sepatutnya bertindak seperti Khir Toyo dengan bersubahat dalam usaha mengkayakan pemimpin UMNO dengan memerah duit KUIS. Sedangkan ianya amat jelas bahawa perjanjian konsesi ini adalah tidak adil bagi KUIS. Berdasarkan pendedahan ini, maka sekali lagi kita terpaksa berhadapan dengan persoalan yang sama. Apakah mungkin Pengerusi MAIS juga merupakan orang UMNO? Bertindak melalui jawatannya untuk mempertahankan kepentingan UMNO? Sebelum ini telahpun didedahkan beberapa peristiwa di mana Pengerusi MAIS bertindak bagaikan 'sehati dan sejiwa' dengan pihak UMNO dan BN. Pendedahan saudara Rafizi menambahkan keraguan tersebut. Kemungkinan yang kedua adalah beliau cuai dan akibat dari kecuaian tersebut maka beliau telah merugikan KUIS. Walaupun kecuaian merupakan kesalahan yang tidak seberat 'bersubahat', tetapi ianya tetap memalukan dan tidak boleh diterima tanpa sebarang tindakan ke atas kecuaian yang telah dilakukan beliau. Begitu ramai CEO, GM dan Pengurus syarikat dipecat di atas sebab kecuaian yang seperti ini. Maka, sekiranya pendedahan Saudara Rafizi adalah tepat dan benar; bagi mengelakkan perkara yang sama berulang, tidakkah MAIS "sebagai sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam" sepatutnya mengamalkan dasar pertanggung-jawaban pengurusan yang setegas itu? WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
You are subscribed to email updates from Khalid Samad To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan