Rabu, 30 Mei 2012

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


”سري فدوك بضيندا يغ دفرتوان اضوغ لامبغ كقواتن اضام دان بغسا “

Posted: 30 May 2012 02:51 AM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

ماريله كيت سام٢ ممفرتيغكتكن كإيمانن دان كتقوأن كفد الله سبحانه وتعالى دغن برسوغضوه-سوغضوه ملقساناكن سضالا سوروهنث دان منجاءوهي لارغنث. موده-مودهن دغن كإيمانن دان كتقوأن، كيت براوليه رحمة دان كريضأن هيدوف ددنيا دان دأخيرة. سمفنا دغن هاري كفوترأن راسمي سري فدوك بضيندا يغ دفرتوان اضوغ فد 2 جون 2012; مك تاجوق خطبة فد هاري اين اياله "سري فدوك بضيندا يغ د فرتوان اضوغ لامبغ كقواتن اضام دان بغسا"

سيدغ جمعة يغ د رحمتي الله،

سسبواه نضارا سميمغث ممرلوكن كفد كتوا اتاو فميمفين باضي مميمفين نضارا دان رعيتث اونتوق كسمفورنأن فنتدبيران اضر منجادي لبيه تراتور دان برجاي دالم ستياف بيدغ. دالم إسلام كدودوقن سسأورغ فميمفين ايت اداله مليا دان تيغضي كران مريك اين دشريعتكن باضي مغضنتيكن توضس كنبين دالم ممليهارا اضام دان منتدبير اوروسن دنيا أومت إسلام. منوروت إمام الموردى ددالم كتابث اَلأَحْكَامُ السُّلْطَانِيَّة دانتارا توضس فميمفين ايت اداله منجاض حال إحوال اضام دان منتدبير اوروسن دنيا. سباضاي رعيت مليسيا كيت هندقله برشكوركحضرة الله سبحانه وتعالى كران دكورنياكن سأورغ راج دان فميمفين يغ سنتياس برتغضوغجواب دان كاسيه ترهادف رعيتث. اين جلس دافت دليهت دمان كماجوان٢ اونتوق كسجهترأن رعيت دلقسانكن دان دافت دخافاي سرتا دنعمتي اوليه رعيت سهيغض منجاديكن نضارا كيت سإيريغ دغن نضارا٢ ماجو يغ لاءين. دمكين نعمت يغ دكورنياكن اوليه الله سبحانه وتعالى كفد كيت. فرمان الله سبحانه وتعالى ددالم سورة هود ايات 61:

مقصودث: " واهاي قومكو! سمبهله كامو اكن الله! سبنرث تياد توهن باضي كامو سلاءين درفدث. دياله يغ منجاديكن كامو دري باهن٢بومي، سرتا مغهندقي كامو ممعموركنث. اوليه ايت مينتله امفون كفد الله دري فربواتن شيريك، كمودين كمباليله كفداث دغن طاعة دان توحيد. سسوغضوهث توهنكو سنتياس دكت، لاضي سنتياس ممفركننكن فرموهونن همباث."

سيدغ جمعة يغ درحمتي الله،

دالم فركارا تيض ﴿3﴾، فرلمباضان فرسكوتوان تله ممفرأونتوقكن بهاوا إسلام اداله اضام فرسكوتوان اتاو دمقصودكن جوض سباضاي اضام نضارا. باضايمانافون اضام لاءين بوليه دعمالكن دغن امان دان داماي. دالم اوسها مغوكوهكن إسلام دنضارا اين فرلمباضان جوض ممفرأونتوقكن دالم فركارا سبلس ﴿11﴾ ﴿4﴾ بهاوا دعايه اضام لاءين كفد أومت إسلام اداله دلارغ. ددالم فرلمباضان دثاتاكن بهاوا سري فدوك بضيندا يغ دفرتوان اضوغ اداله كتوا اضام إسلام باضي نضري يغ تياد راج سفرتي فولاو فينغ، سراوق، سابه، ملاك دان ولايه فرسكوتوان. مانكالا دنضري٢لاءين كتوا اضام إسلام اياله سلطان اتاو راج دنضري بركنأن.

راج برفرلمباضان بوكن سهاج منجادي لامبغ سبواه نضارا يغ بردولت، بيبس دان مرديك تتافي اي جوض مروفاكن لامبغ كقواتن اضام دان بغسا. جوسترو برداسركن كفد فرلمباضان فرسكوتوان بهاوا، سري فدوك بضيندا يغ د فرتوان اضوغ مروفاكن فمرينته ترتيغضي، سباضاي كتوا نضارا دان بضيندا جوض سباضاي كتوا اضام إسلام. يغ د فرتوان اضوغ، سلطان اتاو راج سباضاي كتوا اضام إسلام اداله سسواتو يغ امت ايستيميوا دنضارا كيت. أومت إسلام دنضارا اين امت برشكور كفد الله سبحانه وتعالى دان مرفعكن ستيغضي-تيغضي منجونجوغ كاسيه كفد مجليس راج٢ دان فميمفين٢كيت يغ بكرجا كوات ممبري كدودوقن ايستيميوا اضام إسلام دالم فرلمباضان نضارا.

باضايمانافون، فد اخير٢ اين تردافت فيهق٢ ترتنتو خوبا ممفرتيكايكن كدودوقن إسلام دالم فرلمباضان، فرانن محكمه شريعة دان بيدغ كواس راج سباضاي كتوا اضام دان عادة استعادت ملايو دنضارا اين. فرسوالن بسر تيمبول اياله مغاف كادأن اين برلاكو؟. برداسركن فمرهاتين، منبر يغ مليا اين برفندافت كادأن اين برلاكو كران انتاراث اياله تردافت دكالغن أومت إسلام سنديري يغ سغضوف مغضاداي مرواه دان كفنتيغن اضام دان بغسا كران مغجر كواس سرتا اد يغ سغضوف برسوباهت دغن فيهق٢ ترتنتو اونتوق ممفرتيكايكنث اتس السن باضي ممفرتاهنكن حق اساسي فيهق لاءين. اوليه ايت، منبر اين ايغين مغيغتكن سكالي لاضي بهاوا جك أومت إسلام هيلغ مرواه، مغضادايكن اضام دان بغسا، مك لمبت لاءون أومت إسلام دنضارا اين اكن منريما نصيب يغ مالغ لاضي هينا دبومي سنديري.

سيدغ جمعة يغ درحمتي الله،

نضارا كيت ممفوثاءي فندودوق يغ بربيلغ قوم دان اضام. ماسيغ٢ براوسها ممفرجواغكن حق اساسي بوديا دان اضام مريك. كيت امت برشكور دان منجونجوغ كاسيه دالم سواسان ضنتيغ دان ضاوت، سري فدوك بضيندا يغ د فرتوان اضوغ دان مجليس راج٢ تله ممبنتو مثلامتكن كتضغن فوليتيك، منجاض كسوخين إسلام، عادة استعادت اورغ إسلام دان منجادي سيمبول فرفادوان رعيت دنضارا اين.
إسلام اداله اضام الله يغ دتورونكن كفد مأنسي. اوليه ايت سباضاي كتوا اضام إسلام، ممفرليهتكن كفد كيت بهاوا أمانه دان تغضوغجواب يغ دفيكول اوليه سري فدوك بضيندا يغ دفرتوان اضوغ امتله برت. مك، كيت سلاكو رعيت يغ برفايوغ

دباوه فمرينتاهن سري فدوك بضيندا يغ د فرتوان اضوغ هندقله سنتياس ممبريكن طاعة ستيا يغ تيدق بربله باضي كفد فمرينته نضارا. ايغتله كيت سباضاي أومت إسلام تله داجر سوفايا طاعة دان فاتوه كفد فمرينته سباضايمان فرمان الله سبحانه وتعالى ددالم سوره النساء ايات 59:

مقصودث: "واهاي اورغ يغ برايمان، طاعتله كامو كفد الله دان رسول دان كفد أولى الأمر دري كالغن كامو. كمودين جك كامو برسليسيه دالم سسواتو فركارا، مك كمباليكنله اي كفد الله دان رسولث جك بنر كامو برايمان كفد الله دان هاري أخيرة. يغ دمكين اداله لبيه باءيق ﴿باضي كامو﴾، دان لبيه ايلوق فولا كسودهنث."

سيدغ جمعة يغ درحمتي الله،

سجق مرديك هيغض كيني تله تربوقتي بهاوا اينستيتوسي راج٢ مماءينكن فرانن فنتيغ دالم ممفرتاهنكن إسلام دان فرفادوان رعيت دنضارا اين. باضي مغكلكن سواسان امان داماي اين، ماريله كيت سباضاي رعيت مليسيا هيدوف فنوه محبّه سرتا برساتوفادو دغن منجونجوغ اينستيتوسي راج برفرلمبا.

ايلقكن درفد ترليبت دغن سبارغ تيندقن يغ بوليه مغضوضت اتاو منخمر اينستيتوسي راج٢سرتا ممفرتيكاي كسوخين إسلام سباضاي اضام راسمي دنضارا اين. سأورغ علماء ابو عبدالله مثاتاكن ددالم كتابث تهذيب الرسالة بهاوا: 'تراتورث اوروسن اضام دان دنيا اداله سسواتو يغ دتونتوت دان اي تيدق اكن برلاكو تنفا كوجودن فمرينته. كالاوله تيدق وجودث فمرينته، نسخاي كادأن مأنسي اكن منجادي كاخاو-بيلاو دان مريك
اكن ساليغ بونوه ممبونوه انتارا ساتو سام لاءين'.

أخيرسكالي، برسمفنا دغن هاري كفوترأن سري فدوك بضيندا يغ د فرتوان اضوغ، منبر جمعة فد هاري اين مثرو فارا جماعة دان رعيت مليسيا اونتوق سام٢ مندعاءكن سموض سري فدوك بضيندا يغ دفرتوان اضوغ المعتصم بالله محب الدين توانكو الحاج عبدالحليم معظم شاه ابن المرحوم سلطان بدلى شاه دان سري فدوك بضيندا راج فرمايسوري اضوغ توانكو حاجه حمينه دتضوهكن كإيمانن، دلنجوتكن اوسيا، دكورنياكن كصيحتن دان كسجهترأن باضي منتدبير نضارا دان منجالنكن توضس دغن سمفورن

ا. كيت دعاءكن جوض اضر نضارا دككلكن نعمت كامانن دان كستابيلن فوليتيك، دجاوهكن دري سضالا فربواتن جاهت دان فتنه يغ بوليه ممباوا مالافتاك دان كهنخورن. تانمكنله راس كاسيه سايغ دانتارا رعيت يغ بربيلغ قوم، كوكوهكن فرفادوان سموض سنتياس هيدوف امان داماي، منعمتي كعاديلن، كمعمورن دان كسلامتن سفنجغ زمان. كيت جوض مموهون دجاوهي سضالا مالافتاك يغ بوليه منججسكن اوسها ممباغونكن اضام، بغسا دان نضارا.
أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيطَانِ الرَّجِيمِ

مقصودث: "دان طاعتله كامو كفد الله دان رسولث، دان جاغنله كامو بربنته-بنتاهن; كالاو تيدق نسخاي كامو منجادي لمه سماغت دان هيلغ كقواتن كامو، دان صبرله كامو; سسوغضوهث الله بسرتا اورغ يغ صبر." ﴿سورة الانفال ايات 46﴾

7 motor terbabas minyak bas tumpah

Posted: 30 May 2012 02:36 AM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Sikap tidak bertanggungjawab seorang pemandu bas awam yang membiarkan minyak enjin kenderaannya yang rosak tumpah ke atas jalan raya mengakibatkan tujuh motosikal hilang kawalan dan terbabas di Jalan Ipoh, di sini, jam 12 tengah hari semalam.

Mangsa, Nordin Misnan, 44, berkata, tumpahan minyak yang kelihatan seperti air itu menyebabkan dia tidak sempat memperlahankan motosikalnya sebelum terbabas di tepi jalan berkenaan.

"Saya dan isteri dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai membeli barangan dapur di pasar borong berhampiran namun tidak menyedari terdapat limpahan minyak dari kenderaan awam berkenaan menyebabkan kami terjatuh dan isteri saya cedera di kaki.

"Sejurus selepas saya dan isteri terbabas, enam motosikal lagi mengalami nasib sama termasuk sebuah motosikal yang ditunggang pasangan ibu dan anak kecilnya. Kedua-dua mereka yang cedera parah dihantar dengan ambulans ke Hospital Selayang," katanya ketika ditemui, semalam

metro/-

Lagi ATM kena pecah

Posted: 30 May 2012 02:28 AM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

MUHAMMAD ROSLI menunjukkan kerosakan pada ATM yang dipecah penjenayah di Pantai Dalam, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang terletak di dalam sebuah pasar raya di Jalan Pantai Murni, Pantai Dalam di sini dipecah penjenayah, menjadikan ia kejadian yang kedua dalam tempoh lima hari di kawasan sama.

Bagaimanapun, tiada wang dapat dilarikan selepas penjenayah gagal memecahkan sepenuhnya mesin ATM tersebut dengan menggunakan alatan yang mengeluarkan api dalam kejadian pukul 11 malam itu.

Kejadian tersebut disedari oleh pengurus pasar raya berkenaan, Muhammad Rosli Mohamad, 40, sebaik dia terdengar bunyi alat penggera ATM ketika hendak memulakan perniagaan pada pukul 9.30 pagi.

Menurut Muhammad Rosli, dia menyangka ATM itu rosak tetapi selepas diperiksa, dia dapati mesin itu didapati telah dipecahkan.

"Penduduk mendakwa alat penggera telah berbunyi pada pukul 3 pagi. Pemeriksaan menemui satu lubang pada pintu bersebelahan mesin selain kesan terbakar pada ATM tersebut.

"Wayar di dalam mesin itu turut dipotong tetapi penjenayah gagal melarikan wang," katanya yang memberitahu ia kejadian pertama sejak premis itu beroperasi 10 tahun lalu.

kosmo/-

Kelantan dipinggirkan Umno sejak 1959

Posted: 30 May 2012 01:44 AM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Pada 1959 kerajaan PAS memohon kepada kerajaan pusat bagi membina jambatan merentangi Sungai Kelantan. Ketika itu jurutera perunding menganggarkan kosnya RM5 juta.

Selepas tiga tahun tidak dihiraukan kerajaan pusat, kerajaan negeri mengambil keputusan membina sendiri pada 1962. Pembinaannya dimulakan pada 1963 dan siap pada 1965 dengan kos RM6.7 juta.

Sebelum itu Umno menjanjikan mahu membina jambatan berkenaan, namun selepas tewas pada 1959 peruntukan projek Jambatan Sultan Yahya Petra dibawa Pahang.

Begitu juga projek rancangan tali air Kemubu melibatkan kos RM45 juta yang diperolehi kerajaan PAS daripada pinjaman Bank Dunia.

Semua projek itu dianggap mustahil bagi pemimpin Umno ketika itu, namun akhirnya menjadi kenyataan. Begitu juga projek lebuh raya rakyat Kota Bharu-Kuala Krai juga dinafikan Umno.

Senator Mumtaz Mohd Nawi berkata, lebuh raya rakyat akan menjadi kenyataan dengan sokongan semua pihak.

"Kita boleh lihat sendiri pada majlis pecah tanah pembinaan lebuh raya berkenaan lebih RM1 juta derma berjaya dipunggut daripada orang ramai.

"Rakyat simpati selepas kita didera begitu lama bagi mendapat kemudahan seperti negeri-negeri lain," katanya di sini.

Menurutnya sejak Rancangan Malaysia ke-5 (RMK-5) hingga RMK-10 kerajaan Persekutuan tidak menyenaraikan pembinaannya dalam Rancangan Malaysia.

Baru-baru ini Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed menyifatkan lebuh raya rakyat sebagai gimik politik dan menganggap kerajaan negeri tidak mampu membinanya.

Anggota Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghani berkata, kenyataan pemimpin Umno terbabit hanya menutup aib mereka sendiri kerana meminggirkan rakyat Kelantan sejak sekian lama.

Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim berkata, biar pun sumber kewangan kerajaan negeri terbatas, namun demi kepentingan pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu tetap diteruskan.

"Kerajaan negeri mengambil tanggungjawab itu ekoran masalah yang ditinggalkan Umno," katanya.

Bekas pegawai kanan kerajaan Ubaidah Yaakub berkata, lebuh raya yang dicadangkan di Kelantan bagi manfaat rakyat dan bukannya bertujuan mendapat keuntungan seperti lebuh raya di tempat lain.

Harakah Daily

Selangor edar borang survey jejak pengundi baru

Posted: 30 May 2012 01:42 AM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Sebanyak 94,474 borang Kaji Selidik Daftar Pengundi akan diserahkan kepada tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menjalankan proses mengenalpasti pengundi baharu yang didaftarkan di DUN berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tujuh DUN terbabit ialah Pandamaran, Pelabuhan Klang, Selat Klang, Sri Serdang, Kota Anggerik, Batu Tiga, Sri Muda dan Sri Andalas.

"Borang Kaji Selidik Daftar Pengundi ini akan diserahkan kepada ADUN masing-masing yang kemudiannya diserahkan kepada ketua kampung untuk menjalankan tugas mengenalpasti pengundi baharu yang berdaftar," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan ini adalah kesinambungan dari Program Selangorku Bersih yang dilancarkan kerajaan negeri bagi membersihkan daftar pengundi sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Program Selangorku Bersih telah memasuki Fasa Kedua yang mana Fasa Satu telah dijalankan di DUN Batang Kali. Sebanyak 13,034 borang Kaji Selidik Daftar Pengundi telah dikeluarkan di Batang Kali pada 19 Mei lalu. Setakat Isnin lalu, sebanyak 1,116 borang telah dikembalikan.

"Kerajaan Negeri bertanggungjawab membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan senarai daftar pengundi di Selangor dibersihkan bagi menjadikan PRU akan datang diadakan secara adil dan bersih.

"Kita juga mahu membuktikan kepada SPR bahawa peningkatan luar biasa pengundi baharu di Selangor adalah disebabkan wujudnya nama-nama yang meragukan atau pengundi hantu," katanya.

Harakah Daily

Najib dicabar jelaskan hutang sebenar negara

Posted: 30 May 2012 01:40 AM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan memastikan had hutang Malaysia tidak melebihi 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sebagai strategi pengurusan berhemat dalam mengurus kewangan negara.

"Tahun lepas, defisit fiskal berada pada kedudukan 4.8 peratus KDNK berbanding 5.0 peratus," kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam ucapan dasar pada persidangan "Invest Malaysia 2012″ di sini hari ini.

Kerajaan juga mengambil langkah mengurangkan defisit fiskal, selari dengan komitmen untuk memastikan pertumbuhan, katanya.

Saya kira sudah acapkali PM mambuat kenyataan saperti ini. Kali ini saya ingin bukan sahaja bertanya tetapi mencabar PM yang juga menteri kewangan ini...Berapakah hutang negara yang sbenarnya kalau ia belum lagi mencecah 55% KNDK?

Di parlimen soalan saya tentang hutang kerajaan Pusat dijelaskan adalah RM456.1 bilion atau 53.5% KDNK. Namun hutang yang dijamin oleh Kerajaan Pusat yang dipinjam oleh 2 badan berkanun dan 26 syarikat kaitan kerajaan (GLCs) ialah pada paras RM116.76 bilion pada hujung Disember 2011.

Kesemua hutang ini akan menjadi hutang Kerajaan Pusat seandainya mereka gagal membayar pinjaman yang dibuat. Kesemua ini menjadi "Contingent Liability" atau Hutang Kerajaan Pusat juga seandainya peminjam gagal bayar hutang mereka.

Saya cabar PM nyatakan sekarang berapa banyak hutang-hutang ini yang telah menjadi hutang kerajaan Pusat sebab tak dibayar peminjamnya termasuk hutang oleh Syarikat Perumahan Nasional Berhad (RM9.1bilion),PTPTN (RM19.1bilion), termasuk yang dipinjam oleh MAS,1-MD, Sime Darby dan sebagainya?

Sementara itu, berapakah bayaran yang dibuat oleh kerajaan Pusat kepada pemegang bon dalam kes skandal PKFZ yang katakan telah dibayar RM3 bilion dan RM700 juta bakal dibayar pada bulan Jun ini dan bayaran bon kepada pemegang konsesi air di Selangor sebanyak RM6.4 bilion.

Dalam pada itu,kerajaan dingatkan supaya jangan terlalu 'reckless' atau 'tak pruden' dalam pelaburan mega-besar seperti infrastruktur termasuk MRT, Speed Bullet) train, lebuhraya. Memang besar itu baik untuk pertumbuhan, kalau MRT menelan RM70 bilion akhirnya, itu sahaja sudah hampir 10% dari KDNK negara.

Tetapi dari aspek hutang, projek yang pertama diwar-warkan sebagai projek "Pelaburan Swasta" atau "Private Investment" ternyata hari ini adalah dibiayai oleh Kerajaan. Begitu juga yang lain bila awal-awal disebut semuanya macam pelaburan swasta tetapi akhirnya ditanggung segalanya oleh kerajaan.

Ini menipu namanya! Bahkan projek-projek yang dalam kaedah PFI atau "Private-Financial Inisiative" pun kerap kali akhirnya ditanggung oleh kerajaan. Ia menjadi sebahagian dari hutang kerajaan Pusat. Itu yang terjadi dalam kes MAS yangkerajaan telah menyuntik RM3 bilion dalam 3 suntikan. Begitu juga Sime-Darby dan sebagainya.

Ini pengurusan "curang" kerajaan Najib-BN. Asalnya tak ada dalam Belanjaawan dan tidak dikira sebagai Defsit Fiskal apabila dibentangkan tetapi pada akhirnya menjadi sebahagian dari defisit fiskal. Maka yang dikatakan Najib bahawa penurunan defisit fiskal itu sekali lagi dari 5% ke 4.8% juga satu adalah satu 'pembohongan'.

Persoalan hutang juga berkait dengan pendapatan atau 'revenue'. Tetapi apabila bercakap tentang pendapatan, Najib-BN akan terus bercakap tentang 'subsidi' kepada rakyat. Itu yang hendak dikurangkan bagi meningkatkan pendapatan. Polisi pro-kroni dan 'neo-liberal' Najib sebenar gagal mendedahkan berapa 'subsidi' dalam semua bentuk yang diberikan kepada pihak 'industri' atau lebih tepat lagi kroni.

Contoh siapa yang mendapat 'subsidi' terbesar dalam beras, gula atau utiliti seperti tenaga (elektrik)? Rakyat atau Industri?

Berapa banyakkah yang diberikan kepada 'pengecualian cukai' (tax break) kepada pengilang dan juga 'pengekspot'.

Berapakah banyak cukai yang diberikan kepada industri pembuatan dan berapa tahun.Yang nyata seperti Lynas dan banyak kilang-kilang lain?

Kesemua ini pendapatan untuk negara. Tapi yang pasti rakyat bakal dikenakan GST ketika Najib-BN menang besar nanti konon kerana menjana pendapatan baru atau 'revenue base' baru.

Maka perkara hutang dan pendapatan adalah serius dan Najib hanya bercakap untuk manis mulut sahaja dalam Invest Malaysia 2012 dua hari lalu.

Harakah Daily

Harussani jadi orang tengah debat Najib-Anwar

Posted: 30 May 2012 01:39 AM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mencadangkan Mufti Perak, Tan Sri Harusani Zakaria menjadi orang tengah debat antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Mufti Perak itu tidak perlu bersusah payah untuk menjadi orang tengah debat PAS dan Umno, sebaliknya menjadi orang tengah debat antara Datuk Seri Najib dan Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat mingguan exco bagi mengulas kenyataan Mufti Perak itu yang menyerangnya dalam media dua hari lalu.

Harusani dalam media berkenaan mendakwa Menteri Besar Kelantan itu sebagai 'melampau' kerana meletakkan syarat untuk muzakarah dengan Umno dan menyifatkannya tidak mahu melihat perpaduan dalam Islam.

"Saya nak minta dia (Harussani) jadi orang tengah debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Perdana Menteri Najib Tun Razak.

"Dia dah hentam PAS, tetapi nak jadi orang tengah (muzakarah PAS-Umno), mana ada orang nak terima dia.

Tambahnya, andainya Harussani enggan, beliau tidak perlu lagi bercakap banyak dan menyentuh pihak lain.

Pada masa yang sama Tuan Guru turut menjawab kenyataan Harussani yang mempersoal PAS inginkan kerusi pada pilihanraya.

Menurut Tuan Guru, kaedah sekarang sememangnya memerlukan kerusi untuk berdakwah dan menegakkan syariat.

"Andainya tidak ada kerusi, bagaimana kita nak berdakwah," ujarnya.

Harakah Daily

DHPP siap sedia terima amanat di Himpunan Hijau

Posted: 30 May 2012 01:36 AM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kira-kira 500 pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di peringkat pusat dan negeri akan menyertai Himpunan Hijau Menuju Putrajaya di Alor Setar, Jumaat ini.

Ketua Pemuda DHPP, Balendran Balasubramaniam berkata, pihaknya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mendengar segala amanat yang akan disampaikan pimpinan PAS pada perhimpunan tersebut.

Ini kerana katanya, himpunan ini diangggap sebagai himpunan terakhir sebelum menghadapi pilihan raya umum ke -13 yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

"DHHP menghantar ahli jawatankuasa pusat dan ahli jawatankuasa negeri-negeri, dianggarkan 500 hingga 1,000 untuk ke himpunan hijau.

"Kami sudah menerima jemputan awal dan diberi tentatif program dan sudah sedia maklum pengisian yang akan disampaikan pimpinan PAS," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata, tindakan PAS menangguhkan muktamar tahunan dan digantikan dengan himpunan hijau amat wajar bagi mengukuhkan persiapan setiap dewan menghadapi PRU 13.

"Tindakan PAS menangguhkan muktamar sangat wajar dalam situasi Parlimen akan dibubarkan pada bila-bila masa sahaja.

"Saya yakin himpunan ini dapat mengukuhkan kerjasama DHPP dengan dewan lain menjelang PRU 13," katanya yang juga ketua DHPP Pahang.

Pada perhimpunan yang mensasarkan 1,0000 ahli itu, Ketua DHPP Pusat, Hu Phang Chaw juga akan menyampaikan amanat khas.

Sehubungan itu, Balendran menyeru semua wakil DHPP dapat memberikan komitmen penuh sepanjang himpunan berlangsung.

"Sebelum in idalam muktamar penyertaan DHPP adalah terhad tapi kali ini ramai ahli DHPP dijemput, jadi saya harap mereka dapat menggunakan peluang ini sebaik mungkin," katanya.

Utamakan keselamatan

Sementara itu, Pesuruhajaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad menasihati semua ahli yang akan bertolak petang dan malam esok agar berhati-hati di jalan raya.

"Kita harap semua yang akan bertolak esok terutama yang bertolak malam agar berhati-hati dalam perjalanan, kalau mengantuk berhenti dan berehat sebelum meneruskan perjalanan," katanya yang juga dihubungi Harakahdaily hari ini.

Bagi Wilayah Persekutuan, PAS negeri menempah beberapa buah bas untuk kemudahan ahli bergerak ke sana.

"PAS Wilayah memang ada sediakan bas tapi mereka bayar sendirilah. Kita hanya memudahkan perjalanan sahaja," katanya.

Setakat ini sudah lebih 2,000 ahli mengesahkan kehadiran mereka.

Tambahnya lagi, faktor kerja tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak hadir ke himpunan yang disifatkan sebagai sangat penting.

"Memanglah esok wilayah masih haribekerja tapi kalau boleh ambillah cuti untuk ke himpunan ini," katanya.

Harakah Daily

Kongsi gelap tadbir Malaysia?

Posted: 30 May 2012 01:35 AM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyifatkan pengakuan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa wujudnya pakatan sulit di antara kongsi gelap dengan ahli politik sebagai sesuatu yang serius.

Ketuanya Kamaruzzaman Mohamad berkata, apa yang menghairankan bagaimana situasi sebegini tidak mendapat perhatian daripada pihak Kementerian Dalam Negeri.

"Ini menunjukkan bahawa negara kita kini bukan lagi ditadbir oleh pemimpin negara tetapi ianya dikawal oleh ahli-ahli kongsi gelap yang mempunyai kepentingan diri.

"Mereka ini mempunyai pelbagai aktiviti jenayah haram dan dalam masa yang sama mereka juga 'dilindungi' para pemimpin negara," katanya.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini baru-baru ini, Tan Sri Musa Hassan mengakui wujudnya hubungan rangkaian kongsi gelap dengan ahli politik yang disifatkannya berada pada tahap yang serius.

Beliau juga mengesahkan wujud pakatan sulit di antara rangkaian kongsi gelap dan pasukan Polis Di Raja Malaysia.

Mengulas lanjut, Kamaruzzaman mempersoal bagaimana sesuatu jenayah dapat dibanteras sekiranya ahli-ahli kongsi gelap ini berselindung di sebalik ahli politik negara.

Malah lebih menyedihkan apabila polis lebih digunakan untuk mencari kesalahan pemimpin Pakatan Rakyat berbanding menjaga keselamatan negara.

"Kami menegaskan bahawa seharusnya PDRM merupakan satu badan yang bebas yang mana tidak ada pihak yang berkepentingan masuk campur dalam menjalani siasatannya.

"Ini bagi menjamin integriti pihak polis yang kini dilihat semakin hari semakin tercalar," katanya.

Harakah Daily

2 hari menjelang Himpunan Hijau ke Putrajaya

Posted: 30 May 2012 01:34 AM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR: Hotel-hotel penginapan dan 'homestay' di sekitar Alor Setar, Kedah kebanyakannya sudah habis ditempah sempena Himpunan HIjau ke Putrajaya, 1 Jun ini.

Namun, ketiadaan tempat penginapan bukanlah menjadi masalah utama bagi ahli-ahli PAS bagi membuktikan kesungguhan mereka untuk menawan Putrajaya.

"Pengalaman membuktikan, ahli-ahli PAS tidak kisah untuk berehat di masjid, surau dan markaz-markaz parti, khususnya mereka yang datang sendiri tanpa keluarga. Dan kesungguhan inilah yang biasa terpamer di wajah mereka," kata Pengarah Program Himpunan Hijau Menuju Putrajaya, Datuk Mahfuz Omar kepada Harakahdaily.

Beliau percaya kesukaran mendapatkan hotel penginapan di saat akhir, tidak menghalang program ini dijayakan dan bakal melakar sejarah dalam arena politik tanahair.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS itu juga meminta ahli-ahli PAS yang akan menghadiri program ini memastikan kesihatan masing-masing dalam keadaan baik.

"Pastikan anda mendapatkan rehat yang cukup, berhati-hati ketika memandu. Saya yakin akan berlaku kesesakan di lebuh-lebuh raya. Berhenti rehat jika mengantuk bagi memastikan anda sampai ke destinasi dengan selamat," pinta beliau.

Tambahnya lagi, setiap pemandu perlu ingat jalan raya yang dilalui bukan hanya digunakan mereka, sebaliknya turut digunakan oleh orang lain.

Atas sebab itu, katanya sikap bertimbang-rasa dan bertolak-ansur perlu ditanamkan bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Harakah Daily

Meluruskan saf sebahagian daripada solat

Posted: 30 May 2012 01:09 AM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

Luruskan saf dan rapatkan antara jemaah solat sering diperingatkan setiap kali hendak memulakan solat. Peringatan imam itu hanya tinggal ingat tanpa diindaahkan oleh jemaah. Persoalan yang timbul dalam fikiran saya apakah jemaah tidak faham peringatan itu, atau tidak dengar atau memang jemaah degil.

Sebenarnya isu saf ini seperti tidak pernah selesai kerana sehingga ke hari ini, saf solat umat memang tidak pernah lurus. Bahkan di Makkah dan Madinah juga tidak boleh berlaku lurus.

Adakah mereka tidak sedar bahawa luruskan saf itu sebahagian daripada solat, malah menyempurna solat itu sendiri. Sabda Rasulullah seperti yang diriwayatkan Anas bin Malik,

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ تَمَامِ الصَّلاَةِ
Maksudnya: Samakan atau luruskan saf-saf solat kamu, maka sesungguhnya menyamakan saf solat itu sebahagian daripada kesempurnaan solat. (Hadis Marfuk)

Kalau anda tahu bahawa meluruskan saf sebahagian daripada kesempurnaan solat, apakah patut anda tidak meluruskannya. Sedarkah anda bahawa tanpa meluruskannya boleh mencacatkan solat anda atau dalam kata lain tidak sempurna solat yang dilakukan itu.
Selain lurus,

merapatkan antara jemaah penting diberi perhatain. Hal ini kerana kedudukan yang renggang mengundang gangguan syaitan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya (kekuasaannya), aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing." (Riwayat Abu Daud, no. 666. an-Nasa'i, 2/93. Ahmad, 2/97)

Mengapa perlu lurus dan rapat

Sesuatu yang diperintahkan Allah dan Rasul-Nya tentu ada tujuan dan hikmahnya. Antara tujuannya ialah dengan rapatkan antara jemaah boleh menghilangkan rasa ego. Kalau anda perasan kedudukan saf solat anda pada hari ini, jarang. Apabila kita cuba hendak rapatkan, dia akan anjakkan lagi. Ini menunjukkan mereka ego, tempat solat tidak mahu dikongsikan dengan orang lain.

Ketahuilah kalau kita masih merenggangkan kedudukan antara jemaah, itulah petunjuk bahawa hati anda tidak serasi dengan orang lain. Ketika itu, anda tidak bersedia untuk bersatu padu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Hendaklah kamu merapatkan saf-saf kamu, atau Allah akan memecah-belahkan hati-hati kamu." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Jelas di sini orang yang boleh menjaga saf selain diganjari dengan ganjaran besar, Allah jalinkan hubungan persaudaraan sesama mereka. Hal ini disokong oleh hadis daripada Ibnu Umar r.a dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang menyambung (merapatkan) saf, maka Allah akan menyambungkannya, dan siapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutuskannya.

" (Riwayat Ahmad, an-Nasaie, Abu Daud dan Hakim)

Dalam hadis yang diriwayat Abu Hurairah r.a. dia berkata, "Rasulullah biasa masuk memeriksa ke saf-saf bermula dari satu hujung (sisi) ke hujung yang lain, baginda memegang dada dan bahu kami seraya bersabda, "Janganlah kalian berbeza (tidak lurus safnya), kerana demikian itu akan menjadikan hati kalian berselisih." (Riwayat Muslim)

Bagaimana boleh lurus dan rapat

Untuk merealisasikan perintah ini setiap orang perlu lakukan langkah berikut:
1. Cara berdiri, setiap jemaah perlu berdiri mengikut keselesaan masing-masing. Maksudnya kalau anda kurus berdirilah mengikut yang sepadan dengannya. Dan kalau gemuk berdirilah mengikut keselesaannya juga.

2. Rapatkan antara jemaah. Untuk ini, betulkan cara meletak tangan ketika berdiri seperti yang dijelaskan dalam keluaran edisi 8. Yang penting siku kiri berada dicelah rusuk kanan jemaah lain. Manakala bahu dan jari kelingking kaki bersentuhan antara satu sama lain.

3. Kedudukan tumit, perhatikan tumit anda sentiasa berada di atas garisan yang disediakan. Dalam keadaan itu kalau anda duduk di hujung saf, anda akan kelihatan seperti satu. Rasullah sendiri sewaktu hayat memeriksa saf tersebut seperti yang diriwayatkan Anas bin Malik.

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَ أَنْ أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، أَقْبَلَ بِوَجْهِهِ عَلَى أَصْحَابِهِ، فَقَالَ: سَوُّوا صُفُوفَكُمْ ، فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي.

Maksudnya: "Bahawa Rasulullah setelah bersedia untuk solat (selepas iqamat) baginda melihat wajah sahabat dan berkata, samakan saf-saf kamu kerana sesungguhnya aku melihat kamu dari belakangku." (Hadis Sohih yang dikeluarkan al-Bukhari)

أَقِيمُوا الصُّفُوفَ ، فَإِنَّمَا تَصُفُّونَ بِصُفُوفِ الْمَلَائِكَةِ ، وَحَاذُوا بَيْنَ الْمَنَاكِبِ ، وَسُدُّوا الْخَلَلَ ، وَلِينُوا فِي أَيْدِي إِخْوَانِكُمْ ، وَلَا تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ ، وَمَنْ وَصَلَ صَفًّا ، وَصَلَهُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى ، وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا ، قَطَعَهُ اللَّهُ تبَارك وَتَعالَى .

Dalam hadis daripada Ibnu Umar r.a berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: "Hendaklah kamu luruskan saf, sesungguh kamu berbaris bersama saf para Malaikat, samakan di antara tumit-tumit kamu dan penuhi ruang-ruang kosong, lembut tangan saudara kamu, jangan biarkan ruang-ruang kosong untuk dipenuhi oleh syaitan,

siapa yang menyambung (merapatkan) saf, maka Allah akan menyambungkannya, dan siapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutuskannya." (Riwayat Ahmad, an-Nasaie, Abu Daud dan Hakim)

Ahmad Baei Jaafar

Lelaki China jual daging manusia

Posted: 30 May 2012 01:00 AM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

BEIJING: Polis di barat daya China menahan seorang lelaki yang disyaki membunuh lebih berbelas-belas kanak-kanak dan remaja lelaki sebelum memotong anggota tubuh mangsa dan menjual daging mereka kepada pelanggan yang tidak sedar ia daging manusia, menurut laporan semalam.

Pihak polis membuat penemuan ngeri itu semasa menyiasat kehilangan sekumpulan remaja lelaki di wilayah Yunnan sejak beberapa tahun lalu, menurut laporan media China dan Hong Kong.

Suspek utama dikenali sebagai Zhang Yongming, 56, yang ditahan dua minggu lalu di kampungnya di Nanmen, Yunnan.

Dia mulanya disiasat beberapa bulan lalu atas pembunuhan seorang pemuda berusia 19 tahun penghujung April dan beberapa lagi orang lain yang hilang, lapor laman web Guangxi News.

Ketika anggota polis memeriksa rumah Zhang, mereka menemui telefon bimbit lelaki itu, kad bank dan bukti lain, menurut web berita itu yang turut melaporkan bahawa lebih berpuluh-puluh remaja lain hilang dari kampung sama sejak beberapa tahun lalu.

Zhang dikatakan suka menyendiri dan tidak pernah bercakap dengan jirannya. Dia pernah dipenjara 20 tahun kerana membunuh dan dikenali di kampungnya sebagai 'raksasa pemakan daging'.

Penduduk juga memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka sering melihat beg plastik hijau mengandungi tulang putih tergantung di rumahnya.

Akhbar Hong Kong, The Standard melaporkan anggota polis menemui biji mata manusia yang diawetkan dalam botol 'seperti arak ular' dan beberapa cebisan daging manusia tergantung dipercayai untuk dikeringkan sebaik mereka memasuki rumah Zhang. – AFP

'Itu pandangan saya sebagai rakyat biasa' - Nizar

Posted: 29 May 2012 11:43 PM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin berkata pandangan beliau berhubung isu bidaan nombor pendaftaran WWW1 oleh Sultan Johor hanya pandangan peribadi seorang rakyat biasa.

Menurutnya, beliau tidak bermaksud untuk mempertikaikan tindakan Sultan Ibrahim Ismail menawarkan bidaan tertinggi sebanyak RM520,000 sebaliknya kenyataan itu dibuat secara umum.

"Itu hanya pandangan saya sebagai rakyat biasa yang melihat senario di negara ini bahawa masih ramai yang hidup dalam kesempitan dan memerlukan perhatian," katanya kepada akhbar Sinar Harian yang menghubungi beliau semalam.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak menjelaskan, teguran dalam hal yang sama tetap akan diberikan beliau kepada lain-lain pemimpin.

"Mungkin kerana bidaan tertinggi dibuat Baginda Tuanku, jadi orang katakan tindakan saya itu cuba menghina Sultan, sedangkan bukan itu maksud saya," katanya.

Tambahnya, beliau kesal dengan tuduhan yang diberikan kepadanya bawaha beliau menghina Sultan Johor.

"Jika ada yang menuduh saya menghina Sultan, itu sudah keterlaluan, kerana saya tiada niat untuk berbuat demikian.

"Jika ada mana-mana pihak yang terguris hati dengan mesej Twitter itu, saya mohon maaf, " jelasnya.

Sementara itu, Polis Johor mengesahkan sedang menyiasat kenyataan dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu di bawah Akta Hasutan.

Harakah Daily

Rafizi: Bank Negara juga perlu siasat Salleh

Posted: 29 May 2012 11:42 PM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli mempersoal, kenapa pihak Bank Negara tidak pula menyiasat Pengarah National Feedlot Corporation (NFCorp) Datuk Seri Dr Muhamad Salleh Ismail.

Menurutnya, Bank Negara sepatutnya mengambil tindakan terhadap Salleh dan keluarga yang secara jelas memindahkan wang rakyat secara tidak sah ke syarikat-syarikat mereka yang berada di Singapura dan Kazakhstan.

"Perkara ini diakui oleh mereka dan bukankah ini perlu disiasat juga oleh Bank Negara di bawah Akta Pengubahan Wang Haram," katanya.

Beliau semalam menerima notis untuk hadir memberi keterangan di Bank Negara petang ini di bawah Seksyen 87(1)(a), Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989.

Menurut beliau lagi, tindakan ke atasnya menunjukkan pihak kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengalu-alukan pendedahan penyelewengan dan rasuah oleh rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib juga katanya gagal mengotakan janjinya bahawa pentadbiran beliau tidak memangsakan penberi maklumat dan melindungi perasuah.

"Sementara saya menghormati tanggungjawab Bank Negara dan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan tetapi saya risau tekanan ini dilakukan adalah bertujuan untuk menutup skandal NFC.

"Saya akan terus membuat pendedahan sehinggalah kredibiliti pihak berkuasa yang bertanggungjawab terutamanya SPRM dipulihkan di mata rakyat,"sambung beliau lagi.

Harakah Daily

Saya dituduh melampau, keras hati kerana 'Islam'

Posted: 29 May 2012 11:38 PM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

Dua akhbar harian (29 Mei 2012) nampaknya begitu ghairah mempamerkan di muka depan kenyataan seorang mufti yang berbau politik bukannya hukum. Kenyataan itu jelas mengenai saya, dan amat terang mempamerkan saya sebagai berkepimpinan melampau dan seorang keras hati.

Saya dianggap keras hati kerana berterusan mengenakan syarat "Islam"untuk bermuzakarah dengan Umno. Soalnya, apa payahnya syarat yang saya kemukakan? Adakah menggantikan kebangsaan kepada Islam secara rasmi menjadi satu keberatan di sisi Umno atau mana-mana individu yang simpati kepada Umno? Tidakkah iman itu bukan hanya membenarkan di hati tetapi ikrar dengan lidah? Justeru, saya hanya meminta UMNO ikrarkan dengan rasmi bahawa dasar perjuangannya ialah Islam.

Saya kira, mana-mana individu seumpama seorang mufti yang begitu lembut lidahnya menilai hati saya sebagai keras hati, seharusnya boleh membezakan antara keras hati dengan istiqomah. Cuba fahami sikap Nabi Muhammad SAW yang hingga ke akhir hayat tidak pernah tunduk kepada pujukan kaum Musyrikin agar baginda meninggalkan seruan Islam. Nabi ditawarkan dengan kekayaan harta, wanita, dan takhta bukan sekali, bahkan berulang kali. Adakah Nabi seorang yang keras hati atau istiqamah? Maka baginda sebenarnya seorang yang istiqamah.

Membuat ulasan lalu membenarkan pihak media massa mengaitkan nama individu seperti saya, bukanlah satu akhlak terpuji. Amat malang jika akhlak itu menjadi pakaian seorang mufti sehingga pihak media boleh mengaitkan secara terang saya sebagai seorang individu yang keras hati. Jika benarlah begitu ia amat dikesali. Sekiranya lafaz sebegitu keluar dari orang politik yang tidak berpendidikan agama, ia mungkin boleh diterima. Sebaiknya seorang mufti boleh bersikap berkecuali dalam mengulas apa yang wartawan tanyakan. Tambahan pula, isu muzakarah yang dirujuk adalah urusan parti politik bhukanya urusan pejabat mufti. Justeru seorang mufti boleh melihatnya dari pemikiran pejabat mufti bukannya mencampuri urusan parti politik. Atas sifat sangka baik, pemikiran mufti tidaklah seperti pemikiran budak tadika.

PAS istiqamah dengan Islam

Demikian sikap saya terhadap olahan media dan mufti tersebut, maka suka saya tegaskan sesunguhnya PAS tidak sedia bertolak ansur supaya PAS melupai sejarah lalu. Sejarah PAS pernah bersama Umno dalam Barisan Nasional yang kemudiannya disingkirkan tatkala PAS diperanhgkap oleh satu rancangan devide and rule. Akibatnya kenaan perintah darurat di Kelantan, negeri ditadbir PAS. Darurat itu adalah angkara pemimpin Umno yang berkuasa di peringkat Pusat telah mencatat sejarah hitam. Kesanya lagi, perpecahan PAS yang melahirkan serpihan, bermula dengan Bebas Bersatu, kemudian Berjasa dan Hamim. Dalam siri perpecahan itu, PAS terjunam ke lubang masalah keyakinan. Sehingga memerlukan 12 tahun (1978-1990) pula untuk bangkit. Ia sejarah yang tidak mungkin dilupai.

Apakah sejarah yang diingat ini menyebabkan saya dilihat keras hati? Seorang mukmin telah dipesan, sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW, "Tidaklah seorang mukmin akan disengat dua kali dari satu lubang (sarang binatang) yang sama" (Sahih Muslim – no: 2998).

Persoalan orang Melayu

Seorang berpendidikan agama (orang agama seumpama mufti) tidak sepatutnya mempersoalkan apa jadi kepada agama dan orang Melayu setelah sekian lama Umno memudaratkan perjuangan orang Melayu dengan dasar sekular. Sepatutnya mereka lebih tahu. Apakah kurangnya Islam di sisi Umno sehingga Islam tidak boleh dijadikan akidah perjuangan? Tidakkah orang agama seumpama mufti terfikir, betapa selama ini pemimpin Umno memandang 'lekeh' kepada kesempurnaan Islam? Hakikatnya orang yang membuang Islam dalam perjuangannya, bahawa orang itu sudah outdated atau ketinggalan zaman.

Pelik juga, bila orang agama seumpama mufti boleh menjadi tukang sibuk mengulas dan berhukum tentang politik. Agak pelik lagi, bila miripnya menyibuk menjaga kepentingan Barisan Nasional. Semacam Barisan Nasional sahaja yang dilebih-lebihkan. Apa kurang pula dengan Pakatan Rakyat yang misinya untuk membawa sesuatu yang terbaik untuk agama, rakyat dan negara. Dari segi pemimpinnya pula, pemimpin Pakatan Rakyat tidak kurang kelayakannya, malah cukup teruji cekal dan setia. Semestinya cukup layak menyaingi kepimpinan Barisan Nasional yang semakin terlodeh pelbagai masalah dan korupsi.

Malah sepanjang PAS mentadbir Kelantan, sudah banyak kebaikan dilakukan yang tidak mampu dilakukan oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional. Mana ada Menteri Besar dari Umno yang lembut lidahnya menyeru rakyatnya agar menutup aurat, memuliakan masjid, menunaikan solat, mengimarah bulan Ramadhan dengan aktiviti ehya' Ramadhan, bebaskan riba dan seumpamanya. Kesemua kebaikan atas nama Islam dan rakyat serta negeri tetap menjadi amalan pentadbiran PAS di Kelantan. Justeru kehidupan pelbagai kaum penuh harmoni, meskipun Kelantan ditekan dengan pelbagai helah oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional di peringkat Pusat. Ia suatu bukti dasar Islam yang subur di bumi Allah SWT.

Perpaduan umat

Islam memang mengajar umatnya hidup bersatu padu. Kehidupan untuk kebaikan semua umat manusia. Oleh sebab itu, tiada asas kekuatan untuk bersatu padu kalau semata-mata atas nama bangsa Melayu. Sewajarnya bagi umat dan pemimpin Islam berfikiran ke arah perpaduan atas nama Islam. Asasnya Islam adalah ajaran agama yang mulia dan semulianya di sisi agama-agama lain. Justeru PAS amat menyokong sebarang usaha perpaduan umat, namun ia semestinya berlaku atas landasan Islam.

Atas hakikat itu, mana-mana pihak khusus orang agama seumpama mufti bolehlah beritahu kepada pemimpin Umno agar menukar dasar partinya dan pentadbiran kerajaannya kepada Islam. Begitu juga harus dipersoalkan, kenapa Umno boleh terima kebangsaan dan tolak perjuangan politik Islam? Ada baiknya persoalan ini juga ditanyakan kepada mana-mana ahli Majlis Fatwa Mesir. Jangan sekadar menanyakan isu mengundi parti masuk syurga.

Justeru orang agama seumpama mufti bolehlah menjadi orang tengah untuk sebarang usaha perpaduan. Namun harus diingat sifat orang tengah, ia tidak boleh menyerang kepada satu pihak, sementara kepada pihak yang satu lagi ia menunjukkan sikap yang lebih mesra. Mana mungkin menjadi orang tengah, jika sekilas percakapan yang terungkap, orang telah tahu kita di sebelah mana. Ingat kepada pepatah, "kalau nak ukur cerdik bodoh seseorang, kena dengar percakapannya."

Sebaiknya, demi keutuhan dan perpaduan, sikap orang agama seumpama mufti hendaklah pandai menjaga sempadan. Tidaklah ia dilihat menceroboh sempadan orang lain. Oleh kerana sistem pentadbiran negara ini mengadakan amalan pengasingan kuasa dan tugas, maka hormatilah atas tugas masing-masing. Seorang menteri besar dengan tugasnya mengurus politik kerajaan, sementara mufti pula ada tugasnya untuk menjaga urusan pejabat muftinya. Sebaiknya menteri besar dengan tugasnya dan mufti dengan tugasnya. Masing-masing tugas, tanpa mencampuri urusan orang lain demi kebaikan, asalkan sentiasa diredai Allah SWT.

Wallahu'alam.

*Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah Menteri Besar Kelantan merangkap Al-Mursyidul Am PAS

Harakah Daily

Pengundi terkejut rekod JPN kata dia sudah mati

Posted: 29 May 2012 11:36 PM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang pengundi di Dun Kuala Kubu Baharu Parlimen Hulu Selangor terkejut apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan beliau sudah meninggal dunia.

(Gambar: Carian di laman web SPR menggunakan nombor kad pengenalan 691130 01 5063 menunjukkan 'Record not found')

Mohamad Diah Arjan berkata, beliau sangat hairan apabila semakan yang dibuat di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan " Record not found" sedangkan namanya ada dalam sistem semakan di pejabat pos Kuala Kubu Baharu.
Selepas membuat semakan di pejabat pos, beliau yang bernombor kad pengenalan 691130 01 5063 membuat semakan di JPN Kuala Kubu Baharu dan pegawai bertugas memaklumkan bahawa ada menerima laporan berhubung kematian beliau tetapi belum disahkan lagi.

"Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Saya bertanya bagaimana ia boleh berlaku dan pegawai bertugas memaklumkan ada kesilapan di JPN Putrajaya.

"Selepas seminggu saya datang semula ke JPN Kuala Kubu Baharu dan status telah dibetulkan, bahawa saya masih hidup dan sihat walafiat," kata beliau dalam aduan yang dihantar kepada Harakahdaily hari ini.

Dalam jawapan kepada aduan yang dibuat beliau sebelum ini, SPR memaklumkan semakan telah dibuat menerusi pangkalan data JPN ke atas nombor kad pengenalan 691130 01 5063 dan didapati bahawa status rekod Mohamad Diah adalah 'telah meninggal dunia'.

Sehubungan itu, SPR meminta Mohamad Diah membuat pembetulan maklumat di JPN dan memaklumkannya kepada SPR untuk kemasukan semula rekod beliau sebagai pemilih.

Namun ujarnya, semakan yang dibuat di laman web SPR pada jam 1.40 pagi tadi tetap mendapati "record not found".

Justeru beliau menggesa SPR mengambil tindakan segera bagi mengatasi kepincangan itu supaya beliau dapat mengundi pada pilihan raya umum ke-13.

"Saya harap pihak SPR dapat mengambil tindakan segera supaya saya dapat mengundi dalam PRU 13.

"Jangan kesilapan yang dibuat oleh JPN dan SPR menyebabkan saya tidak boleh mengundi dalam PRU 13.Satu kezaliman kepada rakyat biasa seperti saya," katanya.

Harakah Daily

Gunung berapi Colombia meletus, 500 dipindahkan

Posted: 29 May 2012 08:44 PM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

BOGOTA: Kira-kira 500 penduduk terpaksa dipindahkan dengan jadual penerbangan di empat lapangan terbang ditangguhkan selepas gunung berapi di Nevado del Ruiz memuntahkan lahar dan mengeluarkan api.

Gunung berapi berkenaan dikesan semakin aktif mengeluarkan lahar sejak April dan awal bulan lalu, dan berisiko kepada penduduk yang tinggal di pinggir gunung berkenaan, demikian menurut Agensi Geologikal Colombia, hari ini.

Gunung berapi setinggi 5,321 meter itu mengeluarkan asap dan lahar sehingga ke kawasan padat penduduk di Bandar Manizales di bahagian barat dengan lapangan terbang di bandar itu terpaksa ditutup.

Lapangan terbang lain yang terjejas ialah Pereira, Armenia dan Cartago, yang terpaksa menangguhkan jadual penerbangan di sebelah petang, kata Carlos Silva, timbalan pengarah Agensi Penerbangan Awam Colombia, hari ini.

Letusan terburuk Gunung Berapi Nevado del Ruiz ialah pada 1985 yang menyaksikan keseluruhan pekan kecil Armero ditenggelami lahar dan lumpur dengan 25,000 penduduk dilaporkan terkorban. - AP

Dakwa bekalan elektrik dipotong tanpa notis

Posted: 29 May 2012 08:42 PM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Seorang warga emas bingung dan kesal kerana bekalan elektrik rumahnya tetap dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika dia dan ahli keluarganya tiada di rumah pada 16 Mei lalu.

Dalam kejadian tersebut kira-kira jam 11.30 pagi, Ng Moi Ying, 68 dan lima lagi ahli keluarganya tidak berada di rumah di Lorong Indera Mahkota Dua di sini dan sebaik pulang mendapati bekalan elektrik telah dipotong.

Menurutnya, dia terkejut dengan tindakan pihak terbabit kerana tetap memotong bekalan elektrik tanpa kehadiran mereka dan mendakwa tidak pernah menerima dua notis iaitu notis kuning dan merah sebelum itu.

"Kami hanya mendapat notis terbabit yang diselitkan di pintu pagar rumah dan sepatutnya pelanggan perlu mendapat notis terbabit sebelum tindakan pemotongan dilakukan.

"Sebaliknya ia tidak berlaku dan terpaksa membayar sebanyak RM2,691.85 dan hairan kerana menerima jumlah amaun yang perlu dibayar berbeza setiap kali notis diterima," dakwanya.

Dia ditemui ketika sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Kuantan di sini, semalam. Hadir sama, Pegawai Khas Ahli Parlimen, Sim Chon Siang dan Norbaini Abu Bakar.

Sebelum itu, Ng Moi Ying, 68 dari Lorong Indera Mahkota 2,di sini pernah mendapat dua notis pemotongan bekalan elektrik iaitu kali pertama pada 5 Januari dan 27 Februari tahun ini kerana tunggakan bayaran.

Warga emas terbabit juga berdepan kes akibat pengusikan meter pada Disember 2010 hasil pemeriksaan Jangka Tenaga (KWH) yang merekodkan penggunaan elektrik di rumahnya telah diusik.

Berikutan kes tersebut, Moi Ying mendapatkan khidmat guaman pada Ogos tahun lalu dan satu notis telah dihantar kepada TNB untuk menjelaskan warga emas terbabit adalah pelanggan mereka dan sebarang tindakan seterusnya perlu dirujuk kepada peguam.

Sementara itu Chon Siang memberitahu, pihaknya sudah merujuk kejadian tersebut kepada Suruhanjaya Tenaga di sini kelmarin dan mendapat maklum balas ST akan mendapatkan penjelasan daripada TNB.

Menurutnya, pusat itu juga sudah membantu 20 pengguna di Kuantan berhubung kes pengusikan meter dan dirujuk kepada peguam.

Dalam pada itu Sinar Harian merujuk kes dan kejadian tersebut terhadap TNB dan dimaklumkan akan mendapat penjelasan selanjutnya hari ini.

sinar harian/-

'Tahniah' Umno 'berjaya' rosakkan akhlak belia

Posted: 29 May 2012 08:39 PM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor mengucapkan 'tahniah' kepada Umno BN kerana telah 'berjaya' meneruskan agenda merosakkan akhlak anak-anak muda Malaysia dengan program hiburan yang melalaikan dan melucahkan sempena himpunan sejuta belia di Putrajaya baru-baru ini.

Ketuanya, Hasbullah Mohamad Dizwan berkata, pihaknya kesal kerana pemimpin tertinggi Umno BN merestui program hiburan melampau dengan aksi tarian yang melucahkan daripada artis luar negara untuk dipertontonkan kepada belia-belia yang hadir di dalam himpunan tersebut.

"Bahkan Perdana Menteri telah merendahkan akhlak beliau sebagai seorang pemimpin beragama Islam apabila turut berada di atas pentas yang sama untuk meraikan artis terbabit," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

"Apakah sememangnya garis panduan kerajaan pusat 'menghalalkan' hiburan melampau dan melucahkan di dalam majlis rasmi kerajaan,"soalnya lagi.

Menurutnya, kerajaan pusat perlu mencontohi garis panduan hiburan Kerajaan Negeri Kelantan di dalam menyediakan hiburan yang yang bermanfaat dan tidak melalaikan kepada para belia dan remaja masakini.

Pengisisn di sambutan Hari Belia itu katanya tidak mencapai sasaran sebenar pembinaan jati diri belia yang akan menjadi pemimpin negara di masa akan datang.

Melebihkan hiburan semata-mata tanpa ada agenda pengisian kerohanian ujarnya menyebabkan himpunan belia hanyalah dipergunakan oleh Umno BN sebagai batu loncatan untuk mencapai kepentingan politik mereka semata-mata.

"Kita mengajak kepada seluruh belia samada di negeri Selangor ataupun di seluruh Malaysia untuk bangkit daripada terus dipergunakan oleh Umno BN dengan agenda yang merosakkan dan memperbodohkan minda para belia kepada memberikan sokongan untuk Pakatan Rakyat supaya para belia akan dimartabatkan di tempat yang sewajarnya," katanya.

Harakah Daily

Isu tanah: MB Johor dicadang debat dengan Salahudin

Posted: 29 May 2012 08:36 PM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU: Dewan Pemuda PAS Johor mencadangkan satu debat diadakan menemukan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dengan Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub berhubung isu tanah di negeri itu.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata terdapat banyak masalah yang berkaitan dengan tanah yang sering diperkatakan oleh rakyat negeri itu di segenap lapisan.

Rakyat pula mahu melihat apakah altenatif yang boleh diberikan oleh kerajaan negeri dan pembangkang dalam menyelesaikan masalah ini.

"Pemuda PAS menawarkan kepada mana-mana pihak khususnya media dan NGO di Negeri Johor untuk menjadi penganjur kepada perdebatan ini.

"Setakat ini pihak Salahuddin Ayub sudah bersetuju untuk berdebat. Tempat yang selayaknya untuk berdebat adalah di Persada, Johor Baharu," katanya sambil menambah bahawa tarikh, masa, format dan lain-lain bolehlah diuruskan oleh pihak penganjur.

Sebelum ini banyak masalah tanah dibangkitkan khususnya di negeri Johor.

Bermula dengan isu Johor kehilangan Pulau Batu Puteh, penyerahan Tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) Tanjung Pagar, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor(KPRJ) sebagai broker tanah kerajaan Johor, Projek Perlabuhan Tanjung Pelepas(PTP), Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID), Pengerang, kehilangan tanah Simpanan Melayu, tanah orang asli dan masalah tanah SEDC Tampoi.

Selain itu masalah projek kerjasama Taman Desa Kempas yang terbengkalai, peneroka kehilangan tanah Felda Cahaya Baru, tanah Skudai Kiri dan lain-lain lagi. Semua isu-isu ini memerlukan jawapan-jawapan yang telus daripada kerajaan.

Sehubungan itu kata Zuhaizan, banyak pihak termasuk anak-anak muda mahu kedua-dua tokoh ini berdebat mengutarakan cadangan penyelesaian masing-masing.

"Pemuda PAS Johor penuh yakin Y.A.B Dato Abdul Ghani Othman Menteri Besar Johor tidak akan mengecewakan rakyat Johor untuk berdebat.

"Semoga rakyat akan mendapat manfaat berganda hasil daripada perdebatan ini," katanya.

Harakah Daily

Penyelia rentung ketika bercuti

Posted: 29 May 2012 08:34 PM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

PENGKALAN HULU - "Api terlalu marak, saya tak dapat berbuat apa-apa," kata Visai Naisucik, 70, ayah saudara mangsa yang terbabit dalam kebakaran di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, kira-kira jam 6 pagi, semalam.

Mangsa, Songkran Chen Sin, 26, rentung sepenuhnya manakala ibunya, Cheong Meng Chee, 47, melecur teruk di bahagian kaki dan badan.

Visai berkata, ketika kejadian, dia bersama keluarganya berada di rumah yang hanya beberapa meter dari rumah mangsa.

"Saya terkejut apabila mendengar jeritan penduduk kampung mengenai kejadian kebakaran. Kemudian, saya bergegas keluar dan tergamam setelah melihat rumah anak saudara sedang dijilat api.

"Namun, saya tidak mampu berbuat apa-apa berikutan keadaan api sedang marak.Saya cuba masuk ke dalam rumah, tetapi dihalang oleh jiranjiran," katanya.

Menurutnya, dia dan penduduk lain cuba memadamkan kebakaran itu dengan air, tetapi tidak berhasil.

Mangsa, yang bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat swasta di Kuala Kangsar, Perak dikatakan pulang bercuti di rumahnya sejak beberapa hari lalu.

Pemegang Diploma Perakaunan di sebuah kolej swasta di Ipoh itu merupakan anak tunggal dalam keluarganya.

Visai berkata, mangsa seorang anak yang baik dan sering membantu ibunya setelah ibu dan ayahnya bercerai sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Pengkalan Hulu, Mohd Zaki Zainol berkata, seramai 10 anggota dikerahkan ke tempat kejadian.

"Pihak bomba menerima panggilan jam 5.57 pagi dan berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya setengah jam kemudian," katanya.

Menurutnya, mangsa dijumpai dalam keadaan rentung di tingkat bawah berdekatan tangga, manakala ibu mangsa sempat dikeluarkan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sinar Harian

PM Itali mahu sukan bola sepak digantung tiga tahun

Posted: 29 May 2012 08:33 PM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

PERDANA Menteri Itali, Mario Monti mencadangkan sukan bola sepak negara itu digantung tiga tahun ekoran skandal mengatur keputusan perlawanan ekoran penahanan 19 orang, membabitkan pemain dan jurulatih, kelmarin.

Monti meluahkan perasaan kecewa dan sedih berikutan skandal tersebut memberi kesan yang mendalam kepada negara Eropah itu.

"Ia amat menyedihkan apabila sebuah negara yang dipandang tinggi, namun tiba-tiba dicemari dengan insiden yang memalukan.

"Bagaimanapun, cadangan ini bukan dari kerajaan, tetapi pandangan saya sebagai peminat bola sepak.

"Namun, saya berharap perkara ini akan disiasat dan diambil tindakan yang sewajarnya," kata Monti semalam.

Monti berkata sedemikian selepas kapten Lazio, Stefano Mauri dan bekas pemain tengah Genoa, Omar Milanetto merupakan antara 19 ditahan polis berhubung skandal mengatur keputusan perlawan, dipercayai membabitkan liga Itali.

Selain Criscito, jurulatih Juventus, Antonio Conte juga disoal siasat oleh polis.

Semalam, pemain pertahanan Itali dan Zenit St Petersburg, Domenico Criscito telah memaklumkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali bahawa beliau tidak mahu mewakili pasukan negara itu dan meminta maaf berhubung dengan skandal aturan perlawanan.

Criscito membuat keputusan untuk tidak menyertai pasukan kebangsaan bersaing di Euro 2012 bagi membersihkan namanya.

Kesemua 19 yang ditahan dipercayai menerima wang bagi sindiket pertaruhan, yang ketuanya dikatakan berada di Singapura.

Daripada 19 orang itu, 10 merupakan pemain empat divisyen teratas liga Itali, sama ada yang sedang bermain ataupun bekas pemain.

Sinar Harian

Buang tenggiling dalam laut

Posted: 29 May 2012 08:32 PM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Panik dikejar Agensi Penguat kuasaan Maritim Malaysia (APMM), dua orang penyeludup haiwan esotik dipercayai membuang beberapa ekor tenggiling dalam laut.

Kejadian berlaku di perairan Pulau Hanyut, Sungai Duyung, di sini, kira-kira 8.15 malam kelmarin.

Mereka bertindak demikian bagi mengurangkan jumlah rampasan selepas kegiatan mereka itu berjaya dikesan.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah, Kapten Maritim Abu Bakar Idris berkata, anggotanya bertindak selepas menerima maklumat berhubung pergerakan sebuah bot mencurigakan bergerak laju dari arah sempadan perairan Malaysia - Indonesia.

"Hasil maklumat, kita dapati sebuah bot gentian kaca tidak bernombor bergerak laju dalam keadaan mencurigakan.

Seramai enam anggota APMM menggunakan bot laju mengekori bot dinaiki dua lelaki berkenaan," katanya.

Katanya, ketika dikejar, lelaki tempatan berusia 40 dan 41 tahun itu enggan memberhentikan bot dan aksi mengejar kira-kira 15 minit di tengah laut, sebelum bot terbabit berjaya dipintas pasukan APMM pada jarak kira-kira lima batu nautika dari Pulau Hanyut.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa 26 guni setiap satu berisi seekor tenggiling. Dua lelaki itu gagal mengemukakan dokumen berkaitan haiwan dibawa itu," katanya di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Operasi Daerah APMM DM5 Kuala Linggi, Komander Maritim V.Pannir Selvan dan Pegawai Staf Operasi, Ketua Leftenan Komander Mohd Suhairy Hussin.

Abu Bakar berkata, kesemua 26 tenggiling itu seberat 100 kilogram dianggarkan bernilai RM50,000 dan dipercayai untuk dieksport ke negara luar menerusi jalan laut.

"Kita percaya lelaki terbabit bertindak membuang beberapa ekor lagi tenggiling ke dalam laut semasa kita melakukan operasi ini," katanya.

Beliau berkata, kesemua haiwan berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), sementara kedua-dua lelaki ditahan untuk siasatan.

Sinar Harian

Serang keluarga angkara dendam

Posted: 29 May 2012 08:30 PM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Dipercayai bermotifkan dendam, lima sekeluarga diserang dua lelaki bersenjatakan pedang samurai dan sabit yang menyerbu masuk rumah mereka.

Kejadian berlaku kira-kira 6.30 petang, Ahad lalu di Ladang Kirby Carotina, Labu, dekat sini apabila keluarga berkenaan termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun sedang berehat di ruang tamu.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba didatangi dua lelaki dikenali mereka yang bertindak menyerbu masuk dalam rumah.

Menceritakan detik cemas itu, salah seorang ahli keluarga berusia 25 tahun yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku begitu pantas serta menakutkan.

Menurutnya, dua lelaki terbabit terus bertindak meluru dan melibas anak saudaranya yang berada berhampiran pintu tanpa belas kasihan.

"Kemudiannya, lelaki itu mula menyerang empat ahli keluarga lain termasuk saya dan dua lagi abang saya menyebabkan kami cedera di muka, kepala dan tangan," katanya ketika ditemui pemberita di sebuah hospital swasta di sini, semalam.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal yang diletakkan di depan rumah.

Akibat kejadian itu, katanya, anak saudaranya yang cedera parah pada muka dan mata dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, di sini.

Manakala, empat yang lain dirawat di sebuah hospital swasta, di sini.

Berikutan kejadian itu, mereka membuat laporan di Balai Polis Jalan Campbell, dekat sini.

"Kami memang kenal seorang daripada suspek dan menyerahkan perkara itu kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Bagaimanapun, kami bernasib baik kerana serangan itu tidak melibatkan kehilangan nyawa," katanya.

Sinar Harian

Wang bantuan kebajikan lesap

Posted: 29 May 2012 08:30 PM PDT

9 Rejab 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Wang bantuan kebajikan sebanyak RM500 yang diterima seorang warga emas di sini, lesap selepas dia diragut dua lelaki di sebuah lorong berhampiran Jalan Pasar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Mahidin, 68, sedang berjalan kaki sendirian di lorong itu selepas selesai sarapan pagi di sebuah restoran berhampiran.

Muhammad yang mahu menuju ke sebuah pasaraya di pusat bandar menyedari sebuah motosikal mengekorinya dengan perlahan.

"Motosikal yang dinaiki dua lelaki bertopi keledar berusia awal 20-an menghampiri saya dan meminta wang.

"Saya memberitahu saya tiada wang dan lelaki itu terus menyeluk poket baju saya.

Saya cuba melawan dan memegang motosikalnya, namun mereka menolak saya sehingga saya terjatuh ke atas jalan," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Muhammad berkata, wang miliknya bernilai RM500 yang baru dikeluarkan dari sebuah bank di sini, tiga hari lalu akhirnya dilarikan lelaki terbabit.

"Wang itu merupakan wang bantuan kebajikan yang diberikan kerajaan.

Saya keluarkannya dari bank untuk urusan perbelanjaan seharian memandangkan saya tidak bekerja," katanya.

Muhammad yang cedera di bahagian mata, mulut dan muka itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini oleh orang ramai dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Berikutan kejadian itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Jalan Campbell, di sini semalam.

Sinar Harian

Tiada ulasan:

Nuffnang