. |
- Model Kepimpinan Rabbani: Menyorot Pemerintahan Berhikmah Gaya Sulaiman Al-Hakim `A.S.
- Pendidikan percuma dasar bersama Pakatan, kata Rafizi
- PAS akan demo depan NST isu 'bapa kafir'
Model Kepimpinan Rabbani: Menyorot Pemerintahan Berhikmah Gaya Sulaiman Al-Hakim `A.S. Posted: 23 May 2012 09:14 AM PDT Pemimpin, pemerintah dan pentadbir terbaik tidak lain adalah Allah s.w.t. sendiri. Dialah Tuhan yang bernama al-Hakim, al-Wali dan al-Mudabbir yang Maha Sempurna. Manusia adalah makhluk pengembang amanat al-istikhlaf, yang mewakili Allah melaksanakan misi `imarat al-ard (membangun bumi dengan ilmu, sains dan teknologi) dan islah al-ard (mengislahkan bumi dengan pendaulatan nilai-nilai murni: kebenaran, keadilan, kejujuran, kasih-sayang, dan lain-lainnya). Sebagai wakil Tuhan dalam menjayakan misi tersebut manusia dituntut memperlengkapkan diri dengan sifat-sifat unggul al-takhalluq bi akhlaqi 'Llah (berakhlak dengan akhlak Allah). Manusia yang berjaya menghayati sifat-sifat dan nama-nama Tuhan (al-Asma'al-Husna) dalam batas-batas kemanusiaannya itulah yang disebut manusia rabbani, manusia yang dekat dengan Tuhan dari segi sifat-sifatnya. Dalam kaitan inilah relevannya tema al-qiyadah al-rabbaniyyah atau kepimpinan rabbani. Jelmaan paling ideal manusia rabbani adalah para anbiya' dan mursalin. Dalam konteks al-qiyadah al-rabbaniyyah (kepimpinan rabbani) mungkin kepimpinan Nabi Sulaiman `a.s. dapat diangkat sebagai salah satu model yang cukup mengesankan. Pengkisahan tentang nabi-pemerintah (raja) tersebut banyak termuat dalam surah al-Naml, Saba' dan Sad. Surah al-Naml yang memaparkan citra pemerintahan Sulayman `a.s. menyebut kurnia besar yang sekaligus menjadi tonggak utama pemerintahannya, iaitu kurnia ilmu. Demikianlah ayat yang yang mengisyaratkan sebuah pemerintahan berasaskan ilmu (knowledge based). Memang pemerintahan profetis adalah model pemerintahan knowledge based par excellence. Kata ilmu dalam ayat 15 surah tersebut tidak secara khusus merujuk jenis ilmu tertentu. Dengan demikian ia dapat diertikan secara inklusif meliputi segala cabang ilmu yang relevan dengan kenabian dan kenegaraan, ilmu yang dapat meningkatkan kualiti dan mengangkat martabat. Selain itu ia juga meliputi makna hikmah yang dapat diertikan sebagai kurnia kefahaman yang mendalam tentang sesuatu. Para ilmuwan yang memiliki hikmah disebut juga dengan kata al-rasikhuna fi 'l-`ilm dan ulu 'l-albab. Kata albab adalah bentuk jamak dari kata lubb yang bererti inti terdalam atau the core of things, termasuk makna tersirat di balik yang tersurat. Hakikat pengurniaan ilmu dan hikmah kepada Sulayman dan ayahandanya Dawud `a.s. dipertegaskan dalam surah al-Anbiya':79 "…dan kepada kedua-duanya Kami kurniakan hikmah dan ilmu…" (…wa kullan atayna hukman wa `ilma…). Dengan kurnia ilmu dan hikmah (wisdom) itulah Sulayman `a,s. dapat membaca dan menganalisis sesuatu fenomena dengan tepat, menyikapinya dengan tepat dan memilih tindakan yang tepat. Memang kata hikmah mengandungi makna kebenaran dan ketepatan (al-sawab wa al-sadad). Surah al-Naml menyebut bahawa mereka (Dawud dan Sulayman `a.s.) menyatakan tahmid kesyukuran atas segala kurnia, terutama kurnia ilmu. Mereka amat menginsafi bahawa sumber hakiki ilmu, kebenaran dan segala kebaikan adalah Allah s.w.t., dan kerananya hanya Dia yang layak dan berhak menjadi tumpuan syukur. Ungkapan al-hamdu li 'Llah adalah ekspresi terbaik untuk menghargai sesuatu yang bernilai. Dengan menyebut kata-kata tersebut bererti mereka adalah pemimpin-pemerintah yang cukup menyedari tentang ilmu sebagai nilai hidup yang utama, dan kerananya cukup komited dengan budaya ilmu. Memang demikianlah hakikat nilai ilmu menurut perspektif profetis sebagaimana yang diperlihatkan oleh Nabi Musa 'a.s. yang sanggup meredah daratan dan mengharung lautan walau sampai ke titik temu dua lautan (majma` al-bahrayn) semata-mata demi ilmu. Malah lebih daripada itu sanggup berjalan bertahun-tahun mencari Khidr `a.s. untuk berguru kepadanya (surah al-Kahf). Mungkin hakikat inilah juga yang mengilhami al-Farabi, failasuf ulung penyandang gelar al-Mu`allim al-Thaniy menegaskan dalam karya agungnya al-Madinat al-Fadilah bahawa antara kriteria utama pemimpin negara termasuk kecintaan terhadap ilmu (muhibban li 'l-`ilm). Yang disebut secara eksplisit dalam surah al-Naml adalah ilmu kebahasaan, khususnya mantiq al-tayr (bahasa burung). Mesej tersirat di sebaliknya adalah pemerintahan prihatin dan pentadbiran yang komunikatif. Bahasa sebagai alat komunikasi dimanfaatkan dengan berkesan untuk memahami masalah dan aspirasi rakyat. Demikianlah sebuah model pemerintahan berjiwa rakyat, kepimpinan yang dapat merasakan denyut nadi dan degup jantung rakyat. Bahasa dan alat-alat komunikasi lainnya digunakan untuk berdialog dengan rakyat dari pelbagai sektor dan golongan, bukan untuk menyumbat bahan-bahan propaganda dan indoktrinasi kepartian. Dukungan rakyat diraih menerusi sikap prihatin dan komunikatif, bukan diperoleh secara licik dengan tipu daya memperbodoh dan mengabui mata. Peristiwa di lembah semut (wadi al-naml) mengangkat satu lagi contoh pemerintahan prihatin dan komunikatif, wujudnya interaksi antara raja besar (Nabi Sulayman `a.s.) dengan makhluk kecil (semut). Demikianlah, lewat kisah yang cukup sederhana dan mudah, al-Qur'an mengungkapkan sebuah konsep penting: a listening government, pemerintahan yang mengamalkan keterbukaan dan memiliki tahap kepedulian yang cukup tinggi. Rakyat kecil mempunyai hak untuk didengar. Pesan dari lembah semut ini mempunyai erti yang sangat penting terutama dalam konteks zaman leluasanya pengaruh kelompok-kelompok pelobi bayaran dan nyaringnya suara ringgit sehingga lahir ungkapan sinis "when the money speaks, the rest will be silent". Disebut juga tentang angkatan tentera kerajaan Nabi Sulayman `a.s. yang terbentuk dari gemblengan pelbagai unsur kekuatan rakyat: jin, manusia dan burung. Kisah ini menyerlahkan kualiti kepimpinan yang mampu memadu dan menggembleng potensi yang pelbagai untuk mencipta kekuatan raksaksa yang tak terkalahkan. Mungkin ini adalah jelmaan wisdom kepimpinan dan kepengurusan Nabi Sulayman `a.s. yang melihat kepelbagaian sebagai kekuatan. Memang pasukan yang baik tidak terbentuk dari unsur-unsur yang sejenis (keahlian dan kemahirannya), tetapi yang pelbagai. Kepelbagaian dapat membentuk pasukan yang saling melengkapi, di samping dapat pula menciptakan dialog yang kreatif. Ternyata Nabi Sulayman `a.s. ditampilkan untuk membawa model qiyadah rabbaniyyah (kepimpinan rabbani) dan dawlah imaniyyah (pemerintahan berasaskan iman). Pelbagai kurnia yang melengkapinya dengan segala ingredients pemimpin-pemerintah unggul tidak pernah menjadikan Sulayman `a.s. lupa daratan - mabuk kuasa dan mengagumi kehebatan diri. Sulayman al-Hakim `a.s. tetap memohon petunjuk dan pertolongan Tuhan bagaimana ia seharusnya menggunakan segala kurnia itu demi kebaikan dan kesejahteraan makhluk yang menjadi rakyatnya. Suara semut menyedarkannya agar kesibukan mengurus persoalan-persoalan besar kenegaraan tidak melalaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat kecil yang terpencil. Melihat makhluk kecil dan lemah yang memerlukan belas kasihan menginsafkan dirinya betapa kerdilnya ia di hadapan Allah, dan betapa perlunya ia kepada rahmat-Nya. Timbunan kurnia yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa selainnya, tidak menenggelamkannya dalam kemabukan glamour. Yang diinginkan adalah pengabdian yang mendapat keredhaan Ilahi dan khidmat kenegaraan yang bernilai amal salih. Pemerintahannya tidak hanya rancak dengan projek pembangunan fizikal-material, tetapi juga bersemarak dengan syi`ar dan amal pengabdian kepada Tuhan. Demikianlah pengabadian sebuah keunikan pada kepimpinan rabbani, bahawa kuasa dan harta tidak memadam nyala sebuah idealime imani - menjadi hamba Allah yang salih. Dato' Dr Siddiq FadzilPresiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) |
Pendidikan percuma dasar bersama Pakatan, kata Rafizi Posted: 23 May 2012 08:57 AM PDT "Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri lebih tegas dalam hal ini dan menyokong apa yang di sebut dalam kitab tulisan Ibnu Khaldun bahawa pendidikan adalah pelaburan. "Hasil daripada pendidikan percuma yang diberikan itu akan memberi imbuhan baik kepada negara," katan beliau ketika menjawab soalan bahawa dasar pendidikan percuma tidak ditekankan dalam buku jingga dan peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1997 ketika PTPTN mula-mula diperkenalkan. Rafizi berkata, ketika Anwar menyokong skim itu pada 1997, beliau masih berada dalam Kabinet di mana keputusan dibuat perlu mendapat persetujuan semua. "Ketika itu peranan dimainkan PTPTN bukan seperti sekarang, ia dilaksanakan untuk membantu pelajar layak yang tidak mampu untuk ke universiti, bukan untuk menyemarakkan pertumbuhan institusi pendidikan swasta seperti sekarang," katanya dalam Debat Sinar Harian mengenai PTPTN di sini, malam tadi. Menjawab soalan mengenai cukai tinggi yang terpaksa dibayar oleh rakyat di negara maju yang mengamalkan pendidikan percuma, Rafizi berkata, cukai dikenakan bagi pendapatan RM200,000 di negara ini lebih tinggi berbanding di negara berkenaan. "Saya telah pergi ke Finland sendiri untuk mengkaji mengenainya, di Malaysia, kita kenakan cukai 26 peratus sementara di Finland mereka hanya kenakan cukai 21.5 peratus, lebih rendah lagi. "Mereka kata cukai dikenakan di negara-negara Skandanavia ini tinggi, hakikatnya mereka tidak semak dahulu dengan negara itu sendiri," katanya. Beliau turut menegaskan Malaysia tidak mengutamakan pendidikan sebaliknya mengutamakan pembangunan negara berbanding yang dilakukan negara-negara Skandinavia seperti Finland, Denmark dan Norway. "Turki juga boleh beri pendidikan percuma kepada rakyat kerana mereka mengagihkan kekayaan negara untuk pendidikan. "Masalah kita di Malaysia, keutamaan diberi kepada projek-projek besar," katanya. Source: http://www.sinarharian.com.my/politik/pendidikan-percuma-dasar-bersama-pakatan-kata-rafizi-1.50202 |
PAS akan demo depan NST isu 'bapa kafir' Posted: 23 May 2012 08:52 AM PDT emuda PAS akan mengadakan demonstrasi depan ibu pejabat New Straits Times (NST) di ibu negara pada Jumaat ini ekoran penyiaran laporan yang menggelar mursyidul am mereka Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai "bapa kafir". Setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil (kanan) berkata, dewan itu telah berjumpa dan meminta NST menarik balik dan memohon maaf atas laporan itu tetapi akhbar itu didakwa masih berdegil berbuat demikian. "Setiap ahli PAS diminta untuk hadir bagi menyatakan bantahan terhadap kebiadapan kenyataan New Straits Times iaitu (berkaitan laporan) 'Nik Aziz is father of kafir' (Nik Aziz bapa kafir) dan juga kedegilan mereka untuk memohon maaf," katanya. Pemuda PAS pada 14 Mei lalu menyerahkan memorandum bantahan kepada NST dan memberikan tempoh 24 jam kepada akhbar itu supaya memohon maaf atau mereka akan mengambil tindakan yang lebih keras. Dalam kenyataannya hari ini, Khairul Faizi berkata, demonstasi itu akan diadakan selepas solat Jumaat di balai berita NST di Bangsar. Pemimpin muda PAS itu juga berkata, pihaknya juga minggu lepas telah mengarahkan demonstrasi di peringkat negeri-negeri dilakukan sebagai tanda tidak puas hati mereka. NST sebelum ini memetik bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor sebagai menyifatkan Nik Aziz sebagai bapa kafir yang didakwanya cuba memesong orang Islam bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 tanggungjawab agama. Susulan itu, PAS turut mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap Rahim dan harian berbahasa Inggeris itu. Source: http://malaysiakini.com/news/198773 |
You are subscribed to email updates from Ustaz Yusof Embong (UYE) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan