Isnin, 2 April 2012

Khalid Samad

Khalid Samad


Pilihan Raya Ke-13 Yang Menjelang

Posted: 01 Apr 2012 08:38 PM PDT

Sudah lama saya tidak sempat mengemaskini blog saya ini. Ini adalah kerana terlalu sibuk dengan ceramah yang diadakan hampir setiap malam. Jemputan untuk berceramah semakin meningkat dan ini adalah disebabkan saya telah 'dipopularkan' oleh Hassan Ali. Malangnya, apabila sibuk berceramah, saya tidak berpeluang untuk menulis.

Hari ini, Alhamdulillah, ada sedikit ruang. Saya teringat peristiwa di Parlimen pada minggu lalu semasa Timbalan Menteri Luar Negara menimbulkan kembali isu kononnya sokongan DSAI terhadap Israel. Beliau membaca teks yang disediakan, termasuk dakwaan bahawa apabila DSAI mengutamakan keselamatan Israel, maka ini bererti menyokong dan redha dengan pembunuhan rakyat Palestine!

Sepertimana saya sebutkan dahulu, ini merupakan bukti betapa BN terdesak dalam usaha mencari isu untuk menyerang PR. Sehingga satu ayat, malahan sebahagian dari satu ayat yang datang dari kesulurahan rencana tersebut, dijaja dan ditonjolkan sebagai bukti bahawa DSAI pro-Israel. Bukan setakat pro-Israel, malahan sokong pembunuhan rakyat Palestine demi keselamatan Israel. Tuduhan tuduhan yang ekstrim seperti itu adalah apa yang dikatakan sebagai 'over-kill' atau keterlaluan dan ianya akan memukul BN kembali, insyaAllah. Ini adalah kerana rakyat akan mula sedar bahawa BN menipu dan memfitnah tanpa rasa bersalah.

Keadaan terdesak BN mencari isu untuk menyerang PR adalah hasil dari prestasi pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri di bawah pentadbiran PR yang begitu menyerlah dari segi ketelusan dan bebas rasuah. Benar, kita tidak menganggap pentadbiran dan pengurusan kerajaan di bawah PR semuanya betul tanpa adanya kelemahan atau kekurangan. Namun ianya bebas dari rasuah dan penyelewengan!

BN ingin menyebut bahawa Selangor, Penang, Kedah dan Kelantan korup dan penuh penyelewengan tetapi setiap usaha untuk membongkar penyelewengan telah gagal untuk menghasilkan bukti adanya penyelewengan tersebut. Sebaliknya, pada masa yang sama, terbongkar satu persatu penyelewengan dan korupsi di pihak UMNO/BN seperti NFC dan pelupusan hutang Tajuddin Ramli. Dua kes ini sahaja telah mencecah hampir RM 900 juta wang rakyat yang terbuang hasil penyelewengan dan pilih kasih BN.

Saya boleh rumuskan dengan mudah bahawa sekiranya isu DSAI dan Israel adalah peluru terakhir BN dalam menghadapi PRU ke 13, maka PR akan berhadapan dengan laluan mudah dalam PRU ini dalam soal menjawab serangan BN. Oleh itu usaha penipuan di peringkat daftar pemilih sudah pasti akan menjadi usaha tumpuan BN. Dan ini jugalah apa yang ingin dibahaskan oleh Ahli Parlimen PR pada pagi 29 Mac 2012. Malangnya Menteri Dalam JPM, iaitu YB Nazri menjawab dengan mudah bahawa SPR menafikan segala dakwaan adanya penyelewengan dan menerima jawapan dari SPR sebagai muktamad. Apabila terus diasak, maka disebut bahawa beliau akan mengaturkan pertemuan di antara SPR dan Ahli Parlimen PR dengan kehadiran bersama dirinya.

Pada dasarnya saya melihat JPN dan SPR sebagai talian hayat utama BN dalam PRU ke-13 akan datang. Dari segi isu, BN kalah. Dari segi prestasi, BN jauh ketinggalan. Yang tinggal hanya JPN dan SPR, dua badan yang mampu mengubahkan kekalahan kepada kemenangan bagi pihak BN. Jawatankuasa Pilihan Parlimen (JPP) berhubung SPR dan PRU ke-13 akan membentangkan laporannya minggu ini. Desas-desus yang kedengaran kurang meyakinkan tetapi kita akan tunggu dan dengar apa yang akan dibentangkan nanti.

Adakah benar bahawa BN akan sanggup menerima penolakan rakyat terhadap kepimpinan mereka dan membenarkan rakyat menukar kerajaan BN dengan kerajaan PR di peringkat Pusat? Kita tunggu jawapannya apabila laporan JPP dibentangkan nanti.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Lawatan ke TTDI Jaya dan Seksyen 19

Posted: 01 Apr 2012 08:35 PM PDT

Saya telah meninggalkan Parlimen agak awal pada 28 Mac kerana terdapat program yang disusun di TTDI Jaya dan Seksyen 19 oleh pihak Masjid I'tiSam di TTDI Jaya dan pihak YB Rodziah di Seksyen 19. Kebelakangan ini sesi Parlimen memang terlalu panjang, setiap hari, kecuali hari Khamis malam Jumaat, sesi berakhir pada waktu malam tidak lagi pada jam 5.30 petang seperti dulu. Ia menjadikan diri saya kadang-kala serba salah kerana program kawasan bersama penduduk perlu juga dihadiri dan sesi Parlimen juga adalah penting.

Oleh kerana saya telah berjanji terlebih dahulu, maka saya turun ke kawasan, bermaghrib di pejabat saya di Shah Alam dan terus ke Masjid TTDI Jaya untuk bersolat Isya. Sebelum masuk waktu Isya, saya diminta memberi ucapan ringkas berhubung dengan pemilihan AJK Masjid yang bakal diadakan. Pesanan saya kepada ahli Qariah ialah untuk memilih mereka yang akan memakmurkan Masjid. Masjid hendaklah dijadikan pusat ilmu dan pembentukkan ummat dan bukan hanya sekadar tempat untuk sembahyang dan ibadah khususiyyah.

Setelah berucap saya telah solat isya berjemaah di Masjid Al-I'tisam dan selepas itu saya dibawa ke pejabat salah seorang AJK Masjid untuk diberikan pehnjelasan berhubung projek Kompleks Islam Al-I'tisam (KIAI) di mana saya diminta berusaha untuk mendapatkan bajet dari kerajaan Selangor untuk menjayakan projek tersebut.

Seterusnya saya telah ke Seksyen 19 untuk bertemu penduduk di Seksyen 19 di kawasan berhampiran dengan Kuil Hindu yang telahpun dipindahkan ke Seksyen 23. Penduduk berkumpul untuk menyatakan ucapan terima kasih atas kejayaan memindahkan Kuil berkenaan. Pada masa yang sama, mereka juga menyatakan ucapan terima kasih atas kerja-kerja membaik-pulih Masjid Ubudiyyah yang bocor semenjak pembinaannya.

Perbincangan diadakan dengan penduduk yang hadir di mana beberapa soalan telahpun diajukan dan dijawab. Akhirnya penduduk mencadangkan supaya pertemuan sebegini diadakan dengan lebih kerap lagi, mungkin pada setiap 3 bulan atau sebagainya.

Perbahasan di Parlimen malangnya tidak dapat saya hadiri dan malangnya, pada ketika itu, Menteri Kewangan sedang menjawab soalan saya berhubung CCF di antara MAS dan Air Asia. Saya tidak dapat hadir untuk menyoal beliau tetapi saya difahamkan bahawa jawapan beliau tidak begitu serius atau bersungguh-sungguh. Saya akan baca handsard dan memberi respon selepas itu.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang