:: cina islam | 2011 :: |
- Suu Kyi rancang pulau sidang Parlimen
- 12,500 pelarian Syria berlindung di Jordan - PBB
- Britain dedah fail zaman penjajahan
- Wanita Jepun mati dibaham beruang terlepas kurungan
- 110 mayat nahas pesawat Boeing 737 ditemui
- Gempa bumi kuat gegar Sumatera Utara
Suu Kyi rancang pulau sidang Parlimen Posted: 20 Apr 2012 10:14 PM PDT 29 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - YANGON 20 April - Pemimpin pembangkang Myanmar, Aung San Suu Kyi dan beberapa anggota parti pimpinannya yang baru dipilih ke Parlimen merancang memulaukan sidang Parlimen pada minggu depan kerana membantah satu perkataan dalam ikrar angkat sumpah. Boikot itu menandakan perbalahan serius pertama antara parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) dengan kerajaan propembaharuan sejak berlangsungnya pilihan raya kecil di negara ini pada 1 April lalu yang menyaksikan pejuang prodemokrasi itu buat pertama kali dipilih ke Parlimen. NLD mengumumkan pemulauan itu, hari ini selepas pihak berkuasa menolak rayuannya supaya meminda satu perkataan dalam ikrar angkat sumpah daripada 'melindungi' kepada 'menghormati' Perlembagaan yang digubal oleh bekas junta tentera negara ini. Jurucakap NLD, Nyan Win berkata, partinya akan menulis surat kepada pejabat Presiden bagi meminta pihak berkuasa menimbangkan semula keputusan tersebut, tetapi penyelesaian pertikaian itu tidak mungkin dicapai sebelum Parlimen mula bersidang pada Isnin ini. "Hari ini 20 April, kerana itu saya tidak melihat kemungkinan perkara ini sempat diselesaikan," katanya. Presiden Thein Sein buat masa ini dalam lawatan ke Jepun. Suu Kyi dan anggota Parlimen lain daripada NLD telah dijemput untuk mengambil kerusi masing-masing di dewan rendah pada Isnin depan berikutan kemenangan besar partinya dalam pilihan raya kecil itu, dengan memenangi 43 daripada 44 kerusi yang dipertandingkan. Pemenang Hadiah Keamanan Nobel itu telah berkata, antara agenda utama beliau di Parlimen ialah menggesa supaya Perlembagaan 2008 dipinda kerana di bawah Perlembagaan itu, 25 peratus kerusi dewan dikhaskan untuk pegawai tentera yang tidak dipilih. Ahli Parlimen baru NLD melihat ikrar angkat sumpah itu dalam bentuknya sekarang sebagai halangan dalam agenda untuk meminda Perlembagaan dan memainkan peranan berkesan di Parlimen yang dikuasai oleh tentera dan sekutunya. - AFP |
12,500 pelarian Syria berlindung di Jordan - PBB Posted: 20 Apr 2012 10:00 PM PDT 29 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - AMMAN 20 April - Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam melaporkan jumlah pelarian Syria yang mendapatkan perlindungan di Jordan kini hampir 12,500 orang pada bulan ini. Suruhanjaya Tinggi PBB Bagi Orang Pelarian (UNHCR) dalam laman webnya berkata, jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat. "Kerajaan Jordan dan UNHCR percaya masih terdapat berpuluh-puluh ribu rakyat Syria yang terdedah kepada bahaya di negara bergolak itu," katanya. - AFP |
Britain dedah fail zaman penjajahan Posted: 20 Apr 2012 09:58 PM PDT 29 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - LONDON 19 April - Britain semalam mula menyiarkan beribu-ribu fail sulit dari zaman penjajahannya, termasuk sebuah fail yang menyatakan nama bapa Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan sebuah lagi yang memberi amaran mengenai pelajar 'antikulit putih' Kenya di AS. Fail-fail tersebut, yang kewujudannya baru didedahkan tahun lepas, meliputi pelbagai tempoh kontroversi dalam sejarah selepas kejatuhan empayar Britain termasuk pemberontakan puak Mau Mau di Kenya dan zaman darurat di Tanah Melayu pada 1950-an dan 1960-an. Pihak berkuasa Britain membawa dokumen itu balik ke London pada waktu kemerdekaan negara-negara berkenaan kerana kandungannya sensitif, malah mereka pernah merancang untuk membakar sesetengah fail sulit itu. Jabatan Luar hanya mengaku menyimpan dokumen tersebut pada Januari 2011 apabila empat warga emas Kenya memfailkan saman terhadap kerajaan Britain berhubung penderaan yang didakwa mereka alami di kem tahanan Britain. Sejumlah 8,800 fail itu disiarkan dalam enam peringkat mulai semalam oleh Arkib Negara Britain dan berakhir pada November 2013. Bapa Obama dinyatakan sebagai 'OBAMA, Barrack H' dalam senarai pelajar Kenya di AS yang disediakan oleh pegawai Britain, lapor media Britain. Beliau mendaftar sebagai pelajar di Universiti Hawaii pada 1959 dan berkahwin dengan Anne Dunham pada 1961, dan anak mereka lahir pada akhir tahun itu. Satu memo yang dihantar oleh seorang diplomat Britain di Washington ke London pada 1959 melahirkan kebimbangan mengenai pelajar Kenya di AS, yang dikatakan mempunyai reputasi buruk di AS kerana terjebak dengan pengaruh negatif dan kerana bersikap anti-Amerika dan antikulit putih, lapor Daily Mail. Dokumen lain mengandungi keterangan mengenai dasar penjajah Britain merampas ternakan penduduk yang disyaki membantu pemberontak Mau Mau di Kenya pada 1950-1962, dalam konflik yang meragut lebih 10,000 nyawa. Pegawai arkib berkata, dokumen yang dipercayai hilang termasuk fail mengenai pembunuhan beramai-ramai di Batang Kali, Tanah Melayu pada 1948 apabila 24 pekerja ladang getah yang tidak bersenjata ditembak mati oleh askar Britain dalam satu operasi membanteras komunis. - AFP |
Wanita Jepun mati dibaham beruang terlepas kurungan Posted: 20 Apr 2012 09:55 PM PDT 29 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - TOKYO 21 April - Sekurang-kurangnya dua wanita terbunuh selepas seekor beruang terlepas dari kurungan di sebuah taman di utara jepun hari ini, lapor media tempatan. Dalam kejadian tersebut, pekerja wanita yang berusia 70 tahun meninggal dunia selepas dibaham binatang buas tersebut, manakala rakannya pula yang berumur 60 tahun ditemui mati selepas beberapa jam hilang. Taman yang terletak di wilayah Akita itu membela kira-kira 38 ekor beruang, lima yang dilaporkan terlepas dari kandang manakala enam lagi ditembak oleh pemburu di kawasan tersebut. - dpa |
110 mayat nahas pesawat Boeing 737 ditemui Posted: 20 Apr 2012 09:51 PM PDT 29 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - HUSSAIN ABAD, Pakistan 21 April - Sebanyak 110 mayat mangsa sebuah pesawat Boeing 737 yang terhempas dalam cuaca buruk sebelum sempat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Islamabad ditemui, lewat malam tadi. Brigedier Sarfraz Ali yang mengepalai siasatan nahas tersebut berkata, kebanyakannya sukar dikenal pasti berikutan keadaan pesawat yang hangus. "Sisa pesawat bertaburan sehingga dua kilometer radius dan pasukan penyelamat terpaksa bekerja sepanjang malam tadi," katanya. Pesawat milik The Bhoja Air itu melakukan penerbangan dari Karachi, dengan membawa penumpang berjumlah 127, termasuk enam anak kapal, yang kesemuanya dikhuatiri terbunuh. - AFP |
Gempa bumi kuat gegar Sumatera Utara Posted: 20 Apr 2012 09:38 PM PDT 29 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Gempa bumi dengan kekuatan 6.3 pada skala Richter melanda pantai barat Sumatera Utara, Indonesia pada jam 7.14 pagi ini. Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini melaporkan pusat gempa itu terletak di 296 kilometer barat daya Simeulue, Indonesia dan 790 kilometer di barat daya Kampar, Perak. Menurut jabatan itu, gegaran mungkin dirasai di Pulau Pinang, Kedah, Langkawi, Perlis dan Selangor susulan kejadian gempa itu. Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dilaporkan. Jurucakap bomba negeri terbabit ketika dihubungi pula berkata, mereka tidak menerima sebarang panggilan kecemasan daripada penduduk. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2012 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan