Rabu, 21 Mac 2012

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Ucapan saya di Parlimen pada 15 Mac 2012

Posted: 20 Mar 2012 06:03 PM PDT

Assalamualaikum warrahmatullaahi wabarakaatuh dan salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-ahli Dewan sekalian dan Tuan Yang diPertua, saya menjunjung kasih Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong sewaktu pembukaan Mesyuarat Parlimen Pertama untuk penggal kelima pada Isnin yang lalu. Saya mengucapkan terima kasih bagi pihak Lembah Pantai kerana memberikan peluang untuk turut serta. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah di kesempatan ini ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 buat kali kedua sekali gus menerajui payung negara Malaysia.

Jelas inti pati ucapan Yang di-Pertuan Agong bertumpu kepada kesatuan rakyat amat diperlukan di dalam sentiasa memelihara, melindungi serta mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dalam menjayakan agenda pembangunan termasuk Tuan Yang di-Pertua, Dasar Reformasi Negara.

Saya bertitik tolak daripada teras ini menghuraikan dasar beberapa dasar yang memandang ke hadapan yang penting bagi kita membentangkan satu kerangka agenda politik dan pembangunan negara yang mengatasi segala isu yang bertambah semakin bertambah dari hari ke hari daripada rasuah, salah guna kuasa, kapitalisme kroni, hasutan perkauman, sekejap umum kemudian tarik balik dasar-dasar penting dan kepincangan urus tadbir kerajaan yang sudah disuarakan di Dewan yang mulia ini. Sudah tiba masanya untuk kita melihatkan perbezaan antara gambaran besar hala tuju masa hadapan negara di bawah Barisan Nasional berbanding dengan Pakatan rakyat.

Tuan Yang di-Pertua, agenda utama saya di Parlimen adalah untuk memulihkan demokrasi. Apa yang saya lancarkan pada 23 Disember 2010, bermula dengan cubaan untuk mencadangkan satu rang undang-undang ahli persendirian bertajuk, "Akta Pemansuhan Darurat" pada bulan Mac 2011. Malangnya ditolak oleh Dewan yang mulia ini. Namun tujuh bulan selepasnya iaitu pada November 2011, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri membentangkan usul yang sama yang diluluskan oleh Dewan Negara pada Disember lalu.

Sekurang-kurangnya idea dan peranan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat diiktiraf oleh Perdana Menteri menerusi pemansuhan yang diumumkan dan ini adalah perkembangan yang baik. Tuan Yang diPertua, saya ambil maklum hasrat Perdana Menteri pada 16 September untuk meminda beberapa akta seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan juga Akta Keselamatan Dalam Negeri yang malangnya akan digantikan dengan rang undang-undang yang baru tetapi kita masih lagi menantikan draf yang belum lagi disiapkan oleh Pejabat Peguam Negara. Maka buat kali ini, sesi ini, saya bersama dengan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang lainnya komited dan membentangkan tiga cadangan awal untuk Rang Undang-undang Ahli Persendirian.

Pertama, pindaan kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 supaya kuasa Perdana Menteri ke atas Petronas dibataskan dan Petronas wajib membentangkan akaun perbelanjaan tahunan di Parlimen yang menjamin. Insya-Allah, ketelusan dan penggunaan khazanah bumi terhad di Malaysia secara seimbang dengan mengutamakan rakyat. Kedua, memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 agar akta draconian yang lapuk ini dimansuhkan, memastikan ada suasana bagi media dapat bercambah secara bebas dan adil menjalankan tugasnya sebagai pelapor berita dan saluran maklumat yang seimbang bagi semua parti. Rakyat mahukan laporan yang menjana budaya ilmu dan maklumat bukannya fitnah dan kepalsuan propaganda. Ketiga, Akta Perlembagaan (Pindaan) 2012 bagi Artikel I ataupun Perkara 121 walau saya dapat jawapan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyatakan pendirian kerajaan tidak perlu dilaksanakan pindaan kerana Malaysia mempraktikkan pengasingan kuasa antara badan kehakiman, eksekutif dan perundangan.

Jadi pada saya, yang paling penting adalah pelaksanaan kepada pendirian ini kerana kita tahu VK Lingam misalannya masih lagi bebas di bumi Malaysia kerana walau tindak tanduk beliau dalam Suruhanjaya Diraja ke atas tape VK Lingam itu memang salah, bertentangan dengan kod etika kehakiman, malangnya ianya tidak boleh dibawa ke mahkamah kerana non binding pada ketika itu. Jadi, perkara-perkara ini yang perlu dilaksanakan bagi memberikan makna nafas baru kepada janji-janji kerajaan. Tuan Yang di-Pertua, sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai, saya hendak sebut juga di sini bahawa bukan sahaja pimpinan pembangkang, aktivis sosial dan sebagainya tetapi bekas Ketua Hakim Negara juga mengakui kepada umum bahawa mahkamah-mahkamah Malaysia hari ini telah akur kepada kehendak ahli-ahli politik dalam cabang eksekutif kerajaan dan ia berpunca daripada Tun Dr. Mahathir Mohamed.

Jadi, saya perlu kepastian, jawapan yang jelas daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, apakah yang mahu dilaksanakan bagi memberi makna kepada semua janji-janji Perdana Menteri. Tuan Yang di-Pertua, saya juga sedar bahawa saranan Titah Baginda agar kita semua memelihara keluhuran perlembagaan. Ini memerlukan fungsi Parlimen yang lebih bermakna dan berkesan demi memberikan manfaat sepenuhnya kepada rakyat selaku wakil-wakil rakyat. Pada hemat saya, satu reformasi urusan Parlimen mesti dilaksanakan dengan fokus pewujudan jawatankuasa tetap utama Parlimen di dalam bidang-bidang asas yang akan membuka ruang dan peluang bagi semua wakil rakyat daripada pihak kerajaan dan juga pembangkang menjalankan tugas memantau over side dalam merangka dan juga dalam pelaksanaan dasar.

Kedua, mengadakan sesi mingguan soal jawab Perdana Menteri. The Prime Minister weekly question's time, dengan izin, yang memberikan peluang sepenuh mungkin untuk menyoal Perdana Menteri secara terus perihal perkara-perkara yang berkait dengan isu kenegaraan dan kerajaan. Lebihlebih lagi apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri masih lagi belum bersedia berdebat dengan Ketua Pembangkang mengenai dasar-dasar politik dan ekonomi yang ditawarkan bagi penilaian rakyat dengan bijak. Saya ambil maklum kenyataan atau ucapan daripada Yang Berhormat dari Silam yang menyatakan orang muda, generasi muda lebih kritikal. Mereka mahukan dan daripada keputusan polling daripada Merdeka Centre, mereka mahukan debat ini berlangsung supaya sekurang-kurangnya kita lari daripada politik fitnah dan kembali kepada isu-isu berkisar tentang rakyat.

Di sini saya juga perlu menyentuh harapan tinggi rakyat yang diletakkan atas usaha penambahbaikan sistem pilihan raya. Yang membimbangkan saya dan saya pinta jawapan jelas apabila Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengutarakan kemungkinan bukan semua janji ataupun langkah-langkah rekomendasi yang diputuskan dalam laporan awal interim jawatankuasa tersebut sempat dilaksanakan sebelum Pilihanraya Umum Ke-13. Pada saya, ini jauh menyimpang daripada tugasan atau objektif asal. Seingat saya dalam sesi lepas, semua Ahli Parlimen berjanji mempersetujui rekomendasi-rekomendasi tersebut termasuklah ayat akhir bahawa kesemua tuntutan rekomendasi ini wajib terlaksana sebelum Pilihanraya Umum Ke-13 dibuat. Jadi, perkara-perkara ini amat membimbangkan rakyat.

Kita pegang, inilah badan legislatif tertinggi di bumi Malaysia ini. Seharusnya inilah jadi kata putus, "Menggenggam bara biarlah sampai menjadi abu." Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh isu peluang kehidupan yang lebih baik buat rakyat yang perlu dipertingkatkan dan saya ambil maklum kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang mengumumkan, memetik selepas Perdana Menteri, yang kali kedua, Skim Pembiayaan Khas Pemilikan PPR-PA dengan dana KWSP. Yang malang di sini adalah pertama, penggunaan dana KWSP. Itu saya akan sentuh kemudian. Yang pertamanya, kadar faedah 6.5% yang dikenakan kepada orang miskin Tuan Yang diPertua. Saya nampak semalam Menteri ambil gambar saya dengan leaflet saya yang menyatakan kami daripada Pakatan Rakyat sokong mana-mana skim pinjaman yang membantu warga yang berpendapatan rendah.

Malangnya saya fikir dia tidak baca secara keseluruhan kerana di dalam itu kita jelaskan bahawa kadar faedah 6.5% yang disarankan terlalu tinggi. Saya pun tidak tahulah macam mana Menteri membuat kajian kerana pada saya, bila kita minta agar dikurangkan pada kadar faedah 2% ala projek NFC yang diberikan kepada suami Menteri memang kadar 2% nilainya RM250 juta. Tentunya tidak ada salah kita nak bagi kepada orang miskin yang telah disasarkan oleh kerajaan sendiri, ini bukan kata-kata kami. Mereka yang gaji RM1,000 ke bawah sebulan, ada yang sesetengahnya tidak ada gaji pendapatan, takkan tak boleh dikurangkan kadar faedah ini? Jawab Menteri yang sangat malang dan mengecewakan saya adalah kalau pun dikurangkan daripada 6.5% kepada 2.5% hanya RM82 sahaja dikurangkan.

Jangan sampai slogan kegemaran Perdana Menteri di momok hingga menjadi "Keuntungan Diutamakan, Rakyat Dibebankan." RM82 itu sangat tinggi nilainya bagi warga-warga PPR. Mungkin Menteri tidak sedar kerana apa pun ada sewa. Sewanya selalu sebulan RM124, kalau tambahan RM82 ini amat membebankan khusus bagi mereka yang tinggal di kota Kuala Lumpur. Saya agak bimbang juga kerana penjelasan yang sebenar-benarnya, sebaik mungkin tidak diberikan. Dikatakan pada hari ini dana KWSP RM1.5 bilion bukan sahaja untuk menampung pembelian rumah yang sedia ada tetapi untuk binaan unit-unit PPR yang baru.

Jadi pada saya, ini amat membimbangkan kerana dikatakan DBKL tidak meminta duit kerajaan untuk mengelak politik. Saya pun tidak mendapat makluman yang jelas Tuan Yang di-Pertua. Semasa kami, Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat pergi melawat pejabat KWSP, sekurang-kurangnya kami ditemui oleh pimpinan yang agak tinggi, memberi penjelasan. Itu yang penting. Kita mahukan penjelasan kerana ini berkisar tentang penggunaan dana simpanan pekerja dan tidak mahu digunakan duit DBKL.

Skim hanyalah untuk dengan izin liquidation exercise dan disebut lagi apabila jual rumah mahukan cash in hand untuk membina banyak lagi rumah kos rendah. Isu yang mengelirukan saya dana simpanan DBKL adalah RM1.4 bilion. Bukankah ini cash in hand yang mencukupi? Jadi banyak persoalan yang tidak terjawab dan pada saya, saya pinta juga Menteri agar menyahut debat yang beliau tawarkan pada awalan sama ada beliau bersedia untuk kita fikirkan skim kadar faedah yang terbaik bagi warga PPR.

Pada hari Tuan Yang di-Pertua, yang membimbangkan saya juga Menteri mengumumkan RM3.26 juta melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk kerja menaik taraf dan pelebaran jalan Pantai Permai di kawasan Pantai Dalam di Kuala Lumpur. Saya mengucapkan terima kasih kerana semua ini projek untuk Lembah Pantai. Alhamdulillah ada perbezaan besar apabila Ahli Parlimen dari pembangkang.

Akan tetapi saya ingin mendapat penjelasan yang lebih lanjut siapakah yang mendapat tender negara kerja-kerja menaik taraf ini? Apakah tender diberikan secara terus ataupun terbuka? Saya bangkitkan satu klausa di bawah Akta Datuk Bandaraya Kuala Lumpur di mana klausa 4, Datuk Bandar Kuala Lumpur tidak terikat untuk menerima tawaran paling rendah atau mana-mana tawaran jua pun. Jadi sememangnya kuasa penuh diberikan tanpa batasan kepada Datuk Bandar untuk menentukan siapakah yang akan mendapat sesuatu tender.

Tidak kisah harga tawaran tinggi ataupun rendah dan ini sememangnya membuka ruang untuk salah laku berlaku. Contoh terbaik Tuan Yang di-Pertua apabila kita bercakap tentang belanjawan tahun lepas kerana Titah Baginda juga menyebut target, sasaran 5% defisit telah dicapai. Satu peningkatan, satu achievement yang amat baik. Saya tidak menolak. Hanya daripada paten atau corak penggunaan dana KWSP ini menimbulkan tanda tanya adakah ini cubaan untuk menyembunyikan defisit yang sedia ada.

Tuan Yang di-Pertua, apabila diteliti angka 5% ini ia tidak mengambil tambahan perbelanjaanperbelanjaan lain yang disebut sebagai kontinjen liabilities. Saya bagi penjelasan di sini kenapa. Ini penting kerana untuk melihat atau mempamerkan our financial health negara kita, kita perlu mengambil kira kesemua perbelanjaan ataupun tanggungan risiko yang diambil oleh kerajaan. Contohnya apabila bercakap tentang tiga projek. Saya ambil tiga projek sahaja Tuan Yang di-Pertua. Pertama Projek MRT Lembah Kelang. Pembinaannya bermula dijangka menelan belanja RM53 bilion. Satu rekod yang tidak diperuntukkan, tidak dimasukkan dalam Bajet 2012. This is RM53 bilion Tuan Yang di-Pertua, sangat tinggi dengan izin. Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang dijangka belanja RM20 bilion dan kontrak bernilai berbilion ringgit telah diberikan. Langsung tidak dimasukkan.

Perbelanjaan tersebut juga tidak disertakan ke dalam belanjawan kerana dijangka akan dibiayai oleh pinjaman dinamakan Dana Infra Sdn. Bhd. Syarikat ini dimiliki oleh Kementerian Kewangan dan merupakan special purpose vehicle yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan. Saya ambil daripada contoh sejarah di Malaysia ini, kalau apa-apa special purpose vehicle yang dapat jaminan daripada Kerajaan Persekutuan kalau bankrap tentunya diambil alih dan dibiayai oleh kerajaan. Jadi ini seharusnya dimasukkan ke dalam perencanaan atau perkiraan defisit kita supaya kita tahu apakah bebanan yang bakal ditanggung oleh generasi masa hadapan. Daripada Bloomberg disebut pada 15 Februari lalu: "The sale of the bonds will help satisfy demand among insurers and banks for longermaturity debt after companies in Malaysia issued a record RM75.6 billion of sukuk last year, with 88 percent due in less than ten years, according to data compiled by Bloomberg. Other local firms may also need to raise funds as part of a government-backed USD444 billion plan to build railways, roads and power plants over the next decade".

Jadi pada saya ini wajib dijelaskan oleh kerajaan. Kalau tidak ada apa yang mahu disembunyikan. Maklum pada kita berapakah kontinjen liabiliti ini. Saya bukan pakar ekonomi, tetapi apa pun ini seharusnya dijelaskan supaya kita dapat buat perancangan yang berhemah supaya kita sendiri tahu bagaimanakah keadaan kewangan kita, dapat kita perbaiki seterusnya.

Ketiga, Syarikat Infrastruktur Bhd. sebuah lagi syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan telah dianugerahkan kontrak bernilai RM6.5 bilion untuk projek tambahan laluan LRT sejak tahun lalu tidak dimasukkan atau diperuntukkan dalam Belanjawan 2012 kerana itu kita dapat mencapai sasaran 5% dan yang terakhir projek ini dimiliki oleh anak syarikat dimiliki oleh kerajaan pembinaan BLT diberikan pembiayaan RM10 bilion dijamin oleh Kerajaan Persekutuan untuk membina 74 balai polis yang kemudian akan dipajak semula kepada kerajaan.

Sekali lagi tidak dimasukkan, tidak diperuntukkan dalam Belanjawan 2012 Kerajaan Persekutuan. Jadi tentunya pada hemat ramai, para pengkritik, penganalisa dan juga pemantau satu-satunya sebab mengapa kerajaan berjaya mengurangkan defisit adalah kerana perbelanjaan dizahirkan kepada agensiagensi pemilikan penuh atau pemilikan majoriti kerajaan yang dilaporkan menerusi off balance sheet yang pada saya tidak bertanggungjawab menyebabkan liabiliti luar jangkaan Malaysia atau dana yang dijamin oleh kerajaan meningkat daripada RM84.3 bilion tahun 2009 kepada RM96.9 bilion tahun 2010. Tahun 2011 tentunya lebih daripada RM100 bilion. Jadi pada saya, kita gesa saya gesa kerajaan mendedahkan jumlah liabiliti supaya rakyat tidak disajikan dengan maklumat yang menyimpang daripada kebenaran.

Tuan Yang di-Pertua, pelbagai janji telah ditabur oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sejak dahulu sampai sekarang apabila dia ambil alih konsep wasatiyyah. Saya hanya ingin sebut sehingga ini tidak ada kenyataan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mahupun pimpinan tertinggi Barisan Nasional dan UMNO yang mengecam serangan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang dan juga Yang Berhormat Bagan, diserang habis-habisan dalam serangan Perhimpunan Hijau di Pulau Pinang. Antaranya oleh anggota Perkasa dan kita tahu mereka ini diberikan dukungan dalam programprogram perasmian yang hadirnya siapa? Mereka yang Bekas Perdana Menteri, Timbalan Menteri Kewangan, Timbalan Menteri Perdagangan termasuk juga Menteri Wilayah Persekutuan. Pergi lancar, rasmi program di Lembah Pantai, Perkasa di Lembah Pantai. Jadi tentunya sekurang-kurangnya mesej itu kena keluar daripada mulut Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Apabila ucapan maaf tidak disertai dengan tindakan begini, pada saya ini membahayakan.

Tuan Yang di-Pertua, saya sendiri diserang di FELDA Lepar Hilir 1 oleh siapa? Memang ahli UMNO yang membantu ADUN di sana kemudian bukan itu sahaja yang diberitahu kepada saya yang dikenal pasti adalah Pengerusi Majlis Belia FELDA Lepar Hilir 2. Pada saya termasuk juga serangan ke atas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ketua Pembangkang. Polis ada bersama di Johor, barangan serangan…

Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Penjelasan.

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Biar saya…

Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Yang Berhormat…

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Ya saya.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Saya hendak tanya sedikit sahaja. Mengenai UMNO serang itu, katanya hendak menyelamatkan Yang Berhormat, itu kenyataan dia. Tolong bagi penjelasan sedikit kepada kawan-kawan saya ini.

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, saya
sebenarnya saya memang terus terang saya katakan kita pun tidak expect, menjangka tindak tanduk yang begitu liar. Saya nampak mata penyerang dan sebagainya meluru ke arah saya. Isunya apa? Isunya perlu ada pendirian, ucapan penegasan jelas daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Kita soalnya apa pun dalam bidang politik ini, politik kita mungkin berlainan warna bendera.

Akan tetapi apa pun, kita ada hak untuk mengutarakan penjelasan, pendirian, prinsip masing-masing. Kalau tidak, tidaklah Malaysia ini dipanggil multi-parti demokrasi. Tuan Yang di-Pertua dan pada saya, budaya samseng ini, sekarang diberikan dukungan oleh pimpinan UMNO. Tidak ada langsung diberikan apa teguran…

Dato’ Shamsul Anuar Nasarah [Lenggong]: Yang Berhormat bagi buktilah Yang Berhormat.

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Tidak, saya nampak semasa di Johor. Di Johor, pihak polis….

Dato’ Shamsul Anuar Nasarah [Lenggong]: Bagi buktilah…, bagi bukti buat laporan polis. Ini bercakap tanpa bukti. Buat tuduhan melulu..

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Biarkan, saya sudah bagi laporan polis. Jelas…

Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli [Kuala Krai]: [Bangun]

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Kejap Yang Berhormat. Kejap sahaja.

Dato’ Shamsul Anuar Nasarah [Lenggong]: Bagi buktilah, buat laporan polis.

Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli [Kuala Krai]: Minta penjelasan..

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Saya sudah buat semua. Inilah masalah tidak baca berita. Pada saya mudah Tuan Yang di-Pertua. Pada saya sekarang ini yang kita minta, nampak di kawasan Johor itu ada arahan atasan. Pihak polis tidak berani bergerak kerana ada arahan atasan. Itu yang kita marah sangat. Saya bagi kepada Yang Berhormat Kuala Krai.

Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Yang Berhormat Lembah Pantai. Saya hendak minta penjelasan sedikit. Yang Berhormat minta kalau boleh pimpinan UMNO menyatakan bantahankah. Akan tetapi ada seorang Menteri itu apabila seorang ADUN di Selangor ditumbuk oleh pemuda-pemuda UMNO, dia kata padan muka siapa suruh masuk kawasan UMNO? Jadi, apakah ini suara-suara yang Yang Berhormat hendak dengar daripada pemimpin-pemimpin UMNO ini?

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih Yang Berhormat. Saya begini Tuan Yang di-Pertua, kerana itu saya pinta hari ini bermula dengan kemaafan, laksanakan mesej itu kena jelas, teguran kena diberi. Tidak boleh Menteri cakap macam itu. Apa pun kita mahu satu suasana yang selamat, budaya yang menghormati satu sama lain. Hendak bergaduh dalam Dewan saya rasa tidak ada masalah tetapi mengikut tatacara, tata corak yang diberikan.

Tuan Yang di-Pertua, saya pergi kepada isu yang seterusnya, minta agar Perdana Menteri menunjukkan contoh yang lebih baik. Kita tidak mahu pengumuman, demi pengumuman demi pengumuman dibuat, akhirnya Perdana Menteri dipanggil bapa pengumuman tetapi pelaksanaannya tidak nampak di peringkat lapangan.

Isu agenda reformasi negara ini amat penting kerana sejak setelah 55 tahun kita merdeka, majoriti 70% daripada golongan bumiputera terus miskin dengan pendapatan bawah RM3,000 sebulan. Majoriti 5.2 juta isi rumah yang memperoleh sumbangan wang rakyat kepada rakyat memang wang kitalah kan, nanti berhutang sebanyak RM500 adalah bumiputera. Ini walaupun dahulu pimpinan termasuk Menteri-menteri UMNO menidakkan target RM3,000 sebulan. Saya masih ingat dalam Dewan mereka mengatakan tidak ada masalah, target sasaran RM3,000 sebulan itu tidak menggambarkan realiti.

Menteri Wilayah sampaikan pada 23 Disember 2010 mengumumkan tidak ada lagi miskin tegar khususnya di Kuala Lumpur. Saya mahu tanya Menteri ambil data daripada mana? Jadi, banyak perubahan diperlukan agar rakyat khususnya generasi muda tidak lagi terperangkap di dalam ekonomi berpendapatan rendah. Tuan Yang di-Pertua cuba fikir dalam skim perumahan terbaru yang diumumkan oleh kerajaan, terlalu gelojoh akhirnya maklumat daripada Bank Negara Malaysia hari ini, daripada 1,062 pemohon, hampir 50% ditolak permohonannya kerana tidak menepati syarat-syarat termasuklah bila pembeli perlu bayar RM80 ribu deposit.

Jadi tentunya apa pun yang kita buat, saya fikir yang diperlukan adalah Perdana Menteri yang bersedia mendapatkan lebih banyak konsultasi termasuklah daripada Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat. Saya kecewa bila Yang Berhormat Menteri tidak dapat menjawab atas soalan yang dibangkitkan oleh Timbalan Presiden PAS sebelumnya tentang kenapa diberikan bantuan BR1M di pejabat-pejabat Barisan Nasional dan UMNO? Kalau mesej hendak diberikan bahawa Perdana Menteri bersedia membangunkan negara tidak kira politik, ini jauh daripada menepati.

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tidak betul itu Tuan Yang di-Pertua, tidak ada Pejabat UMNO.

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Disebut.

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Fakta tidak betul itu.

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Disebut…

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Itu fitnah lagi.

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Tidak langsung dinafikan…

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Satu dua itu, janganlah lah semua sekali.

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Daripada saya… Rujuk Hansard lah Yang Berhormat Pasir Salak, rujuk Hansard.

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tidak semua..

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Jadi, pada saya…, pada saya penting di sini….

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: You ini….

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: …Kita…

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Pejabat UMNO mana ada… Saya buat di pejabat daerah.

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Rujuk Hansard hari Isnin… Ha dengar? Baca!

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Betul tidak?

Dato' Kamaruddin Jaffar [Tumpat]: Memang Ketua UMNO Bahagian, memang bakal-bakal calon UMNO.

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Mana ada UMNO bahagian boleh besar Dewan, boleh muat ramai-ramai.

Dato' Kamaruddin Jaffar [Tumpat]: Memang betul.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Tumpat.

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tidak ada Dewan yang besar.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya.

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Okey, Tuan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Teruskan Yang Berhormat..

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Poin yang terakhir yang saya tuliskan di sini adalah…

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Cakap Melayu…..

Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: [Bangun]

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: …Sempena…

Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Tuan Yang di-Pertua…

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Sempena Hari Wanita khusus yang berlangsung pada bulan Mac…

Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Pukul 5.35…

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Saya hendak habiskan Tuan Yang di-Pertua. Saya habiskan.

Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Boleh penjelasan?

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Sempena Hari Wanita…

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Hendak bagi jalan Yang Berhormat?

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Tidak mahu. Saya hendak…
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Tidak bagi jalan Yang Berhormat.

Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Yang Berhormat, saya hendak bantu sahaja. Boleh Yang Berhormat?

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Nantilah, lain kali cakap saya hendak habiskan..

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Tidak bagi jalan Yang Berhormat.

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Isu yang saya hendak sebutkan di sini terakhir tentang Hari Wanita. Saya nampak…

Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Hari ini Speaker… Tuan Yang di-Pertua Speaker, tiga Speaker…..

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Tangga Batu…
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Yang Berhormat Seputeh pun jadi Speaker.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Tangga Batu.
Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Biar saya bercakap. Speaker sudah kata okey, keputusan saya. Terima kasih.

Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Tidak, saya kata ramai jadi Speaker. Satu Speaker, dua Speaker, tiga Speaker.

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Tuan Yang di-Pertua boleh saya teruskan?

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Sekejap Yang Berhormat. Kita habiskan selepas itu kita balik Yang Berhormat…

Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Lepas ini saya..

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya.

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Sempena Hari Wanita, saya ingin sebut targetataupun penumpuan yang diberikan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong khusus kepada peranan wanita dan juga sasaran 55%…

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat…

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: …Penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan menjelang 2015. Yang saya agak bimbang Tuan Yang di-Pertua, saya melihat banyak statistik khusus tahun 2011, 68.3% yang berumur antara 15 hingga 64 tahun merupakan majoriti wanita. Ini daripada Jabatan Perangkaan. Guna tenaga hanyalah 46.1% tahun 2010. Pada tahun 1990, lebih ramai wanita bekerja daripada semua majoriti tenaga buruh, 47.8% jatuh kepada 46.1% tahun 2010. Jadi kadar pengangguran wanita juga bertambah. Tahun 2000 hanya 3.2%, 2010 3.6%. Jadi, pada saya penting kita mengambil dengan begitu serius angka-angka ini yang menggambarkan tidak cukup dasar-dasar yang membantu wanita untuk bekerja selepas tamat pengajian.

Yang saya mahu cadangkan di sini adalah kita mulakan tahun 1985, Dasar Wanita Negara. akan tetapi apabila bercakap tentang aplikasi di lapangan amat kurang sekali. Saya nampak Malaysia seharusnya belajar daripada kesilapan di Singapura di mana kadar penyertaan buruh wanita di Singapura tahun 2011 ialah 57% berbanding 46% mereka lebih baik tahun 2010. Akan tetapi kadar kesuburan amat rendah di Singapura. Jadi ini menjadi satu bentuk masalah yang lain. Jadi pada saya, kita ada peluang yang terbaik untuk memberikan keseimbangan antara kedua-dua objektif dalam mengekalkan kadar kesuburan termasuklah untuk menambah minat ibu-ibu muda, ibu-ibu tua, ibu-ibu keseluruhannya bekerja untuk sama-sama memanfaatkan tenaga dan minda mereka dalam bidang pekerjaan.

Dan satu kelemahan yang terutama adalah penguatkuasaan dalam isu creche atau pusat asuhan kanak-kanak. Jadi saya pinta kerajaan sediakan, pastikan ini menjadi prioriti. Tidak guna kita ada sasaran jikalau kita tidak menyediakan persekitaran yang terbaik untuk wanita bersama dalam membangunkan Malaysia. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mohon menyokong.

Tiada ulasan:

Nuffnang