N45 Dr Halimah Ali |
- Masalah tidak cukup GURU di seluruh Malaysia
- GURU: Timb Menteri MCA umum selesaikan masalah kekurangan guru SJKC serta merta, Menteri UMNO bolehkah lihat semua sekolah?
- HUTANG NEGARA KRITIKAL BILA SAMPAI 55% KDNK, sekarang baru 53% kata MENTERI UMNO-BN
- SPM 2011: Setinggi tahniah kepada semua calon yang telah berjaya!
Masalah tidak cukup GURU di seluruh Malaysia Posted: 21 Mar 2012 09:22 PM PDT Kenyataan akhbar EXCO PENDIDIKAN SELANGOR tentang kekurangan guru di SJKC 22.3.12 Saya selaku EXCO Pendidikan Kerajaan Selangor mengalu-alukan pengumuman Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong semalam tentang PENGISIAN SERTA MERTA kekosongan guru di 1294 SJKC di seluruh negara dengan guru interim. Semoga dengan tindakan pantas itu mampu menyelesaikan masalah proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah aliran Cina ini. Namun, saya berpendapat KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA sepatutnya bertindak dengan cara yang lebih professional dan sistematik. Bukan kerana setelah persatuan-persatuan aktivis sekolah Cina ini bersiap untuk membuat bantahan besar-besaran sahaja barulah Kementerian Pelajaran bertindak.(Saya sendiri mendapat jemputan rasmi dari Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia selain diminta mewakili PAS Pusat- rujuk lampiran) Kewibawaan kementerian pelajaran yang dikuasai oleh Timbalan PM sendiri sentiasa dipertikaikan sekiranya isu-isu utama mengenai pendidikan di Malaysia tidak diurus dengan baik dan telah diakui oleh banyak pihak sebagai perkara yang memerlukan 'overhaul'/kajian tuntas bukan sentiasa 'fire fighting' yang membuang masa dan wang rakyat. Contoh Apabila pelbagai pihak membantah dan ada yang pro PPSMI, barulah mahu dikaji dan berdialog.Baru nak jemput pelbagai pihak. Kementerian perlu membuat kajian yang menyeluruh tentang segala keperluan dalam pendidikan. Kerajaan Malaysia perlu bedahsiasat secara jujur sistem pendidikan yang diguna pakai selama ini. Adakah berkesan? Adakah relevan? Paling penting hasil pendidikan itu sendiri. Mana hala tuju mahu dibawa rakyat Malaysia? Ada 'roadmap'. Ada visi yang jelas. Ada misi mahu mencapai mercu kejayaan. Mesti mengambilkira realiti dan kegagalan supaya tindakan tepat boleh diambil. Hakikat sistem pendidikan nasional tidak diterima oleh pelbagai kaum hingga semakin jauh daripada sistem sekolah kebangsaan perlu diterima dengan fikiran terbuka dan berlapang dada.Kementerian juga harus matang menerima kritikan membina daripada semua pihak tanpa dibatasi oleh fahaman dan ideologi politik yang berlainan. Untuk melahirkan satu formula mendidik rakyat kementerian mesti bersifat inklusif dan memahami keperluan dan sensitiviti pelbagai golongan dalam negara. PERLU HOLISTIK DAN PROAKTIF Kementerian Pelajaran Malaysia dilihat terlalu pasif dan bersifat reaktif. Kementerian sentiasa dihantui dengan masalah-masalah yang timbul yang bersifat pokok atau fundamental kerana melibatkan dasar dan polisi. Bukan sekadar masalah implementasi atau perkara remeh dan bersifat teknikal. Contoh Keputusan memulakan dasar PPSMI tanpa mempastikan SELURUH sekolah terutama sekali di luar bandar dan sekolah yang ramai pelajar miskin bandar menyebabkan jurang semakin melebar di antara anak orang berkemampuan dengan anak marhaen.Ini menyebabkan kemarahan ibubapa Melayu luar bandar dan miskin bandar.Begitu juga pelajar Cina dan India di SJKC dan SJKT masing-masing. Guru-guru yang mengajar Matematik dan Sains yang mengajar di sekolah kurang cemerlang sendiri kurang kemampuan. Ini menatijahkan guru yang mengajar tanpa keyakinan.Natijahnya pembelajaran pelajar terjejas.Ini berlainan fenomena dengan ibubapa kelas menengah yang mampu menghantar anak mereka ke kelas tambahan yang mahal dan diri mereka sendiri adalah terdidik melalui sistem Inggeris. Akhirnya masing-masing menentang satu sama lain. Bukankah gejala ini berlaku kerana kegagalan kementerian mencuba-cuba perkara yang baru dan menjadikan pelajar dan guru sebagai makmal kaji uji. Yang menjadi mangsa rakyat itu sendiri. Dasar yang membebankan pelajar dengan membawa buku-buku yang berat ke sekolah dan menekankan mereka dengan peperiksaan yang menguji akademik bersifat hafalan semata-mata telah melahirkan pelajar yang mudah bosan dan benci belajar.Walhal proses belajar sepatutnya menyeronokkan. Barulah ia menjadi tabiat dan budaya sepanjang hayat.Semua ini perlu dikaji dengan teliti oleh kementerian pelajaran Malaysia. Perbincangan yang mahu dilakukan seperti yang diuar-uarkan oleh Menterinya baru-baru ini MESTI menyeluruh dan diberikan masa untuk dihazam dan dibuat projek perintis dahulu. Jangan membazirkan duit rakyat dengan dasar yang tidak boleh bertahan lama. GURU SEMUA JENIS SEKOLAH MESTI MENCUKUPI Cukup bilang guru adalah antara faktor kritikal untuk menjayakan proses pendidikan masyarakat. Justeru, saya selaku EXCO Pendidikan Selangor juga menggesa kementerian pelajaran Malaysia mengkaji mana-mana sekolah yang kekurangan guru termasuk di sekolah agama mesti diisi segera supaya tidak ada gangguan kepada guru lain dan agar silibus boleh diselesaikan mengikut jadual dan pelajar sentiasa dibimbing oleh guru khusus dan perhatian mencukupi . YB Dr Hjh Halimah Ali EXCO Kerajaan Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan,Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Kerajaan Selangor Merangkap ADUN Selat Klang (Merangkap Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan PAS PUSAT) |
Posted: 21 Mar 2012 07:10 AM PDT Kekurangan guru SJKC disi serta-merta Kekosongan jawatan guru di 1,294 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) seluruh negara perlu diisi dengan guru-guru interim serta merta, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong. Beliau berkata keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Khas bagi menangani isu kekurangan guru di SJKC setelah mengadakan tiga mesyuarat dan dua perbincangan meja bulat bersama pihak berkepentingan termasuk Jiaozong Huazong, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan Kesatuan Guru Besar SJKC Malaysia. Katanya sehingga Januari lepas, kementerian telah menempatkan seramai 1,482 guru interim di beberapa SJKC bagi menampung kekurangan 1,874 guru di sekolah jenis itu di seluruh negara. "Penambahan 392 guru lagi sedang diusahakan dengan kadar segera. Kuasa akan diturunkan kepada guru besar SJKC untuk melantik guru interim mengikut keperluan dengan penyelarasan Jabatan Pelajaran Negeri," katanya kepada pemberita di Parlimen di sini, hari ini. Wee berkata perkhidmatan guru interim di SJKC sedia ada akan terus dikekalkan sehingga guru terlatih ditempatkan di sekolah-sekolah tersebut kelak. Beliau berkata bagi mengatasi masalah kira-kira 100 guru pemulihan yang tidak mempunyai kelayakan dwibahasa, mereka akan dipindahkan serta-merta dari SJKC dan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan. "Ini kerana murid-murid yang mengikuti program pemulihan LINUS (Saringan Literasi dan Numerasi) di SJKC sudah tersedia lemah dan merasa sukar untuk memahami pengajaran dan pembelajaran oleh guru yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Cina," katanya. Kekosongan guru pemulihan yang dipindah keluar itu perlu diganti dengan guru berpengalaman dan berkelulusan dwibahasa dari sekolah yang sama, dan guru besar perlu mengambil guru interim dengan segera mengisi kekosongan tersebut. Wee berkata kementerian menetapkan pengajaran subjek bahasa Melayu dan bahasa Inggeris bagi tahap satu diajar oleh guru berkelayakan dwibahasa, manakala bagi tahap dua diajar oleh guru opsyen kedua-dua bahasa. "Semua guru tahap satu dan tahap dua SJKC dalam kategori sekolah kurang murid perlu berkelayakan dwibahasa kerana perlu melaksanakan pengajaran pelbagai gred," katanya. Selain itu, katanya, guru-guru bukan opsyen BM dan BI yang telah mengajar subjek itu lebih daripada lima tahun di SJKC akan ditawarkan Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO) bagi memperkukuhkan penguasaan mereka dalam kedua-dua bahasa itu. - Bernama |
HUTANG NEGARA KRITIKAL BILA SAMPAI 55% KDNK, sekarang baru 53% kata MENTERI UMNO-BN Posted: 21 Mar 2012 06:28 AM PDT Hutang negara kini pada paras 53% KDNK Hutang negara belum berada pada tahap kritikal atau membimbangkan,walaupun ia hanya dua peratus sebelum mencecah had pinjaman yang dibenarkan oleh perlembagaan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin."Ia tidak berada pada tahap yang kritikal pada masa ini. Had kita adalah 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kita kini cuma berada pada paras 53 peratus. Jadi tidak perlu bimbang tentang hal itu," katanya semasa sesi soalan di Dewan Rakyat hari ini. Awang Adek menjawab soalan tambahan daripada Datuk Saifuddin Nasution (PKR-Machang) mengenai apa yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengawal hutang kerajaan yang semakin meningkat. Memetik rekod kewangan 2008 dan seterusnya yang mempamerkan peningkatan hutang dari tahun ke tahun, Saifuddin mendakwa bahawa trend peningkatan hutang akan menyaksikan negara berhutang sehingga 100 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). "Had kami adalah pada 55 peratus. Jika kita tidak cecah 55 peratus, maka kita tidak akan capai100 peratus," kata Awang Adek sambil menambah sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, mereka tidak akan membenarkan perbelanjaan dan pinjaman melebihi had yang ditetapkan. |
SPM 2011: Setinggi tahniah kepada semua calon yang telah berjaya! Posted: 21 Mar 2012 06:10 AM PDT 559 calon SPM 2011 peroleh semua A+ Seramai 559 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2011 memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 403 pada tahun 2010.Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata daripada jumlah itu, seramai 506 adalah calon sekolah menengah kebangsaan manakala 53 lagi calon dari sekolah selain sekolah menengah kebangsaan berbanding masing-masing 363 dan 40 calon pada tahun 2010. "Pencapaian keseluruhan calon SPM 2011 bertambah baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 5.04, berbanding 5.19 pada tahun 2010," katanya pada majlis pengumuman analisis keputusan peperiksaan SPM di Putrajaya hari ini. Beliau berkata seramai 468,808 calon menduduki peperiksaan itu tahun lalu. Abd Ghafar berkata seramai tujuh calon memperoleh semua A+ dalam 12 mata pelajaran, 72 calon (11 mata pelajaran), 284 calon (10 mata pelajaran) dan 143 calon (sembilan pelajaran). Berdasarkan GPN, Abd Ghafar berkata keputusan SPM 2011 adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun. Beliau berkata pencapaian GPN calon bandar dan luar bandar bertambah baik dengan calon bandar sebanyak 0.22 iaitu daripada 4.89 pada tahun 2010 kepada 4.67 pada tahun 2011 dan calon luar bandar sebanyak 0.13 iaitu daripada 5.52 pada tahun 2010 kepada 5.39 pada tahun 2011. Luar bandar bertambah baik "Namun, jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar bertambah sebanyak 0.09," katanya. Abd Ghafar berkata pencapaian sekolah pada keseluruhannya menunjukkan peningkatan dengan sekolah dalam kategori Cemerlang dan Baik masing-masing bertambah sebanyak 13 dan 60 buah manakala sekolah dalam kategori memuaskan dan berpotensi masing-masing berkurang sebanyak empat dan 17 buah. Beliau berkata kategori pencapaian sekolah Cemerlang, Baik, Memuaskan dan Berpotensi adalah berdasarkan indeks Gred Purata Sekolah (GPS). Abd Ghafar berkata seramai 662 calon berkeperluan khas menduduki peperiksaan SPM pada tahun lepas dan seramai 343 calon berjaya mendapat sijil SPM berbanding 319 pada tahun 2010. "Tiga calon rabun, seorang calon cacat pendengaran dan tiga calon lain-lain jenis kecacatan mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diduduki. "Kejayaan tujuh calon berkeperluan khas ini menunjukkan semua calon, tanpa mengira kekurangan mereka, berpeluang untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM," katanya. Bagi pretasi mata pelajaran, Abd Ghafar berkata sebanyak 63 daripada 112 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, manakala 35 mata pelajaran menunjukkan penurunan prestasi. Mata pelajaran teras Beliau berkata prestasi lima mata pelajaran teras iaitu Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral bagi calon di bandar adalah jauh lebih baik daripada calon luar bandar."Bagaimanapun, prestasi mata pelajaran sains bagi calon di luar bandar adalah lebih baik daripada calon di bandar, iaitu 92.6 peratus berbanding 91.4 peratus," katanya. Untuk memastikan peperiksaan SPM mendapat pengiktirafan antarabangsa, Abd Ghafar berkata Kementerian Pelajaran menggunakan pakar-pakar pentaksiran dari luar negara, iaitu Cambridge International Examinations (CIE), United Kingdom, Victoria Curriculum and Assessment Authority (VCAA) Australia dan London Chambers of Commerce and Industry (LCCI) United Kingdom. "Para Pentaksiran yang hadir amat berpuas hati dengan proses penentuan standard, pembinaan instrumen dan pemeriksaan yang dilaksanakan dengan penuh profesionalisme dan kredibiliti. "Mereka juga berpendapat bahawa semua proses itu menepati ciri-ciri pentaksiran pendidikan dan telah diurus secara sistemaik bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi," katanya. - Bernama |
You are subscribed to email updates from N45 Dr Halimah Ali To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan