Selasa, 13 Mac 2012

i n t a n h i j a u

i n t a n h i j a u


ADUN CHANGKAT JONG MELAWAT KAWASAN BANJIR DI KG. SUNGAI KERAWAI

Posted: 13 Mar 2012 08:44 AM PDT


TELUK INTAN, 13 Mac - Misi prihatin masalah rakyat diteruskan oleh ADUN Changkat Jong, YB Hj. Mohd. Anuar Sudin ke Kg. Sungai Kerawai yang baru-baru ini teruk dilanda banjir. YB Anuar dan isteri telah mengambil masa hampir tiga jam meluangkan masa menziarahi mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di SK Sungai Kerawai.
YB Anuar menerima taklimat ringkas daripada pegawai JPAM.

YB Anuar telah disambut oleh para pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hilir Perak. Menurut seorang jurucakap JPAM, sebanyak 108 orang mangsa banjir ditempatkan di pusat tersebut meliputi 21 keluarga dari dua kawasan yang teruk dinaiki air iaitu Kg. Sungai Kerawai dan Kg. Selat Manggis. Para penduduk telah ditempatkan di dewan sekolah tersebut. Secara umumnya, keadaan mangsa adalah dalam keadaan yang baik.
Isteri YB, Pn. Hjh Faridah sedang beramah mesra dengan mangsa banjir.

YB Anuar sedang berbual dengan Ketua Kampung (kanan).

Apa yang menariknya, kegiatan memasak telah diuruskan oleh Muslimat PAS Cawangan. Kebetulan semasa kehadiran YB dan isteri, masakan tengah hari adalah tajaan Ketua PAS Cawangan Sg. Kerawai, Tn. Hj. Jumali Sadeli. Mereka bekerjasama dengan para penduduk serta petugas menyediakan makanan tengah hari.
Ketua Muslimat cawangan sedang sibuk di bahagian memasak.

Membantu menyediakan masakan.

YB Anuar dan isteri juga berpeluang beramah mesra serta bertanya khabar dengan mangsa-mangsa banjir. Pada kesempatan lawatan tersebut, YB Anuar telah menyampaikan sumbangan kepada  mangsa banjir di pusat pemindahan. Beliau juga dibawa melawat ke rumah-rumah penduduk yang dinaiki air serta menyampaikan sumbangan kepada mereka. Rata-rata penduduk kampung yang ditemui berasa berbesar hati apabila melihat wakil rakyat PAS itu datang menziarahi mereka.
YB Anuar menyerahkan bantuan banjir kepada Ketua Kampung selaku wakil mangsa banjir sambil diperhatikan oleh Ketua Cawangan PAS, Hj. Jumali Sadeli.

Pn. Hjh. Faridah menyampaikan bantuan kepada seorang penduduk wanita.
Bantuan turut disampaikan ke rumah-rumah.

YB Anuar turut menziarahi rumah-rumah yang dinaiki air.

YB Anuar menikmati makan tengah hari bersama para penduduk kampung.

Di penghujung lawatan, YB Anuar dan isteri telah berpeluang makan bersama-sama mangsa banjir.

SAYA MEMANG TAK BERTUDUNG...

Posted: 12 Mar 2012 07:20 PM PDT



PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi remaja Fiffy Natasya (Fify) menjelaskan dakwaan yang mengatakan dia membuka tudung semata-mata untuk menceburi bidang seni berpunca daripada salah faham segelintir pihak yang tidak mengetahui perkara sebenar.

Fify atau nama sebenarnya Fiffy Natasya Suhaimi, 19, berkata dakwaan itu timbul kerana pada usia lapan tahun, dia pernah bertudung ketika menyertai kumpulan Wardah dan mengeluarkan tiga buah album kerohanian dan doa.

"Hakikatnya, dalam kehidupan sebenar, saya memang tidak bertudung. Cuma kebetulan ketika zaman kanak-kanak saya pernah memakai tudung kerana terlibat dalam projek lagu-lagu kerohanian.

"Saya tidak perlu hipokrit dan mengakui saya tidak bertudung. Jadi dakwaan yang mengatakan saya membuka tudung semata-mata untuk menceburi bidang seni adalah tidak betul," katanya ketika ditemui mStar Online di Menara Star, di sini, Isnin.

Pelakon yang semakin dikenali selepas membintangi drama popular Vanilla Coklat di TV3 ini berkata, dia tidak mahu merunsingkan fikirannya dengan apa pun pandangan atau kritikan orang ramai kerana dia sentiasa peka terhadap gerak-gerinya.

"Saya tidak kisah apa juga orang hendak cakap tentang saya kerana saya tahu apa yang dilakukan sentiasa berada pada landasan yang betul serta dipantau oleh ibu bapa.

"Tidak bertudung bukan bermakna saya berkelakuan liar atau nakal. Saya jarang keluar bersiar-siar kecuali dengan keluarga jadi rasanya tidak timbul isu yang boleh mengaitkan saya dengan kontroversi atau perkara-perkara negatif," katanya.

Gadis yang dikenali dengan lagu Kawaii sebelum ini berkata selepas hampir 10 tahun menceburi bidang seni, dia masih berusaha untuk mengukuhkan namanya sebagai bakat pelapis dunia hiburan tanah air.

"Kalau diikutkan, saya sudah mula berlakon pada usia 10 tahun lagi dalam filem Cinta Kolestrol dan baru kebelakangan ini nama saya semakin dikenali.

"Tidak dinafikan saya menerima tawaran lakonan yang berterusan tetapi kalau boleh, pada tahun ini saya mahu lebih dikenali dan berjaya," kata pelajar jurusan Farmasi di Kolej Segi ini.

Tiada ulasan:

Nuffnang