Ahad, 4 Mac 2012

i n t a n h i j a u

i n t a n h i j a u


PENYAKIT CINTA DUNIA BOLEH ROSAKKAN PERJUANGAN ISLAM

Posted: 03 Mar 2012 05:44 PM PST


TAIPING, 2 Jumaat - Perjuangan Islam itu akan rosak apabila para pejuangnya mempunyai penyakit cinta dunia. Demikian dinyatakan oleh Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Syed Abdul Qader Al-Jofree semasa menyampaikan pengisian di dalam program bulanan Liqa Fikri PAS Perak di Markaz Tarbiyyah PAS Perak dekat sini.

Menurut Ustaz Syed Abdul Qader lagi, penyakit cinta dunia adalah ibu kepada tiga penyakit hati manusia iaitu hasad, riak dan ujub.Sekiranya ketiga-tiga penyakit tersebut tiada dalam hati para pejuang sudah pasti tiada lagi masalah di dalam sesebuah jamaah atau parti.

Menurut beliau, penyakit hasad adalah sikap yang buruk kerana orang yang terkena penyakit ini bukan sahaja dengki dengan orang lain yang mendapat sesuatu malah berusaha pula memastikan orang itu tidak mendapat nikmat walaupun dia sendiri tidak mendapatnya.

Riak pula merupakan syirik tersembunyi kerana niatnya hanya ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia selain Allah dengan cara menghebahkan apa yang dilakukan kepada umum. Namun begitu, menurut beliau, kita boleh menghebahkan apa yang kita lakukan dengan niat orang akan mengikut sama apa yang kita buat demi mendapat redha Allah.

"Dalam situasi tertentu, contohnya, pejuang PAS perlu menonjolkan kehebatan mereka kepada masyarakat dengan penampilan seperti pakaian dan sebagainya agar masyarakat menghormati perjuangan Islam itu serta perjuangan Islam itu tidak diperlekehkan oleh musuh. "

Tidaklah dengan hanya memakai baju pagoda koyak dan kain pelikat 'spring' yang hanya akan memberikan imej negatif kepada perjuangan PAS itu sendiri, " tambah beliau.

"Jangan ada pemimpin PAS yang hanya ingin diberikan tempat duduk di hadapan sahaja dalam setiap majlis sehingga menganggap duduk di bawah sebagai satu kehinaan bagi dia pula. Atau, YDP kawasan yang hanya tahu merasmikan majlis sahaja sehingga jarang turun padang membuat kerja bersama anak buah akibat mementingkan jawatan dan kedudukan. "

Bagi beliau, penyakit hati ujub lebih merupakan sikap syok sendiri yang hanya melihat beliau sahaja yang betul dari segi pandangan, gerak kerja sehingga memperlekehkan pandangan orang lain. Beliau berkata, Imam Al Ghazali sendiri menyatakan orang yang ada penyakit ujub ialah suatu keaiban yang buruk akibat orang itu hanya nampak keaiban orang lain sedangkan dia tidak nampak aib sendiri.

Akhir sekali, beliau meminta setiap ahli PAS berjuang dengan membawa akhlaq Nabi SAW yang sudah pasti akhlaq Nabi tidak memberi tempat kepada penyakit-penyakit hati tersebut.

intanhijau.blogspot.com

Tiada ulasan:

Nuffnang