Isnin, 13 Februari 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


MB : 10 Ekar Tanah Bina Sekolah Tamil Berasrama

Posted: 12 Feb 2012 10:11 PM PST

SHAH ALAM 13 FEB : Masyarakat India terus menerima bantuan apabila kerajaan negeri bercadang untuk membina sekolah jenis Tamil lengkap berasrama di atas tanah seluas 10 ekar di Coalfield, Kuala Selangor.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai membuktikan kerajaan negeri komited memperkasa kehidupan rakyatnya tanpa mengira kaum.

"Persetujuan dibuat dengan pemaju, Syarikat Kuala Lumpur Kepong Berhad, di mana kami mengkhaskan pembinaan sekolah Tamil dikawasan Coalfield.

"Ini adalah satu lagi contoh sekolah Tamil yang lengkap berasrama, dengan cara itu kita dapat menempatkan pelajar-pelajar dari kawasan pendalaman untuk belajar dan tinggal diasrama."

Abdul Khalid berkata demikian ketika ditemui pemberita sejurus selepas menghadiri Majlis Anugerah UPSR 2011 Sekolah-sekolah Tamil Negeri Selangor di sini semalam.

Tambahnya, tanah tersebut diluluskan dan kerja-kerja pecah tanah dan pembinaannya akan bermula Mei depan.

"Kita tidak mahu membincangkan soal kos kerana apa yang utama sekarang ialah berapa ramai pelajar yang mampu kita tempatkan.

"Kita juga telah menghantar pelan projek pembinaan tersebut untuk meminta kelulusan Kementerian Pelajaran memandangkan pengendalian sekolah itu akan dibuat oleh kementerian berkenaan,"jelasnya.


Sumber: TVSNEWS

MB : Peruntukan Berterusan RM4 juta Untuk Sekolah Tamil

Posted: 12 Feb 2012 05:00 PM PST

SHAH ALAM 12 FEB : Kerajaan Negeri Selangor berhasrat mengekalkan peruntukkan RM4 juta bagi pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dinegeri itu seperti tahun-tahun sebelumnya.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika berucap pada majlis Anugerah UPSR 2011 Sekolah-sekolah Tamil Selangor di Stadium Malawati hari ini.

Khalid dalam ucapannya berkata komitmen kerajaan negeri meningkatkan taraf kehidupan rakyatnya sangat jelas dan ia dilakukan secara berterusan.

"Sebelum ini, saudara semua belum pernah berada dalam satu keadaan dimana kerajaan negeri bersama-sama memperjuangkan hak kaum Tamil dalam pendidikan.

"Tidak ada dalam sejarah sebelum 2008 kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta setiap tahun untuk sekolah Tamil,"jelas Khalid.

Pakatan Rakyat (PR) sejak mengambil alih Selangor berjaya memperuntukkan sekurang-kurangnya RM16 juta setiap tahun kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Katanya peruntukkan itu melibatkan 97 buah sekolah Tamil seluruh Selangor bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur selain menyediakan program- program pembangunan pendidikan yang berkualiti untuk para pelajar.

Menurut beliau pemerintahan Umno-BN gagal menjaga kebajikan sehingga pendidikan pelajar Tamil dilihat agak ketinggalan kebelakang berbanding kaum lain.

"Kejayaan negara kita ini adalah kejayaan rakyat, oleh sebab itu setiap rakyat di negara khususnya negeri Selangor wajib menerima kemudahan asas yang saksama dari segi pendidikan, kesihatan dan keperluan hidup.

"Lebih daripada 10 ekar tanah telah dikenal pasti bagi pembangunan sekolah Tamil lengkap dengan asrama dan penempatan, ini membuktikan bahawa kepimpinan kami (PR) membawa dasar kesamaan kepada rakyat,"jelasnya.

Dalam pada itu, Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor selama 4 tahun ini seharusnya dicontohi berbanding kepimpinan era Umno-BN yang walaupun mentadbir lebih 50 tahun.

Anwar menambah, malangnya kejayaan ini disembunyikan dari pengetahuan rakyat apabila kerajaan pemerintah menyekat kebebasan media.

"kita tidak mempunyai media yang bebas, berapa orang yang tahu bahawa Selangor sekarang menyalurkan sekitar Rm20 juta untuk pembangunan sekolah Tamil dalam tempoh masa 4 tahun memerintah, masa pemerintahan dahulu (Umno-BN) tidak ada rekod ini,"katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata sekirannya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya pada pilihanraya umum ke-13 akan datang, antara agenda utama yang akan diberi tumpuan ialah pendidikan.

"Dalam politik ini kita tidak boleh anggap untuk menang dengan janji semata-mata (janji kosong), budaya fitnah dan caci maki hamun orang.

"Sebab itu saya ucap tahniah kepada Tan Sri khalid dan kerajaan negeri Selangor, kerana kita akan menang berdasarkan rekod kerja kita selama ini,"jelas Anwar.

Sekurang-kurangnya 2500 pelajar sekolah Tamil serata Selangor yang memperoleh keputusan 7A bagi tahun 2011 diraikan pada majlis ini. 350 daripadanya menerima pingat emas manakala bakinya menerima pingat perak.

Majlis ini adalah anjuran bersama OMS Foundation dan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Sementara itu rata-rata ibu bapa yang ditemui TVSelangor menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih diatas keperihatinan kerajaan Pakatan Rakyat.

Vasudevan A/L Subramaniam, 43 berkata perutukkan RM4 juta setiap tahun itu bukan sahaja satu anugerah kepada sekolah tamil, malah ia membuktikan kejujuran kerajaan negeri dalam menyalurkan bantuan kepada rakyatnya tanpa mengira bangsa.

"Satu peruntukkan yang besar dari kerajaan negeri dan berharap negeri lain akan mengikut contoh yang ditunjukkan oleh negeri Selangor.

"Ini suatu perkara yang patut dibangga dan dihargai oleh semua kaum Tamil, bantuan sebegini mampu meningkatkan taraf pendidikan,"katanya.


Sumber: TVSNEWS

Tiada ulasan:

Nuffnang