i n t a n h i j a u |
Nizar ziarah keluarga pelajar dirogol, bunuh Posted: 25 Feb 2012 09:02 PM PST TAIPING, 26 Feb: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bersama masyarakat Trong terkejut dengan tragedi yang menyayat hati apabila seorang pelajar ditemui mati. Mangsa, Nurul Aien Mohd Saimon,16, disyaki dirogol sebelum dibunuh di kediamannya Kampung Batu 9, Jalan Trong Changkat Jering. Pelajar SMK Dato' Wan Rasdi itu ditemui mati di dalam bilik air, petang kelmarin. (Gambar: Nizar meninjau bilik air di mana mangsa disyaki dirogol dan dibunuh.) Menurut laporan polis, dua suspek telah telah diberkas untuk siasatan lanjut. Justeru, Nizar bergegas ke rumah mangsa untuk menziarahi jenazah dan keluarganya. Mantan Menteri Besar itu berkata, kejadian tersebut amat memeranjatkan dan beliau melahirkan rasa dukacita dengan kejadian penuh tragis dan kejam itu. "Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap dapat bersabar dengan kejadian ini. Saya mendoakan dosa Nurul Ain diampun oleh Allah dan rohnya ditempatkan bersama orang-orang beriman," katanya. Nizar telah menyampaikan bantuan sedikit bantuan kepada keluarga mangsa. (Gambar kiri.) Media hari ini melaporkan mayat pelajar tingkatan empat itu ditemui adik lelakinya dalam keadaan kepala dan seluruh badan dalam kolah selain cedera parah di kepala akibat dipukul benda keras. Difahamkan, ketika kejadian, mangsa seorang diri di rumah sebelum kediamannya dimasuki individu tidak dikenali yang kemudian cuba merogol dan mencabul mangsa sebelum dia dibunuh. Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa ditemui maut oleh adik lelakinya yang baru pulang dari rumah neneknya, 300 meter dari tempat kejadian.(harakahdaily) | ||
Khalwat: Penjelasan Dr Badrulamin Baharon Posted: 25 Feb 2012 05:41 PM PST Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan media bahawa saya ditangkap khalwat oleh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Kuantan. Saya ke Kuantan untuk menghadiri Temurapat Pemimpin Parti Keadilan Rakyat pada 24 Februari sehingga 26 Februari 2012. Saya mengambil peranan aktif di dalam Temurapat ini. Pada petang 24 Februari 2012, wanita tersebut telah menghubungi saya dengan nada cemas dan menyatakan hasrat beliau untuk melarikan diri daripada rumah kerana bimbangkan keselamatan diri beliau. Saya dengan tegas menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian. Walau bagaimanapun pada jam 2.00 pagi 25 Februari 2012, beliau telah menghubungi saya memaklumkan bahawa beliau sudah tiba di lokasi Temurapat Pemimpin Keadilan. Saya telah mengenali pasangan suami isteri ini sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah saya. Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan saya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga. Di dalam usaha membantu pasangan ini, saya dan isteri pernah menziarahi keluarga ini di Rompin. Di atas rasa tanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, saya membantu beliau mendapatkan bilik penginapan. Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya. Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa. Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka. Namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tiba dan menahan saya yang berseorangan di dalam bilik. Kenyataan Timbalan Pengarah JAIP bahawa saya ditahan oleh pegawai JAIP ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali. Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya. Saya hanya dipanggil untuk membantu siasatan JAIP pada 27 Februari 2012. Saya akan hadir bersama peguam untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan ini. Dengan penjelasan ini, saya berharap semua pihak menghentikan tohmahan dan fitnah terhadap saya. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan dan fitnah terhadap saya. Dr. Badrulamin Bahron (harakahdaily) |
You are subscribed to email updates from i n t a n h i j a u To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan