:: cina islam | 2011 :: |
- Lot Wakaf Bangunan Kompleks Pendidikan Darul Anwar.
- Teras gesa keluar fatwa Najib hadiri Thaipusam
- Penganut Hindu pun rasa tersinggung...
- Sejambak bunga kepada isteri.
- Muhyiddin lawat Perak sekali lagi hari ini
- Tolong Selamatkan Akidah Zambry - Surat Terbuka Kepada Mufti Perak
- Lajnah Pendidikan PAS tubuh Pendidik 12 Feb
- Keluarga Sharizat belanja atasi 523 sekolah Tamil?
- PAS dan negara haram Israel
- Pemandu teksi tunjuk perasaan isu penyanyi Jepun
- Robot seperti dalam filem Avatar dicipta
- Perdana Menteri Hamas lawat Iran
- Pembunuh Perdana Menteri Serbia ditahan di Sepanyol
- 28 maut, 235 cedera dalam dua serangan bom kereta di Syria
Lot Wakaf Bangunan Kompleks Pendidikan Darul Anwar. Posted: 11 Feb 2012 07:20 AM PST (Klik iklan untuk imej lebih besar) 18 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - Bagi meneruskan usaha untuk merealisasikan pembinaan dan pembangunan Kompleks Pendidikan Darul Anwar (KPDA), maka pihak Idham Care memulakan langkah berikutnya dengan membuka peluang kepada sesiapa sahaja berwakafkan dengan tujuan pembinaaan bangunan KPDA. Pakej Wakaf Bangunan ini terdiri dari dua Pakej d imana Pakaj 1 bernilai RM 300 .Melalui pakej ini setiap pewakaf akan dihadiahkan satu set Al Quran Digital . Pakej 2 pula berharga RM 500 dan pewakaf akan dihadiahkan 2 set Digital Al Quran. Sasaran naskah Al Quran yang akan dihabiskan sebelum 31 Mei 2012 ialah sebanyak 10000 Naskah Set Al Quran Digital model terbaru M10. Iklan di atas akan terbit pada Harakah cetak sebanyak 5 kali bermula Ahad ini. Pihak pengurusan Idham Care dan KPDA yakin skim wakaf yang dilancarkan ini akan mendapat sambutan hangat dari seluruh umat Islam . Selain itu kami masih berhasrat untuk memulakan pembangunan fasa pertama KPDA bermula pada penghujung Mei akan datang. Bagi mereka yang berminat bolehlah menghubungi kami pada talian 016-4951221. | ||
Teras gesa keluar fatwa Najib hadiri Thaipusam Posted: 11 Feb 2012 03:34 AM PST 18 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 11 Feb:Teras Pengupayaan Melayu (Teras) amat kesal untuk kesekian kalinya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tidak mempedulikan nasihat dan teguran Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengenai kehadiran dalam ucapara peribadatan Thaipusam baru-baru ini.
"Apakah PM merasa bahawa tidak perlu dipedulikan semada tingkahlakunya bercanggah dengan agama Islam atau tidak?
"Apakah teguran Mufti itu tidak dianggap perlu untuk beliau hormati?" tanya presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Teras, katanya mengambil perhatian berat apabila tahun sebelum ini Najib sekali lagi menunjukkan sikap tidak peduli terhadap ingatan Mufti Perak.
Menurutnya, pada tahun itu disaksikan gambar PM didirikan setinggi patung berhala di Batu Caves.
"Bukan sahaja ini merupakan persoalan yang akan memberi natijah tidak sihat kepada masyarakat Islam, malah di kacamata anak-anak muda juga menunjukkan PM sudah menerima agama boleh digadaikan hanya untuk mendapat sokongan politik.
"Teras menegaskan agar PM tidak mengambil sikap berdegil kepada teguran Mufti kerana ini akan disahkan oleh rakyat sebagai PM yang sudah mengamalkan pemikiran plural-liberal dalam kefahamannya terhadap agama," katanya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, menghadhirkan diri dalam upacara khusus keagamaan bukan Islam adalah suatu yang tidak diterima dalam Islam malah diingatkan agar umat Islam menjauhinya kerana ia boleh dilihat sebagai memperakui agama tersebut sama dengan agama Islam.
Padahal, ujarnya Islam sangat jelas dalam hal ini yang dianggap prinsip aqidah yang tidak boleh dikompromi.
"Kami menegaskan agar pihak Majlis Fatwa Kebangsaan segera mengeluarkan fatwa terhadap hal ini agar umat Islam khususnya dan rakyat amnya tidak akan keliru demi menjaga kemuliaan Islam dan aqidah umat," katanya lagi. Harakahdaily/- | ||
Penganut Hindu pun rasa tersinggung... Posted: 11 Feb 2012 03:31 AM PST 18 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -
Pada saat-saat umat Islam menyambut Maulidur Rasul memperingati hari keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, mereka dikejutkan dengan berita serta gambar Perdana Menteri menyambut Thaipusam di Batu Caves.
Sejarah perkembangan Islam di negara ini yang dibawa oleh Parameswara yang kemudiannya memeluk Islam dan menggunakan nama Muzaffar Shah, seolah-olah diterbalikkan oleh seorang pemimpin penganut Islam untuk kembali ke agama Hindu.
Melalui rakaman gambar-gambar yang tersebar, kelihatan seolah-olah pemimpin yang mengakui dirinya Islam ini sudah mengambil-alih peranan dewa agama Hindu. Bak kata SS Mufti Negeri Perak, Najib sudah menggadai akidah. (pautan di akhir artikel ini) ~~
Perayaan Thaipusam, sejak tiga tahun yang lalu telah diambil-alih oleh seorang pemimpin yang seronok membiarkan dirinya dilayan dan dijadikan seumpama dewa. Malah, lebih hebat daripada dewa yang disembah oleh penganut agama Hindu sendiri. Kita ikuti tulisan J. D. Lovrenclear yang menyentuh mengenai perayaan keagamaan masyarakat Hindu yang telah menjadi perayaan mendewakan pemimpin.
Perdana Menteri Malaysia dan isterinya difotografkan di mana mereka dikalungkan dengan kalungan bunga yang amat besar di Batu Caves semasa perayaan Thaipusam berlangsung. Saiz kalaungan itu adalah antara isu yang telah menimbul seribu tanda tanya.
Kenapa pihak Kuil membiarkan ahli politik mengambil kesempatan ke atas perayaan yang sedang diadakan? Adakah kita begitu terdesak sehinggakan erti perayaan dan maknanya digunakan untuk tujuan politik semata-mata?
Jangan merendah-rendahkan Thaipusam Pertama sekali, kenapa ada kalungan bunga yang besar dipakaikan kepada PM dan isteri seolah-olah merekalah yang sepatutnya diraikan. Bukankah tumpuan perayaan adalah untuk penganut-penganut menyembah tuhan sebagai tanda kesucian, keabdian dan penyerahan diri? Bukankah prinsip dan makna Thaipusam sepatutnya diraikan dan dijadikan tumpuan? Kalungan bunga sebesar itu sudah semestinya mahal dan memakan masa yang lama untuk disiapkan. Kenapa wang itu tidak digunakan sahaja untuk keperluan perayaan dan korban yang merupakan tujuan utama Thaipusam? Adakah PM atau isteri beliau tidak mempunyai rasa rendah diri dan peka untuk menasihati pihak kuil yang cuba membodek ahli politik sekali gus menunjukkan kebodohan mereka dengan persembahan yang melibatkan kalungan gergasi itu? Tiada rasa malu dan sensitif Mengapa Perdana Menteri bercakap pula tentang 'nambikai' - tentang saling mempercayai di antara satu sama lain di tempat lelaki dan wanita berkumpul dari jauh dan dekat untuk melakukan penebusan dosa dan melakukan pemberian kepada dewa-dewa masing-masing? Dan kenapa menggunakan Thaipusan untuk berpolitik dengan mengumumkan peruntukan berjuta-juta ringgit bagi pembinaan pusat baru di Batu Caves?Jika niat itu benar-benar ikhlas ia boleh diumumkan pada bila-bila masa atau hari lain dan bukankah ini akan memberi makna yang lebih positif? Semua yang terus bersubahat, membiarkan sahaja dan menyokong penodaan perayaan keagamaan seperti Thaipusam dengan berpolitik secara kotorsepatutnya malu. Jangan cuba untuk menjustifikasikan perbuatan itu. Apakah komen ahli politik India? Apa pula kata pemimpin agama Hindu?
Oleh J. D. Lovrenclear - pembaca Malaysia Chronicle
Petikan: Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang "menggadai akidah" apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini. Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah. "Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka. (bacaan seterusnya melalui pautan tajuk di bawah) Harakahdaily/- | ||
Posted: 10 Feb 2012 06:39 PM PST | ||
Muhyiddin lawat Perak sekali lagi hari ini Posted: 10 Feb 2012 06:30 PM PST 18 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - IPOH: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan lawatan sehari ke Perak hari ini dengan bertemu Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini. Ketibaan Muhyiddin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman pada kira-kira jam 8.30 pagi disambut Zambry dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli. Beliau turut bersarapan pagi di kediaman Menteri Besar. Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN). Selepas ini Muhyiddin dijadualkan mengadakan pertemuan tertutup dengan anggota Badan Perhubungan Umno Perak diikuti perjumpaan dengan Badan Perhubungan BN negeri di Bangunan Umno, di sini. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran kemudian dijadual menghadiri majlis Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik negeri Perak di sini. Timbalan Perdana Menteri mengakhiri lawatannya dengan menghadiri program bersama rakyat di Padang Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia di Teluk Intan. Sementara itu, Noorainee yang mempunyai jadual berasingan akan bersarapan bersama Badan Amal dan Usaha Isteri (Baiduri) negeri Perak diikuti dengan menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina bersama-sama Persatuan Ibu Tunggal Cina Perak di kediaman rasmi Menteri Besar. Beliau kemudian dijadualkan melawat wad wanita dan kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini - BERNAMA | ||
Tolong Selamatkan Akidah Zambry - Surat Terbuka Kepada Mufti Perak Posted: 10 Feb 2012 06:17 PM PST 18 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - Asalamu 'Alaikum Ya Sahibus-Samahah, Tan Sri Harussani Zakaria,Mufti Perak, Rakyat Satu Malaysia ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri diatas keberanian Tan Sri memberi teguran kepada Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Najib Tun Abd Razak yang telah hadir dalam perayaan agama lain baru-baru ini.Syabas Tan Sri! Tindakan berani menegur kesilapan pemimpin atau pembesar negara amat jarang berlaku kerana kebanyakan mereka yang ada disekeliling pembesar atau pemimpin kita hanyalah Tukang Ampu dan Tukang Angguk atau Pak Turut semata-mata. Walau apa pun, bersama ini, ingin saya sertakan beberapa bukti penglibatan Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir dalam menyambut perayaan yang sama seperti laporan di sini dan juga yang ada di sini Sukacita saya sertakan diakhir surat ini satu rakaman video clip lama menunjukan kehadiran Zambry menyambut perayaan tersebut 3 tahun yang lalu. Dengan ini, atas kapasiti Tan Sri sebagai Mufti kerajaan negeri Perak, adalah menjadi tanggung jawab Tan Sri untuk menasihati Zambry supaya beliau selamat daripada tergelincir akidah. Saya merayu kepada Tan Sri, agar dapat diusahakan satu kursus Pemulihan Akidah khas untuk Zambry kerana beliau kerap melakukan kerja-kerja penyelewengan akidah dimana sebelum ini Zambry pernah terlibat dalam melakukan upacara sesat 'Ancak'. Terima Kasih , Datuk! | ||
Lajnah Pendidikan PAS tubuh Pendidik 12 Feb Posted: 10 Feb 2012 04:58 PM PST 18 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 10 Feb: Lajnah Pendidikan PAS Pusat bakal melakar sejarah baru dalam dunia pendidikan tanah air kerana akan menubuhkan NGO bagi warga pendidik iaitu Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) pada 12 Februari ini.
Program yang bermula jam 2.00 hingga 5.30 petang itu akan diadakan di Dewan Putra, Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuan Selangor, Kampung Delek, Selat Klang, Selangor.
Pengarah program, Normala Sudirman (gambar)berkata, program anjuran Lajnah Pendidikan PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat melibatkan peserta yang terdiri daripada Ketua DMPP dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat, Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Negeri / Wilayah Persekutuan atau wakil dengan minima 5 orang.
Katanya, ia juga mensasarkan peserta daripada guru-guru di bawah institusi pendidikan yang dimiliki oleh ahli PAS, NGO seperti JIM, Abim dan lain-lain, sekolah agama rakyat dan swasta, Pusat Tahfiz Al- Quran, Pasti dan Kafa, pesara guru dan professional pendidik, aktivis pendidikan ahli dan penyokong PAS.
Beliau berkata, antara objektif Pendidik ialah sebagai satu wadah atau platform untuk menggerakkan kesedaran dan kebangkitan warga pendidik di seluruh Malaysia berkaitan isu-isu pendidikan dan perguruan di negara ini.
Tambahnya, ia juga untuk menyatukan semua golongan pendidik di bawah satu NGO agar semua tuntutan dan desakan atas apa jua isu pendidikan dan perguruan 'didengari' oleh semua pihak yang berautoriti dan berkepentingan.
"NGO Pendidik juga sebagai satu saluran suara untuk memperjuangkan hak dan kebajikan guru yang tertindas dan dizalimi di samping menghimpunkan warga pendidik untuk menjalin ukhuwwah, hubungan komunikasi, kesefahaman dan kerjasama yang baik antara golongan pendidik di seluruh Malaysia," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau yang juga AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat memberitahu, majlis pelancaran itu akan diserikan dengan 100 orang pemuda daripada Jabatan Amal Malaysia yang menyertai konvoi bermotor untuk mengiringi ketibaan Tuan Guru Presiden PAS bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Pelancaran NGO Pendidik
Menurutnya, antara tetamu yang bakal hadir dan menyampaikan ceramah untuk berkongsi pengalaman tentang dunia pendidikan tanah air ialah Datuk Adnan Ibrahim, mantan Pengarah Pelajaran Negeri Perak yang kini telah menyertai PAS.
Tambahnya, tetamu lain yang akan hadir untuk menyampaikan ucapan ialah Dr Halimah Ali, Exco Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor dan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Ustaz Datuk Abu Bakar Chik.
"Semoga dengan pelancaran NGO Pendidik ini dapat membangkitkan kesedaran dan momentum perjuangan para pendidik di seluruh tanah air agar berani membuat perubahan dalam memperjuangkan hak dan kebajikan para guru selain daripada prihatin terhadap nasib para pelajar demi kelangsungan generasi pewaris kepimpinan masa hadapan," ujarnya Harakahdaily/.- | ||
Keluarga Sharizat belanja atasi 523 sekolah Tamil? Posted: 10 Feb 2012 04:57 PM PST 18 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 10 Feb: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan BN telah membelanjakan RM200 juta untuk sekolah-sekolah Tamil sejak tahun 2009.
"Adakah jumlah ini cukup besar untuk dibanggakan?" tanya Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Sehubungan itu, beliau yang juga Adun Tronoh mendakwa Kerajaan Barisan Nasional sentiasa menganak tirikan sekolah-sekolah Tamil di negara ini.
Katanya, perbelanjaan RM200 juta itu tidak memadai untuk menaik taraf semua sekolah-sekolah Tamil yang sedia ada.
Menurutnya, banyak sekolah Tamil di negara kita berada dalam keadaan yang usang dan perlu dinaik taraf dan diperbaiki dengan segera tetapi kerajaan tidak mengambil langkah-langkah proaktif untuk membantu menyelesaikan masalah sekolah-sekolah itu.
Menurutnya, pemberian wang untuk beberapa sekolah Tamil baru-baru ini adalah satu gimik politik untuk mendapat sokongan orang-orang India untuk memenangi PRU13.
Katanya lagi, jumlah RM200 juta bagi sekolah-sekolah Tamil yang telah dibelanjakan untuk beberapa tahun bukanlah satu jumlah yang besar dan boleh dibanggakan.
Baginya, sedangkan keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil telah membelanjakan wang sebanyak RM250 juta di bawah NFC secara sewenang-wenangnya yang mana wang rakyat didakwa telah disalahgunakan untuk 'membela lembu di kondo'.
Katanya, kerajaan BN sanggup mengalami kerugian RM250 juta yang didakwa telah disalahgunakan oleh Ketua Wanita Umno tetapi tidak berminat untuk membantu sekolah-sekolah Tamil yang berada dalam keadaan yang buruk.
Menurutnya lagi, sekolah-sekolah Tamil hanya diberi peruntukan RM200 juta untuk beberapa tahun sejak tahun 2009.
"Saya mencabar Menteri Pelajaran untuk memberitahu kepada rakyat jumlah peruntukan yang diberikan kepada sekolah-sekolah Tamil bagi tahun 2006, 2007, 2008, 2009, 2010, dan 2011 secara berasingan," ujarnya.
Beliau berkata, RM200 juta yang diberikan untuk 523 sekolah Tamil yang mempunyai murid-murid lebih kurang 100,000 orang bukanlah satu jumlah yang besar, jika dibandingkan dengan skandal keluarga Sharizat yang didakwa menyalahgunakan RM250 juta untuk kepentingan sendiri. Harakahdaily/- | ||
Posted: 10 Feb 2012 04:53 PM PST 18 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - Tuan Guru Abdul Hadi Awang Bumi Palestin dimuliakan sejarahnya oleh Nabi Ibrahim A.S. Bapa kepada para nabi selepasnya yang diiktiraf oleh semua penganut agama samawi. Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan daripada zuriatnya yang dihantar ke Makkah, yang dianugerah Allah kepada Ibrahim A.S. kerana jasa perjuangannya yang besar menentang syirik dan zalim oleh kuasa terbesar dunia dizamanya iaitu kerajaan Babylon yang diperintah oleh Raja Namrud.
Bumi Palestin adalah salah satu daripada tiga tanah suci bagi umat Islam, selepas Makkah yang dibuka oleh Ibrahim A.S. dan Madinah tempat Hijrah Rasulullah S.A.W. Palestin dimuliakan kerana ramainya para Rasul dilahirkan di situ dan berpijak di atasnya kaki para anbiya' dan banyak darah para syuhada daripada kalangan Nabi dan ulama, kerana dibunuh oleh bangsa yahudi dengan zalimnya , menyebabkan mereka dilaknat Allah sehingga hari Qiamat. Allah juga manjadikan kiblat pertama bagi umat Islam dibumi Palestin. Di sini juga tampat berakhirnya Isra' dan bermulanya Mikraj Rasulullah S.A.W. ketika dijemput menjadi tetamu Allah. Maka yang layak memakmurkan Palastin ialah mereka yang beriman dan budiman.
Agama Islam mewajibkan penganutnya memegang amanah memelihara bumi Palestin dan tidak melarang penganut Yahudi dan Kristian melakukan ibadat mengikut agama mereka dan mengunjungi tempat suci mereka. Sejarah membuktika hanya pemimpin Islam sahaja dapat menunaikan amanah memakmurkan bumi Palestin dengan memberi hak yang adil kepada semua.
Kejayaan tentera Islam di zaman Khalifah Umar bin Al Khattab R.A. membebaskan Palestin daripada penjajahan Romawi disambut oleh Paderi besarnya dengan meminta Khalifah Umar datang menyaksikannya. Maka Khalifah Umar datang sehingga mengunjungi geraja besarnya, kemudian dimeteraikan perjanjian yang memberi hak yang adil kepada semua, kerana selama ini penjajah Romawi Byzantin yang beragama Kristian mazhab Ortodok, tidak melayani mereka yang tidak semazhab dengannya dan kerajaan Yahudi pula menzalimi mereka yang tidak seagama dengannya. Hal yang sama berlaku dalam era kelemahan kerajaan Islam, sehingga tentera salib menakluk Palestin. Keadaan menjadi baik semula, setelah Sultan Salahuddin Al Ayyubi daripada bangsa Kurdis dapat mengalahkan tentera Salib yang zalim dan membebaskan semula bumi Palastin. Lalu melayani semua pengunjungnya dengan adil.
Di zaman mutakhir, malapetaka menimpa bumi Palestin dengan memuncaknya keganasan, setelah Palestin dirampas dengan ganas oleh penjajah Barat yang menyimpan dendam terhadap Islam dan mengambil kesempatan daripada kelemahan umat Islam Arab yang memperkecilkan Islam dan membesarkan kebangsaan Arab sehingga melebihi Islam dan mengatasinya. Dalam pembahagian tanah air yang dijajah dikalangan penjajah barat, maka Palastin jatuh ke dalam bahagian penjajahan British. Perjanjian Balfore dimeteraikan diantara pemimpin Zionis Yahudi dangan Menteri Luar British, Lord Balfore bagi menyerahkan bumi Palastin kepada golongan Zionis untuk mendirikan negara kebangsaan Yahudi dinamakan Israel. Kalangan penganut mazhab Ortodok Yahudi menentangnya dan memberi amaran bahawa tindakan ini bercanggah dengan ajaran mereka dan boleh menguburkan bangsa Yahudi. Kalangan sekuler yang memisahkan agama yahudi daripada politik melakukan kesalahan besar ini, semata-mata menegakkan semangat kebangsaan dengan alasan sejarah bohong, bagi negara agung Israel yang pernah dipimpin oleh Nabi Sulaiman A.S. sehingga menakluk dunia.
Negara bernama Israel sebenarnya tidak wujud dalam peta dunia sejak Allah mencipta bumi. Negara ini diwujudkan secara haram oleh kuasa besar dunia selepas perang dunia kedua, bagi mengotakan perjanjian Balfore yang melibatkan British yang dibantu oleh zionis Yahudi, sejak perang dunia pertama lagi. Negara ini hukumnya haram mengikut hukum agama dan undang-undang antarabangsa ciptaan manusia. Ini kerana ia merampas daripada penduduk asalnya dan menghalau sebahagian besar daripada mereka. Negara kuasa besar dunia yang menjajah memejam mata bagi menghilangkan sifat perikemanusiaan mereka untuk melakukan jenayah bersejarah ini demi kepentingan mereka. Bahkan sebahagian pemimpin negara itu dibantu oleh wang dan media golongan zionis untuk berkuasa.
Dalam pertarungan politik dan ekonomi antarabangsa yang didalangi oleh kuasa besar dunia pula, menjadikan negara haram Israel rakan strategik untuk menjaga kepentingan mereka dirantau paling banyak membekalkan sumber tenaga kepada dunia, dan juga bertindak menjadi polis bagi pihak Barat terhadap dunia Islam.
Perkara ini ditambah lagi dengan sikap tidak saksama negara besar yang menghalalkan negara haram Israel memiliki senjata pemusnah yang diharamkan kerana tanpa perikemanusiaan. Israel sudah membinanya sejak tahun enam puluhan lagi dan menghalang dengan apa cara sahaja bagi melindungi jenayah kemanusiaan yang dilakukannya. Walaupun melalui badan antar bangsa yang paling besar dan berpengaruh, sehinggalah menggunakan kuasa veto paling zalim.
Bagi umat Islam sudah menjadi perkara wajib membebaskan Palestin sepenuhnya dan membela saudara mereka yang dizalimi, sehingga menjadi fardu ain kepada penduduk tempatan dan yang berjiran dan wajib mengikut kedudukan masing-masing di tempat yang jauh. Haram menerima kewujudan negara haram. Maka PAS yang berdasarkan Islam menolak penyelesaian wujud dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis. Bagi kami, hanya satu negara Palestin sahaja bagi penduduknya yang berhak.
Walau pun banyak kalangan negara Arab menerima penyelsaian secara mewujudkan dua negara, ketahuilah bahawa Palestin bukan hak orang Arab sahaja. Palestin adalah hak umat Islam seluruhnya. Kalangan penganut agama Yahudi yang kuat berpegang dengan agama Yahudi menolak wujudnya negara Israel dan menghukumnya dosa besar kerana tindakannya adalah menggali kubur untuk kaum yahudi sendiri, yang disedari melakukan jenayah dosa besar, membasahi bumi Palastin dengan darah para anbiya dan ulama yang soleh.
Bagi Penganut Islam, bacalah firman Allah dalam beberapa surah. Diantaranya firman Allah: وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ وَالْمَسْكَنَةُ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآَيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ (61 ) البقرة. 61. Lalu ditimpahkanlah kepada mereka nista dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan dari Allah. hal itu (terjadi) karena mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan. demikian itu (terjadi) karena mereka selalu berbuat durhaka dan melampaui batas. Firman Allah: إنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِآَيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ حَقٍّ وَيَقْتُلُونَ الَّذِينَ يَأْمُرُونَ بِالْقِسْطِ مِنَ النَّاسِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ (21) أُولَئِكَ الَّذِينَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَمَا لَهُمْ مِنْ نَاصِرِينَ (22 ) آل عمران . 21. Sesungguhnya orang-orang yang engkar kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tak dibenarkan dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka, bahawa mereka akan menerima siksa yang pedih. 22. Mereka itu adalah orang-orang yang lenyap (pahala) amal-amalnya di dunia dan akhirat, dan mereka sekali-kali tidak memperoleh penolong.
Bagi penganut Islam yang mendirikan solat lima waktu yang diwajibkan, memanjatkan doa pada tiap-tiap rakaat sembahyangnya supaya dijauhkan bersifat golongan yang dimurkai Allah, maksudnya saperti golongan Zionis Yahudi tersebut.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS | ||
Pemandu teksi tunjuk perasaan isu penyanyi Jepun Posted: 10 Feb 2012 04:51 PM PST 18 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - TAIPEI - Sekumpulan pemandu teksi Taiwan yang berang mengadakan tunjuk perasaan semalam bagi menuntut permohonan maaf selepas dua warga Jepun termasuk seorang penyanyi wanita dituduh memukul seorang pemandu teksi tempatan dengan teruk. "Kami menuntut kebenaran, kami menuntut maruah, kami mahu permohonan maaf," laung puluhan penunjuk perasaan yang berhimpun di Kedutaan Jepun di sini semasa mereka menyerahkan surat bantahan kepada seorang perwakilan Jepun. Ketika ini, terdapat kebimbangan kes tersebut akan membangkitkan sentimen anti-Jepun kerana Taiwan pernah menjadi koloni negara matahari terbit itu. Dalam perkembangan berkaitan, penyanyi dan aktres Jepun terbabit, Makiyo yang menetap di sini dan teman lelakinya telah disoal siasat kerana didakwa memukul seorang pemandu teksi yang mengarahkan mereka memakai tali pinggang keledar. Makiyo memberitahu wartawan selepas kejadian pada 2 Februari lalu bahawa dia tidak menyerang pemandu teksi berkenaan manakala temannya itu pula cuba untuk melindunginya selepas pemandu tersebut menyentuh dadanya dalam satu pertengkaran. Namun, wanita itu dikecam setelah rakaman kamera litar tertutup menunjukkan dia turut memukul lelaki terbabit dan mengapikan-apikan rakannya supaya memukul si mangsa. Menurut beberapa doktor yang merawat mangsa, pemandu teksi itu masih dirawat kerana cedera teruk di kepala manakala dua tulang rusuknya turut patah. - AFP | ||
Robot seperti dalam filem Avatar dicipta Posted: 10 Feb 2012 04:48 PM PST 18 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - YOKOHAMA - Seorang saintis Jepun hampir menjadikan filem blockbuster Hollywood, Avatar satu realiti apabila dia mencipta sebuah robot yang boleh meniru pergerakan manusia yang mengawalnya. Pengguna robot TELESAR V memakai peralatan khas yang bukan sahaja membolehkan mengawal aksi robot secara kawalan jauh tetapi mereka juga melihat, mendengar dan merasai sama seperti robot berkenaan. "Apabila saya memakai alat khas ini dan menggerakkan badan, saya melihat tangan saya seperti menjadi tangan robot dan apabila saya menggerakkan kepala, penglihatan saya turut berbeza daripada sebelumnya," kata penyelidik Sho Kamuro kepada agensi berita AFP. "Ia satu pengalaman aneh yang membuatkan anda terfikir sama ada anda benar-benar menjadi sebuah robot," katanya kepada agensi berita AFP. Pakar kejuruteraan dan realiti maya Sekolah Reka Bentuk Media, Universiti Keio, Profesor Susumu Tachi berkata, sistem pengendalian yang dipasang pada topi, baju dan sarung tangan menghantar arahan terperinci kepada robot yang akan meniru setiap gerakan pengguna. Pada masa yang sama, sejumlah sensor pada robot TELESAR V memancarkan kembali data yang akan ditukar menjadi bentuk yang boleh dirasai dan dilihat oleh pengguna. Teknologi TELESAR iaitu singkatan untuk TeLexistence Surrogate Anthropomorphic Robot memiliki mata berkamera untuk merakam imej. Imej yang dirakam, dipaparkan pada skrin halus di hadapan mata pengguna untuk penglihatan tiga dimensi. Filem Avatar yang ditayangkan pada tahun 2009 dan diarahkan oleh James Cameron, mengisahkan tentang teknologi untuk mengawal tubuh makhluk asing. - Agensi | ||
Perdana Menteri Hamas lawat Iran Posted: 10 Feb 2012 04:44 PM PST 18 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - TEHRAN 11 Feb. - Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniya (Gambar) tiba di Tehran semalam untuk lawatan tiga hari dan dijadualkan berucap pada perarakan ulang tahun ke-33 Revolusi Islam 1979 hari ini. Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan Presiden Mahmoud Ahmadinejad serta beberapa pemimpin tertinggi negara ini. Media tempatan turut melaporkan Haniya bakal menerima ijazah kehormat daripada Universiti Tehran. - AFP | ||
Pembunuh Perdana Menteri Serbia ditahan di Sepanyol Posted: 10 Feb 2012 04:42 PM PST 18 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - MADRID 11 Feb. - Polis Sepanyol menahan Vladimir Milisavljevic (Gambar), seorang daripada pelarian yang disabitkan kesalahan terhadap pembunuhan Perdana Menteri Serbia, Zoran Djindjic pada 2003. Milisavljevic, yang hidup dalam pelarian selepas disabitkan kesalahan pada 2007 dengan 11 orang yang lain atas tuduhan membunuh, ditahan pada Khamis lalu di sebuah restoran di timur bandar Valencia bersama seorang ketua mafia, Luka Bojovic. Bojovic dilaporkan menjadikan Milisavljevic sebagai orang kuatnya dalam kumpulan mafia Zemun Clan selepas pembunuhan Djindjic. - AFP | ||
28 maut, 235 cedera dalam dua serangan bom kereta di Syria Posted: 10 Feb 2012 04:38 PM PST 18 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - DAMSYIK 11 Feb. - Dua serangan bom kereta di pos keselamatan Syria di bandar Allepo semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh dan mencederakan 235 yang lain. Stesen televisyen negeri melaporkan, serangan di kawasan komersial itu dipercayai perbuatan kumpulan pengganas. Katanya, seorang pengebom berani mati menaiki sebuah kereta yang dipenuhi bahan letupan melancarkan serangan di sebuah balai polis yang terletak berdekatan pusat pengedaran makanan. Serangan kedua dilancarkan ke sebuah pangkalan pusat perisikan. - AF |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2011 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan