Jumaat, 24 Februari 2012

.

.


Anwar, pemimpin PKR sertai Himpunan Hijau 2.0

Posted: 24 Feb 2012 02:21 AM PST

Harakahdaily, 24 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 24 Feb: Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberikan sokongan penuh kepada Himpunan Hijau 2.0 yang akan diadakan di Kuantan pada 26 Februari ini.

Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan berkata, beliau telah mengeluarkan arahan kepada semua anggota PKR di Pahang khususnya dan di seluruh Malaysia umumnya untuk turut sama menyokong Himpunan Hijau 2.0 dan kempen Hentikan Lynas.

Sebelum ini, katanya Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat, NGO dan masyarakat setempat telah bersama-sama menentang projek radiaoktif Lynas di Gebeng, Pahang.

Malah, tambahnya Temurapat Pimpinan PKR pada 24 hingga 26 Februari ini yang pada awalnya dijadualkan di Lumut, Perak telah dipindahkan ke Kuantan, Pahang bagi membolehkan semua pimpinan parti diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri Himpunan Hijau 2.0.


Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/8323-anwar-pemimpin-pkr-sertai-himpunan-hijau-20

Fuziah: Memagar Padang, Untuk Halang Himpunan Hijau, Terbukti Ada Pihak Kini Semakin Terdesak!

Posted: 23 Feb 2012 10:03 PM PST

Thursday, February 23, 2012








KUANTAN, 23 Feb - Menjelang Himpunan Hijau 2.0 bagi membantah pembinaan pusat memproses nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng yang dijadualkan di Kuantan pada Ahad ini, lokasi perhimpunan di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mula dipagar oleh pihak berkuasa.

Dalam satu kenyataan akhbarnya, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh (foto) berkata pihak berkuasa dan majlis tempatan mula bertindak seperti yang tidak sepatutnya. "MPK bertindak seperti yang tidak sepatutnya yang menggambarkan seolah-olah tindakan terdesak sesetengah pihak yang dipercayai di belakang kerajaan negeri. "Dua hari lalu, notis memaklumkan MPK akan menganjurkan perlawan Futsal di padang berkenaan dan hari ini, ini pula," katanya.

Menurut pemimpin PKR itu, beliau telah menghubungi pejabat MPK dan dimaklumkan pagar berkenaan didirikan bagi menaik-taraf padang MPK1 untuk acara SUKMA yang dijadualkan pada Julai 2012. Namun apabila berbual dengan perkerja asing yang ditugaskan membina pagar itu, mereka memberitahunya, kerja itu diarahkan dibina secara tergesa-gesa. Fuziah juga diberitahu mereka dibawa dari Temerloh dan masalah penginapan mereka untuk malam ini juga belum diselesaikan oleh pihak yang mengarahkan mereka membina pagar itu.

"Nampaknya ada tangan tersembunyi dalam seluruh plot ini. Justeru, saya gesa MB (Dato' Sri Adnan Yaakub) supaya tidak bercakap dengan lidah bercabang. "Beliau berkata kehadiran berama-ramai orang ke Kuantan untuk Himpunan Hijau 2.0 adalah baik untuk ekonomi tempatan. Malah, beliau juga berkata dirinya mungkin datang ke majlis itu pada Ahad ini," kata Fuziah.

Sumber : http://pahangdaily.blogspot.com/

Himpunan Hijau 2.0 : MPK pagar padang, lagi cantik...

Posted: 23 Feb 2012 06:29 PM PST

Himpunan Hijau 2.0 : MPK pagar padang, lagi cantik...


himpunan hijau 2.0
Peduli apa kalau Majlis Perbandaran Kuantan nak pagar padang bandaran tu pun. Pada aku lagi elok Majlis Perbandaran Kuantan pagar padang tu, maknanya himpunan terpaksa dibuat di atas jalan. Kalau buat di atas jalan tentu lebih happening dari buat di atas padang.

Cukup cantik untuk orang belah pantai timur terutamanya sebagai persediaan untuk himpunan BERSIH 3.0 yang tentunya akan diadakan secara jalanan tak lama lagi.

Lagi cantik kalau ada FRU buat rodblock siap dengan water canon dan pasukan penembak gas pemedih mata.
Be a #NikonMotionHero! Submit entries with themes of 'Creative motion' & more..! WIN Nikon Cams! :D 
Sebelum ni dilaporkan Najib dan Adnan Yaakob macam tak peduli sangat dengan himpunan tu. Mungkin jugak kot sebelum ni depa dok agak Himpunan Hijau 2.0 tu takkan dapat sambutan. Depa yakin berdasarkan himpunan Lynas sebelum-sebelum ni, himpunan kali ni pun takkan ramai yang akan berhimpun.


Tapi lepas depa tengok ada arahan rasmi dari PAS supaya ahli dan penyokong PAS turun ke himpunan tu, mungkin depa dah rasa cuak. Mungkin depa takut sambutan macam Himpunan BERSIH 2.0 tahun lepas. Pasai tu la kut tiba-tiba padang tu dipagar.

Keadilan daily melaporkan:
KUANTAN 23 Feb: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh percaya ada tangan tersembunyi di sebalik tindakan memagar tapak himpunan Hijau 2.0, bertujuan menghalang bantahan loji memproses nadir bumi oleh Lynas Advanced Materials Plant (Lamp).

Dalam satu kenyataan, Fuziah berkata, padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), mula dipagar pihak berkuasa secara tergesa-gesa bagi menghalang himpunan tersebut yang bakal berlangsung di lokasi itu, Ahad ini.
"MPK bertindak seperti yang tidak sepatutnya, yang menggambarkan seolah-olah tindakan terdesak sesetengah pihak yang dipercayai di belakang kerajaan negeri.

"Dua hari lalu, notis memaklumkan MPK akan menganjurkan perlawan Futsal di padang berkenaan dan hari ini, ini pula," katanya.

Menurutnya, beliau telah menghubungi pejabat MPK dan dimaklumkan pagar berkenaan didirikan kononnya bagi menaik-taraf padang MPK1 untuk acara SUKMA yang dijadualkan pada Julai 2012. - Keadilandaily.
Sebelum ni Malaysiakini melaporkan:
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan kelulusan tersirat berhubung perhimpunan besar-besaran rakyat yang membantah tindakan kerajaan membenarkan Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) membina pusat memproses nadir bumi di Gebeng pada 26 Februari ini.

Ditanya sama ada kerajaan akan bertindak terhadap penganjur perhimpunan berkenaan yang dijadualkan di di Kuantan, Najib berkata:

"Mengapa kita harus bertindak terhadap perhimpunan itu? Setiap orang mempunyai hak untuk berhimpun," katanya. - Mkini.
Sebelum tu Harakahdaily ada melaporkan:
Adnan pula dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar, berkata Kerajaan Negeri Pahang mengalu-alukan kehadiran dan menyambut mereka (peserta) dengan tangan terbuka kerana ia dianggap pelancongan dan akan menambahkan sumber pendapatan peniaga dan pengusaha hotel di bandar ini.

"Mustahil mereka yang datang tidak berbelanja, makan dan menginap di hotel di sini, jadi ia boleh meningkatkan pendapatan golongan peniaga.

"Kalau boleh, kita galakkan lebih ramai yang datang, lebih ramai lebih bagus, iaitu jadikan ia seramai 30,000 orang datang ke perhimpunan tersebut," katanya sebagaimana disiarkan media.

Adnan mengakui negara ini adalah negara demokrasi dan menerima daripada mana mereka yang datang asalkan ia tidak melanggar undang-undang dan menggugat ketenteraman orang ramai.

"Lagipun ramai orang suka datang ke sini (Kuantan), cuacanya baik, polis baik tak tangkap orang, ada pantai. - Hrkh.
Apa pun, kepada semua kaki demonstrasi, selamat berhimpun. Moga-moga ada pancutan air kimia dan pemedih mata Ahad ni. Aku tau ramai yang dah ketagih sangat nak rasa air kimia dan gas pemedih mata tu.




Source: http://cenangau.blogspot.com/2012/02/himpunan-hijau-20-mpk-pagar-padang-lagi.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FARTP+%28Cenangau%40blogspot.com%29

Radiasi kilang Lynas sudah tersebar!

Posted: 23 Feb 2012 06:10 PM PST


26 Februari ini, masa depan bumi Kuantan bakal ditentukan; samada bumi ini mampu dipertahankan dengan kuasa rakyat, atau kapitalis terus menang lagi. Ini bukan kali pertama dalam sejarah negara kita, bumi kita dieksploitasi untuk kepentingan dan keuntungan orang-orang kaya dan kapitalis asing.

Sejarah sudah membuktikan bahawa segala macam sumber perut bumi kita telah teruk dirompak demi keuntungan sesetangah pihak; dan keuntungan ini tidak mungkin dinikmati sama oleh masyarakat tempatan. Jika dahulu, hasil-hasil bumi seperti timah, balak dan getah menjadi sumber-sumber yang dirompak serakusnya dari bumi kita, hari ini, selepas hasil-hasil ini sudah kontang, bumi kita digunakan lagi sekali oleh pihak asing; kali ini, untuk memproses bahan beradioaktif. Dari jauh di tanah asing, sanggup diangkut nadir bumi ini, dan diproses di bumi kita dan kemudian akan diangkut semula ke bumi asing itu. Mengapa? Mengapa nadir bumi ini tidak diproses sahaja di tempat asalanya? Bukankah lebih menjimatkan? Sekali lagi bumi kita hanya menjadi mangsa eksploitasi.

Dalam dunia ini, diketahui bahawa hasil nadir bumi ini sentiasa diproses di Tanah Besar China. Biarlah pakar-pakar mengulas dengan lebih mendalam akan perihal ini; bagi saya sebab musababnya pastilah kerana ia tidak selamat diproses di tempat asalnya, berbanding Tanah Besar China yang tidak pernah kekurangan ruang yang selamat. Semudah itu. Malangnya, apabila nadir bumi ini dicadangkan agar diproses di bumi kita, kerajaan kita bersorak gembira; kononnya bakal jadi negara yang boleh memecahkan monopoli China dalam industri ini. Alang naifnya. Kilang sekecil yang terdapat di Gebeng itu hanya ibarat kedai runcit kampung yang cuba bersaing dengan gedung membeli belah milik usahawan dari negara atas angin, tidak mungkin ia memecahkan monopoli, dan semestinya satu hari nanti terpaksa pula bergantung kembali kepada kuasa besar itu. Bagi saya, sebelum berniat untuk memecahkan monopoli industri bahan beradioaktif, baiklah diselesaikan dahulu masalah ayam dan daging yang masih belum cukup dan sentiasa mahal di pasar borong.

Satu perkara yang sering menjadi kerisauan atas isu kilang Lynas ini adalah kesan radiasinya. Seperti yang didedahkan media dan pengkaji, Lynas sendiri mengakui bahawa mereka tidak mempunyai persediaan yang cukup untuk menguruskan sisa buangan kilang ini, apa lagi mekanisma keselamatan menghadapi risiko tersebarnya gelombang radioaktif. Namun yang demikian, ramai yang tidak sedar, bahawa radiasi kilang ini telahpun lama tersebar! Tersebarnya radiasi berbahaya ini bagaimanapun secara terpilih. Saya yakin, penduduk Kuantan yang setiap minggu berkumpul menyuarakan bantahan tidak dicemari dengan radiasi ini, sebaliknya yang terkena kesannya adalah orang-orang yang kebanyakannya tinggal di Kuala Lumpur dan Putrajaya, dan sebahagian kecil di bumi Kuantan sendiri.

Radiasi yang tersebar ini tidak pula menjejaskan jantung, saraf, paru-paru, mahupun kulit! Satu-satunya organ yang terjejas teruk oleh radiasi dari kilang Lynas di Gebeng ini hanyalah otak; dan sesekali mulut.

Radiasi sedia diketahui mampu menjejaskan fungsi otak. Samada kita gagal mengawalnya, atau otak tidak berfungsi dengan sepatutnya. Kesan terhadap otak ini pula disedari hanya tersebar di Putrajaya dan Kuala Lumpur, dan mangsanya sentiasa dilihat samada berbaju kemeja lengkap bertali leher, berbaju batik, ataupun bersongkok tinggi. Radiasi dari nadir bumi Lynas yang hinggap di otak ini turut disedari tidak mengenal pangkat dan taraf sosial. Setakat ini, empat lapisan masyarakat yang dikesan terjangkit otaknya dengan partikel radiasi ini bergelar menteri, ketua cawangan, media dan mahasiswa.

Yang paling awal terkena kesan berbahaya ini tentulah menteri, dan berlakunya infeksi ini sebaik sahaja selesai upacara menandatangani perjanjian antara mereka dengan pemilik kilang nadir bumi Lynas ini. Radiasi ini telah menjadikan mereka tidak mampu untuk bercakap benar, gemar mengeluarkan kenyataan yang cetek, dan tidak lagi berpegang pada janji "rakyat didahulukan". Arakian, selepas mereka dijangkiti, diketahui bahawa tersebarnya pula kesan radiasi ini ke tiga lapisan yang lain melalui tangan, mulut, dan akaun bank.

Lapisan kedua iaitu ketua cawangan, diikuti dengan media, dan mahasiswa seperti yang dikatakan tadi, dijangkiti juga sebelum kilang Lynas ini beroperasi lagi. Dengan hanya berbalas salaman antara menteri dengan ketua cawangan, dilapik dengan transaksi akaun bank, maka otak ketua-ketua cawangan ini pun turut sama dijangkiti oleh radiasi yang terus membengkak. Jika radiasi pada menteri membuatkan mereka berbohong, dan melupakan janji; radiasi pada ketua-ketua cawangan ini menjejaskan kebolehan bersuara dan berbudi bahasa mereka mereka. Maka keluarlah kata-kata kesat yang diselang-selikan dengan penumbuk dan penendang ke atas orang-orang tempatan yang tidak dihinggapi partikel radiasi walaupun saban waktu berkampung di sekitar kawasan kilang Lynas itu.

Pada pihak media pula, melalui mulut menteri, kesan radiasi ini disebarkan melalui kenyataan dan kemudian disambut dengan ulasan-ulasan karut. Otak yang dijangkiti ini menyebabkan mereka menjadi berat sebelah dan mula menggadai identiti. Bayangkan, bagaimana seorang penyampai televisyen yang terkenal sebagai pejuang alam sekitar, boleh berubah kiblatnya menjadi pejuang kilang radioaktif. Betapa hebatnya penangan kesan radiasi yang disebar oleh menteri ini. Akhir sekali, golongan yang selama ini dilihat sebagai pembela hak masyarakat pula turut dihinggapi. Sekali lagi, melalui tangan yang bersalam, mulut yang memuji, radiasi disebarkan. Menggunakan taraf sebagai mahasiswa, mereka mempertahankan kilang radioaktif ini dengan kata-kata muluk yang kadang kala diselang-seli dengan hujah ala bilik kuliah. Sedihnya melihat bagaimana otak-otak ini dirosakkan oleh radiasi kilang nadir bumi Lynas ini. Inilah yang dimaksudkan bahawa bahaya radiasi ini bukan perkara main-main. Belum lagi beroperasi sepenuhnya, sudah pun kesan buruknya tersebar, bayangkan bagaimana agaknya masa hadapan penduduk Kuantan?

Hari ini, kilang maut Lynas ini sudah pun mendapatkan kebenaran sementara untuk beroperasi. Masa kian suntuk untuk kita membuktikan bahawa seperti di Bukit Merah dahulu, kilang ini harus ditutup, dan Lynas ini harus dihalau! Mengaut keuntungan wang ringgit untuk dinikmati hanya sesetengah individu berkepentingan tidak semulia mempertahankan nyawa dan kesihatan puluhan ribu penduduk tempatan yang berada di sekitar kilang tersebut. Sejarah dunia sudah membuktikan bagaimana pusat-pusat operasi yang memuntahkan radiasi ini tidak pernah selamat. Jika Ukraine dan Jepun yang kepakarannya tidak pernah diragui suatu masa dahulu sudah pun menjadi mangsa; apa lagi kita? Seperti sindiran popular yang sering dilempar kepada pihak berwajib: sebelum bina kilang beradioaktif, baiki dahulu tingkap kereta Proton! Sekurang-kurangnya, bila radiasi mula tersebar, sempat kita menutup tingkap kereta untuk menapis partikel-partikel maut itu dari terkena diri kita, atau sekurang-kurangnya, otak kita.


*Adam Adli ialah aktivis mahasiswa, bergiat aktif dalam pertubuhan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).


Source: http://merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12757

PENYENARAIAN FELDA & CADANGAN BALAS – PEMUDA PAS

Posted: 23 Feb 2012 01:35 PM PST

Nasrudin Hassan & Mohd Syahir Sulaiman

Pertanian Adalah Ibadah

1. Usaha mencari rezeki dan memakmurkan tanah sebagai sumber pendapatan yang halal adalah sebahagian daripada tuntutan agama Islam dan dikira sebagai salah satu daripada cabang ibadah. Di dalam lipatan sejarah Islam, banyak riwayat yang mencatitkan penglibatan nabi-nabi terdahulu di dalam aktiviti-aktiviti pertanian dan penternakan di samping melaksanakan tugasan utama mereka iaitu menyampaikan risalah dakwah kepada manusia agar mentauhidkan diri kepada Allah s.w.t.

2. Sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w. dikenali sebagai penggembala kambing yang paling dipercayai ketika di usia remaja, Nabi turut menggalakkan aktiviti pertanian dijalankan oleh para sahabat sebagai sumber pendapatan utama. Setelah Nabi Muhammad s.a.w. tiba di Madinah, Baginda telah menganjurkan agar usaha pertanian dipertingkatkan di bumi Madinah yang pada ketika itu sememangnya sebuah lembah wadi yang subur. Malah kaum Muhajirin yang berhijrah bersama Baginda diaturkan supaya bekerjasama dengan kaum Ansar iaitu penduduk asal Madinah di dalam usaha-usaha pertanian.

"Dari Jabir r.a. berkata: Kami biasa menyewa tanah dengan mendapatkan sebagai dari hasil (mukhabarah), kemudian kami mendapat hasil tanah itu begini dan begini. Maka sabda Rasulullah s.a.w:"Barangsiapa memiliki tanah, maka tanamilah sendiri atau suruhlah saudaranya untuk menanaminya, kalau tidak, tinggalkanlah." (Riwayat Ahmad dan Muslim)

3. Dalam konteks di Malaysia, inisiatif yang diambil oleh Almarhum Tun Abdul Razak dalam memperkenalkan skim tanah rancangan FELDA yang bertujuan memberi pemilikan tanah kepada rakyat sebagai sumber aktiviti ekonomi yang mampan amatlah dihargai. Dasar yang penuh berwawasan ini adalah amat signifikan dalam menjayakan agenda peningkatan tahap sosia-ekonomi rakyat di luar bandar, khususnya kepada golongan belia dan yang kurang berkemampuan.

4. Namun, tujuan asal penubuhan FELDA ini sedikit sebanyak mula terhakis dek peredaran zaman dan campurtangan politik yang menjejaskan hak dan masa depan peneroka dan generasi seterusnya.

Polemik Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH)

5. Pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia (Pemuda PAS) menyambut baik perintah injunksi interim oleh Mahkamah Tinggi Kuantan dan notis pembatalan Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF yang dijadualkan berlangsung pada 22 Februari 2012, serta mengucapkan sekalung tahniah kepada Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang gigih menyedarkan rakyat dan peneroka akan kesan buruk natijah cadangan penyenaraian ini.

6. Pemuda PAS berpendapat cadangan penyenaraian FGVH ini perlu ditolak atas empat premis berikut:

i. Hak tanah - Penyerahan hak tanah peneroka kepada FGVH adalah bertentangan dengan tujuan asal penubuhan FELDA dan merugikan peneroka dalam jangka masa panjang;

ii. Peneroka membuat keputusan tanpa nasihat kewangan – Tatkala penganalisis dan pengurus dana pelaburan masih menunggu butiran cadangan penyenaraian, adalah tidak munasabah untuk perwakilan KPF untuk membuat keputusan menyokong atau membantah cadangan ini, tanpa nasihat kewangan yang menyeluruh berkenaan impak untung-rugi, seterusnya memberi mandat kepada Lembaga Pengarah untuk merunding dan memutuskan terma penyenaraian. Setiap ahli dan perwakilan KPF berhak mendapat nasihat dan butiran terperinci sebelum membuat keputusan pelaburan yang bernilai berbilion ringgit ini;

iii. Imbuhan 'durian runtuh' – Laba keuntungan jangka pendek kepada peneroka yang masih belum pasti nilainya, malah tidak setimpal dengan risiko yang diambil oleh peneroka yang menggadaikan pemilikan tanah masing-masing;
iv. Tiada keperluan ekonomi untuk penyenaraian – Lazimnya, sesebuah entiti perniagaan akan disenaraikan sebagai langkah menambah modal untuk menampung keperluan perniagaan yang lebih besar. Dalam keadaan Felda Holdings dan KPF yang mencatatkan keuntungan hasil daripada perniagaan perladangan, adalah tidak ekonomikal untuk mereka dipaksa menampung risiko dan kerugian yang ditanggung oleh FGVH.

7. Pemuda PAS mengulangi komitmen untuk berganding-bahu dengan semua pihak khususnya ANAK serta rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat dan NGO-NGO untuk menggerakkan program penerangan dan kesedaran melalui penganjuran aktiviti santai bersama generasi belia FELDA yang telah dan akan kami laksanakan di peringkat Pemuda PAS Kawasan, antaranya siri jelajah Jom Ubah dan program 'Orang Muda Geng Kita'.

8. Di samping program-program turun padang, Pemuda PAS berpendapat sudah tiba masanya pihak-pihak yang prihatin ini duduk semeja untuk mencari formula terbaik bagi membantah cadangan penyenaraian FGVH dengan mengemukakan cadangan balas (counter-offer) untuk dikemukakan kepada golongan peneroka sebagai pilihan untuk menolak cadangan yang dikemukakan oleh pihak kerajaan.

9. Pemuda PAS dengan berbesar hati tampil dengan enam gagasan berikut sebagai kerangka awal perbincangan 'Cadangan Balas Pakatan Rakyat Terhadap Cadangan Penyenaraian FGVH':

i. Penstrukturan korporat - Kekalkan status 51% sedia ada (status-quo) KPF yang menjamin hak peneroka sebagai pemilik mutlak terhadap tanah, operasi, dan keuntungan FELDA;

ii. Penstrukturan model perniagaan – Melupuskan perniagaan-perniagaan bukan teras (divestment of non-core business) yang mengalami kerugian atau menyumbangkan keuntungan yang kecil berbanding kos pengurusan yang tinggi. Ini sebagaimana yang telah diambil oleh Sime Darby dan Khazanah Nasional sebagai langkah mengoptimakan agihan modal (capital allocation) dan memaksimakan keuntungan (profit maximization) kepada pemegang saham. FELDA boleh mengambil model strategi perniagaan "more upstream, profitable downstream" (peningkatan hasil di huluan, peningkatan keuntungan di hiliran) dan langkah ini diunjurkan mampu meningkatkan 15% keuntungan dalam tempoh tiga tahun;

iii. Partisipasi peneroka dalam aktiviti ekonomi FELDA – Keutamaan diberi kepada pihak koperasi dan anak peneroka dalam aspek peluang pekerjaan dan pemberian kontrak seperti perbekalan baja, kerja tanaman semula, perbekalan pekerja, penyelenggaraan ladang peneroka, projek landskap, penyelenggaraan aset, penternakan haiwan, tanaman kontan dan seumpamanya. Selain mampu menjana pendapatan sampingan kepada peneroka, diunjurkan hampir 300 peluang pekerjaan mampu dihasilkan di setiap 300 gugusan rancangan FELDA yang membawa kepada angka 90,000 peluang pekerjaan kepada golongan belia seluruhnya;

iv. Sistem pewarisan – Menggantikan sistem penama pewaris yang digunapakai sekarang kepada sistem pewarisan Islam seperti wasiat, faraidh, dan waqaf. Agensi Amanah Raya boleh dilantik untuk memberi khidmat nasihat kepada pihak FELDA dan peneroka bagi memastikan 100% pemilikan tanah peneroka tidak terlepas tangan kepada pihak tidak bertanggungjawab;

v. Etika urus tadbir dan professionalisma – Amalan tender terbuka dan penglibatan wakil peneroka di dalam jawatankuasa tender, sistem gred perahan minyak (OER) yang telus, pembudayaan etika urus tadbir dan amanah yang tinggi di peringkat pembuat keputusan dan pengurusan, memperkenalkan skim penjawatan dan gaji yang lebih kompetitif, serta mengurangkan campurtangan politik di dalam pengurusan FELDA. Keuntungan FELDA sedia ada diunjurkan mampu meningkat 25% dalam tempoh 5 tahun jika diurus tadbir dengan penuh amanah (governance);

vi. Amalan operasi lestari (sustainability) – Mengemaskini manual kerja di ladang kelapa sawit mengikut piawaian antarabangsa RSPO dan amalan terbaik yang digunapakai oleh pemain industri perladangan yang lain seperti Sime Darby, IOI dan KLK.

10. Sekali lagi kami Pemuda PAS tegaskan, jangan dikhianati tujuan asal penubuhan FELDA dan bersamalah kita membela hak peneroka FELDA.


Nasrudin Hassan adalah Ketua Pemuda PAS Malaysia. Beliau sendiri merupakan seorang anak peneroka yang membesar di rancangan FELDA Keratong, Pahang.

Mohd Syahir Sulaiman adalah Pengarah Institut Polisi Studi DPPM.

22 Februari 2012

Tiada ulasan:

Nuffnang