Selasa, 31 Januari 2012

R Sivarasa - Ahli Parlimen Subang

R Sivarasa - Ahli Parlimen Subang


Re: Rumah Panjang Bunga Raya

Posted: 31 Jan 2012 02:40 AM PST

KENYATAAN AKHBAR OLEH YB SIVARASA RASIAH bertarikh 31 hb Januari 2012.




"UMNO/BN yang sebenarnya yang melakukan penindasan terhadap penduduk Rumah Panjang Bunga Raya tempoh 1993 -2008."





Dengan mengapikan isu rumah kos rendah untuk penduduk rumah panjang Bunga Raya di Subang, UMNO/BN sekali lagi mengambil kesempatan mencuba memperbodohkan rakyat dan mempermainkan emosi rakyat. Saya yakin penuh penduduk Subang tidak akan termakan oleh propaganda mereka.



Penduduk Subang tahu dan faham masalah penduduk rumah panjang Bunga Raya adalah masalah tinggalan dari zaman UMNO/BN memerintah negeri Selangor.



Pada tahun 1993, penduduk Kg Bunga Raya telah dipindahkan ke rumah panjang mereka di sana kerana tapak rumah asal mereka akan dibangunkan oleh Syarikat Sinar Fadzilat Sdn Bhd. UMNO/BN telah menjanjikan untuk membina rumah kos rendah di tapak bersebelahan dengan rumah panjang.



Malangnya selepas dua tahun, ini tidak berlaku dan sebaliknya tapak tersebut didirikan banglo-banglo mewah yang dimiliki antaranya oleh pemimpin-pemimpin BN tempatan.

Penduduk rumah panjang terpaksa terus tinggal dalam rumah sementara mereka yang semakin tahun menjadi semakin daif. Sepuluh tahun kemudian pada 2003, BN sekali lagi menjanjikan mereka pangsapuri kos rendah di Jalan Pluto yang akan dimajukan oleh pemaju kedua Unique Creation S/B.



Perjanjian jual-beli ditandatangani pada tahun 2003 dan projek dijangka siap dalam tahun 2004. Malangnya projek tersebut dibenarkan oleh UMNO/BN menjadi projek terbengkalai serupa dengan 140 projek terbengkalai lain di Selangor. Ratusan pembeli rumah kos rendah termasuk penduduk rumah panjang di Bunga Raya terpaksa terus menderita tanpa menerima rumah kos rendah mereka. Pemimpin UMNO/BN tempatan terus menetap dalam rumah banglo mewah mereka.



Penduduk-penduduk rumah panjang juga telah mendakwa bahawa RM 4500 wang pampasan yang patut dibayar kepada setiap keluarga oleh pemaju lama telah diambil oleh Pengerusi MIC Subang En N R Krishnan melalui bekas ADUN UMNO Mokhtar Dahlan. Saya difahamkan En Krishnan sekarang tinggal di sebuah banglo mewah di kawasan bersebelah Kg Bunga Raya.



Selepas 2004 penduduk-penduduk Rumah Panjang Bunga Raya dilupakan begitu sahaja oleh UMNO/BN seolah-olah mereka tidak wujud. Rumah panjang tersebut didirikan pada tahun 1993 dengan tujuan digunakan hanya untuk tempoh dua tahun namun penduduk terpaksa terus menetap disitu dalam keadaan daif sehingga hari ini.



Kesemua ini berlaku dalam zaman kegelapan UMNO/BN memerintah di Selangor. Walaupun hanya setahun mengambil alih pentadbiran di Selangor, Pakatan Rakyat mula mencari penyelesaian pada tahun 2009. Pemulihan projek perumahan terbengkalai khususnya yang melibatkan rumah kos rendah yang terhutang berjuta ringgit bukan satu perkara mudah. Namun, usaha memulihkan projek terbengkalai di Jalan Pluto oleh pemaju baru ECL Sdn Bhd yang melibatkan hampir 500 pembeli termasuk 57 keluarga daripada rumah panjang Bunga Raya telah dimulakan.



Isu-isu saperti tunggakan cukai tanah dan cukai taksiran berjumlah berjuta-juta ringgit oleh pemaju lama telah menyebabkan sedikit penangguhan masa untuk mengatasi masalah ini.



Saya bersama dengan YB Dr Nasir, ADUN Kota Damansara akan terus berbincang dengan EXCO Kerajaan Selangor YB Ir Iskandar Samad dan Menteri Besar Selangor untuk mempercepatkan penyelesaian masalah ini.



Jelas UMNO/BN kini amat gelisah kerana pemulihan projek terbengkalai di Jalan Pluto adalah dalam proces pelaksanaan oleh pihak ECL Sdn Bhd. Tiga blok rumah pangsapuri kos rendah dengan jumlah 480 unit akan disiapkan oleh mereka. Sekarang blok pertama telah dimulakan dan sudah hampir 70% siap. Masalah penduduk-penduduk Rumah Panjang Bunga Raya dan pembeli-pembeli lain akan diselesaikan dalam jangka masa yang diperlukan.



Selama 15 tahun ( 1993 - 2008 ) penghuni Rumah Panjang Bunga Raya telah dilupakan oleh pemerintahan UMNO/BN. Tapak tanah rumah kos rendah mereka yang asal telah diambil oleh pemimpin UMNO/BN dan didirikan rumah banglo. UMNO/BN sendirilah yang menindas penduduk Bunga Raya!



Tetap tiba-tiba pada hari Ahad 28hb Januari 2012, setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Shafie Abdullah telah turun ke Bunga Raya dan membuat janji kepada penduduk bahawa BN akan menyiapkan rumah mereka selepas PRU 13 sekira mereka memerintah semula kerajaan Selangor.



Janji ini yang dibuat bagi pihak Perdana Menteri memang satu janji yang palsu dan tidak ikhlas! Kenapa tidak ikhlas? - sebab, untuk tempoh 15 tahun daripada tahun 1993 ke 2008 semasa memerintah Selangor dan Malaysia, UMNO/BN langsung tidak pernah peduli kepentingan penduduk rumah panjang Bunga Raya dan cuba selesaikan masalah perumahan mereka. Malah pemimpin BN sendiri telah ambil tanah asal yang diperuntukkan sebagai tapak rumah kos rendah dan menghancurkan segala harapan penduduk yang miskin untuk menerima rumah mereka.



Sebaliknya, Datuk Shafie Abdullah sepatutnya minta maaf kepada penduduk Bunga Raya dan ratusan pembeli rumah kos rendah atas penindasan yang telah dilakukan terhadap mereka oleh UMNO/BN.





YB Sivarasa Rasiah

Ahli Parlimen Subang



Tiada ulasan:

Nuffnang