Jumaat, 27 Januari 2012

Mohamad Taufek Abd Ghani

Mohamad Taufek Abd Ghani


Kejohanan Futsal 12 Feb 2012 di Kota, Chembong

Posted: 27 Jan 2012 12:13 AM PST



KEJOHANAN TERTUTUP FUTSAL KAMPUNG DAERAH REMBAU
Tarikh : 12 Februari 2012 (AHAD)
Tempat : Gelanggang Futsal Terbuka Kg Sungai Layang, Rembau
Yuran : RM 50/pasukan

Hadiah :
Tempat Pertama : RM800 + Medal
Tempat Kedua : RM500 + Medal
Tempat Ketiga : RM300 + Medal
Tempat Keempat : Saguhati dan Medal

Untuk pertanyaan dan penyertaan sila hubungi :
Syukur 013-2124086
Azman 019-9519544

Sila dapatkan borang dan syarat penyertaan di http://yam-ns.blogspot.com/

Manifesto Pakatan NS berdepan PRU 13

Posted: 26 Jan 2012 10:52 PM PST



Manifesto Pakatan NS berdepan PRU 13
Zefry Dahalan January 27, 2012

Manifesto yang mempunyai sembilan elemen (tonggak) itu diberi nama "Pakatan Rakyat Prihatin Rakyat" - Tonggak Nan Sembilan.

Manifesto Pakatan Rakyat Negeri Sembilan yang dilancarkan baru-baru ini terbukti sebagai sebuah manifesto yang prihatin rakyat seandainya Pakatan mampu menawan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Manifesto tersebut dilancarkan dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.

Manifesto yang mempunyai sembilan elemen (tonggak) itu diberi nama "Pakatan Rakyat Prihatin Rakyat" – Tonggak Nan Sembilan.

Sembilan adalah angka sinonim dengan nama Negeri Sembilan itu sendiri yang terbentuk daripada sembilan daerah pada satu ketika dahulu. Nan pula bermaksud 'yang' dalam loghat Negeri Sembilan.

Antara elemen yang mampu menarik perhatian pengundi ialah pelaksanaan menukar tanah tempat kediaman milik pajakan (leasehold) kepada milik kekal (freehold) serta memberi hak milik kepada pemegang tanah TOL yang telah diusahakan atau diduduki selama 25 tahun ke atas.

Dalam konteks pendidikan, tawaran RM1,500 kepada pelajar yang berjaya mengikuti ijazah pertama dan RM1,000 diploma di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta mampu menarik pengundi muda.

Menaikkan elaun guru KAFA kepada RM1,000 sebulan dan memberi elaun RM250 sebulan kepada guru Al Qur'an juga mampu menarik sokongan daripada golongan pendidik ini.

Bantuan tahunan RM500 kepada ibu tunggal yang layak dan RM100 bagi setiap kelahiran bayi pula akan menarik sokongan kepada Pakatan dari golongan wanita yang sebelum ini majoritinya sentiasa berpihak kepada Barisan Nasional.

http://www.freemalaysiatoday.com/2012/01/27/manifesto-pakatan-ns-berdepan-pru-13/

Manifesto Pakatan NS ceduk idea BN

Posted: 26 Jan 2012 10:51 PM PST



Manifesto Pakatan NS ceduk idea BN
Zefry Dahalan January 27, 2012

Manifesto Pakatan itu sebenarnya menceduk idea kerajaan negeri dan berasaskan dari apa yang telah dilaksanakan kerajaan BN, kata MB Negeri Sembilan.

SEREMBAN: Menteri Besar Dato' Sri Mohamad Hasan menasihatkan rakyat Negeri Sembilan agar tidak terpengaruh dengan Manifesto Pakatan Rakyat Negeri Sembilan untuk Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Beliau berkata manifesto yang dilancarkan Pakatan itu sebenarnya menceduk idea kerajaan negeri dan berasaskan dari apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Tegasnya, "mereka mengambil idea dari pelaksanaan kita dan mencari sesuatu yang tidak betul bagi menyelar BN serta menidakkan apa yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan negeri selama ini.

"Apa yang pasti semua idea dalam manifesto Pakatan telah pun kita laksanakan. Contohnya dalam pengisytiharan harta benda, BN telah lama lakukan.

"Semua harta benda saya isytiharkan dan hantar maklumat kepada Perdana Menteri manakala semua ahli Exco kerajaan negeri pula isytiharkan harta mereka kepada saya selaku Menteri Besar.

"Kita sudah buat manakala mereka baru rancang hendak buat," kata Mohd Hasan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau.

Pakatan isytihar harta kepada rakyat

Sementara itu Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan (AMKNS), Mohd Nazree Mohd Yunus menyifatkan Mohd Hasan begitu dangkal dalam memberikan pandangan bahawa semua idea dalam Manifesto Pakatan Negeri Sembilan telah dilaksanakan oleh BN termasuk soal pengisytiharan harta.

"AMKNS membidas dakwaan ini kerana pimpinan Umno-BN dalam kerajaan Negeri Sembilan sekadar mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri dan Menteri Besar sendiri sedangkan hasrat Pakatan ialah harta itu perlu diisytiharkan kepada rakyat.

"Semakan di laman web rasmi kerajaan Negeri Sembilan jelas menunjukkan bahawa tidak ada langsung akses kepada kedudukan dan pengisytiharan harta Exco kerajaan Negeri Sembilan berbanding Exco Pakatan di Selangor dan Pulau Pinang.

"AMKNS membuka ruang dan mencabar Mohd Hasan untuk berdebat atau berforum mengenai isu Manifesto Pakatan. Rakyat perlu mendapat penjelasan yang lebih lanjut berkaitan kandungan Manifesto Pakatan Negeri Sembilan supaya tidak dikelirukan dengan pandangan dangkal pimpinan Umno-BN seperti yang dinyatakan oleh Mohd Hasan," ujar Mohd Nazree

Mohd Nazree berkata beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sejauh mana nilai Manifesto Pakatan Negeri Sembilan berbanding tohmahan cedukan idea oleh Menteri Besar Negeri Sembilan.

Rakyat boleh membandingkan prestasi tiga tahun Pakatan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan mutakhir ini berbanding sebelum ini di bawah BN.

http://www.freemalaysiatoday.com/2012/01/27/manifesto-pakatan-ns-ceduk-idea-bn/

Pelajar Dakwa Duit PTPTN ‘Dirompak’ Kolej Sendiri

Posted: 26 Jan 2012 04:09 PM PST



Pelajar Dakwa Duit PTPTN 'Dirompak' Kolej Sendiri
January 26, 2012

KUALA LUMPUR – Sebuah kolej di Mantin, Negeri Sembilan didakwa 'merompak' secara senyap duit Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pelajar-pelajarnya.

Duit yang sepatutnya untuk kegunaan harian pelajar-pelajar didakwa telah diseleweng dengan kaedah 'debit akaun' atau dipotong terus daripada akaun apabila duit sudah dimasukkan ke dalamnya

Menurut Pengarah Sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Dr. Izham Nayan, pihak kolej telah menyeleweng duit pinjaman sebanyak RM18,000 bagi setiap seorang pelajar.

" PTPTN telah memberikan sebanyak RM56,000 sebagai pinjaman kepada pelajar untuk membayar yuran pengajian sebanyak RM36,000 dan baki pinjaman seharusnya digunakan untuk perbelanjaan pelajar sendiri.

"Tetapi baki pinjaman itu tidak diterima oleh pelajar, kemana wang itu pergi? Saya agak kecewa dengan tindakan kolej tersebut yang 'merompak' duit pelajar-pelajarnya sendiri," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Hafisza Abdul Ghani, 24, pelajar tahun akhir jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan yang mewakili pelajar-pelajar lain yang 'ditipu' berkata, mereka telah dipaksa untuk menandatangani satu borang 'tambahan' yang tidak diketahui tujuannya.

Bukan itu sahaja, katanya, pihak kolej langsung tidak memberikan masa yang cukup untuk mereka menyemak dan membaca segala peraturan pinjaman PTPTN dengan terperinci serta tidak dibenarkan bertanya dengan lanjut akan perihal borang 'tambahan' tersebut.

" Kami dipaksa untuk tanda tangan borang pinjaman dan tak ada masa nak semak butir-butir pinjaman termasuklah terpaksa meniru tanda tangan ibu bapa kami. Selepas selesai proses itu, baru kami tahu borang tambahan tu sebenarnya borang kebenaran memotong duit PTPTN dari akaun kami," terang Hafisza.

Ekoran dari 'keterpaksaan' menanda tangani borang pinjaman tersebut, Hafisza dan rakan-rakannya terpaksa menanggung 'derita' apabila tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menampung pengajiannya.

Malah, katanya, dia terpaksa bekerja sambilan untuk mencari sumber kewangan sendiri memandangkan keluarganya tidak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung.

"Selepas proses pinjaman, duit yang masuk dalam akaun RM100 sahaja. Bayangkan, apa yang saya boleh buat dengan duit sebanyak tu selama enam bulan setiap semester?" terang Hafisza.

Sebelum ini, laporan berkenaan isu ini telah pun dibangkitkan dan dua laporan polis telah dilakukan pada hujung tahun 2010 dan awal tahun 2011, namun, tiada sebarang tindakan polis yang dikenakan terhadap pihak kolej.

Mungkin kerana takut imejnya akan terjejas, pihak kolej berkenaan 'berjanji' akan memulangkan semula duit 'rompakan' RM18,000 kepada setiap para pelajar.

Tetapi, pihak pengurusan kolej hanya membayar duit berkenaan sebanyak RM9,000 sahaja kepada lima orang pelajar sebagai menutup 'mulut' para pelajar dari terus menuntut hak mereka.

Pun begitu, pihak kolej sekali lagi berani melakukan penipuan ini dan terus menindas hak pelajar-pelajar dengan mengugut akan menjejaskan prestasi pembelajaran pelajar-pelajar yang terbabit.

Justeru itu, PPIM menggesa Kementerian Pengajian Tinggi tampil dan mengambil tindakan tegas terhadap kes ini demi membela nasib pelajar-pelajar di kolej tersebut –

Oleh NAIMAH SHAARI / Foto Malay Mail
http://mynewshub.my/2012/01/26/pelajar-dakwa-duit-ptptn-dirompak-kolej-sendiri/

Kolej `rompak' duit PTPTN
26/01/2012 7:51pm

KUALA LUMPUR - Sekumpulan pelajar sebuah kolej swasta di Negeri Sembilan menggesa pihak berkenaan mengambil tindakan terhadap kolej itu, yang didakwa mereka "merompak" duit sara diri bulanan pelajar.

Kumpulan 432 pelajar tahun akhir itu mendakwa, daripada RM535 sebulan yang diberi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hanya RM100 ditinggalkan di dalam akaun bank mereka oleh pihak pentadbir kolej tersebut.

"Sebelum ini saya dan rakan-rakan yang lain pernah menandatangani satu dokumen "direct debit" yang dikeluarkan pihak kolej di awal permohonan untuk membuat pinjaman PTPTN," kata wakil mereka yang mahu dikenali sebagai Fisza.

Pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan itu ditemui bersama tujuh lagi pelajar kolej tersebut ketika membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini hari ini.

Kumpulan pelajar itu mendakwa perkara tersebut dialami semua pelajar termasuk mereka yang telah menamatkan pengajian.

"Kami juga telah membuat dua laporan polis tahun lepas, namun sehingga kini tiada tindakan diambil," katanya yang mendakwa pihak kolej turut mengugut mereka agar menarik balik laporan itu jika tidak mahu prestasi pengajian terjejas.

Menjawab soalan, Fisza berkata, mereka dipaksa menandatangani dokumen "direct debit" itu tanpa diberi penjelasan mengapa langkah tersebut dibuat.

Fisza juga mendakwa selepas mendapat tahu ada aduan dibuat terhadap kolej, pihak pengurusan bertindak membayar separuh daripada jumlah keseluruhan duit sara diri tersebut kepada enam pelajar.

Pihak kolej juga meminta pelajar menandatangani dokumen perakuan bahawa mereka telah menerima bayaran penuh dan tidak akan membuat sebarang tuntutan lain selepas itu, katanya.

Kata gadis itu, secara purata setiap pelajar tahun akhir kolej terbabit

"kerugian" kira-kira RM18,000 bagi tempoh tiga tahun pengajian.

Sementara itu, Pengarah Sekretariat PPIM Dr Izham Nayan berkata tindakan kolej terbabit adalah satu penipuan dan pihak berwajib khususnya Kementerian Pengajian Tinggi harus mengambil tindakan menyiasat dakwaan pelajar.

"PTPTN pula perlu memastikan wang pinjaman yang disalurkan pergi tepat kepada sasaran, jangan biarkan kebebasan mutlak pihak pengurusan kolej untuk memastikan berapa jumlah wang sara diri yang perlu diberikan kepada para pelajar ini," katanya.

- BERNAMA
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_14.htm

ANAK dakwa Felda defisit 1.5b jika pajak tanah pada FGV

Posted: 26 Jan 2012 01:42 AM PST



ANAK dakwa Felda defisit 1.5b jika pajak tanah pada FGV
Jan 26, 2012

Pakar ekonomi Persatuan Anak Felda Kebangsaan (ANAK) Dr Rosli Yaacop mendakwa Felda akan mengalami defisit pendapatan antara RM1.2 bilion hingga RM1.5 bilion sekiranya lembaga itu menyenaraikan anak syarikatnya, Felda Global Venture (FGV) ke Bursa Malaysia.

Bekas timbalan pengarah Bank Negara itu berkata, pendapatan agensi itu dijangka akan berkurangan apabila Felda menyerahkan pegangannya kepada FGV.

Katanya, kos operasi Felda mencecah kira-kira RM2 bilion pada 2010, sedangkan agensi itu dijangka hanya akan mendapat pendapatan tahunan melalui pajakan tanah sebanyak RM251 juta dan hasil jualan sehinggga RM508 juta.

"Kalau pendapatan Felda sudah turun kepada RM750 juta, sedangkan perbelanjaan RM2 billion atau bertambah, Jadi Felda akan mengalami defisit tiap-tiap tahun.

"Felda nak ambil mana duit (yang selebihnya). Ini masalah yang utama... Setakat yang ada dalam perjanjian ini, Felda tidak akan mampu menanggung perbelanjaan tahunannya.

"Ini aspek akan merugikan Felda dan akhirnya rakyat akan menanggungnya. Sebab itu, ia salah satu sebab mengapa kita menentang penyenaraian ini," katanya yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dalam dalam satu sidang media hari ini.

Selain itu, Dr Rosli (kanan) mendakwa dengan perjanjian itu juga, Felda akan kehilangan kuasa terhadap tanah-tanah yang diuruskan oleh Felda Plantation.

"Segala kuasa untuk mengurus (tanah) diserahkan bulat-bulat kepada Felda Global Venture.

"Tunggak (kuasa) dalam organisasi Felda, sebaik sahaja ditandatanagni, akan berpindah kepada FGV... (bagai) kepada datuk kepada cucu," katanya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Presiden ANAK, Mazlan Aliman yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Mazlan hari ini mendedahkan isi perjanjian antara Felda dan Felda Global Venture (FGV) yang disifatkannya sebagai "tidak adil dan berat sebelah" dalam usaha penyenaraian syarikat tersebut di Bursa Saham Malaysia.

Katanya, pendedahan itu dibuat selepas cadangan dan bantahan mereka terhadap penyenaraian tersebut, tidak boleh diterima oleh kerajaan, selepas NGO tersebut memberi masa yang cukup untuk kerajaan menimbang hasrat untuk berbuat demikian.

Katanya, jika perjanjian itu ditandatangani, institusi tanah itu akan menjadi "simbol atau patung dan tidak ada kekuatannya lagi".

"Segala urusniaga akan ditandatangani oleh Felda Global Venture. Apa keistimewaan FGV sehingga mendapat kenikmatan aman sentosa.

"Macam tu sekali tingginya martabat Felda Global Venture," katanya.

Beliau turut mengedarkan kepada media, isi-isi terma-terma komersil dalam perjanjian tersebut.

"Kalau kami dianggap pengkhianat, membocorkan kandungan perjanjian ini, Gerakan Selamatkan Felda sedia menghadapi risiko.

"Kita sedia berdebat, dan akan menampilkan ahli panel, dan menentang apa yang kami sifatkan sebagai satu tindakan membunuh institusi orang Melayu," tegasnya.

Sumber : http://malaysiakini.com/news/187522

Tiada ulasan:

Nuffnang