Selasa, 3 Januari 2012

Mohamad Taufek Abd Ghani

Mohamad Taufek Abd Ghani


Perumahan terbengkalai di Lubuk Cina, Rembau sejak tahun 2005

Posted: 02 Jan 2012 05:57 PM PST



Projek perumahan Desa Indah, Lubuk Cina ini terletak di DUN Kota, dalam Parlimen Rembau.

Projek rumah Desa Indah terbengkalai

Utusan Malaysia - Pembeli 95 unit rumah teres kos sederhana rendah dan 60 unit rumah teres kos rendah di Desa Indah, Lubuk Cina dekat sini, kesal dengan kegagalan pemaju menyiapkan projek itu yang telah beberapa tahun terbengkalai.

Seorang pembeli, Ibrahim Mahat, 38, berkata, projek perumahan itu sepatutnya siap pada November 2005, namun sehingga hari ini pembeli-pembeli hanya mampu menggigit jari kerana tidak dapat mendiami rumah milik sendiri.

Menurutnya, sebahagian besar pembeli merupakan golongan berpendapatan rendah dan mereka terpaksa membayar ansuran pinjaman perumahan antara RM200 hingga RM400 sebulan kepada pihak bank walaupun rumah tidak disiapkan.

''Pada masa ini, saya sekeluarga terpaksa menumpang di rumah ibu mertua kerana tidak mampu lagi menyewa rumah," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tapak projek perumahan Desa Indah, Lubuk Cina dekat sini hari ini.

Ibrahim berkata, aduan berhubung projek perumahan berkenaan pernah dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri serta Biro Pengaduan Awam (BPA) pada tahun 2006 dan 2007.

Bagaimanapun beliau berkata, sehingga kini tidak kelihatan tanda-tanda pemaju akan menyambung semula pembinaan projek perumahan Desa Indah.

Justeru, Ibrahim berharap pihak-pihak berkenaan mengambil tindakan proaktif bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi olehnya dan pembeli-pembeli lain.

Menurut pembeli, Siti Ayub, 48, sebelum ini beliau pernah menghadapi masalah serupa di sebuah projek perumahan di Kuala Lumpur.

Katanya, projek perumahan yang terbengkalai itu berjaya dipulihkan dan beliau melihat agensi-agensi kerajaan terbabit serta pemaju memberi komitmen tinggi dalam menyelesaikan masalah itu.

''Namun lain pula halnya di sini. Nasib kami seolah-olah tidak dipedulikan dan lebih malang lagi, sejak tahun 2006 saya dikehendaki membayar cukai tanah untuk rumah yang tidak siap," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak-pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah ini agar pembeli tidak teraniaya.

Seorang pembeli lain, Anas Haiza Hamid, 28, memberitahu, sebanyak RM6,000 wang pendahuluan dibayar kepada pemaju untuk pembelian rumah kos rendah di projek perumahan tersebut.

Beliau berkata, jumlah itu agak besar kepadanya yang bekerja di sebuah kilang dekat Alor Gajah, Melaka dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

''Saya mengambil masa bertahun-tahun kumpulkan duit sebanyak RM6,000. Sudah tentu saya marah dan kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak pemaju," katanya.

Sementara itu pembeli, Mohd. Afandi Omar, 31, berkata, pemaju pernah berjanji akan mengadakan perjumpaan dengan pembeli berhubung status projek perumahan Desa Indah.

''Namun sehingga hari ini, janji hanya tinggal janji. Pemaju seperti ingin mempermain-mainkan kami," ujarnya.

Mohd. Afandi yang tinggal berhampiran dengan kawasan projek perumahan itu berkata, rumah-rumah yang terbengkalai itu kini menjadi tempat nyamuk membiak selain sarang penagih dadah dan lain-lain aktiviti tidak bermoral.

Sumber : http://rembau-hari-ini.blogspot.com/2012/01/perumahan-terbengkalai-di-lubuk-cina.html

Kejohanan Futsal anjuran Pakatan Rakyat Parlimen Seremban dan Rembau meriah

Posted: 02 Jan 2012 05:53 PM PST



1 Januari 2012 - Pasukan dari NHR Dobi telah mengungguli Kejohanan Futsal Pakatan Rakyat 2012 mengalahkan pasukan Kobena F.C pada pertandingan akhir dengan jaringan 5 - 1 manakala pasukan G.Jumaat berada di tempat ketiga dan Ceremtec F.C di tempat keempat.

Pertandingan yang diadakan di Sport Planet Senawang ini merupakan anjuran bersama pihak Pakatan Rakyat Parlimen Seremban dan juga Rembau.

Sebanyak 64 pasukan telah menyertai pertandingan yang buat julung kalinya diadakan di peringkat Parlimen Seremban dan Rembau. Manakala 25 permohonan penyertaan baru terpaksa ditolak oleh pihak penganjur kejohanan kerana melebihi had / kuota penyertaan sebenar yang telah ditetapkan sebelum ini.

Pertandingan telah dijalankan di empat buah gelanggang yang telah diadili oleh beberapa orang pengadil futsal yang bertauliah.

Program bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 6.00 petang. Alhamdullillah kejohanan ini dapat dijalankan seperti mana yang telah dirancang.

Para pemain juga telah bermain dan menunjukan semangat profesionalisme yang tinggi dengan menjaga akhlak dan peraturan semasa pertandingan.

Pihak Urusetia bersyukur kerana pertandingan ini telah berjalan dengan baik, teratur, lancar dan menepati masa yang ditetapkan hasil kerjasama yang baik semua pemain dan pengurus pasukan.

Suasana benar-benar meriah dengan hampir 800 pemain, ahli keluarga dan rakan memenuhi gelanggang Sport Planet Senawang dengan berbagai warna jersi dan mereka saling berinteraksi dalam semangat ukhuwah yang baik.

Tahniah kepada Sdr Abdul Malek Adam selaku Pengarah Kejohanan Futsal Pakatan Rakyat dan barisan urusetia yang bertungkus lumus menjayakan program ini.

Pengarah kejohanan juga membayangkan kemungkinan program Futsal ini bakal diteruskan pada masa hadapan.

Turut hadir menyaksikan kemeriahan kejohanan ini dan juga turut menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah, Sdr Abdul Malek Adam, Nor Haizily Jalaludin, Y.B Aminuddin Harun, Dr. Mohamad Rafie Ab Malek, Y.B Mohamad Taufek Abd Ghani dan Dr. Ahmad Azam Hamzah.

Sekali lagi! Tahniah kepada pemenang dan semua pasukan yang bertanding.

By: Nor Haizily Jalaludin http://www.facebook.com/profile.php?id=100000600100576

Tiada ulasan:

Nuffnang