Ahad, 1 Januari 2012

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Himpunan Bebas Akademik: Keganasan Polis Terhadap Mahasiswa Dikecam

Posted: 01 Jan 2012 04:14 AM PST

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak polis yang menggunakan kekerasan terhadap mahasiswa yang berhimpun secara aman di depan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak awal pagi tadi.  Pengerusi Gerakan Kebebasan Akademik (BEBAS) saudara Safwan Anang dilaporkan masih lagi terlantar di Hospital Slim River, Perak akibat patah tulang rusuk kesan dari tindakan ganas pihak polis. Rakaman video insiden tersebut yang kini telah dimuatnaik di beberapa laman sosial di internet juga jelas menunjukkan bahawa pihak polis telah bertindak keterlaluan tatkala meleraikan demonstrasi aman tersebut.
 
AMK menyifatkan peristiwa ini sebagai suatu tragedi hitam dalam sejarah gerakan kebebasan akademik dan merupakan satu bentuk penghinaan terhadap mahasiswa. Apakah layak bagi sekumpulan mahasiswa yang berhimpun bagi tujuan menuntut kebebasan akademik dilayan dan diperlakukan sedemikian zalim oleh pihak berkuasa? Insiden ini jelas menzahirkan bahawa pentadbiran Dato' Sri Najib Razak tidak serius dalam usaha meminda Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dan ianya tidak lebih sekadar gimik politik murahan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
 
Apa yang berlaku semalam membuktikan bahawa pendekatan pentadbiran Dato' Sri Najib kini semakin mirip kepada kaedah otokratik yang diamalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini jelas bertentangan dengan janji beliau sendiri kononnya untuk menjadi pemimpin yang mendengar suara rakyat dan mesra anak muda. Harus diingat bahawa kejatuhan rejim di Tunisia dan Mesir bermula tatkala pihak berkuasa bertindak zalim dengan menindas anak muda dan mahasiswa. Peristiwa yang berlaku awal pagi tahun baru 2012 ini secara tersirat menandakan bermulanya kejatuhan rejim UMNO-Barisan Nasional.
 
Justeru, AMK menuntut supaya satu siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden keganasan ini dan anggota polis yang bertanggungjawab mencederakan mahasiswa dihadapkan ke muka pengadilan. Kami juga menuntut supaya Menteri Dalam Negeri yang bertanggungawab terhadap pasukan polis supaya memohon maaf kepada mahasiswa yang dizalimi serta ahli keluarga mereka. AMK juga menawarkan khidmat guaman kepada semua mahasiswa yang terlibat sekiranya mereka berhasrat untuk mengambil tindakan perundangan terhadap pihak polis.
 
 
SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Angkatan Muda KEADILAN

Program Jelajah Dato’ Seri  Anwar Ibrahim Menjelang 9 Januari 2012. 

Posted: 31 Dec 2011 09:07 PM PST

“BEBASKAN ANWAR IBRAHIM"

a)          Selasa 3 Januari 2012 – Johor
 
 9.00 mlm – Ledang –  Jln Serom Panggong, Serom 3, Ledang
11.00 mlm – Muar – Parit Samsu, Jln Temenggong Ahmad,  Muar
 
b) Rabu 4 Januari 2012 – Negeri Sembilan & Melaka
 
 9.00 mlm – Seremban – Pejabat PKR N9, Jalan Rahang, Seremban, N9
11.00 mlm – Bukit Katil – Melaka 
 
c) Khamis 5 Januari 2012 – Kelantan
 
7.00 mlm – Ketereh – Pondok Padang Kala, Melor
10.00 mlm – Macang – Padang Majlis Daerah Macang
 
d) Jumaat 6 Januari 2012 – Lembah Pantai & Kelana Jaya
 
9.00 mlm –  Lembah Pantai – Dewan Gasing Indah, Seksyen 5, PJ
11.00 mlm – Kelana Jaya – Kompleks Sukan 3K, Persiaran Kewajipan, Subang Jaya
 
e) Sabtu 7 Januari 2012 – Pulau Pinang, Pahang & Terengganu
 
7.00 pagi – Permatang Pauh – Madrasah An Nahdoh, Kubang Semang
3.30 ptg – Indera Mahkota – Markas PAS, Kampong Balok, Kuantan
9.00 mlm – Kuala Terengganu – Pejabat PKR Kuala Terengganu, Gong Kapas
11.00 mlm – Hulu Terengganu – Kampong Gaung, Kuala Berang
 
f) Ahad 8 Januari 2012 – Kediaman DSAI, Kg Baru & Kg Pandan
 
7.00 ptg – Kediaman Dato' Seri Anwar Ibrahim – Bukit Segambut
9.00 mlm – Kampong Baru – Padang Kelab Sultan Sulaiman
11.00 mlm – Pandan – Dewan Orang Ramai Kg Pandan, Jalan H, Kg Pandan.
 
g) Isnin 9 Januari 2012 – BEBASKAN ANWAR IBRAHIM
 
8.00 pagi – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur – Jalan Duta

KEADILAN Kecam Keganasan Polis Terhadap Mahasiswa

Posted: 31 Dec 2011 07:48 PM PST

Keadilan Daily

KEADILAN mengecam perbuatan ganas polis terhadap mahasiswa pada Himpunan Kebebasan Akademik (BEBAS) di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

"Tindakan ini jauh berbeza ketika perarakan mahasiswa ke PWTC. Keganasan ini membuktikan ucapan Hari Malaysia Perdana Menteri dan Agenda Transformasinya tidak membawa makna," kata Nik Nazmi Nik Ahmad pada kenyataan media, pagi ini.

Justeru, Pengarah Komunikasi KEADILAN itu menuntut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar tampil memberi penjelasan,
Nik Nazmi turut mendedahkan, pengamal media yang bertugas melaporkan kejadian tersebut turut dikasari pihak berkuasa.

"Mahasiswa mendakwa beberapa wartawan yang menunjukkan pas media turut dipukul polis," katanya.

Dalam pada itu, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) pula menyifatkan tindakan ganas di ambang sambutan tahun baru meletakkan Malaysia sebagai negara polis yang takut  dengan gerakan mahasiswa.

"Ini sungguh memalukan. Pemerintah mengerahkan polis untuk melindungi kepincangan mereka dalam mengendali AUKU,
"AMK akan terus bersama aktivis mahasiswa. Inilah yang ditakuti Umno BN, apabila anak muda sudah berani menggerakkan zaman.

"AMK menyokong penuh mahasiswa mempertahankan prinsip yang mahukan kebebasan akademik tanpa sebarang sekatan dan campur tangan politik kotor kerajaan yang memerintah," kata Setiausaha AMK, Julailey Jemadi.

Lebih mahasiswa berhimpun di hadapan UPSI sambil menyanyikan lagu Negaraku, memdeklamasi puisi dan berpidato sebelum polis mencetuskan keganasan.

Bantah ‘Kempen Bebas Anwar 901′ Tidak Berasas

Posted: 31 Dec 2011 09:54 AM PST

Harakah

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyelar tindakan Umno Barisan Nasional dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak membuat laporan polis bagi membantah ‘Kempen Bebas Anwar 901′ dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily menjelaskan penangkapan yang berlaku di Kelantan semalam ekoran mengedarkan risalah berkaitan dengan kempen tersebut juga menunjukkan kerajaan serta pihak polis tidak pernah berlaku adil serta bertindak di luar prinsip demokrasi.

“Saya melihat tidak ada satu kesalahan langsung di dalam kempen tersebut, yang mana bagi saya ia adalah satu usaha yang dilakukan oleh rakyat bagi menuntut perbicaraan yang adil kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jika Anwar telah diberikan keadilan yang sewajarnya di mahkamah maka kempen tersebut sudah tentu tidak akan berlaku, tetapi apa yang kita lihat adalah sebaliknya dan atas tidak mendapat ketidak adilan itulah rakyat bangkit melakukan kempen,” jelasnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menyatakan kesabaran rakyat dalam campur tangan kerajaan dalam soal perundangan terutamanya kes Anwar sebenarnya sudah berada pada tahap yang tidak boleh dibendung lagi.

Malah beliau memberitahu, jika sesuatu perkara yang dituntut terutama prinsip perbicaraan yang adil di mahkamah tidak diatasi dengan sewajarnya, maka tindakan itulah cara terbaik yang dilakukan oleh mereka dengan hasrat kerajaan akan membuka mata bahawa kerajaan perlu akur dengan tuntutan rakyat.

“Rakyat sudah mula muak dengan permainan yang dilakukan oleh kerajaan terutama dalam isu fitnah Anwar, cara terbaik adalah melakukan kempen agar kerajaan membuka mata dan dengar hasrat mereka.

“Kerajaan harus memberi ruang kepada rakyat untuk menyatakan hasrat mereka bukannya menghalang kebebasan bersuara mereka, malah menggunakan pihak berkuasa untuk menyekat kempen tersebut juga satu yang tidak sewajarnya.

“Pihak Polis boleh memantau tetapi tidak menggunakan kekerasan dan kita juga tidak mahu perkara yang sebaliknya berlaku jika polis bertindak diluar batasan kemanusiaan,” jelasnya lagi.

Ketika ditanya mengenai dakwaan mengatakan kempen tersebut sebagai menghina keputusan mahkamah, beliau mempersoalkan di mana tindakan tersebut dilihat menghina mahkamah.

“Kuasa keputusan adalah hak mahkamah, apa yang dilakukan adalah sebagai kempen bebas Anwar bukan memcaci keputusan yang dibuat oleh mahkamah.

“Kempen desakan perlu dilakukan dan ia sebagai isyarat bahawa kita mahukan pengadilan mahkamah kali ini berlaku dengan adil tanpa campur tangan pihak tertentu,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, secara simboliknya kempen itu bertujuan agar mahkamah yang akan memutuskan keputusan pada 9 Januari nanti dilakukan atas keadilan yang telus bukan dorongan mahupun desakan oleh pihak tertentu.

Sebelum itu sebanyak 77 laporan polis dibuat di seluruh negara hari ini meminta pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba melancarkan perhimpunan haram menerusi 'Kempen Bebaskan Anwar 901'.

Laporan dibuat oleh Umno dan beberapa parti komponen Barisan Nasional dan juga Perkasa, Persatuan Jawa Kuala Langat, Persatuan Bugis, Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi Jugra dan Pertubuhan Perkumpulan Wanita Kuala Langat.

Tiada ulasan:

Nuffnang