Mohamad Taufek Abd Ghani |
Projek rumah Desa Indah terbengkalai Posted: 12 Dec 2011 10:21 PM PST Setakat ini tiada tanda-tanda yang projek perumahan terbengkalai di Lubuk Cina, Rembau dibawah ini telah dipulihkan. InsyaAllah, Pakatan Rakyat akan mengadakan siri ceramah penerangan pada 27 Disember 2011 nanti di Lubuk Cina. Projek rumah Desa Indah terbengkalai Utusan Malaysia 10 Nov 2008. REMBAU 9 Nov. - Pembeli 95 unit rumah teres kos sederhana rendah dan 60 unit rumah teres kos rendah di Desa Indah, Lubuk Cina dekat sini, kesal dengan kegagalan pemaju menyiapkan projek itu yang telah tiga tahun terbengkalai. Seorang pembeli, Ibrahim Mahat, 38, berkata, projek perumahan itu sepatutnya siap pada November 2005, namun sehingga hari ini pembeli-pembeli hanya mampu menggigit jari kerana tidak dapat mendiami rumah milik sendiri. Menurutnya, sebahagian besar pembeli merupakan golongan berpendapatan rendah dan mereka terpaksa membayar ansuran pinjaman perumahan antara RM200 hingga RM400 sebulan kepada pihak bank walaupun rumah tidak disiapkan. ''Pada masa ini, saya sekeluarga terpaksa menumpang di rumah ibu mertua kerana tidak mampu lagi menyewa rumah," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tapak projek perumahan Desa Indah, Lubuk Cina dekat sini hari ini. Ibrahim berkata, aduan berhubung projek perumahan berkenaan pernah dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri serta Biro Pengaduan Awam (BPA) pada tahun 2006 dan 2007. Bagaimanapun beliau berkata, sehingga kini tidak kelihatan tanda-tanda pemaju akan menyambung semula pembinaan projek perumahan Desa Indah. Justeru, Ibrahim berharap pihak-pihak berkenaan mengambil tindakan proaktif bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi olehnya dan pembeli-pembeli lain. Menurut pembeli, Siti Ayub, 48, sebelum ini beliau pernah menghadapi masalah serupa di sebuah projek perumahan di Kuala Lumpur. Katanya, projek perumahan yang terbengkalai itu berjaya dipulihkan dan beliau melihat agensi-agensi kerajaan terbabit serta pemaju memberi komitmen tinggi dalam menyelesaikan masalah itu. ''Namun lain pula halnya di sini. Nasib kami seolah-olah tidak dipedulikan dan lebih malang lagi, sejak tahun 2006 saya dikehendaki membayar cukai tanah untuk rumah yang tidak siap," jelasnya. Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak-pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah ini agar pembeli tidak teraniaya. Seorang pembeli lain, Anas Haiza Hamid, 28, memberitahu, sebanyak RM6,000 wang pendahuluan dibayar kepada pemaju untuk pembelian rumah kos rendah di projek perumahan tersebut. Beliau berkata, jumlah itu agak besar kepadanya yang bekerja di sebuah kilang dekat Alor Gajah, Melaka dengan pendapatan RM1,000 sebulan. ''Saya mengambil masa bertahun-tahun kumpulkan duit sebanyak RM6,000. Sudah tentu saya marah dan kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak pemaju," katanya. Sementara itu pembeli, Mohd. Afandi Omar, 31, berkata, pemaju pernah berjanji akan mengadakan perjumpaan dengan pembeli berhubung status projek perumahan Desa Indah. ''Namun sehingga hari ini, janji hanya tinggal janji. Pemaju seperti ingin mempermain-mainkan kami," ujarnya. Mohd. Afandi yang tinggal berhampiran dengan kawasan projek perumahan itu berkata, rumah-rumah yang terbengkalai itu kini menjadi tempat nyamuk membiak selain sarang penagih dadah dan lain-lain aktiviti tidak bermoral. Sumber : http://terbengkalai.blogspot.com/2008/11/projek-rumah-desa-indah-terbengkalai.html |
Posted: 12 Dec 2011 10:21 PM PST Apakah nasib para nelayan dan penduduk di Kampung Sungai Timun, Lubuk Cina, Rembau pada ketika ini? Adakah jeti pengkalan nelayan yang runtuh telah dibaiki? Adakah hasil tangkapan para nelayan di sana semakin terjejas? InsyaAllah, Pakatan Rakyat akan mengadakan siri ceramah penerangan pada 27 Disember 2011 nanti di Lubuk Cina. Sinar Harian 27 Jan 2011 Jeti pangkalan nelayan runtuh SUNGAI TIMUN - Sebahagian jeti pangkalan nelayan di sini, yang dibina dua tahun lalu, runtuh selepas beberapa bulan jeti itu ditutup untuk keselamatan nelayan dan orang ramai. Peniaga kedai makan, Nor Alina Arif,34, berkata, ketika kejadian dia sibuk memasak menyiapkan pesanan pelanggan, namun dikejutkan dengan keriuhan orang ramai mengatakan jeti runtuh. Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 9.20 malam, semalam dan ketika itu ada seorang pemancing berada di kawasan jeti berkenaan. "Namun, pemancing terbabit sempat melarikan diri apabila terdengar bunyi kuat dan menyaksikan kejadian itu. Mujurlah tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku," katanya kepada Sinar Harian. Nor Alina berkata, keadaan jeti baru dibina itu retak dan dikuarantin kerana dikhuatiri akan mengundang bahaya kepada nelayan serta orang ramai yang menggunakannya. "Tindakan pihak bertanggungjawab menutup jeti ini sememangnya langkah baik, namun masa yang diambil untuk menangani masalah ini begitu lama. Saya harap tindakan segera dapat diambil selain mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Timun, Yahaya Othman berkata, sebaik dimaklumkan penduduk kampung, dia bergegas ke tempat kejadian untuk melihat keadaan sebenar. "Mujurlah tiada sebarang kecederaan atau pun kemalangan jiwa kerana tindakan pantas pemancing keluar daripada jeti, menyelamatkan nyawanya daripada sebarang bahaya," katanya. Yahaya berkata, kejadian itu dimaklumkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut, selain menasihatkan penduduk tidak menghampiri kawasan jeti buat masa ini sebelum kerja pembaikan dilakukan. Menurutnya, masalah itu telah dimaklumkan sebelum ini dan keadaan bertambah buruk sejak beberapa bulan lalu. "Walaupun jeti ini berdepan masalah, namun masih menjadi tumpuan nelayan dan penduduk meletakkan bot dan memancing. Saya harap langkah segera dilakukan bagi memastikan fungsi jeti ini dapat diteruskan," katanya. http://rembau-hari-ini.blogspot.com/2011/01/jeti-pangkalan-nelayan-runtuh.html Sinar Harian 30 Julai 2010 Nelayan kecewa kerja naik taraf SUNGAI TIMUN, Rembau - Ahli Persatuan Nelayan Sungai Timun melahirkan rasa tidak puas hati berkenaan projek menaik taraf kawasan teduhan kedua berikutan timbul beberapa masalah sehingga mengganggu aktiviti harian nelayan. Pemangku Sementara Persatuan Nelayan Sungai Timun, Yahaya Othman berkata, teduhan kedua dibina disebabkan jumlah bot nelayan semakin bertambah. Teduhan berbumbung itu berfungsi sebagai tempat meletak bot nelayan dan mengelakkan bot ditenggelami air terutama ketika hujan lebat. Menurutnya, masalah wujud apabila teduhan kedua baru siap sebulan lalu didakwa tidak bersesuaian dengan struktur teduhan. Jika dibandingkan dengan teduhan pertama, pihaknya tidak menerima rungutan daripada ahli persatuan. "Bagaimanapun, setelah siap teduhan kedua ini kebanyakan ahli persatuan meluahkan rasa tidak puas hati kerana tiang batu tidak selari dengan keadaannya. Selain pintu masuk kiri dan kanan tidak dibatukan seperti dinyatakan sebelum ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pengkalan Nelayan Sungai Timun.: Menurutnya, nelayan turut berdepan dengan masalah apabila kawasan teduhan pertama dan kedua tidak memiliki kedalaman sepa-tutnya sehingga menyukarkan kerja membawa keluar dan masuk bot. "Hal ini kerana apabila air sungai surut menyebabkan bot dan enjin tersangkut di kawasan timbunan pasir. Nelayan terpaksa menolak bot sehingga keluar pintu masuk teduhan bagi mengelakkan enjin bot menjadi rosak. Pihak kami berharap pintu masuk ke kawasan teduhan dinaiktarafkan," katanya.: Selain itu, menurutnya, kawasan turapan jalan di Pengkalan Nelayan Sungai Timun tidak rata menyebabkan terdapat kawasan bertakung setiap kali hujan lebat. "Disebabkan itu, kedai berhampiran turut dimasuki air kerana ketiadaan saluran air untuk mengalirkan air hujan," katanya. Menurutnya, pihaknya berharap pihak berkaitan dapat menangani masalah ini secepat mungkin supaya masalah sedia ada tidak bertambah rumit dan nelayan dapat menjalankan aktiviti dengan baik seperti biasa. http://rembau-hari-ini.blogspot.com/2010/07/nelayan-kecewa-kerja-naik-taraf.html Berita Harian 28 Mei 2010 MENARA CONDONG Dataran Kejat Pangkalan Sungai Timun baru siap 3 tahun retak LUBOK CHINA: Pembinaan menara pandang di Dataran Kejat Pangkalan Sungai Timun, di sini, sangat menarik dan menjadi landskap tarikan pelancong, namun malangnya kemudahan yang baru berusia tiga tahun itu kini retak dan condong sekali gus membahayakan keselamatan orang ramai. Tinjauan Berita Harian ke dataran yang dibina di atas sungai dengan disokong banyak tiang (seperti pelantar yang lebar) itu, mendapati kebanyakan tiang terbabit sudah condong, manakala dua laluan keluar masuk yang mencantumkannya dengan daratan pula mengalami keretakan lebih 10 sentimeter. Penduduk di kawasan itu, Zana Rasul, 31, mendakwa beliau dan penduduk lain hairan kerana kawasan itu termasuk menara pandang, jeti dan dataran kejat yang masih baru dibina sudah rosak dan tidak boleh digunakan menyebabkan pengunjung yang datang, kehampaan. "Kerajaan mengeluarkan belanja tinggi untuk membina dataran dan menara itu untuk kemudahan penduduk tempatan, selain pengunjung yang datang ke kawasan ini menikmati keindahan dan keistimewaan Sungai Timun. "Bagaimanapun, tidak sampai tiga tahun semua itu sudah rosak, sekali gus memaksa kerajaan mengeluarkan belanja lebih tinggi untuk membaikinya. Dataran itu retak dan condong, malah jeti turut bergoyang dan bergegar ketika kita berada di atasnya," katanya. Zana berkata, daya tarikan utama khususnya pemancing untuk datang ke Sungai Timun adalah kerana udang galah yang istimewa serta landskap kawasan itu yang menarik. Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Mustakim, 54, pula mendakwa beliau sudah menjangkakan keadaan itu akan berlaku sejak awal lagi, melihatkan daripada cara pembinaannya yang tidak meyakinkan. "Walaupun saya orang kampung biasa yang tidak belajar di universiti, saya lihat pembinaannya seolah-olah dilakukan dalam keadaan tidak sempurna dan tidak mengambil kira keadaan air pasang surut. "Mungkin disebabkan itu, jeti serta dataran dan menara berkenaan tidak kukuh dan tidak tahan lama. Apa pun, kerajaan pasti terpaksa membaikinya dengan kos yang lebih tinggi," katanya. Tinjauan Berita Harian mendapati Pejabat Daerah Rembau meletakkan halangan kawat dan atap zink serta menampal kenyataan melarang orang ramai berada di kawasan jeti sejak sebulan lalu kerana proses pemeriksaan sedang dijalankan. Penduduk difahamkan, Pejabat Daerah Rembau akan menjalankan proses pemeriksaan dengan mendapatkan khidmat pakar forensik bangunan bagi mengenal pasti kelemahannya dan menentukan keselamatan dataran terbabit. http://amkns.blogspot.com/2010/05/dulu-projek-runtuh-sekarang-condong.html Sinar Harian 1 Feb 2010 Sumber ditarah, nelayan terjejas LUBOK CHINA - Kewujudan sempadan Sungai Linggi dan Timun sempadan Melaka-Negeri Sembilan membantu kira-kira 300 nelayan meneruskan pencarian sumber rezeki setiap hari. Walaupun pembangunan baru bakal diwujudkan di sungai tersebut, namun nelayan bimbang ia akan menjejaskan ekosistem sumber rezeki berteraskan udang galah, udang kertas dan pelbagai spesies ikan di situ. Tinjauan Sinar Harian kedua sungai tersebut mendapati, rata-rata nelayan, terutama di Kampung Paya Lebar, Ramuan China Besar dan Rembau, Negeri Sembilan kecewa dengan penebangan hutan bakau di sekitar Sungai Linggi - Sungai Timun. Mereka mendakwa, hutan bakau mula diterokai sebuah syarikat swasta dilantik Kerajaan Negeri Sembilan bagi memajukan kawasan tersebut sebagai pembangunan pelancongan baru. Walaupun projek tersebut dikatakan dirancang antara kerajaan dan pemaju (syarikat), tetapi mereka mengharapkan pihak berkaitan dapat memikirkan nasib kebanyakan nelayan yang meraih rezeki di kawasan tersebut. Abdul Rahman Ahmad atau dikenali Man Belon berkata, tidak dinafikan hutan bakau diterokai lebih tiga bulan lalu 'menyentap hati' nelayan yang rata-ratanya berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Dia mendakwa, kerja-kerja menebang pokok hutan bakau menutup lubuk tempat di mana dipenuhi udang galah, ketam dan pelbagai spesies lain. "Saya memang kesal dan tidak menyangka lubuk rezeki kami ditutup. Malah langsung tiada sebarang surat hitam putih mahupun maklumat berhubung penebangan ke atas pokok hutan bakau yang sememangnya lokasi utama tumpuan nelayan mencari sumber rezeki. "Kami tahu ia hak kerajaan, namun kami berharap usah melakukan pembangunan secara drastik tanpa memikirkan keadaan nelayan di Melaka - Negeri Sembilan ini," katanya ketika ditemui di pangkalan jeti Kampung Paya Lebar, Ramuan China Besar, di sini. Menurut Man Belon, keluasan kawasan yang hendak dimajukan kira-kira 14.4 hektar itu dikhuatiri menjejaskan hasil pencarian nelayan. Dia berharap, kerajaan khususnya Negeri Sembilan dapat bertemu nelayan bagi mengatasi masalah berkenaan. Bukan minta sedekah Pendapat Abdul Rahman itu disokong rakan, Zainal Md Ali yang berkata, sumber pendapatan bagi kedua-dua sungai itu sudah sinonim kepada nelayan. Menurutnya, nelayan kedua negeri juga saling membantu menjualkan hasil tangkapan seharian pelbagai spesies hidupan laut atau sungai. "Kami bukan minta sedekah kepada pihak terlibat, tetapi berharap pertemuan secara baik menerangkan keadaan terperinci tentang lubuk rezeki yang sudah dikorek dan hutan bakau ditebang diadakan. "Apa (kami) nak makan? Saban hari (kami) melihat kerja-kerja tebang hutan bakau dan ia cukup 'mencengkam hati' kami sehinggakan lubuk rezeki utama mencari udang galah, lokan, ketam dan sebagainya habis ditutup hingga dibina benteng," dakwanya. Menurutnya, kerajaan sepatutnya melaksanakan slogan rakyat didahulukan seperti diuar-uarkan. Zainal berkata, nelayan kedua negeri sangat berharap ada maklum balas pihak kerajaan, terutama selepas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Negeri Sembilan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Datuk Mohammad Razi Kail yang tidak menghalang nelayan mencari rezeki ketika melawat kawasan berkenaan. "Pakcik ingat lagi kata-kata Exco tersebut (Mohammad Razi) tahun lalu dan sudah sememangnya kami (nelayan) berharap beliau dapat membantu menyelesaikan kemelut ini. "Kami jelaskan, nelayan tidak marah dengan pembangunan pelancongan hendak dibuat, tetapi berharap lubuk pencarian rezeki utama kami tidak ditutup," katanya. http://rembau-hari-ini.blogspot.com/2010/02/nelayan-melayu-rembau-tertindas-hutan.html |
You are subscribed to email updates from Mohamad Taufek Abd Ghani To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan