i n t a n h i j a u |
"TIADA NIAT SEBESAR ZARAHPUN NAK SERTAI UMNO" - ustaz Nasharuddin Posted: 21 Dec 2011 02:52 AM PST KUALA LUMPUR, 21 Dis: "Saya tegaskan di sini bahawa saya adalah adalah ahli PAS, dan perjuangan saya kekal bersama PAS untuk menjunjung risalah Islam menyumbang kepada ummah dalam apa juga keadaan," tegas AJK PAS Pusat, Nasharudin Mat Isa (gambar). "Berikutan beberapa dakwaan, tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan secara langsung oleh beberapa pihak terhadap saya sejak kebelakangan ini menerusi media massa, blog dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter, saya berasa perlu untuk mengeluarkan kenyataan media ringkas sebagai penjelasan," ujarnya dalam satu kenyataan. Jelasnya, sebagai seorang yang terdidik dalam dua dunia dan latar belakang berbeza iaitu bukan agama dan kemudiannya berpindah kepada pengajian Syari'ah dan Perbandingan Undang-Undang, beliau menyedari sepenuhnya bahawa pembabitan langsung di pentas politik nasional pasti mengundang seribu satu macam cabaran dan dugaan. Katanya, dalam dunia dakwah, kita dididik dengan hakikat bahawa laluan dakwah ini tidak dibentang dengan hamparan permaidani merah, jauh sekali untuk sentiasa direnjis dengan wangian bunga. "Saya akur sepenuhnya dengan Tariqud-Dakwah (Jalan Dakwah) yang saya lalui ketika ini telah lebih awal disusuri oleh para anbiya', sahabat dan ulamak terdahulu daripada kami yang memilih PAS sebagai pentas perjuangan politik dalam konteks sistem demokrasi berparlimen sedia ada di Malaysia," ujarnya yang juga ahli Parlimen Bachok. Justeru, jelas Nasharudin lagi, dakwaan kononnya beliau 'terperangkap dalam agenda permainan musuh politik PAS iaitu Umno' adalah sesuatu yang terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan langsung tidak berasas. Menurutnya, sepanjang pembabitannya dalam PAS yang saya terima sebagai wadah menyampaikan suara Islam kepada umat di Malaysia, belum pernah beliau ungkapkan bahawa akan menyertai Umno. Justeru, ujarnya buat kesekian kalinya beliau menegaskan bahawa tidak mempunyai niat sebesar zarah sekalipun untuk menyertai Umno. "Janganlah gunakan alasan mudah seperti ini untuk menyimpulkan tindakan, pandangan atau perhitungan politik saya pada ketika kita mengharung gelombang percaturan politik yang jauh lebih mencabar. "Saya harap penjelasan ringkas ini memadai dalam mengukur kesetiaan saya terhadap perjuangan PAS,"(harakahdaily) |
PERTAHAN DASAR "MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN" Posted: 21 Dec 2011 02:40 AM PST KUALA LUMPUR, 21 Dis: Sewaktu pimpinan PAS dan seluruh ahlinya ijmak menerima konsep Negara Berkebajikan melalui muktamar tahunannya, malah ia adalah kandungan ucapan dasar presiden parti 'Membangun Negara Berkebajikan' yang telah diterima sebulat suara, maka ia menjadi dasar parti yang mesti dipertahankan oleh semua pimpinan dan ahlinya. Justeru, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan (gambar) menegaskan tidak layak bagi mana-mana pemimpin atau ahli parti mempertikai konsep yang telah diijmakkan melalui satu majlis pemesyuaratan yang besar seperti muktamar tahunan yang sah, sementara kritikan membina dan pandangan tambah nilai adalah senantiasa dialu-alukan. AJK PAS Pusat, Datuk Dr Hassan Ali melalui akhbar Umno, Utusan Malaysia hari ini mempertikaikan dasar "Membangun Negara Berkebajikan" yang menjadi tema PAS sekarang ini. Bagi Hassan, PAS sepatutnya kekal dengan dasar negara Islam yang telah menjadi perjuangan asal PAS. Bagi Nasrudin, Konsep Negara Berkebajikan adalah manifestasi dari konsep negara yang disebut oleh al-Quran iaitu Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur (Negara yang sejahtera dan mendapat keampunan Tuhan Yang Maha Pengampunan). "Konsep ini juga dipertegaskan dengan tiang serinya iaitu ubudiah iaitu pengabdian diri kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Mencipta," katanya. Justeru itu, jelasnya Negara Berkebajikan ditakrifkan sebagai 'Kerajaan beramanah yang berpaksikan prinsip-prinsip adil dan ihsan (al Adl wal Ihsan) di dalam seluruh sistem pemerintahan termasuklah pentadbiran, perundangan, kehakiman, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain, seterusnya membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebajikan (Istibaq al Khayrat) dan saling bekerjasama (at-Ta'awun) ke arah kejayaan (al Falah) pemerintah dan rakyat di dunia dan di akhirat'. Menurutnya, berasaskan takrif tersebut, layaknya tidak timbul lagi keraguan terhadap konsep Negara Berkebajikan apakah ia menepati atau bercanggah dengan perjuangan asal PAS. Tambahnya, lantaran PAS tetap konsisten dengan dasar Islam yang diperjuangkannya dan konsep Negara Berkebajikan bukanlah suatu penyimpangan sebaliknya ia adalah suatu peneguhan terhadap asas dan dasar perjuangan Islam yang diperjuangkan selama ini. "Dewan Pemuda PAS Malaysia tetap akan mempertahankan konsep Negara Berkebajikan yang telah dimuktamadkan oleh parti melalui Muktamar Tahunannya yang ke 57 baru-baru ini dan insya Allah Dewan Pemuda PAS Malaysia juga telah memutuskan satu komitmen besar untuk turun ke serata negara bagi memperjelaskan Konsep Negara Berkebajikan ini," ujarnya.(harakahdaily) |
You are subscribed to email updates from i n t a n h i j a u To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan