SOLAT GERHANA Posted: 09 Dec 2011 04:15 PM PST SOLAT GERHANA Soalan; bagaimana caranya mengerjakan solat gerhana?
Jawapan;
Apabila berlaku gerhana sama ada gerhana matahari atau bulan, disunatkan kita mengerjakan solat sunat dua rakaat dengan niat mengerjakan solat sunat gerhana. Ini berdalilkan sabda Nabi s.a.w.;
إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللهِ، يُخَوِّفُ اللهُ بِهِمَا عِبَادَهُ، وَإِنَّهُمَا لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ مِنَ النَّاسِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئاً فَصَلُّوا وَادْعُوا اللهَ، حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ "Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Allah menakutkan dengan keduanya akan hamba-hambaNya. Kedua-duanya tidak menjadi gerhana dengan sebab kematian seorang dari manusia. Oleh demikian, apabila kamu melihat sesuatu darinya (yakni menyaksikan sesuatu terjadi pada matahari atau bulan itu), maka hendaklah kamu tunaikan solat dan berdoa kepada Allah sehingga habis gerhana itu". (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Adapun cara menunaikan solat gerhana itu ialah;
Pertama; niatkan ketika takbiratul-ihram untuk mengerjakan solat sunat dua rakaat kerana gerhana.
Kedua; setelah membaca al-fatihah serta ayat atau surah selepasnya, hendaklah ruku', kemudian bangun dari ruku' dan baca sekali lagi al-fatihah serta ayat atau surah selepasnya, kemudian ruku' sekali lagi dan meneruskan solat sebagaimana biasa (yakni sujud, duduk antara dua sujud dan sebagainya).
Ketiga; Apabila berada di rakaat kedua, lakukan sebagaimana dalam rakaat pertama tadi (yakni;dua kali berdiri dan dua kali ruku').
Kesimpulannya, solat sunat gerhana sama sepertimana solat-solat dua rakaat yang lain, cuma yang berbeza ialah; pada setiap rakaatnya dilakukan dua kali berdiri dan dua kali ruku'. Keseluruhannnya dalam solat gerhana ini; dilakukan empat kali berdiri dan empat kali ruku'.
Dalil bagi kaifiyat solat gerhana di atas ialah hadis dari saidatina 'Aisyah r.a. yang menceritakan;
أن الشمس خسفت على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم، فبعث مناديا بـالصلاة الجامعة، فتقدم فصلى أربع ركعات في ركعتين وأربع سجدات "Telah berlaku gerhana matahari di zaman Rasulullah s.a.w.. Lalu baginda mengutuskan seorang pemanggil untuk mengajak orang ramai melakukan solat berjamaah. Kemudian baginda tampil dan menunaikan solat dengan melakukan empat kali ruku' dalam dua rakaat dan empat sujud". (Riwayat Imam Bukhari)
Bagi solat gerhana bulan, bacaan al-Quran di dalamnya sunat diperdengarkan dan bagi solat gerhana matahari, sunat diperlahankan bacaan sebagaimana solat-solat fardhu di waktu siang.
Solat sunat gerhana harus dilakukan bersendirian, namun disunatkan agar dilakukan secara berjamaah. Sunat mengajak orang ramai untuk melakukannya dengan melaungkan "الصلاة جامعة" (Marilah tunaikan solat secara berjamaah).
Setelah menunaikan solat gerhana itu, sunat disampaikan dua khutbah sebagaimana hari jumaat jika solat dikerjakan secara berjamaah. Di dalam khutbah itu hendaklah memberi penekanan kepada orang ramai agar banyak bersedekah dan memperingatkan mereka agar jangan lalai dan lupa kepada Allah.
Wallahu A'lam.
Rujukan;
1. Kifayatul-Akhyar, hlm. 151-152. 2. Bulughul-Maram, bab Solati al-Kusuf. Oleh : USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan