Rabu, 9 November 2011

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Penjelasan kedudukan Pegawai Kerajaan

Posted: 09 Nov 2011 04:27 AM PST

PENJELASAN MENGENAI KEDUDUKAN PEGAWAI DAN KAKITANGAN KERAJAAN APABILA PAKATAN RAKYAT MENGAMBIL ALIH KERAJAAN PERSEKUTUAN.

Selaras dengan apa yang terkandung dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 yang diterbitkan 4 Oktober yang lalu, Pakatan Rakyat mengiktiraf peranan utama yang dipegang pegawai dan kakitangan awam dalam merealisasikan dasar-dasar Kerajaan. Pakatan Rakyat turut memahami bahawa campur tangan politik merupakan salah satu faktor merosotnya taraf perkhidmatan awam di mata rakyat.

Dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 telah dicadangkan penubuhan sebuah Inisiatif Kecemerlangan Perkhidmatan Awam (Civil Service Excellence Initiative, CSEI), yang akan membantu:

  • Meningkatkan kepuasan kerja (job satisfaction), lalu meningkatkan daya pengeluaran dan kecekapan bekerja. Tanggungjawab dan bidang kuasa setiap petugas akan diperjelas, mengurangkan pertindihan kerja dan tahap birokrasi;
  • Mewujudkan skim ganjaran dan kenaikan pangkat yang akan memberi ganjaran kepada mereka yang menunjukkan mutu persembahan yang tinggi serta skim 'peningkatan' di mana mereka dengan mutu persembahan yang boleh dipertingkat akan diberi kaunseling dan dilatih semula, atau akhirnya dilepaskan;
  • Menamatkan era pertindihan antara juruperunding serta agensi PEMANDU dengan kakitangan awam supaya dana rakyat tidak dibazirkan sewenang-wenangnya; seperti perbelanjaan lebih RM 5 bilion yang diperuntukkan untuk program NKEA dan NKRA di dalam belanjawan 2012 BN. Kakitangan kerajaan akan diberikan pengiktirafan serta tugasan sewajarnya, tanpa kerumitan dan campurtangan politik.

Namun begitu, Pakatan Rakyat menjelaskan bahawa kedudukan 1.2 juta pegawai dan kakitangan awam adalah terjamin sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia di bawah perkara Perkara 132: Perkhidmatan-perkhidmatan awam dan Perkara 135: Sekatan mengenai pembuangan kerja dan penurunan pangkat.

Pada masa yang sama, Pakatan Rakyat menegaskan bahawa pegawai dan kakitangan awam mestilah melaksanakan tanggungjawab berdasarkan standard yang diaspirasikan oleh rakyat Malaysia, yakni mereka perlu bertugas dengan penuh gigih serta berkualiti tinggi, membantu melaksanakan dasar-dasar dengan penuh iltizam serta mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh peraturan kakitangan perkhidmatan awam.

YB Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai
YB Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor
YB Salahuddin bin Haji Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian
YB Chua Tian Chang, Ahli Parlimen Batu
YB Anthony Loke, Ahli Parlimen Rasah
YB Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Bukit Bendera

Tiada ulasan:

Nuffnang