Khamis, 20 Oktober 2011

N50 Dun Sri Muda

N50 Dun Sri Muda


Posted: 20 Oct 2011 12:25 AM PDT

Umno ditempelak kata 'binatang' kepada sultan | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Para pemimpin Umno ditemplek pada persidangan Dewan Rakyat hari ini kerana pernah mengatakan 'binatang' kepada Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada satu kejadian di Kuala Terengganu beberapa tahun lalu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut (kanan) berkata, kejadian itu tidak dapat dilupakan oleh beliau apabila bercakap mengenai keperluan setiap rakyat negara ini mempertahankan dan menghormati sultan atau raja-raja Melayu.

Menurut beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, namun apabila menyebut atau menyentuh tentang raja-raja, di Terengganu, pemimpin Umno sanggup kata "menatang" (binatang) kepada Tuanku Sultan.

"Inikah yang dikatakan menghormati atau mempertahankan raja-raja?" kata beliau ketika mencelah sewaktu Ahli Parlimen Maran (BN), Datuk Ismail Abdul Mutalib berucap pada persidangan Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Perkataan "Natang" atau "Menatang" yang bermaksud "binatang" itu diucapkan oleh pemimpin Umno yang ditujukan kepada Tuanku Mizan, ketika kumpulan pemimpin parti itu yang menyokong Datuk Idris Jusoh menentang perlantikan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru.

Ucapan yang amat keterlaluan itu dipaparkan oleh mereka menerusi sepanduk yang dibawa ke sekitar kawasan istana, pada satu tunjuk perasaan bagi menggambarkan protes mereka terhadap tindakan Tuanku Mizan yang mahu melantik Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru untuk menggantikan Idris.

Perbuatan keterlaluan para pemimpin dan penyokong-penyokong Umno itu juga bukan sekadar tidak dapat dilupakan oleh rakyat Terengganu, malah seluruh rakyat negara ini.

Persoalan tersebut ditimbulkan oleh Abdul Wahid sebagai ingatan kepada para pemimpin Umno agar mengingatkan mereka dan penyokong parti itu sendiri terlebih dahulu supaya sentiasa menghormati dan mempertahankan sultan atau raja-raja Melayu sebelum mengingatkan orang lain.

Menjawab perkara yang dibangkitkan itu, Ismail yang ketika itu sedang berucap melibatkan keperluan setiap rakyat negara ini tanpa mengira bangsa dan agama menghormati raja-raja Melayu berkata, ingatan beliau itu sememangnya ditujukan kepada semua pihak.

Beliau kemudiannya menyalahkan pula kepada Abdul Wahid kerana membangkitkan perkara itu yang seolah-olah sengaja mahu mengenakan pemimpin Umno tanpa kononnya melihat kesalahan sendiri.

Sikap beliau yang seperti enggan menerima realiti itu menyebabkan beberapa orang ahli Parlimen lain dari Pakatan Rakyat turut menempleknya dengan ketawa sinis.

Sumber: Harakahdaily

Posted: 20 Oct 2011 12:07 AM PDT

HIMPUN: Umno S'gor mahu hadir, PAS tak ikut serta

Pemuda Umno Selangor akan mengambil bahagian dalam Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) Sabtu itu atas dasar perjuangan Islam dan bangsa Melayu, kata ketuanya, Engku Salleh Engku Jamal.

"... Siapa yang menganjurkannya tidak penting kerana yang paling utama adalah perjuangan Islam dan pertahankan akidah umat lslam di negara ini," katanya dalam laporan akhbar Sinar Harian hari ini.

Laporan itu memetik Engku Salleh berkata dianggarkan lebih 2,000 Pemuda Umno Selangor akan turut serta dalam perhimpunan itu.

Bagi PAS Selangor pula, ia tidak akan mengambil bahagian, selaras dengan keputusan yang dicapai oleh pemimpin parti itu malam tadi.

"Oleh itu, Pesuruhjaya PAS Selangor (Dr Abdul Rani Osman) mengarahkan semua ahli PAS di Selangor agar tidak terlibat dalam himpunan tersebut selaras dengan arahan pusat," kata setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman dalam satu kenyataan.

Malam tadi, presiden parti Abdul Hadi Awang berkata parti itu tidak akan mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut kerana penganjurnya berkata ia tiada kaitan dengan politik.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat biro politik parti Islam itu dalam mesyuarat di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut, Hadi berkata, PAS memperingatkan pihak yang terlibat bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama.

PKR Selangor bagaimanapun, akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

ketua penerangannya, Shuhaimi Shafiei dipetik Sinar Harian sebagai berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut memandangkan pihaknya belum membincangkan perkara itu.

Selasa lalu, penganjurnya memberi jaminan HIMPUN tidak mempunyai kaitan politik ataupun akan digunakan bagi menyerang mana-mana kumpulan.

Secara khusus, pengerusi bersama himpunan itu Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia tiada kaitan dengan beberapa ahli politik kontroversi - Datuk Zulkifli Noordin, Ezam Mohd Noor dan Datuk Ibrahim Ali.

Sinar Harian juga melaporkan perhimpunan itu mendapat sokongan daripada NGO Islam, termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM).

"Program yang asas tujuannya penyatuan ummah dan menentang mana-mana organisasi yang cuba mendakyahkan agama mereka untuk memurtadkan umat Islam," kata setiausaha agung PPIM, Datuk Dr Maamor Osman dalam laporan tersebut.

Sumber: Malaysiakini

Tiada ulasan:

Nuffnang