N45 Dr Halimah Ali |
- DYMM Sultan Selangor tinjau Perpustakaan TUN UDA SHAH ALAM
- DR ASRI dan sejarah 'MURTAD' di OXFORD
- TOKOH AKADEMIK JADI MANGSA: KES AZIZ BARI APA HAL?
DYMM Sultan Selangor tinjau Perpustakaan TUN UDA SHAH ALAM Posted: 20 Oct 2011 08:26 AM PDT 19.10.11 SHAH ALAM Pada hari yang bertuah ini, DYMM Sultan Selangor telah berkenan mencemar duli melawat sendiri bangunan Perpustakaan PPAS(Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor) di Seksyen 13 Shah Alam. Lawatan kerja ringkas tetapi menyeluruh DYMM Sultan Selangor menggambarkan keprihatinan baginda kepada pusat ilmu di Selangor.Minat mendalamnya kepada bahan-bahan ilmu dan perpustakaan jelas ternyata dengan minatnya sendiri untuk melihat rakyatnya mendapat manfaat daripada segala khazanah ilmu yang boleh dimuatkan dalam pusat sumber ilmu ini. Turut hadir EXCO Pendidikan,Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor,YB Dr Hjh Halimah Ali, Pengarah PPAS Hjh Mastura, Setiausaha Kerajaan, Pengarah JKR, Dato' Bandar MBSA,Pengerusi Kumpulan Perangsang, Arkitek dan pegawai-pegawai kerajaan yang lain serta ahli lembaga Pengarah. Baginda juga berkenan untuk merasmikannya pada 10.11.12 insyaallah sebagai salah satu event penting dalam rangkaian aktiviti sempena HARI KEPUTERAAN Baginda yang disambut pada 11.12.11. Menjunjung kasih Tuanku! |
DR ASRI dan sejarah 'MURTAD' di OXFORD Posted: 20 Oct 2011 05:21 AM PDT Murtad dan Bandar Oxford — Dr Mohd Asri Zainul Abidin October 20, 2011 20 OKT — Saya menganggap Bandar Oxford ini jauh lebih indah dari kebanyakan bandar lain di UK dan Eropah, termasuk London. Bahkan tiada bandar yang seumpamanya di dunia muslim kita. Ia sebuah bandar ilmu. Kebanyakan mereka yang sibuk berjalan pantas di jalan-jalan Oxford ini ialah pelajar, pengajar dan pengkaji. Lebih empat puluh kolej ilmu bersejarah lagi berprestij di bandar ini. Penuh sejarah, penuh sumbangan melahirkan tokoh-tokoh besar. Bandar ini penuh dengan aktiviti ilmu di sana-sini setiap hari; seminar, diskusi, forum dan pelbagai. Dalam pelbagai perkara dan bidang, yang mungkin sebahagiannya terlarang dalam negara kita disebabkan unsur ke'jais'an kita. Amat rugi jika ada sesiapa yang datang ke sini tetapi tidak mengambil peduli tentang aktiviti ilmu yang pesat.Dari bangunan-bangunan bersejarah yang memenuhi bandar ini, kita dapat tahu bahawa di sini asalnya tempat pengajian Kristian. Sejak kurun ke-12, Oxford berkembang menjadi bandar ilmu. Ini terutama selepas tahun 1167 apabila Henry II melarang pelajar Inggeris melawat university di Paris. Pada kurun ke-13 bandar ini mula pesat dengan para penuntut ilmu. Antara tahun 1249 dan 1280 diasaskan universiti kolej yang tertua di sini; Merton dan Balliol. Ertinya bandar ini telah berkembang menjadi bandar ilmu sejak 800 tahun yang lalu. Dalam tempoh yang panjang itu, Oxford melalui pelbagai sejarah. Agama Kristian yang menjadi teras pegangan dan pembinaan pusat pengajian di sini telah terbabit dalam pelbagai konfliks politik dan agama. Permusuhan dan pembunuhan berlaku dengan dahsyat sepanjang tersebut. Sehingga amalan kristianiti pun luntur di sini. Dibakar Hidup-Hidup Saya tinggal bersendirian di Broad Street. Di hadapan kediaman saya, di atas jalan ada tanda yang dibuat mengenang 'shuhada' Oxford atau Oxford Martyrs yang dibakar hidup-hidup. Tomas Cranmer, Nicholas Ridley dan Hugh Latimer. Mereka semua merupakan tiga orang paderi dan ilmuwan Kristian yang hebat pada kurun yang ke-16. Mereka telah mengkritik ajaran-ajaran Kristian yang dibawa oleh gereja Katholik yang dianggap tiada asas dalil yang sah dalam Bible. Terpengaruh dengan Martin Luther pengasas Protestan, mereka juga telah menulis pelbagai buku mengkritik amalan dan penghayatan agama yang diamalkan oleh pihak gereja Katholik. Seperti Luther, mereka berusaha agar agama Kristian tiada menjadi agama eksklusif untuk para paderi sahaja. Mereka menulis dan membahaskan pelbagai isu dalam ajaran Katholik yang mereka anggap tidak berasas. Walaupun mereka berkelulusan tinggi dari pusat-pusat pengajian theology, diangkat memegang pelbagai kedudukan tinggi dalam ranking gereja seperti archbishop dan bishop, namun atas sikap anti-pembaharuan dan enggan mendengar pandangan lain yang berbeza, pihak mahkamah agama Katholik telah menghukum mereka sebagai heresy (murtad) dan derhaka (treason) kepada Queen. Mereka dibakar hidup-hidup di khalayak ramai di Oxford pada tahun 1555 dan 1556. Sebenarnya, dalam sejarah gereja Katholik, begitu ramai yang dibakar oleh pihak gereja atas tuduhan murtad dan derhaka. Pihak gereja akan menggunakan nama Tuhan dan istana atas tuduhan murtad dan derhaka untuk menghukum para penentang mereka. Pihak Katholik juga ada privy council atau badan rahsia yang boleh menjadi kata putus. Pihak istana dalam usaha menjaga kepentingan dan kuasa mereka, maka akur atas segala tuduhan dan keputusan yang dibuat oleh pihak gereja terhadap musuh-musuh mereka. Golongan pembaharuan dalam Kristian terpaksa melalui pengorbanan yang terlalu hebat. Hukuman yang selalu mereka pakai kepada orang murtad ialah dibakar hidup-hidup cara pembakaran yang menyakitkan dan kejam. Benarkah Murtad? Persoalannya, benarkah murtad, ataupun murtad itu hanya menurut ukuran mereka yang jumud dan mempunyai kepentingan sendiri?! Semua tokoh-tokoh yang dibakar hidup-hidup itu tetap memanggil Tuhan sehingga ke akhir hayat. Cumanya, mereka enggan mengakui beberapa kepercayaan dan amalan Katholik yang mereka anggap tidak bersumberkan Bible. Pihak penentang pembaharuan sering menggunakan nama Jesus dan istana. Padahal mereka bukan mempertahankan istana atau Jesus, mereka mempertahankan kedudukan istimewa mereka sebagai golongan agama. Mereka menentang usaha pembaharuan menterjemahkan Bible yang berbahasa Latin ke dalam bahasa Inggeris. Mereka bimbang orang lain dapat menilai dan menembusi maklumat agama yang akhir menyebabkan mereka dipersoalkan. Dikenang Hari ini Oxford terus wujud. Namun, mereka yang dibakar dan dituduh murtad itu dikenang sebagai wira dan syahid oleh generasi kemudian. Demikianlah penilaian terhadap fakta sejarah selalu berubah dengan berubahnya cara fikir manusia. Wira boleh menjadi derhaka, derhaka pula boleh juga menjadi wira. Seseorang yang dihukum pada suatu masa, mungkin dihargai pada masa yang lain. Kemungkinan juga seseorang yang dihargai kini, akan dihukum pada masa yang akan datang. Sebab itu setiap kita hendaklah berpegang kepada asas-asas kebenaran yang disepakati oleh ad-din dan manusia sejagat. Bukan berpegang kepada sesuatu yang bersifat politik dan isu semata. Walaupun begitu dahsyat dan kejam pihak gereja Katholik berusaha mengekang pembaharuan, namun hari ini segala yang mereka takuti telah pun menjelma dalam rupa yang lebih 'ganas'. Mereka cuba menentang kritikan terhadap amalan mereka, hari ini di Barat, bukan sekadar amalan mereka, bahkan Tuhan pun dinafikan kewujudannya. Pada era 1880, ahli falsafah Jerman Friedrich Nietzche telah mengistiharkan bahawa 'God was dead' (Tuhan telah mati). Walaupun 120 tahun kemudian agama terus hidup di dunia ini dan Tuhan terus dipuja, namun golongan atheist dan agnostic turut berkembang. Usaha menolak kewujudan Tuhan terus berjalan dan mendapat sambutan yang besar di seluruh dunia. Richard Dawkins umpamanya, pada 2007 menerbitkan buku God Delusion atau penipuan Tuhan, buku yang menggambarkan bahawa tiada siapa yang boleh memberikan gambaran lengkap tentang agama yang sebenar. Tulisannya ini menggalakkan golongan anti-agama dan bukunya mendapat sambutan yang hebat. Di Oxford yang dipenuhi dengan gereja dan segala kesan sejarah perkembangan Kristian, turut menjualnya. Tuduh Murtad Menjadi masalah besar apabila nama Tuhan sering digunakan untuk kepentingan kuasa dan diri sendiri. Orang lain dihukum atas nama Tuhan, padahal Tuhan kesalahan itu tidak membabitkan ajaran Tuhan. Akhirnya, Tuhan disalah ertikan dan agama dibenci. Di Oxford, walaupun bangunan dan bayangan gereja mengelilinginya, amalan kehidupan agama sudah tipis. Pengajian dijalankan tanpa berkait lagi dengan nama Tuhan melainkan sedikit. Ataupun, Tuhan itu difahami dalam pelbagai versi yang tersendiri. Menuduh orang murtad sebenarnya memerlukan penelitian dan bukti yang kukuh tanpa kepentingan dan fanatik. Menghalang orang lain memberikan pandangan dan pendapat atas nama Tuhan adalah perbuatan yang menjauhkan manusia dari agama. Itu bukan usaha menguatkan agama. Islam adalah agama dialog dan hujah. Ia bukan agama perhimpunan untuk membantah orang lain bersuara. Itu perbuatan gereja yang telah menghasilkan natijah yang buruk dan melahirkan sikap anti-agama. Menjerit di jalanan kerana kononnya ada orang murtad adalah tindakan yang tidak bijak. Padahal Allah telah memberikan panduan agar Islam ditegakkan atas hujah dan dialog. Firman Allah (maksudnya): "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125). Menuduh orang lain murtad juga secara semberono hanya mengulangi apa yang dilakukan oleh gereja Katholik. Natijahnya, lenyap kekuatan istana yang dipergunakan dan lenyap juga keyakinan manusia kepada agama itu sendiri. Apakah kita ingin mengulanginya? * Professor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah Visiting Research Scholar 2011-2012 di Oxford Centre for Islamic Studies, England. |
TOKOH AKADEMIK JADI MANGSA: KES AZIZ BARI APA HAL? Posted: 20 Oct 2011 04:12 AM PDT Dr Asri: Gantung Aziz tindakan mengampu Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin mengkritik keras tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung tugas pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari dengan menyifatkannya sebagai "tindakan mengampu". "Tindakan kepada Prof Aziz Bari merupakan sesuatu yang amat memalukan dunia akademik kita. "Tindakan ini tiada asas ilmu sama sekali sebab dalam dunia ilmu setiap orang berhak berbicara atas asas fakta dan ijtihad. "Tindakan ini adalah tindakan mengampu," kata fellow pelawat di Universiti Oxford itu. Dalam kenyataannya hari ini, Dr Asri (kanan) menyifatkannya sebagai "tindakan yang paling tidak bertamadun dalam dunia akademik". Beliau bahkan sinis terhadap apa yang dirujuknya sebagai "kepimpinan baru di UIA" yang tidak melambang ketokohan akademik, tetapi lebih kepada nilai-nilai politik. "Kepimpinan UIA sekarang tidak di bawah orang yang terbilang dari segi pemikiran dan dunia ilmu sebaliknya orang yang berpotensi melakukan tindakan yang melambangkan kejumudan fikiran yang bertentangan dengan norma dunia akademik," katanya. Kesilapan besar Katanya, setahu beliau rektor UIA sekarang merupakan ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), justeru beliau bimbang berlaku konflik kepentingan dalam tindakan mengambil tindakan terhadap Aziz. "Sebagai lepasan UIA, saya rasa telah berlaku kesilapan besar dalam pengurusan akademik di UIA hari ini. "UIA yang patut bertaraf pusat pendidikan dunia, telah bertukar menjadi pejabat agama yang penuh kesempitan fikiran," katanya. Tindakan terhadap Aziz, termasuk disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berpunca daripada komennya terhadap Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) - bawah MAIS - terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya. Dr Asri mengibaratkan tindakan UIA itu seperti "mencampak diri ke zaman kegelapan Katholik yang membakar tokoh-tokoh akademik protestan atas tuduhan derhaka kepada istana dan heresy (menyeleweng) kepada agama". |
You are subscribed to email updates from N45 Dr Halimah Ali To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan