Ahad, 18 September 2011

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Selamat tinggal ISA, selamat datang GST

Posted: 17 Sep 2011 10:30 PM PDT

20 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 18 Sept: Pemaksaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya boleh dielakkan dengan menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"(Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) telah memberi isyarat yang jelas bahawa GST akan dipaksakan ke atas rakyat selepas pilihan raya akan datang, maksudnya selepas BN menang dalam pilihan raya akan datang.
"Dengan sendirinya ia memberi mesej yang jelas kepada rakyat supaya menolak BN habis-habisan dalam pilihan raya akan datang jika mereka tidak mahu GST dipaksakan ke atas mereka," katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri berkata: "Persoalannya ialah masa. Saya berpendapat apabila tiba masanya, dalam masa terdekat... kemungkinan selepas pilihan raya akan datang, kami akan memperkenalkan GST".
Mahfuz menyifatkan tindakan memaksakan GST ke atas rakyat itu sebagai gambaran jelas sikap tidak bertanggungjawab kerajaan BN.
"Dari dulu lagi, asal menghadapi masalah, simpanan rakyat seperti di dalam KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dikerjakan oleh kerajaan BN.
"Sekarang, zaman pemerintahan Najib, lebih teruk lagi. Asal menghadapi masalah kewangan, rakyat hendak disiksa.
"Hendak rentap subsidi dari rakyat dengan alasan subsidi adalah candu kepada rakyat, hendak paksakan GST dan pelbagai tindakan lain menyiksa rakyat dengan memaksa mereka menanggung beban ketidakmampuan kerajaan BN yang sudah kehilangan akal untuk meningkatkan pendapatan negara," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Menurut Mahfuz, sebuah kerajaan yang bertanggungjawab sepatutnya mencari jalan untuk mengurangkan beban rakyat dan bukannya seperti kerajaan BN yang jelas begitu ketagih untuk menyiksa dan membebankan rakyat.
"Bila menghadapi masalah kewangan, langsung tidak terfikir untuk menghentikan sikap boros, menghentikan projek yang bukan-bukan seperti hendak membina bangunan 100 tingkat dengan membelasah hasil simpanan rakyat, menghentikan rasuah, melaksanakan tender terbuka dan pelbagai amalan yang boleh menjimat dan meningkatkan pendapatan negara.
"Yang kerajaan BN tahu hanyalah hendak menyiksa rakyat dengan memaksa rakyat mengeluarkan lebih banyak lagi wang dari poket mereka, tidak kiralah dengan merentap subsidi, memaksakan cukai seperti GST, menguatkuasakan pelbagai saman dan lain-lain tindakan yang tujuannya hanya satu, iaitu memeras wang rakyat dan meragut wang dari poket rakyat," katanya.
Menurut Mahfuz, tidak ada gunanya menggula-gulakan rakyat kononnya dengan mengajak mereka mengucapkan selamat tinggal kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi pada masa yang sama memaksa mereka mengucapkan selamat datang kepada GST.

Mansuh ISA: Kerajaan perlu penuhi syarat ‘taubat’

Posted: 17 Sep 2011 10:00 PM PDT

20 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 18 Sept: Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Razali menegaskan bahawa kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Umno sekarang hendaklah memenuhi syarat 'bertaubat' sebelum ianya diterima.
Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Malaysia dalam satu perutusan kelmarin yang mengambil keputusan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Malaysia.
"Kita mengalu-alukan tindakan tersebut tetapi kita juga mendesak tidak akan undang-undang yang baru pada masa yang akan datang yang mempunyai matlamat dan pendekatan yang sama diwujudkan untuk menggantikan ISA, jangan bertukar kulit sahaja tapi isi tetap serupa," ulas beliau ketika dihubungi semalam.
Katanya, kerajaan Malaysia yang mengambil keputusan untuk memansuhkan ISA hendaklah memenuhi sekurang-kurangnya empat syarat 'taubat' sekiranya mahu membuktikan keikhlasan kerajaan.
Menurutnya, syarat taubat yang pertama ialah kerajaan hendaklah benar-benar menyesal terhadap segala dosa yang telah dilakukan sebelum ini khususnya terhadap mangsa-mangsa kezaliman ISA yang telah terseksa di atas kehilangan orang yang dikasihi di dalam kehidupan mereka, apatah lagi mereka ditahan tanpa sebarang perbicaraan yang adil.
Tambahnya, syarat taubat yang kedua ialah kerajaan hendaklah berazam dan bertekad tidak mengulangi kezaliman yang telah dilakukan sebelum ini.
Kata beliau, ianya bermaksud jangan ada lagi undang- undang yang menyerupainya ataupun hampir menyerupainya, juga bermaksud kerajaan juga wajib memansuhkan semua undang-undang yang menzalimi rakyat dan menyekat kebebasan rakyat.
Beliau berkata, syarat taubat yang ketiga ialah kerajaan hendaklah meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya terhadap para mangsa ISA yang menderita selama ini kerana kezaliman undang-undang tanpa bicara itu.
Syarat taubat keempat, ujarnya ialah mengembalikan hak kepada mereka yang berhak.
Ini, jelasnya bermaksud kerajaan wajib membebaskan seluruh tahanan ISA segera tanpa sebarang syarat.
Ini juga, katanya termasuk pampasan dan gantirugi yang sewajarnya hendaklah dibayar kepada para tahanan ISA sekiranya masih hidup atau kepada pihak waris sekiranya tahanan ISA itu telah meninggal dunia.
"Dan syarat yang paling penting walaupun ianya berkaitan dengan hati dan tidak dapat diukur dengan zahir, yang mana ianya telah diletakkan oleh para ulama ialah pemansuhan ISA ini mestilah dilakukan kerana ingin mencapai keredhaan Allah SWT dan bukannya kerana ingin memancing undi atau kepentingan politik singkat dan terdesak sahaja untuk mengekalkan undang-undang jahiliah yang bukan datang daripada Allah SWT, apatah lagi kita sedang berada di gerbang pilihanraya umum yang ke-13," katanya.
Beliau menambah, sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas, bukan sahaja ISA yang dimansuhkan bahkan semua undang-undang yang zalim hendaklah dimansuhkan dan digantikan dengan keadilan Islam.

Halang bercakap agama tak masul akal

Posted: 17 Sep 2011 09:30 PM PDT

20 Syawal 1432H. [MOD] -



KLANG, 18 Sept: "Menghalang ahli politik ataupun mereka yang dipilih oleh rakyat bercakap dan menyampaikan maklumat tentang agama adalah satu perkara yang tidak masuk akal, malah saya tidak setuju langsung," jelas Ahli Dewan Undangan Negeri Meru (Adun), Dr Abd Rani Othman.
Beliau yang telah ditarik balik tauliah mengajar oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebelum ini menyuarakan ketidakpuashatiannya terhadap Jais kerana ingin menyekat aktiviti dakwa di kalangan pemimpin dari PAS.
"Pentauliahan ini diwujudkan adalah kerana ini mengelak daripada berlakunya penyebaran ajaran sesat oleh mereka yang kita tidak kenali tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.
"Kita melihat ramai ahli politik yang mempunyai sijil-sijil agama yang diiktiraf sama ada di dalam mahupun di luar negara dan kebanyakan darinya telah mendapat pengiktirafan dari Arab dan juga Mesir.
"Jadi isu ajaran sesat tidak timbul, malah menghalang mereka-mereka ini dari menyampaikan sesuatu kebaikan adalah bertentangan dengan apa yang Islam kehendaki," jelasnya.
Dr Rani memberitahu sebelum ini pemimpin Umno bebas melakukan apa sahaja termasuk menyampaikan dakwah di surau-surau mahupun masjid.
"Kalau dulu pemimpin-pemimpin Umno bebas melakukan apa saja yang mereka mahu termasuk menyampaikan tazkirah di dalam surau mahupun masjid malah bermacam-macam perkara mereka lakukan.
"Sepanjang itu jugalah kita melihat tidak pernah ada pentaulihan diberikan malah JAIS hanya berdiam diri dan yang paling mendukacitakan Jais juga turun sama dalam program yang dianjurkan oleh Umno itu.
"Dulu tak pernah wujud seperti ini tetapi sekarang macam-macam halangan ada. Kita tidak bebas lagi hendak menyampaikan dakwah malah setiap pergerakan kita dipantau," sambungnya lagi.
Tambah beliau lagi, walaupun tauliahnya telah ditarik balik aktiviti dakwahnya tetap diteruskan.
"Saya akan tetap berdakwah walaupun tidak diberi tauliah oleh Jais, jika sebelum saya menjadi Adun saya bebas melakukan dakwah atas sebab apa saya hendak hentikannya.
"Jika ada pihak mengatakan isi penyampaian dakwah saya ada yang salah sila buktikan kesalahan itu dan setiap tuduhan perlu ada bukti yang kukuh bukannya sekadar cakap kosong," katanya lagi.
Beliau yang telah menyampaikan Khutbah Jumaat di Surau Nurus Saadah Taman Meru 4 kelmarin, memberitahu apa yang beliau sampaikan dalam khutbah adalah mengikut teks yang telah diberikan oleh Jais tanpa ada sebarang penambahan mahupun kekurang.
"Jika membaca teks yang diberi oleh Jais sewaktu khutbah juga dianggap salah, ini adalah satu tindakan yang keterlaluan serta tidak bertanggungjawab jika ini berlaku jelas wujud tangan ghaib yang ingin menghalang kita dari Pakatan Rakyat terutamanya PAS mendekati rakyat melalui dakwah di setiap surau dan masjid," tegas beliau lagi.

'Sebelah tangan suap, sebelah lagi pukul'

Posted: 17 Sep 2011 09:02 PM PDT

20 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 18 Sept: Jangan hanya janji mahu kaji Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, tetapi luluskan segera permit Suara Keadilan, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
"Tak perlulah (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) menambahkan lagi koleksi janjinya, banyak yang tidak ditunaikan.
"Jangan hanya janji nak kaji Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, tapi pada masa yang sama terus menyekat permit Suara Keadilan," katanya.
Mohamad melihat janji Najib itu tidak ubah seperti "sebelah tangan seolah-olah mahu menyuap makanan tetapi sebelah tangan lagi terus memukul kepala kita dengan kayu".
"Najib kata mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik, tetapi kebebasan bersuara terus ditahan hanya kerana ideologi politik.
"Permohonan PAS untuk menerbitkan akhbar harian ditolak, pihak pembangkang tidak diberikan peluang dan liputan yang sama dalam media milik rakyat seperti RTM," katanya ketika diminta memberikan ulasan lanjut kepada pengumuman Perdana Menteri dalam perutusan khas Hari Malaysia.
Antara lain, Najib berjanji akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, Akta Buang Negeri 1959 dan mengkaji beberapa undang-undang seperti Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Dalam reaksi awalnya kepada janji-janji Najib itu, Mohamad berharap peruntukan dalam akta baru bagi menggantikan ISA tidak menyerupai akta tersebut.
"Kita tidak mahu pengumuman penghapusan ISA ini sebagai gimik pilihan raya tetapi ia benar-benar diusahakan kerana ia adalah tuntutan sebahagian besar rakyat di negara ini," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu Jumaat lalu.
Ketika ditanya adakah rakyat perlu berterima kasih dengan pemansuhan ISA, Mohamad berkata, yang penting untuk dipersoalkan ialah mengapa akta yang telah menzalimi banyak pihak itu disalahgunakan?
"Samalah apabila kita dibebaskan selepas ditahan di bawah ISA, tidak relevan pertanyaan adakah kita hendak berterima kasih atau tidak, yang perlu dipersoalkan ialah kenapa tangkap kita di bawah ISA, kenapa zalimi kita?" kata beliau.
Beliau mengingatkan supaya jangan berlebihan menyambut janji-janji Najib itu.
"Tengok dulu adakah akta yang menggantikan ISA itu. Adakah ia zalim seperti ISA juga? Adakah ia boleh disalahgunakan untuk menzalimi aktivis parti pembangkang?" katanya.

Tiga maut, lebih 20 cedera nahas kereta api di Sri Lanka

Posted: 17 Sep 2011 06:36 PM PDT

20 Syawal 1432H. [MOD] -

COLOMBO: Sekurang-kurangnya tiga maut termasuk seorang warga Korea Selatan dan kira-kira 25 orang mengalami kecederaan apabila sebuah kereta api penumpang merempuh bahagian belakang sebuah kereta api lain dalam kejadian dekat ibu negara Sri Lanka, lewat semalam.

Pekerja kereta api masih mencari penumpang yang mungkin terperangkap dalam bangkai kenderaan berkenaan selepas kejadian itu berdekatan stesen Alawwa, kira-kira 60 kilometer utara Colombo.

"Seorang rakyat Korea Selatan dan pemandu lokomotif adalah antara yang maut," kata jurucakap polis, Maxi Proctor. - AFP

Bebaskan Tahanan ISA dan Minta Pemimpin BN bersikap ‘Gentleman’

Posted: 17 Sep 2011 06:23 PM PDT

20 Syawal 1432H. [MOD] -
PAS Miri.

Akta ISA Patut Dihapuskan

Baru baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri [ISA],dan ramai yang menyokong pengumuman tersebut. Kalau benar akta ISA dimansuhkan sepatutnya tahanan ISA yang ada sekarang juga patut dibebaskan dengan segera atau dibicarakan di mahkamah terbuka. Apa erti akta ISA dimansuhkan sedangkan tahanan ISA masih lagi meringkuk dalam penjara. Kita minta semua tahanan ISA dibebaskan dengan segera dan jangan pula selepas ini ada lagi akta yang lebih kejam dan zalim dari akta ISA. Sepatutnya akta ini sudah lama dihapuskan setelah komunis menyerah diri dan meninggalkan perjuangan mereka. Oleh kerana akta ISA selama ini telah disalahgunakan untuk menangkap pemimpin pembangkang yang bersuara lantang menentang pemerintah dan mereka yang dituduh tanpa bukti maka sebab itulah kita mendesak agar akta ISA dimansuhkan atau dihapuskan sama sekali tanpa prejudis.

Akta ISA juga tidak memberi peluang kepada tertuduh untuk dibicarakan di mahkamah terbuka maka memang patut dihapuskan dari dulu lagi. Sekiranya ada akta baru yang akan menganti akta ISA nanti janganlah ianya lebih teruk atau zalim dari yang ada sekarang. Kita akan menyokong setiap perkara yang baik untuk semua rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Jangan Melarang Rakyat Mendengar Penjelasan

Merujuk kepada kenyataan Datuk Peter Chin di Miri baru-baru ini dan mengingatkan penduduk kampung supaya jangan menerima kedatangan orang luar (pembangkang) ini suatu perbuatan yang diluar amalan demokrasi. Negara ini mengamal dasar demokrasi bukan bersifat seperti dasar komunis yang mana hanya suatu pihak saja yang berhak bersuara sedangkan yang lain dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan atau
memberi penerangan kepada rakyat.

Kita yakin Miri akan jatuh kepada Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihanraya umum nanti sekiranya rakyat dapat menerima maklumat yang jelas dan tepat tentang dasar dan perjuangan PR dari pimpinan PR sendiri. Mungkin disebabkan takut kepada pemimpin PR yang akan memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat maka dengan sebab itu kita selalu mendengar pemimpin BN mengeluarkan kenyataan kepada rakyat supaya jangan menerima kedatangan pemimpin PR. Kita minta pemimpin BN bersikap 'gentleman' dan jangan takut menghadapi rakyat biar rakyat yang menentukan siapa yang layak untuk memimpin mereka bukan hanya BN saja. Kalau BN takut menghadapi rakyat secara demokrasi lebih baik jangan masuk politik dan bertanding dalam pilihanraya umum nanti dan biarkan orang yang berani dan layak saja yang akan memimpin negara ini dimasa hadapan demi kebajikan rakyat semua.

PAS Miri
Jofri Jaraiee

Tiada ulasan:

Nuffnang