Selasa, 30 Ogos 2011

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Kemenangan dan Kemerdekaan

Posted: 29 Aug 2011 07:00 PM PDT

Aidilfitri hari kemenangan;
Kejayaan menempuh halangan;
Mengenali erti kekurangan;
Bagi yang tahu kesenangan.

Kepada pembaca budiman, saya ajukan soalan di hari yang mulia ini: Adakah umat Islam di Malaysia sebenarnya sudah menang?

Mungkin ada di antara kita yang, setelah sebulan berpuasa, menang lapar dan dahaga secara peribadi tetapi sebagai masyarakat yang sepatutnya menang di dalam janji kemerdekaan, perjuangan kita jelas masih belum selesai.

Mungkin ada di antara kita yang, setelah berakhirnya Ramadhan, menang dengan sedikit sumbangan di tangan dan wang zakat di saku tetapi sebagai masyarakat yang sepatutnya menang dari segi erti ekonomi rumahtangga yang benar-benar berdikari lagi mencukupi, jelas perjuangan kita memang belum selesai.

Kita belum menang bila kesederhanaan Islam dicela dengan taburan fitnah perpecahan hari demi hari.

Kita belum menang bila ketegasan Islam terhadap rasuah diperlekehkan dengan bercambah dan berakarnya budaya rasuah merata-rata, malah di bulan Ramadhan sekalipun.

Kita belum menang bila keadilan Islam diketepikan untuk keadilan palsu institusi kehakiman yang dinodai untuk matlamat politik sempit lagi menghimpit.

Kita belum menang bila kecaman Islam terhadap penipuan ditolak ketepi dengan kepincangan proses pilihanraya yang nyata penuh manipulasi, kolusi dan dipenuhi dengan warga baru segera.

Kita belum menang bila kewajipan beramanah dalam Islam disanggah dengan salah guna kuasa serta pecah amanah para pemimpin, pemegang jawatan awam dan penjaga keselamatan demi kesenangan sementara sesetengah pihak berkepentingan.

Kita belum menang apabila Islam diperguna untuk kepentingan politik perkauman sempit yang menjadi alasan untuk menjarah ekonomi dan menjajah politik Negara walapun penjajah British telah lama bersilih ganti dengan penjajah baru berwajah kebangsaan bersongkok tinggi.

Tepat saya rasa kita bertanya di Syawal yang mulia ini – lambang kemenangan umat Islam ke atas pancaroba hawa nafsu – bilakah kita akan menang? Bilakah rakyat negara tercinta ini akan menang?

Kita akan menang apabila ekonomi dibuka adil lagi saksama tanpa monopoli harga barang naik dan komisyen tinggi pembelian mahal lagi membazir yang memiskinkan rakyat dan merugikan masyarakat.

Kita akan menang apabila politik bersih lagi mulia memerdekakan jiwa bangsa daripada rasa takut kepada kerajaan menjadi takut kepada Tuhan.

Kita akan menang apabila keadilan dan kehakiman menjadi perisai rakyat daripada kekejaman dan keangkuhan pemegang amanah dan penjawat awam.

Kita akan menang apabila suara akhbar bebas memanggil untuk bersatu dan bukan berpecah akibat hasutan keji penulis berita.

Kita akan menang apabila penjarah ekonomi dan penjajah politik berwajah kebangsaan bersongkok tinggi yang bangga mewarisi peranan dan perundangan penjajahan British seperti ISA, PPPA, Akta Hasutan dan Ordinan Darurat dikalahkan oleh rakyat melalui pilihanraya yang bersih, telus dan adil.

Oleh itu, marilah kita terus berdoa dan berjihad agar Aidilfitri iaitu Hari Kemenangan menjadi titik perubahan kemerdekaan sebenar umat Islam di bumi bertuah ini.

Marilah kita teruskan semangat jihad Ramadan untuk kemenangan Syawal dan seterusnya berkorban Zulhijjah buat Malaysia yang lebih baik untuk semua.

(Pertama kali disiarkan di Sinar Harian, 30hb Ogos 2011)

Ucapan Selamat Hari Raya di Sinar Harian

Posted: 29 Aug 2011 06:00 PM PDT

Sungguh pantas sebulan berlalu, terlalu cepat Ramadhan tiba langsung meninggalkan kita. Namun Alhamdulillah, dalam kesibukan bekerja kami sekeluarga tetap meletakkan ibadah sebagai keutamaan di bulan yang penuh barakah ini.

Semoga kita dapat bersama-sama meraikan kemenangan Syawal ini dengan meningkatkan ibadah dan melaksanakan segala tanggungjawab dengan penuh amanah, keadilan, dan rasa penuh syukur atas segala limpah rahmatNya. Dan semoga kita kembali kepada fitrah asal selepas menggilap iman semasa latihan Ramadhan.

Akhir kata, kami sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir & batin kepada kesemua pembaca akhbar Sinar Harian dan rakyat Malaysia amnya.

YB Datuk Seri Anwar Ibrahim & Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
YB Nurul Izzah Anwar & Raja Shahrir

(Pertama disiarkan di Sinar Harian, 30hb Ogos 2011)

Tiada ulasan:

Nuffnang