Anwar Ibrahim |
Najib Tersepit Antara Populariti Menurun Dengan Harapan Reformasi Sistem Pilihan Raya Yang Melambung Posted: 30 Aug 2011 03:08 AM PDT Perdana Menteri Najib Razak kini tersepit di antara pola popularitinya yang semakin menurun, dengan harapan reformasi sistem pilihan raya yang semakin melambung, seandainya dikupas satu hasil soal selidik yang dikendalikan Merdeka Center, baru-baru ini. Menurut soal selidik yang dijalankan antara 11 hingga 27 Ogos 2011 ke atas 1,027 orang responden, tahap kepuasan Najib Razak (gambar kiri) memperlihatkan pola menurun sejak Mei 2010, malah jatuh sebanyak 6% kepada 59% – buat kali pertama di bawah paras 60% dalam tempoh dua tahun, sejak September 2009. Najib mencatat kemuncak popularitinya di paras 72% pada Mei 2010, dan seterusnya menunjukkan pola menurun. Jatuh pada magnitud yang besar Populariti seseorang PM pada paras 67% (dua pertiga) mungkin boleh dianggap “agak selamat”, dan “naik-turun”-nya di sekitar angka ini dilihat biasa. Namun, seandainya data soal selidik ini diteliti, maka Najib perlu berhati-hati dengan pola ini. Tahap puas hati terhadap Najib jatuh 3% dalam 6 bulan (Mei-Nov 2010), kemudian jatuh lagi 2% dalam empat bulan (Nov 2010 – Mac 2011), 2% lagi dalam dua bulan seterusnya (Mac-Mei 2011). Tiga bulan kemudian, tahap puas hati terhadap Najib jatuh 6%, bermakna 2% dalam sebulan secara puratanya. Namun, peratusan tidak puas hati (disapproval rate) terhadap Najib tidak meningkat secara mendadak. Peningkatannya hanya 6% dalam tempoh setahun, dari Mei 2010 (21%) hingga Mei 2011 (27%), malah kekal di 27% pada Ogos 2011. Ia mungkin memberi tafsiran bahawa golongan atas pagar yang pada asalnya cenderung untuk menyokong Najib, kini mengubah fikirannya. Malah, seandainya dianalisa mengikut kaum, tahap puas hati terhadap Najib dari kalangan kaum Melayu jatuh ke bawah paras 70% buat kali pertama sejak Disember 2009; sementara tahap puas hati dari kaum Cina pula mencatat 38%, 11% lebih rendah berbanding hasil soal selidik tiga bulan yang lalu. Penurunan tahap puas hati dari kalangan Cina mungkin sesuatu yang diduga, namun asakan retorik perkauman terhadap kaum Melayu nampaknya tidak memberi kesan positif untuk Najib – sesuatu yang mungkin di luar jangkaan ramai. Perlu diambil perhatian bahawa 51% daripada responden tidak terdedah kepada maklumat internet, dan hanya 29% responden mendapat pendidikan tinggi. Najib mengambil alih tampuk kerajaan dengan tahap puas hati pada paras terendah, iaitu 34% ketika soal selidik diumumkan pada Mac 2009. Tahap puas hati ini melonjak setelah beberapa bulan Najib mentadbir, menurun semula pada September 2009 (56%), dan pasang surut mengikut isu selepas itu. Impak BERSIH 2.0 Di samping itu, meskipun gerakan BERSIH 2.0 ditohmah dan dikecam dalam media arus perdana kawalan UMNO-BN, namun tuntutan reformasi sistem pilihan raya oleh gabungan tersebut mendapat sambutan positif daripada rakyat, menurut hasil kaji selidik ini. 49% responden mendakwa dirinya memahami tuntutan BERSIH 2.0, sementara 48% responden tidak berpuas hati dengan pendekatan kerajaan mengendalikan isu BERSIH 2.0. Lebih penting, kesemua empat soalan yang diajukan Merdeka Center berkenaan reformasi sistem pilihan raya, dipersetujui lebih daripada dua pertiga responden, termasuklah penggunaan dakwat kekal (70%), akses media arus perdana untuk semua parti politik (68%), pembersihan senarai daftar pemilih (88%) dan membenarkan pemerhati asing (70%). Dengan kata lain, kebanyakan responden menyedari kepincangan sistem pilihan raya yang sedia ada, malah menyokong tuntutan BERSIH 2.0 untuk reformasikan sistem ini. Selain itu, kenaikan harga barangan menjadi masalah yang paling penting dihadapi bersama oleh ketiga-tiga kaum terbesar, iaitu Melayu, Cina dan India di Semenanjung Malaysia. Selain masalah inflasi, kaum Melayu meletakkan gejala sosial sebagai isu yang kedua penting; sementara Cina pula bimbang dengan masalah keselamatan, dan kaum India lebih resah dengan masalah gaji rendah dan kekurangan peluang pekerjaan. Seandainya hasil soal selidik Merdeka Center ini mampu menggambarkan realiti sebenar, maka mereka yang mahu membacanya dalam perspektif politik akan tertanya-tanya, apakah masa yang paling sesuai untuk Najib mengadakan PRU ke-13? Sebelum populariti Najib sempat jatuh semula ke jurang, atau memberi masa yang lebih agar imejnya digilap semula? Persoalannya, mampukan Najib melonjakkan popularitinya tanpa reformasi sistem pilihan raya? |
Populariti Najib Pasti Junam Jika Gagal Tunai Pembaharuan Pilihan Raya Posted: 30 Aug 2011 02:58 AM PDT Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat meramalkan populariti Datuk Seri Najib Razak, yang terus merosot, akan berhadapan dengan paras lebih buruk jika perdana menteri gagal menunaikan janji pembaharuan pilihan raya selepas perhimpunan Bersih 2.0. Sementara mereka juga bersetuju dengan kemerosotan berterusan sebagaimana dibuktikan menerusi kajian Merdeka Center dan bukan sesuatu yang mengejutkan, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengambil sikap berhati-hati tentang implikasi persekitaran itu dalam pilihan raya umum ke-13. Kata mereka, kedudukan itu tidak semestinya menggambarkan satu peralihan positif yang pasti kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum. Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, tanpa pembaharuan pilihan raya dengan segera, pentadbiran Najib (gambar) kemungkinan akan berakhir pada pilihan raya umum ke-13, yang dijangka akan dipanggil dalam beberapa bulan ini. "Keputusan kajian itu seiring dengan pandangan umum situasi semasa yang tidak memihak buat Najib, ekoran kenaikan harga barang dan kesilapan menangani isu Bersih 2.0," katanya lagi. "Beliau begitu ketara terdesak untuk memulihkan keadaaan…. (dengan itu) memperkenalkan jawatankuasa pilihan khas bagi pembaharuan pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula mengkaji untuk membenarkan kesemua rakyat Malaysia di luar negara untuk mengundi dan mempertimbangkan (semula) penggunaan dakwat kekal," kata Lim sambil menambah, "sama ada semua ini akan dilaksanakan dalam pilihan raya umum, sesuatu yang perlu (kita tunggu dan) lihat." Populariti Najib menjunam ke paras 59 peratus — penurunan dari 72 peratus, paras paling tinggi, yang direkodkan pada Mei tahun lalu, dipercayai berhubung kait dengan perhimpunan Bersih 2.0 yang diadakan awal Julai lalu. Kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan arah aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus. Kadar populariti Najib pernah turun sehingga 56 peratus pada September 2009 – lima bulan selepas menjadi perdana menteri Malaysia yang keenam. "Seramai 59 peratus rakyat Malaysia mengatakan bahawa mereka berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dalam kajian (kali) ini enam peratus lebih rendah berbanding 65 peratus direkodkan pada Mei tahun ini," kata firma kajian pandangan umum ini dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam. Kajian terbaru ini dikendalikan sebulan selepas perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara. Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Najib telah kehilangan peluang keemasan untuk menarik sokongan pengundi dan cara beliau mengendalikan isu-isu semasa menjadi asas kepada kemerosotan popularitinya. Ahli Parlimen Kuala Selangor itu juga bersetuju dengan pandangan Lim bahawa Najib seharusnya mengadakan pembaharuan pilihan raya menerusi jawatankuasa yang telah disyorkan sebelum pilihan raya umum ke-13. "Jawatankuasa pilihan khas (kini berubah) sebagai isu politik dan Najib tiada iltizam politik untuk menjamin bahawa ia akan dilaksanakan sebelum pembubaran Parlimen. "Beliau telah menembak kaki sendiri, ya, dan mengulangi sikap tidak konsisten dan kurangna iltizam untuk melakukan pembaharuan," katanya lagi. Pemimpin-pemimpin PKR, Chua Tian Chang dan Nik Nazmi Nik Ahmad menjangkakan keputusan terbaru ini akan mencetuskan panik di kalangan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN), dan akan menggerakkan taktik-taktik kotor untuk memenangi pilihan raya umum. "Saya fikir pastinya beliau telah silap dalam tangani Bersih, tetapi tahap popularitinya tidak kaitan besar dengan pilihan raya umum. Kebimbangan saya sekarang ialah, Najib akan membaca keputusan ini dan akan ada lebih kepincangan dalam pilihan raya nanti. Umno akan membaca hasil kajian ini dan jika mereka merancang untuk menghadapinya, mereka akan menggunakan penipuan besar-besaran untuk menang," kata Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Batu ini kepada The Malaysian Insider. Nik Nazmi, Pengarah Komunikasi PKR, bersetuju dengan kemungkinan itu tetapi menggesa pentadbiran Najib menganggapnya sebagai satu pengajaran dan menggunakan sebagai langkah memperkenalkan pembaharuan sebelum pilihan raya umum. Sambil mendakwa jawatankuasa pilihan khas itu kemungkinan hanya "kosmetik", Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia memberitahu, Najib kemungkinan akan tenggelam dalam tekanan dalam parti beliau sendiri dan tidak menunaikan apa yang dijanjikannya. Najib, tambah beliau, terlalu berhati-hati dan bukan seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan sentiasa berakhir dengan perubahan pendirian dalam keputusan-keputusan dasar. This posting includes an audio/video/photo media file: Download Now |
You are subscribed to email updates from Anwar Ibrahim To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan