Anwar Ibrahim |
- Keluarga Tiga Remaja Ditembak Polis Buat Aduan Ketiga, Desak Siasatan Baru
- Fitnah II: Najib, Rosmah Lambatkan Perbicaraan- Peguam
- Hanya Menteri Kewangan Boleh Arah GLC
- Perjanjian Pertukaran Saham MAS-Air Asia Menimbulkan Kebimbangan Serius Terhadap Kecekapan Kawalan Dan Tatakelola
Keluarga Tiga Remaja Ditembak Polis Buat Aduan Ketiga, Desak Siasatan Baru Posted: 11 Aug 2011 01:20 AM PDT Keluarga tiga remaja, yang ditembak mati oleh polis dalam di Glenmarie dekat Shah Alam November lalu, hari ini membuat satu lagi laporan polis sambil menegaskan kesemua anak mereka ditembak mati oleh pasukan keselamatan itu. Mereka menegaskan pendirian itu berdasarkan laporan bedah siasat yang diterima baru-baru ini. Laporan polis dibuat hari ini merupakan yang ketiga sejak insiden itu November lalu. Terbaru laporan bedah siasat yang melibatkan Muhamad Hanafi Omar menunjukkan remaja berusia 22 tahun itu ditembak tiga kali — satu di pipi, di bawah cuping teling dan dada. Sebelum ini laporan bedah siasat dua lagi remaja, Mohd Shamil Hafiz Shafie, 16, dan Mohd Khairul Nizam Tuah juga menerima tembakan di kepala dan dada. Dalam kejadian pada 13 November lalu, kesemua mereka mati di tempat kejadian, namun polis menegaskan ketiga-tiga remaja itu ditembak kerana cuba menyerang dengan parang. Dalam laporan polis dibuat hari ini, ketiga-tiga keluarga itu mahu polis membuka semula kertas siasatan dan mendakwa kesemua pegawai yang terlibat dalam kes tersebut. "Laporan-laporan bedah siasat ini menunjukkan bahawa peluru telah memasuki badan mangsa pada sudut 45 darjah ke belakang, kami percaya ini adalah kerana mereka ditembak oleh penembak yang berada di kedudukan atas mereka iaitu mereka mungkin dipaksa melutut sebelum ditembak mati. "Soalnya juga kenapa perlu dua das tembakan ke kepala dan dada jika tujuannya kononnya hanya untuk menghalang mereka daripada menyerang polis, kesemua mereka menerima dua tembakan kecuali Hanafi (tiga tembakan)," kata mereka. Justeru mereka mendakwa polis cuba menutup penyalahgunaan kuasa oleh pegawai mereka dengan mengatakan kesemua remaja itu cuba menyerang dengan parang dan terpaksa dihalang dengan tembakan. "Kami menuntut supaya satu penyiasatan dimulakan segera ke atas anggota-anggota polis yang terlibat atas kesalahan membunuh. "Kami juga mahu pegawai atasan yang mengeluarkan kenyataan berhubung kes ini disiasat kerana memberikan maklumat palsu, kami menuntut keadilan atas kematian anak-anak kami," katanya. Hari ini keluarga ketiga-tiga remaja itu diwakili oleh Hamidah Kadar, 51, iaitu ibu Mohd Khairul Nizam, Norhafizah Mad Razali, 37, yang merupakan ibu Mohd Shamil dan bapa Mohamad Hanafi, Omar Abu Bakar, 58. Ketiga-tiga remaja itu mati ditembak polis di Jalan Kerjaya Glenmarie kira-kira pukul 4.15 pagi selepas menyamun sebuah stesen minyak 13 Disember lalu. Menurut laporan media sebelum ini ketiga-tiga remaja ini disyaki sebagai ahli Geng Minyak dan mati ditembak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian. Sementara itu Peguam hak asasi N. Surendran yang mewakili Lawyers For Liberty menegaskan, laporan bedah siasat terbaru yang diterima beberapa hari lalu menunjukkan ia bercanggah dengan maklumat polis. "Kami telah menerima laporan bedah siasat Muhamad Hanafi dan ia jelas menunjukkan kesemua mereka telah ditembak dalam jarak dekat. "Mohd Shamil ditembak di tengah-tengah dahi dan dada, (Mohd) Hairul Nizam di tepi kepala dan dada, dan Mohamad Hanafi menerima dua tembakan di kepala iaitu di sisi pipi dan di bawah cuping telinga selain turut ditembak di dada," katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini. Tegas Naib Presiden PKR ini, laporan bedah siasat secara jelas membuktikan kesemua remaja itu ditembak dengan tujuan "membunuh." "Jika polis nak hentikan (serangan) mengapa tidak tembak di tangan atau kaki? Mengapa mesti di kepala dan dada? "Tembakan ini bukan bertujuan untuk menghentikan (serangan) tapi bertujuan untuk membunuh," katanya. Seorang lagi Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, beliau mahu Putrajaya memberikan penjelasan berhubung kes tembakan tiga remaja itu . Nurul Izzah, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberikan penjelasan berhubung peningkatan kes tembakan mati yang melibatkan polis. "Sudah tentu kita akan bawa perkara ini Parlimen tapi terlebih dahulu kita mahu penjelasan perdana menteri, menteri dalam negeri dan ketua polis negara dalam isu ini," kata Nurul Izzah. |
Fitnah II: Najib, Rosmah Lambatkan Perbicaraan- Peguam Posted: 11 Aug 2011 01:05 AM PDT Perbicaraan kes Fitnah II yang melibatkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terpaksa ditangguhkan lagi jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor masih enggan ditemubual peguambela Anwar. Peguam Anwar, Sankara Nair berkata, perkara itu secara tidak langsung akan terus melambat-lambatkan lagi bicara kes itu yang sepatutnya memasuki peringkat pembelaan minggu hadapan. "Jika mereka (pendakwa raya) tidak menyediakan semua saksi seperti dipersetujui sebelum hari Jumaat ini maka, perbicaraan tidak boleh diteruskan pada hari Isnin (depan)," kata Sankara Nair dalam satu Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada Keadilandaily. Najib dan Rosmah termasuk dalam senarai saksi-saksi yang mahu ditemubual pasukan peguam Anwar sebelum perbicaraan bersambung Isnin depan. Isnin lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan semua saksi yang ditawarkan pendakwa raya kepada peguam Anwar perlu hadir untuk ditemubual peguam Anwar. Termasuk di dalam senarai itu adalah Najib dan Rosmah serta bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Rodhwan Yusof. Selasa lalu merupakan percubaan pertama pendakwa raya untuk melengah-lengahkan perbicaraan apabila enggan meneruskan sesi temubual peguam Anwar bersama Musa Hassan dan Rodhwan Yusof atas alasan Anwar turut sama hadir. Hakim Zabidin pada hari Rabu kemudian memutuskan Anwar berhak hadir dalam temubual yang berlangsung namun tidak dibenarkan bertanya soalan kepada saksi-saksi. Sehingga ke hari ini, Najib dan Rosmah masih lagi belum muncul untuk ditemubual peguam. Peguam mahu memanggil Najib sebagai saksi kerana penglibatannya dalam kes tersebut, apabila mengaku berjumpa dengan pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan sebelum pemuda itu membuat laporan polis terhadap Anwar. Saiful juga bertemu dengan pembantu khas Rosmah, Datuk Mumtaz Jaafar dan beberapa tokoh lain. Pegawai Penyiasat kes itu, DSP Jude Pereira dalam keterangan di mahkamah pada Mac lalu mengaku mengambil keterangan Najib dan Rosmah berhubung kes berkenaan. Ia sekaligus mewajarkan Najib dan Rosmah untuk ditemubual sebagai saksi dalam kes itu. |
Hanya Menteri Kewangan Boleh Arah GLC Posted: 11 Aug 2011 12:57 AM PDT Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz kerana didakwa mengeluarkan surat kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menarik balik saman yang difailkan ke atas bekas pengerusi MAS Tan Sri Tajudin Ramli. Menurut Anwar, jika sesuatu perkara membabitkan GLC, arahan mesti datang daripada menteri kewangan atau Kementerian Kewangan dan bukannya Nazri. “Arahan seumpama ini sepatutnya datang dari Menteri Kewangan (dan bukannya Nazri) kerana ini membabitkan GLC. “Kerajaan sebelum ini berkata mereka mempunyai kes yang kukuh terhadap Tajudin yang membabitkan berbilion ringgit (dalam mengemukakan saman). Ini amat menganggu," kata Anwar yang juga seorang bekas menteri kewangan. Menurut sebuah portal berita, Nazri dalam sepucuk surat yang dihantar bulan ini kepada GLC berkenaan dan Danaharta memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk menyelesaikan semua saman sivil ke atas Tajudin yang tertangguh. "Dimaklumkan bahawa kerajaan Malaysia dan Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk menyelesaikan kesemua tuntutan awam ke atas Tan Sri Dato Tajuddin Ramli dan beberapa yang lain dengan menarik balik dengan segera atas pandangan bahawa kerajaan dan Kementerian Kewangan telah bersetuju agar kes-kes yang ada akan diselesaikan di luar mahkmah. "Untuk makluman anda, kerajaan telah memberikan saya mandat untuk bertindak bagi pihak kerajaan dalam hal ini," kata Nazri dalam surat itu. Antara GLC yang menyaman Tajudin itu adalah Telekom Malaysia Bhd, Naluri Corporation, Celcom (M) Bhd, Atlan Holdings Bhd, Pengurusan Danaharta Bhd, Malaysia Airlines and Duta Skyline Bhd. Dalam perkembangan berkaitan, adalah difahamkan semua kes membabitkan Tajudin, kerajaan dan GLC berkenaan sedang dirundingkan bagi mencari penyelesaian pada semua peringkat proses mahkamah tersebut. Menurut sumber, sesetengah perkara itu telah dibawa kepada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Md Raus Shariff, yang juga adalah hakim pengurusan bagi mahkamah perdagangan hari ini. Kes-kes berkenaan telah ditetapkan pada 29 September bagi pengurusan kes sementara menunggu penyelesaian. Terdapat lebih 10 kes yang dipercayai masih aktif termasuk berkaitan dengan kes saman Pengurusan Danaharta Nasional Bhd, MAS, Telekom Malaysia Bhd dan Naluri Corporation Bhd. |
Posted: 10 Aug 2011 10:59 AM PDT Perjanjian pertukaran saham MAS-AirAsia yang diumumkan semalam menimbulkan kebimbangan serius terhadap dominasi AirAsia ke atas MAS serta mengakibatkan kemerosotan persaingan di antara keduanya. Ini seterusnya akan mewujudkan monopoli maya dalam industri penerbangan domestik untuk jangka masa panjang dan juga meningkatkan risiko dan keprihatinan berkaitan monopoli-monopoli, terutamanya dengan penglibatan kroni-kroni dan broker-broker kuasa politik. Penglibatan aktif Tony Fernandez dalam urusan pertukaran tersebut dan pencadang-pencadang beliau di dalam lembaga pengurusan MAS menimbulkan pertikaian konflik kepentingan memandangkan kedudukan beliau yang bersifat ‘bukan-eksekutif’. Ini jelas merupakan pencabulan ke atas peraturan tadbirurus korporat dan seharusnya tidak dibiarkan berlaku. Apa yang lebih penting, perjanjian ini menimbulkan persoalan tentang apakah nasib Program Transformasi GLC yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Najib Razak dengan publisiti luarbiasa dan pembaziran jutaan ringgit wang rakyat. Dan adakah kerajaan secara khusus mengakui bahawa kononnya kejayaan pemulihan MAS adalah sesuatu yang sia-sia? Perdana Menteri mesti bertanggungjawab kerana telah mengelirukan rakyat berkaitan isu ini. Perjanjian ini juga turut membangkitkan isu asas iaitu ketelusan kerana kerahsiaan di sebaliknya. Dalam hal ini, Suruhanjaya Sekuriti mesti menyiasat akan kemungkinan berlakunya kepincangan termasuk urusniaga dalaman saham-saham kedua-dua entiti. Saya khuatir perjanjian ini akan menguntungkan pihak minoriti dengan mengorbankan kepentingan pihak majoriti iaitu kakitangan MAS yang telah memberikan perkhidmatan kepada syarikat penerbangan kebangsaan dengan penuh dedikasi dan kesetiaan meski pun dinafikan ganjaran bonus selama beberapa tahun. ANWAR IBRAHIM |
You are subscribed to email updates from Anwar Ibrahim To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan