Sabtu, 23 Julai 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


MMA Gesa Bebaskan Jeyakumar

Posted: 22 Jul 2011 02:00 AM PDT

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa perdana menteri dan menteri dalam negeri supaya membebaskan Dr D Jeyakumar, yang sedang ditahan hampir sebulan di bawah Ordinan Darurat, sejak beliau ditangkap pada 2 Julai.

Jeyakumar yang juga ahli PSM dan ahli parlimen Sungai Siput (kanan) merupakan ahli seumur hidup MMA yang dianggotai 13,000 pengamal profesyen perubatan.

"Dalam tempoh beberapa minggu lalu, MMA menerima banyak panggilan telefon, e-mel dan mesej dari ramai ahli kami yang memandangkan berat penangkapan dan penahanan berterusan Dr Jeyakumar," kata Presiden MMA, Dr Mary Suma Cardosa dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah Persatuan Perubatan Sedunia (WMA) juga membuat gesaan yang serupa kepada para pemimpin BN.

WMA menggesa perdana menteri supaya menghormati piawaian antarabangsa bagi perbicaraan yang adil dan membebaskan segera semua aktivis atau mendakwa mereka di mahkamah.

Pada 25 Jun lalu, 30 ahli PSM termasuk Jeyakumar ditahan di plaza tol Sungai Dua atas dakwaan "melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong".

Mereka dibebaskan pada 2 Julai, tetapi Jeyakumar dan lima yang lain, ditangkap semula di bawah Ordinan Darurat (EO).


Sumber: Malaysiakini

Perhimpunan di Bukit Aman Tuntut Bebas Aktivis PSM

Posted: 22 Jul 2011 01:30 AM PDT

Kira-kira 200 penyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM), Pakatan Rakyat dan NGO mengadakan perhimpunan aman di hadapan pintu masuk ibu pejabat polis Bukit Aman petang ini, menuntut pembebasan enam aktivis PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Mereka juga berkumpul untuk menyerahkan memorandum menuntut pembebasan mereka yang ditahan akhir bulan lalu apabila mereka didapati memiliki bahan-bahan yang didakwa polis mempromosi komunisme dan sebagai bukti rancangan mereka untuk melancarkan 'perang terhadap Yang di-Pertuan Agong'.

Mereka pada mulanya dituduh melanggar Seksyen 122 Kanun Keseksaan, tetapi ini digugurkan. Keenam-enam mereka kemudian ditahan semula di bawah Ordinan Darurat pada 2 Julai atas dakwaan bahawa mereka menjadi ancaman kepada ketenteraman awam

Mereka yang ditahan ialah Ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael D Jeyakumar dan lima lagi aktivis PSM iaitu M. Sukumaran, AP Letchumanan, Choo Chon Kai, M Sarasvathy dan R Sarat Babu.

Diketuai oleh setiausaha agung PSM S Arutchelvan, pintu depan Bukit Aman ini bergema apabila mereka melaungkan "Bebas Tahanan", "Hidup Rakyat" dan "Mansuhkan EO" beberapa kali.

Turut hadir adalah beberapa ahli parlimen Pakatan antaranya Tian Chua, Gobind Singh Deo, Anthony Loke, Lim Lip Eng, Tan Kok Wai dan Dr Dzulkefly Ahmad.

Antara pemimpin NGO yang hadir ialah penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) E Nalini, Nashita Mohd Noor (ahli jawatankuasa Gerakan Mansuhkan ISA) dan Ivy Josiah selaku pengarah eksekutif Women's Aid Organisation.

Kebangkitan rakyat

Sewaktu berhimpun mereka menyampaikan ucapan ringkas antaranya menuntut pembebasan semua tahanan itu segera dan berharap rakyat terus memperjuangkan perkara ini sehingga mereka dibebaskan.

"Pencabulan (kepada mereka) tidak seharusnya berlaku... Mereka 'dikambinghitamkan', mungkin. Ketidakadilan ini kita pertikaikan.

"Kami menganggap mereka ditahan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Saya berharap rakan-rakan dapat memperjuangkan (pembebasan mereka)," kata pengerusi PSM Dr Nasir Hashim.

Manakala Tian yang juga naib presiden PKR mengingatkan jika pemimpin negara terus menggunakan undang-undang yang didakwanya tidak relevan, maka mereka dianggap "tidur dan akan menjadi tidak relevan di mata rakyat".

"Kepada ketua polis negara dan timbalan polis negara kena sedar bahawa kini adalah zaman kebangkitan rakyat yang akan membuat penilaian," katanya.

Menurutnya lagi, rakyat tidak akan berhenti untuk menuntut pembebasan tahanan itu, dan akan meneruskan perhimpunan yang lebih besar untuk menuntut keadilan ke atas mereka.

Manakala Gobind mempersoalkan apakah negara ini dalam keadaan darurat dan terdapat ancaman komunis. Katanya-katanya disambut teriakan "tidak" oleh peserta perhimpunan itu.

"(Untuk) kerajaan dan polis, rakyat tidak takut dan perjuangan ini tetap diteruskan. Ini amaran kepada kerajaan, jangan main-main dengan kuasa rakyat. Rakyat yang akan menentukan siapa yang akan menjadi kerajaan," katanya.

Undang-undang drakonian

Sementara Dr Dzulkefli pula yang memulakan ucapan dengan laungan "Hidup Rakyat" dan "Mansuhkan EO, mendesak pembebasan segera semua enam pemimpin PSM itu dan menyifatkan Ordinan Darurat sebagai undang-undang drakonian yang perlu dihapuskan.

Perhimpunan itu berlangsung selama hampir sejam bermula jam 2.30 petang, di mana mereka berarak 100 meter dari pintu masuk ibu pejabat polis itu. Kira-kira 40 anggota polis berkawal di hadapan pintu masuk ibu pejabat berkenaan.

Sementara itu, dalam memorandum tuntutan - yang disokong 90 badan yang terdiri daripada parti politik, NGO dan kumpulan mahasiswa - mereka menuntut tiga perkara penting kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Selain menuntut pembebasan segera keenam-enam pemimpin PSM itu, mereka juga menuntut supaya menghentikan penyiksaan dan pencabulan hak asasi ke atas tahanan itu serta memansuhkan semua akta yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Dalam memorandum itu, mereka mendakwa penahanan enam orang aktivis ini adalah satu pencabulan hak asasi manusia dan mala fide (berniat jahat).

"Alasan awal penahanan enam aktivis ini adalah cukup jelas dan nyata iaitu untuk menjadikan kambing hitam bagi menakut-nakutkan rakyat Malaysia daripada menyokong dan menyertai perhimpunan aman BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011.

"Kemudian notis pemberitahuan ini ditarik balik dan pertuduhan itu ditukar dan mereka dikaitkan dengan tuduhan akan membawa kemudaratan kepada ketenteraman awam.

Kelirukan rakyat

"Kini BERSIH 2.0 yang ditakuti pihak polis dan pihak kerajaan, sudah pun berlalu. Walaupun, kami tidak bersetuju dengan alasan menahan mereka kerana BERSIH, tetapi kini polis tidak mempunyai alasan lagi untuk menahan aktivis ini memandangkan semua orang lain sudah pun dibebaskan atau akan didakwa di mahkamah," memorandum itu dipetik.

Selain itu, mereka juga mendakwa polis membuat tangkapan ISA dengan menggunakan nama Ordinan Darurat untuk mengelirukan rakyat.

Dakwa mereka, cara dan prosedur tahananan mereka digunakan bagi tahanan ISA antaranya mereka ditahan berseorangan dan bukan di lokap polis.

Memorandum itu juga turut menjelaskan tahanan itu merupakan aktivis sosial dan ahli PSM yang berjuang kepentingan rakyat secara terbuka.

"Mereka bukannya sekumpulan pengganas atau penjenayah yang merancang untuk menggulingkan kerajaan," katanya mereka.

Sehubungan itu, mereka menggesa Ismail agar membebaskan semua tahanan itu dan menekankan "selagi mereka berada dalam tahanan polis, keselamatan mereka adalah tanggungjawab pihak polis".


Sumber: Malaysiakini

Exco Selangor Tolak Laporan Suruhanjaya, Mahu Semakan Semula

Posted: 22 Jul 2011 01:00 AM PDT

SHAH ALAM 22 JULAI : Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah menyambut baik keputusan peguam keluarga mendiang Teoh Beng Hock untuk memohon satu semakan kehakiman sekali gus mencabar keputusan suruhanjaya diraja di mahkamah.

Ean Yong berkata, ini kerana hasil siasatan dan keputusan Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock semalam bahawa kematian Beng Hock berpunca daripada bunuh diri tidak dapat diterima serta disifatkan sebagai tidak masuk akal.

"Saya tidak percaya bahawa Teoh Beng Hock membunuh diri kerana dakwaan suruhajaya jelas menunjukkan bahawa sememangnya SPRM dan pegawai SPRM  telah menyalahgunakan kuasa serta tidak mengikut peraturan semasa soal siasat dan semasa siasatan kes dibuat," katanya memberitahu Tvselangor.

Menurut Ean Yong, berdasarkan hasil siasatan suruhanjaya semalam ia jelas menunjukkan bahawa Beng Hock 'terganggu' ekoran sikap tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilabel sebagai "Arman yang membuli, Ashraf salah guna (kuasa) dan HH pemimpin yang angkuh."

"Ya, ia memang tidak masuk akal. Kerana dalam sesi pendengaran, pegawai SPRM telah menjelaskan kes saya yang telah disiasat mereka jelas menunjukkan bahawa saya dan Beng Hock tidak terlibat dalam korupsi serta penyalahgunaankuasa. Dan jika ia benar, ini bermaksud Teoh Beng Hock tidak ada alasan untuk membunuh diri,"tegasnya.

Malah ujarnya, suruhanjaya juga memutuskan bahawa pegawai-pegawai SPRM di Selangor sebagai terbuka kepada pembohongan.

Ketiga-tiga mereka yang dinamakan ialah bekas pengarah SPRM Selangor Hishammuddin Hashim, dua pegawainya Arman Alies dan Mohd Ashraf Mohd Yunus.

Ketiga-tiga mereka dinamakan sebagai pegawai soal siasat kes Teoh dalam laporan suruhanjaya itu, sebagai pihak yang 'menundukkan' Teoh ketika sesi soal siasat empat peringkat, yang bermula 15 Julai sehingga keesokan pagi.

Menurut laporan suruhanjaya itu, "Arman yang membuli" kemungkinan telah memanipulasikan saksi untuk mendapatkan bukti.

Tambah Ean Yong, tindakan SPRM untuk menyiasat wakil rakyat Pakatan Rakyat di Selangor adalah berunsur politik.

"Ini jelas menunjukkan bahawa tindakan SPRM untuk menyiasat semua wakil rakyat Pakatan Rakyat di Selangor adalah berunsur sifat politik," tambahnya.

Peguam keluarga Teoh Beng Hock, Karpal Singh berkata, pihaknya berkemungkinan memohon agar diadakan satu semakan kehakiman ke atas penemuan suruhanjaya diraja yang menyiasat kes kematian pembantu politik kepada seorang wakil rakyat DAP itu.

Karpal yang juga Pengerusi DAP kebangsaan berkata, beliau sedang meneliti laporan suruhanjaya itu "baris demi baris" untuk menentukan tindakan susulan, yang akan diketahui menjelang awal minggu depan.

Karpal berkata, beliau tidak dapat fikirkan sebarang tindakan yang boleh diambil ke atas tiga pegawai yang dinamakan selain tindakan disiplin.

Seorang lagi peguam keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo bagaimanapun berkata mereka sedang meneliti satu peruntukan dalam undang-undang yang boleh digunakan untuk meliputi tindakan ke atas pegawai-pegawai terbabit.

Keputusan mengenai punca kematian Teoh itu terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat prosiding Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang didedahkan kepada umum, semalam.

Teoh, 30, pembantu politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.


Sumber: TVSNEWS

Tiada ulasan:

Nuffnang