Selasa, 26 Julai 2011

MOHD FIRDAUS JAAFAR

MOHD FIRDAUS JAAFAR


27.7 | Padang Lembu Gurun - Bersama Mahfuz, Ust Firdaus & Chan Min Kai

Posted: 25 Jul 2011 08:18 PM PDT

Memorandum sokongan terhadap isu pusat hiburan

Posted: 25 Jul 2011 07:01 PM PDT

Memorandum sokongan

ALOR SETAR - Dewan Pemuda Pas Malaysia prihatin terhadap isu pusat hiburan yang dibangkitkan di tiga buah negeri dengan menyatakan pendirian menerusi memorandum yang diserahkan kepada pemimpin tertinggi negeri terbabit.

:Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar, Mohd Firdaus Jaafar berkata, sebagai permulaan, pihaknya menyerahkan memorandum pertama kepada Kerajaan Negeri Kedah, dengan menyokong tindakan Kerajaan Negeri melaksanakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997, yang melarang pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadan.

"Walaupun diberi kelonggaran dengan membenarkan pusat hiburan beroperasi dengan syarat tidak membenarkan orang Islam memasuki premis hiburan, namun ia langkah bijak menghormati bulan Ramadan yang mulia, selain dapat mengekang gejala sosial berleluasa," katanya.

Mohd Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, Pemuda Pas bangga kerana kerajaan Pas Kedah serius mahu melaksanakan enakmen itu pada tahun ini setelah tidak mampu melaksanakannya tiga tahun lalu.

"Tindakan ini tepat pada masanya dan saya harap bukan Islam menghargai sikap toleransi Menteri Besar ini," katanya pada media, selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, menyokong tindakan Kerajaan Negeri melaksana enakmen 1997 berkaitan isu pusat hiburan sepanjang Ramadan, di Wisma Darul Aman, semalam.

Memorandum diserahkan kepada Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Helmi Mohd Khalid. Hadir sama, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama, Majlis Pimpinan Pusat PKR yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kasim.

Mohd Firdaus berkata, memorandum sama akan dihantar kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam masa terdekat, bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan Kerajaan Negeri yang bertegas mengharamkan sebarang bentuk perjudian di Kelantan termasuk tiket loteri walaupun dicabar MCA baru-baru ini.

"Pemuda Pas Pusat juga akan ke Melaka dalam minggu ini untuk serah memorandum ketiga kepada Ketua Menteri, membantah tindakan Kerajaan Negeri itu melanjutkan operasi pusat hiburan daripada 1 pagi hingga 3 pagi pada hujung minggu," katanya.

Menurutnya, inisiatif Pemuda Pas ini adalah usaha untuk mengekang gejala sosial, selain mahu membentuk umat Islam menghayati bulan Ramadan.

"Kami berterima kasih pada pemimpin Pas yang tegas dalam keputusan mereka berhubung isu ini, dan menambahkan lagi keyakinan pada kepimpinan mereka yang menunjukkan betapa pentingnya memilih pemimpin yang bukan sahaja menjaga hal-hal duniawi, tetapi juga menitikberatkan soal akhirat," katanya.

Sementara itu, Ahmad menyifatkan kemelut isu pusat hiburan di Kedah dipolitikkan banyak pihak namun berjaya diselesaikan dengan bijak oleh Menteri Besar.

"Kebijaksanaan pemimpin Pakatan Rakyat ini membuktikan mereka sepakat dan telah melaksanakan agenda dalam Buku Jingga. Pentadbiran yang mengutamakan rakyat dalam semua aspek, di mana dalam buku itu mengatakan, tumpuan diberi untuk memperbaiki hubungan antara kaum dan agama yang telah rosak serta memupuk budaya berasaskan nilai moral dan bersikap terbuka," katanya.

Menurutnya, pendekatan PR amat bertepatan dan meraikan semua kaum, tanpa ada unsur ekstremisme dalam apa jua tindakan.

"Sebelum ini parti komponen Barisan Nasional, MCA dan Gerakan mungkin lupa mereka yang luluskan enakmen itu cuma tidak dilaksanakan sahaja. Sekarang setelah Menteri Besar dedahkan kebenaran, mereka malu dengan tindakan sendiri yang membantah pelaksanaan undang-undang yang diluluskan sendiri oleh mereka," katanya.

Tiada ulasan:

Nuffnang