Isnin, 11 Julai 2011

.

.


Kekalkan Momentum dan Gelombang BERSIH 2.0

Posted: 10 Jul 2011 05:41 PM PDT

Tema Aidil Fitri tahun ini ialah : Kuning

1. Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia dan seluruh warganya mengucapkan sejuta tahniah dan syabas buat seluruh anak muda negara yang mempamerkan satu kebangkitan luarbiasa pada 9 Julai 2011 dalam memperjuangkan 8 tuntutan BERSIH 2.0 agar ia menjadi satu realiti kelak insyaallah. Sekaligus mempamerkan kualiti solidariti rakyat yang semakin baik dan erat dari pelbagai bangsa, bahasa dan warna kulit dalam memperjuangkan hak bersama.

2. Biarpun tanpa baju BERSIH 2.0 berwarna kuning yang tertera senarai 8 tuntutan, namun kandungan 8 tuntutan itu telah menjadi slogan dan laungan para peserta BERSIH 2.0 sepanjang himpunan berlangsung di bawah siraman water canon dan tembakan gas pemedih mata. Tidak hilang seri himpunan BERSIH 2.0 tanpa baju rasmi himpunan kerana fokus adalah kepada senarai 8 tuntutan yang dikemukakan, bukan pada warna bajunya semata - mata.

3. Peserta tidak memakai baju BERSIH 2.0 kerana mematuhi ketetapan penganjur yang memberi kebebasan kepada peserta himpunan untuk tidak memakai baju rasmi BERSIH 2.0 ekoran tekanan menggila dari pihak pemerintah. Bagai hilang aqal dan rasional, mereka rakus menangkap sesiapa sahaja yang memakai baju BERSIH 2.0 tanpa soal dan usul simpati.

4. Biarpun sekatan dikenakan dari segenap penjuru alam beserta ugutan, ancaman, tekanan, fitnah, tohmahan, tangkapan dan halangan, ternyata tidak mampu menghalang rakyat dari seluruh negara mewakili keseluruhan rakyat yang prihatin memasuki ibukota untuk menjayakan himpunan BERSIH 2.0 tersebut. Pastinya mereka kehairanan, setelah sedemikian rupa tindakan mereka ke atas BERSIH 2.0 termasuklah menggunakan televisyen, radio dan iklan sebagai propoganda membusuk dan mengotorkan imej BERSIH 2.0 namun BERSIH 2.0 tetap bersih dan himpunannya tetap mencapai matlamat serta objektif penganjurannya.

5. Bermula waktu malam pada 8 Julai dan pagi 9 Julai, ibukota bagai dilanggar garuda juga seperti bandar terbiar selepas perang. Sunyi dan sepi tanpa kelibat kenderaan seperti hari - hari biasa yang terkenal dengan lokasi yang paling padat kenderaan dalam negara kita. Namun pendek aqal dan panas baran sang pemerintah, mereka mengeluarkan arahan agar ibukota dikosongkan dan peniaga tutup kedai sebelum himpunan BERSIH 2.0 berlangsung pada jam 2.00 pm 9 Julai 2011. Kemudian mereka pamerkan kebodohan diri sendiri dengan memfitnah bahawa BERSIH 2.0 menjadi punca peniaga alami kerugian dan ibukota menjadi lumpuh sedang mana - mana peniaga yang degil dan tetap berniaga pada hari itu, telah alami keuntungan berlipat kali ganda berbanding hari - hari biasa.

6. Lebih jelas kebodohan tersebut apabila mereka mendakwa himpunan BERSIH 2.0 gagal dan hanya dihadiri sekitar 6 ribu orang sahaja sedang jumlah tangkapan sahaja hampir 2000 orang. Setelah mereka sekat semua jalan masuk ke ibukota, menahan puluhan ribu penyokong BERSIH 2.0 di jalan - jalan utama, tol dan highway serta menyediakan ribuan pasukan FRU yang lengkap dengan water canon dan gas pemedih mata, ditambah pula perintah mahkamah terhadap 91 orang yang terdiri dari pimpinan parti dan ngo tidak dibenarkan masuk Kuala Lumpur, pula janji hendak sediakan stadium, kemudiannya memungkiri janji sendiri, tiba - tiba hari ini mereka mendakwa himpunan BERSIH 2.0 gagal kerana tidak mencapai 100 ribu peserta.

7. Andai 8 tuntutan yang dikemukakan masih tidak dipedulikan oleh kerajaan UMNO dan BN, bak kata Datuk Seri Presiden PAS Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang bahawa, kebangkitan rakyat melalui himpunan BERSIH 2.0 adalah merupakan muqaddimah kebangkitan rakyat khasnya anak - anak muda yang mahukan keadilan dan ketelusan berlaku dalam sistem demokrasi dan pengendalian pilihanraya negara ini.

8. Saya juga memberi perhatian kepada cadangan sahabat saya Al Fadhil Dr Mohd Asri Zainal Abidin agar dianjurkan minggu BERSIH dengan menghidupkan elemen perjuangan BERSIH 2.0 sepanjang minggu dalam pelbagai aktiviti harian samada secara rasmi atau tidak. Cuma saya menambah lagi agar momentum BERSIH 2.0 ini dikekalkan sehinggalah 8 tuntutan tersebut menjadi kenyataan. Momentum ini boleh diterjemah atau direalisasikan oleh rakyat dalam apa jua aktiviti dan kreativiti mereka.

9. Saya mengusulkan kepada semua rakyat Malaysia khasnya anak - anak muda negara sebagai salah satu usaha untuk menghidupkan elemen perjuangan BERSIH 2.0 agar menjadikan tema pakaian dan perhiasan sempena sambutan Aidil Fitri tahun ini ialah warna kuning. [ tidak mengapalah tema kuning itu menampilkan warna kuning air, kuning emas, kuning bercorak, kuning bersulam, kuning berjalur, kuning berpetak, kuning sedondon, kuning berbatik dan sebagainya. Asalkan temanya kuning.] Pendek kata semuanya kuning termasuk perhiasan langsir, sampul kusyen, cat dinding dan sebagainya dengan segala apa yang boleh kita lakukan kecuali pada 4 perkara yang dilarang kuning sama sekali, iaitu :

a - gigi kuning

b - demam kuning

c - otak kuning

d - budaya kuning

10. Namun usaha ini tidaklah terhenti pada warnanya semata - mata, kreativiti boleh disempurnakan lagi dengan memahat, menulis, mencetak , mempamer, melekatkan di mana sahaja senarai 8 tuntutan BERSIH 2.0 seperti di dinding kereta, poster dinding, banner, badge, cetakkan bag sandang, bag galas, penanda buku dan seumpamanya sehingga 8 tuntutan ini insyaallah turut terpahat di dalam kepala YAB datuk Seri Najib Tun Abd Razak dan Pengerusi SPR lalu mereka melunaskannya insyaallah. Kita mulakan kempen mengekalkan momentum BERSIH 2.0 ini dengan kempen BERSIHkan jiwa dari dosa, noda, mazmumah [ sifat keji ] dan tentunya kehadhiran bulan Ramadhan al Mubarak menjadi kesempatan terbaik untuk memulakan kempen BERSIHkan jiwa. Hanya insan yang BERSIH jiwa raganya sahaja berhak menang untuk memikul amanah rakyat sebagai pemimpin dan pemegang amanah negara .

Selamat berjuang dari saya.

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan:

Nuffnang