Isnin, 13 Jun 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Exco Selangor Ingatkan Rakyat Jangan Terpedaya Laporan Media Kawalan Umno

Posted: 11 Jun 2011 06:00 PM PDT

SEPANG 11 JUN : Rakyat Selangor diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan berita yang disiarkan sesetengah akhbar tempatan masa kini terutamanya laporan berkaitan permasalahan yang timbul di negeri ini kerana sebilangan besarnya adalah rekaan semata-mata.

Menurut Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, pelbagai usaha dilakukan oleh media kawalan Umno-BN untuk mengaburi mata rakyat termasuklah isu status tanah di Sungai Buloh dan Hulu Selangor. 

Menurut Xavier, isu Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Kampung Sungai Kerandang dan tapak semaian bunga di Sungai Buloh akan terus disensasikan untuk membohongi rakyat. 

Justeru itu katanya kerajaan negeri akan bertindak mendedahkan nama pihak yang bertanggungjawab menyerahkan tanah berstatus TOL itu untuk didiami dan diusahakan memandangkan ia adalah hak milik kerajaan negeri.

"Kita tidak ada tanah lagi di Selangor. Kalau kita tidak pertahankan tanah-tanah yang ada sekarang khususnya tanah hutan yang cuma tinggal 30 peratus sahaja lagi, kita akan berhadapan dengan masalah pada masa akan datang," katanya dalam ceramah perdana 'Agenda Negeri Selangor', dekat sini malam tadi. 


Sementara itu, Dr Xavier dalam ucapannya turut menekankan pelaksanaan bayaran premium tanah sejumlah RM1,000 yang diperkenalkan kerajaan negeri  menerusi Skim Pemilikan Kediaman Persendirian yang bertujuan memudahkan rakyat Selangor memiliki kediaman dengan bayaran premium yang fleksibel.

Tegasnya, ia adalah satu perkara baik yang tidak pernah dilakukan kerajaan pemerintah Umno-Barisan Nasional (BN) baik di Selangor mahupun Malaysia.

"Kita bagi RM1,000 kepada pemilik yang duduk di atas tanah tersebut. Bila-bila masa siapa pun yang hendak jual tanah tersebut kepada orang lain, dia perlu membayar balik premium pada kerajaan negeri dengan harga yang ditentukan,"katanya. 

Malah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim semalam memberitahu kerajaan negeri bersetuju untuk membantu rakyat di negeri di Selangor yang tidak mampu membayar premium tanah seperti yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dengan menggantikannya melalui kerja-kerja amal di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Sumber: TVSNEWS

MB: Aset Sebenar Air Selangor RM12 bilion

Posted: 11 Jun 2011 02:00 AM PDT

SEPANG, 11 Jun — Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan aset air di Selangor sebenarnya bernilai RM12 bilion dan rakyat akan terus menikmati pemberian bekalan 20 meter padu air percuma setiap bulan selagi Pakatan Rakyat memerintah negeri itu.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan pimpinannya sudah melakukan penyelidikan mengenai nilai sebenar aset air ekoran kegagalan pentadbiran BN menentukan nilai yang tepat semasa mereka memerintah negeri itu selama lima dekad.

"Kita  memperuntukkan sebanyak RM760,000 untuk mengkaji nilai aset air di Selangor dan saya sudah dimaklumkan nilai sebenar aset air kita berjumlah RM12 bilion yang mana sebelum ini BN mengatakan ia bernilai RM1 bilion sahaja.

Inilah silap besar BN, mereka salah kira tapi kita tidak… kita semak balik, pening juga kita, dengan jumlah yang ada ini kalau kita jual RM1 bilion aset air ini rakyat boleh mendapat air percuma lebih daripada lapan tahun," katanya pada ceramah perdana Agenda Negeri Selangor di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi di sini.


Pemberian air percuma dilaksanakan kerajaan negeri Selangor selepas pilihan raya umum ke-12  sejak 2008, yang mana Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih pentadbiran daripada BN.

Kata Abdul Khalid, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat akan terus memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjamin.

"Kita akan pastikan rakyat dapat manfaat daripada apa yang kita lakukan, wang yang kita dapat akan dikembalikan semula kepada rakyat.

"Kebajikan kita akan jaga, BN setelah lebih 50 tahun gagal melaksanakan ini, anda boleh semak semua ini sama ada kita telus atau tidak.

"Kita sudah buktikan, kita bukan hanya bercakap… ini perbezaan kita dengan BN, kita terjemahkan ia (dalam bentuk tindakan), jadi saya minta agar anda terus memberikan sokongan kepada kita," katanya.

Turut hadir Penasihat Ekonomi kerajaan negeri Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Xavier Jayakumar, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Teresa Kok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda Shuhaimi Shafiei.

Menurut Abdul Khalid, rakyat Selangor membuat keputusan bijak kerana memilih Pakatan Rakyat untuk menggantikan BN pada pilihan raya umum 2008.

"Saya nak katakan bahawa anda telah memilih kita (Pakatan Rakyat) kerana mahukan reformasi, mahukan perubahan yang sudah lama dituntut.

"Anda memilih kita bukan sebab 1 Malaysia, anda tidak pilih kita atas dasar 1 Malaysia tapi anda pilih kita atas dasar reformasi… anda pilih kita sebab nak tahu sama ada PKR, PAS dan DAP boleh buat kerja atau tidak," katanya.

Tambah beliau, walaupun baru tiga tahu memerintah Selangor, namun sehingga kini kerajaan negeri Pakatan Rakyat berjaya memberikan lebih banyak manfaat kepada rakyat dan terbaru pemilikan hak milik tanah dengan kadar premium yang rendah.

"Sudah tiga tahun saya jadi menteri besar, sama ada betul atau tidak (kerajaan negeri jaga kebajikan) anda sudah tahu.

"Kita dah buat macam-macam, kita beri air percuma dan terbaru kita beri pemilikan tanah kepada rakyat dengan bayaran yang rendah… dulu masa kita mula-mula beri air percuma, kita teruk dikecam (oleh Umno)… mereka kata tidak boleh, jadi saya minta senarai orang Umno yang tidak mahu air percuma tapi tidak diberikan," katanya.

Malah menurut Abdul Khalid, sejak mengambil alih pentadbiran negeri Pakatan Rakyat sudah berjaya "membetulkan kesilapan" yang dilakukan BN dulu.


Sumber: Selangorkini

Selangor Bantu Rakyat Bayar Premium Tanah

Posted: 11 Jun 2011 01:30 AM PDT

SEPANG 11 Jun -  Rakyat yang menghadapi masalah menjelaskan bayaran premium tanah akan dibantu kerajaan negeri demi memastikan rakyat di Selangor memiliki rumah sendiri.

Kerajaan negeri menetapkan bayaran serendah RM1,000 bagi penyelesaian isu itu dan bagi mereka yang masih tidak mampu berbuat demikian, mereka boleh menjalankan aktiviti kemasyarakatan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kemudiannya akan membantu individu tersebut menjelaskan bayaran premium berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri prihatin dan menyedari terdapat sebahagian rakyat di negeri ini menghadapi masalah menjelaskan bayaran premium yang tinggi bagi pemilikan tanah.

Ekoran itu katanya kerajaan negeri  membuat keputusan rakyat yang diberikan hak pemilikan tanah boleh membayar premium tersebut dengan bayaran minima sebanyak RM1,000.

Bagi mereka yang masih tidak dapat menjelaskan bayaran RM1,000 itu, katanya, bantuan menerusi JKM akan diberikan dengan syarat golongan tersebut perlu menjalankan tugas kemasyarakatan yang akan ditetapkan mengikut keperluan.


Jelasnya, pendekatan itu diambil kerana kerajaan negeri mahu membantu rakyat di Selangor terutama yang kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

"Rakyat mesti diberi kesempatan untuk memiliki tanah kediaman mereka jadi oleh sebab itu kerajaan negeri telah banyak buat program bagi borang 5A iaitu borang yang kita setujui penghuni rumah tersebut boleh mendapat geran tanah.

"Tapi yang susahnya bila baca surat itu ada bayaran premium di mana bayaran itu berasaskan nilai tanah, lagi mahal tanah lagi banyak premium kena dibayar iaitu sekurang-kurangnya 20 peratus daripada nilai tanah," katanya pada Program Mesra Antara Menteri Besar Dan Rakyat di Dengkil. Turut hadir pada program sama ialah barisan Exco negeri Selangor, Teresa Kok, Dr Xavier Jayakumar dan Ronnie Liu.

Menurut Abdul Khalid, berikutan itu kerajaan negeri menerima banyak permintaan bagi mengurangkan bayaran premium tersebut.

"Cara yang terbaik kalau mereka tak dapat membayar premium, cara yang kita beri kita akan tawarkan mereka satu cara yang lain iaitu mereka yang tak boleh membayar, kita benarkan mendapatkan geran tanah dengan hanya membayar RM1,000 sahaja.

"Kalau lagi ada keluarga yang tidak boleh membayar RM1,000, kita juga akan bantu melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya mereka dibantu.. tetapi mereka kena buat kerja, tak bayar dengan duit mereka kena buat kerja kebajikan," katanya.

Abdul Khalid berkata, tindakan itu dikenakan kerana mahu rakyat di Selangor bertanggungjawab terhadap apa yang mereka miliki dan tidak menganggap mudah segala bantuan diberikan kepada mereka.

Beliau menambah, kerajaan negeri sentiasa mementingkan kebajikan rakyat dan sering memberi keutamaan kepada mereka demi memastikan nasib golongan itu mendapat pembelaan sewajarnya.

Sumber: Selangorkini

Selangor Beri RM6 Juta Kepada Sekolah Agama, Cina dan Tamil

Posted: 09 Jun 2011 02:00 AM PDT

SHAH ALAM 9 JUN : Kerajaan Selangor menyampaikan bantuan RM6 juta kepada sekolah agama, sekolah Cina dan sekolah Tamil di negeri ini di bawah fasa pertama untuk memantapkan prestasi sekolah-sekolah berkenaan.

Bantuan itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM16 juta yang diluluskan kerajaan negeri untuk tahun ini, kata Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali.

Peruntukan itu akan disalurkan menerusi Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat di kesemua 56 DUN Selangor untuk diserahkan kepada sekolah-sekolah terbabit. 

Dr Halimah Ali menyarankan Adun-Adun dan Pusat Khidmat Masyarakat  menyampaikan maklumat berhubung peruntukan tersebut disamping membantu menguruskan permohonan untk mend apatkan peruntukan itu.

"Pihak Adun dan Pusat Khidmat juga diminta untuk memantau sekolah-sekolah yang menerima bantuan pembangunan pendidikan daripada kerajaan negeri," ujarnya dalam satu kenyataan.


Bagi tahun 2011, kerajaan negeri meluluskan peruntukan pendidikan sebanyak RM16 juta iaitu RM6 juta untuk SAR, SJKC (RM6 juta) dan SJKT (RM4 juta).

Katanya, keseluruhan peruntukan bagi bantuan pembangunan pendidikan fasa pertama melibatkan tiga aliran sekolah itu adalah RM6,652,786.

Halimah yang juga Adun Selat Klang berkata, sebanyak 121 Sekolah Agama Rakyat  menerima peruntukan di bawahFasa Pertama 2011, manakala 75 adalah sekolah Cina  dan 97 sekolah Tamil (97).

Permohonan untuk mendapatkan Bantuan Pembangunan Pendidikan bagi Fasa Kedua akan mula di terima mulai esok manakala tarikh tutup permohonan adalah 11 Julai depan.

Borang boleh didapati sama ada melalui portal selangor http://www.selangor.gov.my/main.php, atau di pejabat Adun, Pusat Khidmat Masyarakat serta Unit Pendidikan di Bangunan Pejabat  Setiausaha Kerajaan Negeri pada talian 03-55212283.

Biasiswa Selangor Merentasi Perkauman

Posted: 08 Jun 2011 02:00 AM PDT

SHAH ALAM 8 JUN : Biasiswa Pelajaran oleh Yayasan Selangor diberikan tanpa mengira kaum dan agama namun kaum Cina dan India kurang memberi sambutan kepada bantuan itu berbanding kaum Melayu. 

Exco Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali menafikan dakwaan MIC dan MCA kononnya kerajaan negeri dan Yayasan Selangor menimbangkan latar belakang agama dan kaum dalam memberikan biasiswa itu. 

Beliau menjelaskan rekod pengambilan pinjaman pelajaran bagi tahu 2000 hingga 2011 menunjukkan pelajar bukan bumiputera iaitu Cina dan India tidak membuat permohonan pinjaman dengan Yayasan Selangor sebaliknya membuat pinjaman dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinngi Nasional (PTPTN) yang menawarkan jumlah pinjaman yang lebih tinggi.

"Pada tahun 2011, Yayasan Selangor mendapat 350 permohonan daripada bumiputera, daripada jumlah itu 227 ditawarkan pinjaman kerana yang lain tidak menepati syarat dan sebagainya. Daripada 227 hanya 142 yang menerima tawaran.


"Ini adalah merupakan trend dan dari segi keperluan pinjaman itu sendiri samada pelajar tersebut mahukan atau tidak," katanya.

Halimah berkata demikian mengulas dakwaan MIC dan MCA yang menuduh Yayasan Selangor berat sebelah dalam memberikan biasiswa dan pinjaman pendidikan dan meminggirkan pelajar berbangsa Cina dan India.  

"Kaum Tionghua hanya 4 memohon daripada 4, 2 ditawarkan pinjaman dan tidak ada daripada mereka menerima tawaran kerana rata- rata mereka mengambil kursus yang melebihi bantuan pinjaman yang ditawarkan. 

"Untuk pelajar India, kita menerima 19 permohonan dan 11 telah ditawarkan pinjaman, 6 menerima tawaran," Jelas Halimah.

Beliau menambah Yayasan Selangor hanya menawarkan jumlah biasiswa yang terhad iaitu sebanyak RM35,000 sahaja. Faktor itu memungkinkan kebanyakan pelajar tidak menerima tawaran tawaran tersebut.

Halimah menambah, Yayasan Selangor giat menawarkan biasiswa dan pinjaman pendidikan kepada pelajar Selangor yang mendapat keputusan cemerlang, menerusi akhbar berbahasa Melayu, Cina dan India.

"Nak membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak berat sebelah dalam memberi bantuan pinjaman, yayasan Selangor telah mengiklan permohonan bantuan pinjaman tersebut di surat khabar Tamil (Makkal Ossai) dan surat khabar Cina dan Melayu," ujar Halimah.


Sumber: TVSNEWS

Tiada ulasan:

Nuffnang