Rabu, 1 Jun 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Mencari Penyelesaian Pemberhentian Pekerja Estet Dunedin, Semenyih

Posted: 31 May 2011 05:00 PM PDT

Shah Alam, 31 Mei 2011 - Satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh YB Dr. Xavier Jayakumar, EXCO Negeri Selangor telah diadakan di bangunan SSAAS Shah Alam bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah pemberhentian 9 orang pekerja estet tersebut ekoran penjualan estet tersebut yang terletak di Semenyih, Selangor.

Pihak estet  diwakili oleh beberapa orang pegawai pengurusan syarikat Inch Kenneth Rubber Plantation manakala pihak pekerja ladang di wakili oleh S. Arutchelvam dari NGO Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit).

Pihak pekerja menuntut agar diberikan pampasan dan pembayaran ex-gratia yang setimpal kepada pekerja-pekerja yang diberhentikan. Turut dibangkitkan ialah kemudahan penyediaan perumahan bagi pekerja-pekerja terlibat.   

Dr Xavier yang juga pengerusi Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang Negeri Selangor menyarankan agar kedua-dua belah pihak mengadakan perbincangan selanjutnya bagi mendapatkan keputusan dan situasi 'menang-menang' bagi kedua-dua belah pihak. 

Pegawai dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor turut menghadiri mesyuarat tersebut.



KPRU: Kenaikan Tarif Elektrik Tingkat Inflasi

Posted: 31 May 2011 02:00 AM PDT

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berasa kesal dengan langkah kerajaan untuk meningkatkan tarif elektrik secara purata sebanyak 7.12% mulai Jun 2011 mahupun pelbagai pihak, termasuk pakar ekonomi telah mengingatkan kerajaan bahawa tekanan inflasi semakin mendesak.

Dalam pada itu, kerajaan juga mengumumkan bahawa tarif elektrik di negara ini akan dinaikkan setiap 6 bulan bagi tahun-tahun berikut supaya selaras dengan kenaikan harga gas asli yang dijual oleh Petronas kepada pengeluar tenaga.

Pengumuman kerajaan bahawa 4.4 juta atau 75% pengguna di Malaysia tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik memang dalam jangkaan.

Akan tetapi, kerajaan secara sengaja mengabaikan satu fakta, iaitu harga barangan harian dan makanan akan meningkat susulan daripada pengumuman tersebut. Hal ini kerana pihak industri pengeluaran makanan yang menggunakan sebahagian besar tenaga elektrik dijangka memindah kos berkaitan kepada pihak pengguna.

Pandangan sedemikian juga disahkan oleh ketua ekonomis Ratings Agency Malaysia (RAM) Yeah Kim Leng yang mengatakan bahawa walaupun sebahagian besar isi rumah terlepas daripada kesan langsung kenaikan tarif elektrik, tetapi mereka tetap akan menghadapi bebannya apabila pengeluar dan peniaga memindakan kos yang lebih tinggi kepada pengguna.[1]

KPRU ingin menekankan bahawa kenaikan tarif elektrik dengan kuantum yang tinggi pada ketika inflasi cukup membebankan rakyat adalah kurang wajar. Dalam konteks kenaikan kos atau harga barangan utama dan barangan harian lain beberapa kali sebelum ini, kenaikan tarif elektrik kali ini akan menyebabkan gegaran berganda kepada pengeluar yang akhirnya memindahkan tekanan itu kepada harga barangan pengguna.

Misalnya, mulai Julai 2010, harga minyak RON97 mula dinaikkan sehingga RM2.15/liter pada 2 November 2010, RM2.30 pada 1 Disember 2010, dan RM2.50 pada 4 Januari 2011. Harga minyak RON97 terbaru mencecah RM2.90/liter.

Minyak RON95 mula diperkenalkan dalam pasaran domestik pada 1 September 2009 untuk menggantikan RON92. Harganya bermula pada RM1.75/liter dan seterusnya dinaikkkan kepada RM1.80. Dalam tahun 2010, harga minyak RON95 telah meningkat sebanyak dua kali. Harga terkini minyak RON95 adalah RM1.90/liter, dan dijangka akan naik lagi dalam masa yang singkat.

Dalam tahun 2010 sahaja, harga gula telah naik mendadak sebanyak 55%.  Pada Januari 2010, harga gula hanya berada pada paras RM1.10/kg, kemudian naik sebanyak tiga kali, iaitu 20 sen dalam Jan 2010, 25 sen dalam Julai 2010 dan 20 sen dalam 4 Disember 2010 sehingga RM2.10/kg. Pada 10 Mei 2011, harga gula sekali lagi naik sebanyak 20 sen menjadikan harga runcit sebanyak RM2.30/kg. Ekoran itu, Persatuan Kedai Kopi Wilayah Persekutuan-Selangor telah menaikkan harga minuman daripada RM1.20 secawan kepada RM1.40 secawan mulai 1 Jan 2011.[2]

KPRU ingin memaklumkan bahawa fenomena kenaikan harga bukan sahaja berlaku ke atas barangan tertentu, malah kesannya besar merangkumi sektor yang luas, seperti yang ditunjukkan dalam jadual berikut:


(Sumber: Sinchew Jit Poh, Malaysiakini, 2011)

Ekoran itu, kadar inflasi di Malaysia pada Disember 2010 mencecah 2.2%, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 19 bulan.[3] Indeks Harga Pengguna (CPI) kemudian melonjat ke 3% pada Mac 2011, dan seterusnya 3.2% pada April 2011, menjadikan kadar inflasi setinggi 2.9% sepanjang bulan Januari hingga April tahun 2011.[4][5] Perkembangan ini sejajar dengan unjuran dalam Laporan Tahunan Bank Negara bertarikh 24 Mac 2011 bahawa kadar inflasi akan mencatat 2.5%-3.5% bagi tahun 2011.[6] Peningkatan kadar inflasi jelas akan memberikan impak negatif seperti menjejaskan kuasa membeli dan meningkatkan beban kos sara hidup rakyat, terutamanya kepada golongan yang kurang berdaya dan berupaya.

Satu lagi faktor penting yang telah diabaikan oleh kerajaan ialah kadar kenaikan gaji dan pendapatan boleh guna rakyat tidak dapat menyaingi kadar kenaikan inflasi. Mengikut Laporan Bank Dunia, purata kenaikan gaji sebenar di negara ini hanyalah sekitar 2.6% dari tahun 1994 hingga tahun 2007.[7]

Satu lagi kajian yang bernama Reshaping Economic Geography Report in East Asia, an East Asian and Pacific region companion volume to the World Development Report 2009 juga menunjukkan kadar kenaikan gaji secara purata selepas krisis ekonomi 1997 di Malaysia hanya sekadar 1.9%.[8]Selain itu, walaupun Robert Walters Global Salary Survey 2011 mengunjurkan kenaikan gaji sebanyak 5-30% di Malaysia bagi tahun ini, tetapi unjuran tersebut hanya merujuk kepada golongan professional daripada sektor ICT, akaun, kewangan, bank, logistik dan penjualan yang jauh lebih selesa dari segi kehidupan dan pendapatan boleh guna.[9]

Hakikatnya, pada tahun 2010, antara lebih 10 juta tenaga kerja di Malaysia, hanya 3.76 juta orang rakyat yang layak membayar cukai.[10] Dengan kata lain, hampir 6.4 juta rakyat Malaysia tidak mampu membayar cukai pendapatan peribadi. Golongan 6.4 juta ini membentuk lapisan rakyat miskin, seperti yang disebut dalam Rancangan Malaysia Ke-10 sebagai '40% isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan dengan purata pendapatan hanya mencapai RM1,440'.[11]

Jika pengagihan pendapatan diteliti mengikut subjek pekerja, satu kajian oleh Kementerian Sumber Manusia mengenai gaji pekerja di Malaysia mendapati bahawa hampir 34% daripada kira-kira 1.3 juta pekerja memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700. Hampir 34% pekerja memperoleh gaji di bawah garis kemiskinan yang bermaksud seramai 1/3 pekerja bergaji di bawah paras kemiskinan.[12]

Golongan sebeginilah yang terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang meningkat, kekurangan peluang pekerjaan, tekanan harga barang dan sewa rumah yang melambung serta masa depan yang muram. Akibatnya, dasar rasionalisasi subsidi secara tergesa-gesa ini memang tidak banyak menggoyangkan gaya hidup golongan atasan dan elit, tetapi kehidupan rakyat biasa terjejas dan terbiar papa kedana.

KPRU berpendapat pemotongan subsidi wajar dilaksanakan sekali dengan 'rasionalisasi' dasar kerajaan sedia ada yang bersifat berat sebelah. Pengurangan subsidi rakyat sewajarnya dilaksanakan selepas kerajaan menilai dan merunding semula perjanjian yang memberikan subsidi 'luar biasa' kepada korporat besar, antaranya termasuk perjanjian antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan Penjana Tenaga Swasta (IPP) yang memberikan subsidi sebanyak RM22 billion setahun.

Jika tidak, langkah kenaikan kos kehidupan rakyat tersebut bukan sahaja akan mewujudkan persepsi ketidakadilan dan kurang 'legitimate', malah dilihat sebagai menjalankan penjajahan berbentuk ekonomi terhadap golongan rakyat marhaen.


Sumber: Selangorkini

Selangor Atasi Masalah Guru Agama Kontrak Dan Sambilan

Posted: 31 May 2011 01:30 AM PDT

SHAH ALAM, 31 MEI : Kerajaan negeri akan memohon pertambahan jawatan guru agama dinegeri ini bagi menyerap guru-guru berstatus kontrak dan sambilan supaya menjadi guru tetap.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri menyedari terdapat ramai guru agama dinegeri ini yang masih belum mendapat status guru tetap meskipun sudah lama berkhidmat.

Khalid berkata perkara itu akan diuruskan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi.

"Kerajaan Negeri bersetuju memberi sokongan penuh terhadap usaha mendapatkan waran jawatan tambahan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam. Saya mahu, Setiausaha Kerajaan Negeri memberi perhatian utama terhadap perkara ini.

"Saya sedar betapa ramainya guru di negeri ini yang masih berjawatan kontrak atau sambilan dan dengan yang demikian, Kerajaan Negeri mahu mengatasi masalah ini dengan segera," kata Khalid.

Khalid menambah, kerajaan negeri tidak pernah lepas tangan dalam urusan menjaga kebajikan guru- guru agama yang menabur bakti kepada anak- anak Selangor.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri turut berperanan dalam urusan pemberian gaji kepada guru-guru dibawah seliaan Jabatan Islam Selangor (JAIS).

"Untuk pengetahuan guru-guru, setiap RM1 gaji yang dibayar kepada guru-guru, hanya 30 sen daripada Kerajaan Persekutuan dan selebihnya, 70 sen datangnya daripada Kerajaan Negeri," jelas Khalid.

Bukan itu sahaja, kerajaan negeri sebelum ini meluluskan RM300 tambahan elaun kepada semua guru KAFA Integrasi yang bertugas di Semua Sekolah Rendah Agama di Negeri Selangor. Penambahan ini menjadikan jumlah elaun bulanan bagi kumpulan ini sebanyak RM 1,300.

Beliau turut menambah, segala peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri dan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan digunakan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran disamping mengadakan program- program peningkatan kerjaya untuk guru.

Dalam majlis yang sama, Tan Sri Khalid menyerahkan replika cek dari lembaga Zakat Selangor berjumlah hampir RM47 Juta.  Sebanyak RM26 Juta diserahkan kepada sumbangan bayaran guru- guru kafa Negeri Selangor setahun dan RM12.5 Juta untuk sumbangan dermasiswa pelajar luar negara (Mesir, Jordan dan Morocco).

Sementara untuk anugerah tokoh guru terbaik bagi kategori lelaki dianugerahkan kepada Mohd Dawam Dollah @ Hj Mohd Anuar dan untuk tokoh guru wanita dianugerahkan kepada Mistijah Nordin.

Bagi anugerah Pra Sekolah terbaik dimenangi oleh Pekan Sabak Bernam, Sekolah Rendah Agama (SRA) dimenangi oleh Sijangkang Kuala Langat, Sekolah Rendah Agama Integrasi dimenangi oleh SRAI Sungai Manggis Kuala Langat, KAFAi dimenangi oleh Taman Kemuning Kuala Langat dan MITS/SAM dimenangi oleh SAMT batu 38 Sabak Bernam.


Sumber: TVSNEWS

Kerajaan Selangor Komitted Bantu Masyarakat Orang Asli

Posted: 24 May 2011 01:45 AM PDT

Kuala Langat, 24 Mei, 2011 - 6 keluarga Orang Asli di Kampung Bukit Perah, Banting menerima kunci rumah masing-masing dari Kerajaan Negeri Selangor hari ini.

Mereka menerima kunci replika masing-masing  dalam satu program penyerahan kunci Rumah Kerajaan Prihatin yang diadakan di Dewan Orangramai Kampung Jenjarum, Kuala Langat  yang telah disampaikan oleh YB Dr. Xavier Jayakumar EXCO Kerajaan Negeri Selangor yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin Negeri Selangor.

Turut serta dalam program tersebut ialah Dato' Asmawi Kasbi, Pegawai Daerah & Tanah Kuala Langat,  YB Dr. Ahmad Yunus Hairi, Adun Sijangkang, YB Philip Tan Chong Swee Adun Telok Datok dan YB Abdullah Sani Abdul Hamid Ahli Parlimen Kuala Langat.
 

Pegawai-pegawai dari Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dan pegawai dari Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat turut terlibat dalam program tersebut.  Turut hadir ialah David Cheong Ketua PKR Cabang Kuala Langat, kepimpinan PAS dan DAP setempat serta beberapa orang Ketua-ketua Komuniti Kaum India daerah Kuala Langat.

Mereka kemudiannya melawat rumah-rumah baru tersebut yang dibina di kawasan perkampungan Orang Asli di Bukit Perah, Banting, Selangor. Setiap buah rumah bernilai RM30,000 setiap sebuah dan kos pembinaan disumbangkan oleh anak-anak syarikat dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Selangor.






Tiada ulasan:

Nuffnang