Rabu, 1 Jun 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Skim Pemilikan Kediaman Persendirian Rakyat Diperkenal

Posted: 01 Jun 2011 03:39 AM PDT

Dari Selangor Kini

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini meluluskan 'Skim Pemilikan Kediaman Persendirian' yang bertujuan memudahkan rakyat Selangor memiliki kediaman dengan bayaran premium yang fleksibel, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Abdul Khalid , skim yang berkuatkuasa hari ini 1 Jun 2011 adalah hasil kajian bersama pejabat tanah dan galian, pejabat daerah, dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang dijangka dapat melengkapkan Skim Pemberian Geran yang bermula sejak tahun lepas.

Kajian dibuat setelah Kerajaan Negeri mendapati bahawa tidak ramai rakyat Selangor dapat menikmati sepenuhnya skim pemberian geran kerana tidak mampu membayar premium.

"Melalui skim ini, rakyat yang tidak mampu menjelaskan keseluruhan premium tanah boleh menjadi pemilik hartanah yang sah dengan hanya membayar bayaran sejumlah RM1,000. Mereka yang memilih cara ini perlu menjelaskan keseluruhan premium (mengikut harga semasa) jika hartanah itu dipindahmilik, dipajak atau digadai.

Skim ini juga memberi peluang kepada mereka yang membayar premium penuh dalam tempoh enam (6) bulan daripada tempoh notis dikeluarkan untuk diberikan diskaun sebanyak 30% secara automatik," katanya.

Tambah Abdul Khalid , skim ini boleh dipakai untuk permohonan pemberimilikan baharu, pemberimilikan disebabkan oleh tamat tempoh pajakan, lanjutan tempoh pajakan dan pemutihan langgar syarat kegunaan tanah. Bagaimanapun pindahmilik melalui mahkamah, turunmilik dan perwarisan adalah dibenarkan.

Skim ini hanya ditawarkan kepada satu pegangan hak milik kediaman persendirian sahaja dan tidak boleh dipakai untuk hartanah komersil.

Inisiatif ini adalah satu reformasi oleh pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor bagi menyelesaikan masalah rakyat dalam pemilikan hartanah. Ini adalah kali pertama sebuah kerajaan negeri di Malaysia memperkenalkan skim mudah bayar demi menggalakkan pemilikan harta persendirian.

"Kerajaan negeri berharap ianya dapat menolong mengurang beban rakyat yang berdepan dengan kos sara hidup yang makin meningkat, terutamanya dengan peningkatan harga minyak dan elektrik.

Skim ini juga akan menggalakkan rakyat menjelaskan bayaran premium khususnya bagi mereka mengekalkan pemilikan apabila mereka memperbaharui pemilikan atau menyambung pajakan tanah mereka," katanya.

Menurut Abdul Khalid , ini akan meningkat bilangan pemilikan hartanah di Selangor sekaligus menaikkan pendapatan negeri melalui hasil cukai tanah yang perlu dijelaskan setiap tahun dan skim ini akan dilancarkan sepenuhnya pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

"Sebelum ini, kita telah memperkenalkan skim pemberian geran dengan memperbaiki sistem pemilikan tanah di mana pejabat daerah akan mengenalpasti rakyat yang tinggal di tanah TOL (temporary occupancy license) lebih dari 10 tahun untuk diberi hakmilik kekal dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Kerajaan juga memperkenalkan pusat maklumat tanah bersepadu yang membolehkan pemilik tanah memeriksa dan mengemaskini status, lokasi dan hal-hal lain yang berkaitan urusan tanah," katanya.

UMNO Jadikan SPNB Lubuk Duit

Posted: 01 Jun 2011 02:30 AM PDT

Dari Keadilan Daily

Campur tangan politik Umno dalam pengurusan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menjadikannya pusat membuat keuntungan untuk parti itu, kata Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, SPNB yang diwujudkan pada awalnya untuk menyediakan rumah mampu milik kian tidak relevan apabila peranannya umpama pemaju swasta lain.

"Campur tangan politik dalam pengurusan syarikat tersebut menjadikan SPNB sebagai pusat membuat keuntungan oleh pemimpin Umno. Kerajaan Umno BN mungkin baru tersedar dengan krisis perumahan. Namun malangnya, kekal gagal memahami intipati permasalahan ini.

"Skim Rumah Pertama yang ditawarkan hanyalah memberi kelonggaran kepada orang muda meminjam tetapi gagal menangani masalah sebenar iaitu ketiadaan rumah pada harga berpatutan," katanya dalam Wacana Ekonomi Visi Perumahan Rakyat di Lobi Menara Majlis Perbandaran Selayang hari ini.

Anwar menegaskan kerajaan seharusnya berperanan aktif memberi imbangan kepada pasaran perumahan yang dikuasai pemaju.

"Kerana itu Pakatan Rakyat dengan jelas di dalam Buku Jingga mencadangkan Perbadanan Perumahan Negara yang bertanggungjawab membina dan mengawal selia penawaran rumah pada harga yang sesuai untuk rakyat," katanya yang juga bekas menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.

Beliau turut memberitahu, beberapa projek perumahan terbengkalai peninggalan Umno BN di Selangor berjaya diselesaikan Pakatan Rakyat termasuk isu perumahan di Bukit Botak bernilai RM79 juta dan Alam Perdana, RM120 juta.

"Penduduk di Bukit Botak turut diberikan pilihan membeli rumah yang dibina semula pada harga diskaun RM99,000 berbanding harga sebenar RM170,000.

"Ketelusan pentadbiran Kerajaan Selangor dengan pendekatan bersepadu semua pihak dari semasa ke semasa membolehkan lebih banyak projek terbengkalai akan diselamatkan," katanya.

Bagi menangani masalah harga rumah terlalu tinggi katanya, kerajaan Selangor melancarkan Rumah Mampu Milik dengan lebih 2,000 unit akan dibina di pelbagai lokasi di negeri itu.

"Ianya Berteraskan konsep mampu dari segi kos dan keselesaan untuk didiami, reka bentuk kondusif dengan keluasan 750 kaki persegi hingga 850 kaki persegi akan ditawarkan dengan kos maksima hanya RM100,000.

"Perbadanan Kemajuan Ekonomi Selangor (PKNS) dan beberapa pemaju swasta dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek ini dengan keutamaan dikhaskan kepada pembeli berumur 35 tahun dan ke bawah," katanya.

Sektor Penjanaan Elektrik Perlu Reformasi Untuk Mengubah Strukturnya

Posted: 31 May 2011 09:39 PM PDT

Oleh Rafizi Ramli

Pengumuman Barisan Nasional menaikkan tarif elektrik bukanlah satu kejutan kepada orang ramai. Selama ini, Barisan Nasional hanya ada satu pilihan sekiranya ia benar-benar ikhlas membawa reformasi ekonomi dan menghidupkan ekonomi negara yang semakin malap: ia perlu berdepan dengan ketagihan kumpulan elit politik-niagawan yang mengaut keuntungan melampau dengan merombak perjanjian-perjanjian yang berat sebelah dan menyebabkan struktur ekonomi kita tempang.

Pun begitu, Barisan Nasional juga telah membuktikan berkali-kali ia tidak mempunyai kekuatan dan keberanian untuk menghapuskan kroni-kapitalisme yang menguntungkannya selama ini.

Barisan Nasional mendakwa bahawa kenaikan tarif ini tidak akan membawa kesan kepada 4.4 juta isirumah atas alasan tarif bagi penggunaan 300 kWj setiap bulan tidak berubah. Bil elektrik pengguna-pengguna ini mungkin tidak berubah, tetapi peningkatan inflasi akibat dari kenaikan tarif ini akan terus mengurangkan pendapatan boleh belanja (disposable income) bulan mereka. Begitu juga dengan isi rumah atau kediaman lain (termasuklah kediaman yang dikongsi beramai-ramai oleh pelajar atau pekerja) yang bil elektriknya mengatasi paras RM77 sebulan – mereka akan mendapat beban kenaikan tarif dan peningkatan harga barang.

Kali terakhir tarif asas domestik dinaikkan adalah dalam bulan Jun 2006. Tarif asas bagi 200kWj pertama sebulan pada masa itu dikekalkan pada kadar sekarang iaitu 21.8 sen setiap kWj. Namun, tahun 2006 menyaksikan peningkatan harga barang dan kadar inflasi kedua tertinggi dalam separuh dekad yang lepas iaitu pada aras 3.6%. Satu-satunya masa harga barang mencanak dengan lebih cepat adalah dalam tahun 2008 akibat kesan berganda kenaikan harga petrol dan diesel.

Jika kita meneliti data inflasi dalam tahun 2006, jelas kenaikan harga sedemikian rupa adalah disebabkan oleh kesan gabungan berganda kenaikan tarif elektrik dan harga petrol/diesel.

Barisan Nasional mengulangi pendekatan dasar yang sama dalam tahun 2011 ini – menaikkan harga-harga barangan asas secara serentak iaitu gula, petrol, diesel dan sekarang elektrik. Kesan gabungan berganda ini dijangkakan akan mendorong inflasi bagi tahun 2011 mengatasi kadar inflasi 2006 dan menyaksikan berjuta isirumah berdepan dengan masalah kenaikan harga barang, sedang pendapatan boleh belanja mereka semakin mengecil.

Rakyat tidak perlukan penarikan subsidi semborono sebegini yang menyebabkan kenaikan-kenaikan harga barang. Mana-mana kerajaan yang bertanggung jawab dan menghadapi krisis defisit dan inflasi di Putrajaya (seperti mana masalah yang dihadapi Barisan Nasional sekarang) sepatutnya mengambil langkah berani dan ada kekuatan moral untuk menyelesaikan masalah ini di peringkat umbinya.

Sektor penjanaan elektrik di negara ini terus dihantui dengan warisan perjanjian-perjanjian yang berat sebelah dan membebankan rakyat. TNB dipaksa membeli elektrik pada kadar yang lebih tinggi dari kos dalamannya dari penjana bebas (IPP). Untuk mengimbangi harga elektrik yang terlalu tinggi, TNB dan IPP diberikan subsidi gas yang terlalu tinggi setiap tahun dan ditanggung PETRONAS.

Pengumuman Barisan Nasional semalam langsung tidak memenuhi keperluan sektor penjanaan elektrik yang memerlukan reformasi segera. Kenaikan tarif yang dikenakan akan menjadi pampasan kepada TNB untuk menggantikan potongan subsidi gas akibat kenaikan harga gas asli dari RM10.70 k3 RM13.70 setiap mmbtu. Kesan keseluruhannya langsung tidak mengubah keadaan sekarang: TNB masih mencapai keuntungan yang sama, rakyat terus dibebankan dengan setiap kenaikan harga dan IPP langsung tidak terkesan kerana ia dilindungi oleh mekanisme harga bahan api sedia ada. Sepatutnya Barisan Nasional mengubah mekanisme ini agar IPP juga menanggung kesan kenaikan harga bahan api dan untungnya berkurangan; sebaliknya rakyat pula yang dihukum apabila selepas ini tarif elektrik akan disemak setiap 6 bulan untuk memastikan ia melambangkan kenaikan kos bahan api semasa.

Ini hanyalah dandanan kosmetik untuk menenangkan kritikan yang semakin memuncak yang menuntut reformasi sektor penjanaan kuasa. Barisan Nasional boleh sahaja berharap dandanan ini diterima sebagai satu pakej reformasi ekonomi untuk mengurangkan subsidi, tetapi penghakiman rakyat sudah tentu berbeza. Hakikatnya, ia satu rompakan yang mengambil lebih banyak wang rakyat untuk diberikan kepada syarikat korporat bagi menggantikan potongan subsidi gas yang terpaksa dibuat.

Kaji Dasar Pro-Korporat Besar Sebelum Pemotongan Subsidi Rakyat

Posted: 31 May 2011 08:57 PM PDT

Dari Merdeka Review

Oleh KPRU

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berasa kesal dengan langkah kerajaan untuk meningkatkan tarif elektirk secara purata sebanyak 7.12% mulai Jun 2011 mahupun pelbagai pihak, termasuk pakar ekonomi telah mengingatkan kerajaan bahawa tekanan inflasi semakin mendesak.  Dalam pada itu, kerajaan juga mengumumkan bahawa tarif elektrik di negara ini akan dinaikkan setiap enam bulan bagi tahun-tahun berikut supaya selaras dengan kenaikan harga gas asli yang dijual oleh Petronas kepada pengeluar tenaga.

Pengumuman kerajaan bahawa 4.4 juta atau 75% pengguna di Malaysia tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik memang dalam jangkaan.  Akan tetapi, kerajaan secara sengaja mengabaikan satu fakta, iaitu harga barangan harian dan makanan akan meningkat susulan daripada pengumuman tersebut.  Hal ini kerana pihak industri pengeluaran makanan yang menggunakan sebahagian besar tenaga elektrik dijangka memindah kos berkaitan kepada pihak pengguna.

Pandangan sedemikian juga disahkan oleh ketua ekonomis Ratings Agency Malaysia (RAM) Yeah Kim Leng yang mengatakan bahawa walaupun sebahagian besar isi rumah terlepas daripada kesan langsung kenaikan tarif elektrik, tetapi mereka tetap akan menghadapi bebannya apabila pengeluar dan peniaga memindakan kos yang lebih tinggi kepada pengguna.<1>

KPRU ingin menekankan bahawa kenaikan tarif elektrik dengan kuantum yang tinggi pada ketika inflasi cukup membebankan rakyat adalah kurang wajar.  Dalam konteks kenaikan kos atau harga barangan utama dan barangan harian lain beberapa kali sebelum ini, kenaikan tarif elektrik kali ini akan menyebabkan gegaran berganda kepada pengeluar yang akhirnya memindahkan tekanan itu kepada harga barangan pengguna.

Misalnya, mulai Julai 2010, harga minyak RON97 mula dinaikkan sehingga RM2.15/liter pada 2 November 2010, RM2.30 pada 1 Disember 2010, dan RM2.50 pada 4 Januari 2011.  Harga minyak RON97 terbaru mencecah RM2.90/liter.

Minyak RON95 mula diperkenalkan dalam pasaran domestik pada 1 September 2009 untuk menggantikan RON92.  Harganya bermula pada RM1.75/liter dan seterusnya dinaikkkan kepada RM1.80.  Dalam tahun 2010, harga minyak RON95 telah meningkat sebanyak dua kali.  Harga terkini minyak RON95 adalah RM1.90/liter, dan dijangka akan naik lagi dalam masa yang singkat.

Dalam tahun 2010 sahaja, harga gula telah naik mendadak sebanyak 55%.  Pada Januari 2010, harga gula hanya berada pada paras RM1.10/kg, kemudian naik sebanyak tiga kali, iaitu 20 sen dalam Jan 2010, 25 sen dalam Julai 2010 dan 20 sen dalam 4 Disember 2010 sehingga RM2.10/kg.  Pada 10 Mei 2011, harga gula sekali lagi naik sebanyak 20 sen menjadikan harga runcit sebanyak RM2.30/kg.  Ekoran itu, Persatuan Kedai Kopi Wilayah Persekutuan-Selangor telah menaikkan harga minuman daripada RM1.20 secawan kepada RM1.40 secawan mulai 1 Jan 2011.<2>

KPRU ingin memaklumkan bahawa fenomena kenaikan harga bukan sahaja berlaku ke atas barangan tertentu, malah kesannya besar merangkumi sektor yang luas, seperti yang ditunjukkan dalam jadual berikut:

Barangan Harga  Sebelum 2010 (RM) Harga 2011(RM) Kenaikan
Pakaian cita 30-50%
Tayar Baru 200 210 3-7%
Tayar Celup 10-15%
Minuman panas bancuhan +0.20 16%
Kacang Kuning 3/kg 5/kg 67%
Kacang 4/kg 7/kg 75%
Kacang Hitam 5/kg 14/kg 180%
Kacang Merah 4/kg 7.5/kg 88%
Kacang Hijau 4/kg 7/kg 75%
Halia 4/kg 7/kg 75%
Cili Kering 7/kg 10/kg 43%
Bawang Putih 4/kg 10/kg 150%
Bawang Besar 1.2/kg 3.2/kg 167%
Kentang 1.8/kg 3/kg 67%
Nescafe dan Milo 30.00 31.50 5-6%
Gula 1.1/kg 2.30/kg 110%
Minyak RON95 1.75 /liter 1.90/liter 11%
Minyak RON97 2.05/liter 2.90/liter

(Sumber: Sinchew Jit Poh, Malaysiakini, 2011)

Ekoran itu, kadar inflasi di Malaysia pada Disember 2010 mencecah 2.2%, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 19 bulan.<3> Indeks Harga Pengguna (CPI) kemudian melonjak ke 3% pada Mac 2011, dan seterusnya 3.2% pada April 2011, menjadikan kadar inflasi setinggi 2.9% sepanjang bulan Januari hingga April tahun 2011.<4><5> Perkembangan ini sejajar dengan unjuran dalam Laporan Tahunan Bank Negara bertarikh 24 Mac 2011 bahawa kadar inflasi akan mencatat 2.5%-3.5% bagi tahun 2011.<6> Peningkatan kadar inflasi jelas akan memberikan impak negatif seperti menjejaskan kuasa membeli dan meningkatkan beban kos sara hidup rakyat, terutamanya kepada golongan yang kurang berdaya dan berupaya.

Satu lagi faktor penting yang telah diabaikan oleh kerajaan ialah kadar kenaikan gaji dan pendapatan boleh guna rakyat tidak dapat menyaingi kadar kenaikan inflasi.  Mengikut Laporan Bank Dunia, purata kenaikan gaji sebenar di negara ini hanyalah sekitar 2.6% dari tahun 1994 hingga tahun 2007.<7> Satu lagi kajian yang bernama Reshaping Economic Geography Report in East Asia, East Asian and Pacific region companion volume to the World Development Report 2009 juga menunjukkan kadar kenaikan gaji secara purata selepas krisis ekonomi 1997 di Malaysia hanya sekadar 1.9%.<8>

Selain itu, walaupun Robert Walters Global Salary Survey 2011 mengunjurkan kenaikan gaji sebanyak 5-30% di Malaysia bagi tahun ini, tetapi unjuran tersebut hanya merujuk kepada golongan professional daripada sektor ICT, akaun, kewangan, bank, logistik dan penjualan yang jauh lebih selesa dari segi kehidupan dan pendapatan boleh guna.<9>

Hakikatnya, pada tahun 2010, antara lebih 10 juta tenaga kerja di Malaysia, hanya 3.76 juta orang rakyat yang layak membayar cukai.<10> Dengan kata lain, hampir 6.4 juta rakyat Malaysia tidak mampu membayar cukai pendapatan peribadi.  Golongan 6.4 juta ini membentuk lapisan rakyat miskin, seperti yang disebut dalam Rancangan Malaysia Ke-10 sebagai “40% isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan dengan purata pendapatan hanya mencapai RM1,440″.<11>

Jika pengagihan pendapatan diteliti mengikut subjek pekerja, satu kajian oleh Kementerian Sumber Manusia mengenai gaji pekerja di Malaysia mendapati bahawa hampir 34% daripada kira-kira 1.3 juta pekerja memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700.  Hampir 34% pekerja memperoleh gaji di bawah garis kemiskinan yang bermaksud seramai 1/3 pekerja bergaji di bawah paras kemiskinan.<12>

Golongan sebeginilah yang terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang meningkat, kekurangan peluang pekerjaan, tekanan harga barang dan sewa rumah yang melambung serta masa depan yang muram.  Akibatnya, dasar rasionalisasi subsidi secara tergesa-gesa ini memang tidak banyak menggoyangkan gaya hidup golongan atasan dan elit, tetapi kehidupan rakyat biasa terjejas dan terbiar papa kedana.

KPRU berpendapat pemotongan subsidi wajar dilaksanakan sekali dengan “rasionalisasi” dasar kerajaan sedia ada yang bersifat berat sebelah.  Pengurangan subsidi rakyat sewajarnya dilaksanakan selepas kerajaan menilai dan merunding semula perjanjian yang memberikan subsidi “luar biasa” kepada korporat besar, antaranya termasuk perjanjian antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan Penjana Tenaga Swasta (IPP) yang memberikan subsidi sebanyak RM22 billion setahun.  Jika tidak, langkah kenaikan kos kehidupan rakyat tersebut bukan sahaja akan mewujudkan persepsi ketidakadilan dan kurang “legitimate“, malah dilihat sebagai menjalankan penjajahan berbentuk ekonomi terhadap golongan rakyat marhaen.

Tiada ulasan:

Nuffnang