N50 Dun Sri Muda |
Posted: 20 Jun 2011 01:17 AM PDT Kes ADUN Sri Muda disebut semula 19 Julai Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menetapkan 19 Julai depan untuk menyebut semula kes ADUN kawasan Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang didakwa menerbitkan artikel mengandungi ayat-ayat menghasut di laman blognya pada 30 Disember tahun lepas. Hakim Slamat Yahya menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas membenarkan permohonan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Shuhaimi (kanan), 43. Timbalan pendakwa raya, Mohamed Shah Reza Noor Azman mewakili pihak pendakwaan sementara Datuk Salehuddin Saidin hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Amer ketika ditemui pemberita berkata pihaknya memohon satu tarikh sebutan baru berikutan tarikh pendengaran permohonan Shuhaimi untuk menggugurkan pertuduhan ke atasnya telah ditetapkan pada 13 Julai depan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. "Kami ingin selesaikan dulu (permohonan di Mahkamah Tinggi) dan tunggu keputusannya sebelum Mahkamah Sesyen tetapkan tarikh bicara," katanya. Pada 7 Februari lepas, Shuhaimi mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerbitkan artikel bertajuk "pandangan saya berasaskan undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor 1959" di laman blognya http://srimuda.blogspot.com yang mengandungi ayat-ayat yang menghasut. ADUN PKR itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning, Shah Alam. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali. Pada 1 April lepas, Shuhaimi memfailkan notis usul di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mengenepikan pertuduhan terhadapnya atas alasan Akta Hasutan 1948 adalah tidak sah kerana bercanggah dengan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan. ADUN itu yang juga timbalan ketua cabang PKR Kota Raja mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan di blognya yang didakwa telah mempertikai keputusan Sultan Selangor memperkenan pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) yang baru. - Bernama |
You are subscribed to email updates from N50 Dun Sri Muda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan