Khalid Samad |
Flottilla LLFG (2) – Penglibatan Saya (Bahagian II) Posted: 25 Jun 2011 08:39 AM PDT Alhamdulillah, saya telah selesai melakukan umrah pada awal pagi hari Khamis. Seterusnya pada malam itu juga, setelah selesai solat waktu di depan Kaabah, saya telah menunaikan solat sunat istikharah agar dikurniakan petunjuk dalam soal penglibatan saya dalam program LL4G (2). Sebenarnya, semenjak peristiwa Mavi Marmara semasa Flotilla LL4G (1), saya telah memaklumkan kepada beberapa orang sahabat bahawa saya amat ingin menyertai misi yang serupa sekiranya ianya diadakan sekali lagi. Pada awal tahun ini satu misi ke Gaza melalui Raffa dikalangan ahli Parlimen sedunia hendak diadakan dan saya telah memberi nama saya untuk menyertainya. Malangnya ianya dibatalkan kerana suasana tidak selamat disebabkan serangan udara tentera Israel terhadap penduduk Gaza dilakukan pada ketika itu. Kemudian, pada bulan Mei, ada pula permintaan untuk ahli Parlimen PAS menyertai Flotilla (2) dan saya dengan segera memberikan nama saya. Malangnya suasana berubah dengan 'politiking' oleh pihak yang berkenaan. Oleh yang demikian, dihadapan Kaabah, saya memohon petunjuk supaya dapat memilih di antara apa yang dikatakan oleh hati, yang ingin sangat untuk pergi, dan akal yang menyedari agenda terselindung disebalik misi ini. Agenda yang semakin hari semakin ketara. Setelah selesai solat istikharah 2 rakaat, saya bergegas balik ke Hotel dan tidur kerana keletihan disebabkan perjalanan yang agak jauh dari Jazan. Esoknya, pada jam 3 lebih pagi saya dikejutkan alarm telefon. Apabila bangun, secara tiba-tiba saya teringat bagaimana sepenjang tempoh ini, pihak LL4G tidak pernah pun menelefon atau menghantar e-mail kepada saya berhubung misi ini. Walaupun semua maklumat peribadi telah saya maklumkan kepada mereka, saya tidak pernah mendapat panggilan dari mereka. Sehingga saya juga yang menelefon untuk bertanya, pada awal Jun, samada nama saya disenaraikan atau tidak sebagai salah seorang sukarelawan. Saya bangun dengan seberapa segera, mengambil wudhu' kerana ingin menunaikan solat subuh pagi pagi hari Jumaat itu di Masjidil Haram. Sambil mengambil wudhu' bermacam-macam persoalan terhadap misi ini telah timbul dalam pemikiran saya, termasuk pembatalan ucapan Tuan Haji Mohd. Sabu pada malam pelancaran, penafian tekanan politik oleh pihak penganjur serta layanan 'acuh tak acuh' terhadap penglibatan saya dalam misi kali ini. Mungkin barangkali penyertaan saya bukan agenda utama mereka. Semua ini bermain di dalam pemikiran saya dan sambil bergerak kearah Masjidil Haram, saya sempat juga membaca sms yang datang bertalu di telefon saya. Ada satu lagi NGO Islam menarik diri dari misi tersebut namun nama mereka tetap disebut dan tidak digugurkan. Mengikut sms tersebut, NGO yang tetap bersama hanyalah Aman Malaysia dan Ihsan (Pekida). Teringat pula saya akan kata-kata pujangga, "kita tidak boleh memilih waktu kita mati, tetapi kita boleh memilih ingin mati bersama siapa". Sahabat-sahabat yang asal sudah menarik diri, yang tinggal tidak kelihatan serupa. Perasaan saya terhadap misi ini menjadi semakin jelas. Ianya sebuah misi yang mempunyai agenda terselindung dan walaupun misi itu sendiri adalah baik, agenda terselindung ini mampu merosakkan segala-galanya. Sekiranya sebelum apa-apa lagi ianya sudah diselaputi penipuan dan pembohongan, demi agenda politik yang terselindung, apa jaminan ianya tidak akan diputar-belit dengan lebih dahsyat lagi selepas ini? Maka tiada sebab saya perlu terlibat dalam misi yang sebegini rupa. Selepas selesai solat subuh, saya melakukan tawaf sunnat dan selepas itu, sambil duduk berehat di dalam Masjidil Haram, saya menghantarkan sms kepada sahabat-sahabat yang telah menghubungi saya semenjak posting "Flotilla 2, Lifeline for Gaza (LL4G) dan Penglibatan Saya" di dalam blog ini; bahawa saya menarik diri dari misi ini. Sekembali saya ke Malaysia minggu depan, saya akan berbincang dengan sahabat-sahabat NGO yang lain dan sekiranya berpeluang, kami akan ke Gaza melalui Raffa untuk menyampaikan bantuan. Mungkin tidaklah 'high-profile' sepertimana Flotilla LL4G, tetapi insyaAllah bertunjangkan dengan niat yang ikhlas, tanpa sebarang agenda yang terselindung kecuali mengharap keredhaan ilahi. WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
You are subscribed to email updates from Khalid Samad To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan