Ahad, 1 Mei 2011

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Kontrak Baru buat Para Pekerja

Posted: 30 Apr 2011 08:19 PM PDT

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Baru-baru ini Malaysia dikejutkan dengan laporan Bank Dunia yang berkata lebih sejuta rakyat Malaysia telah berpindah keluar negara untuk bekerja. Sesiapa sahaja boleh membaca laporan tersebut untuk memperoleh erti dan makna sendiri, tetapi apa yang jelas lagi zahir ialah negara kita telah mengalami situasi "brain drain", yang bermakna tenaga kerja berkualiti kita semakin lama semakin hilang.

Bagi saya, para pekerja tanpa mengira sektor merupakan tulang belakang negara kita. Tanpa kaum pekerja, apakah mungkin kita mencapai pertambahan GDP tahunan antara 4-7% setiap tahun dalam dekad yang baru berlalu? Tanpa warga pekerja, apakah mungkin halatuju ekonomi negara mampu diubah dari berpendapatan pertengahan (middle income economy) ke berpendapatan tinggi? Jika kita tidak memfaktorkan golongan pekerja, apakah cita-cita Malaysia untuk mencapai status negara maju di ambang tahun 2020 mampu menjadi realiti?

Amatlah jelas tidak.

Maka saya terpanggil untuk bertanya, bilakah akan terlaksana dasar gaji minima? Bukankah masanya telah tiba, setelah hampir 48 tahun wujudnya Malaysia, untuk kita benar-benar menunjukkan penghargaan ikhlas kita kepada para penoreh getah, penyapu sampah, buruh binaan, pemandu bas, pekerja restoran fast food, dan ramai lagi yang masih menampung hidup dengan kurang daripada RM700 sebulan?

Oleh itu, sempena sambutan Hari Pekerja saya pertengahkan tiga soalan kepada Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib Razak:

1) Apakah tahap gaji minima yang akan dicadang Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan (National Wage Consultation Council)? Adakah Kerajaan Persekutuan betul-betul berani untuk menguatkuasakan cadangan tersebut?

2) Apakah kekerapan pengubahsuaian tahap gaji minima ini? (Sekiranya pengubahsuaian kerap berlaku maka ianya terlalu mengganggu golongan majikan; jika terlalu jarang, maka ianya kelihatan tidak adil.)

3) Siapakah yang sebenarnya mempunyai suara dan kuasa untuk membuat keputusan mengenai isu gaji minima ini? Adakah ianya hanya golongan politikus, terutamanya dari sesebelah pihak sahaja? Atau para birokrat? Apakah jaminan Kerajaan Persekutuan bahawa golongan pekerja akan punya hak bersuara dalam hal ini?

Dalam pada itu, memandangkan betapa pentingnya tenaga pekerja dalam membangunkan Malaysia, saya menyarankan suatu "Kontrak Baru" (New Deal) buat golongan pekerja tak kira yang baru mula atau sudah lama bekerja:

1) Penetapan gaji minima, atau lebih tepat, gaji sara hidup yang mencukupi;

2) Pelepasan cukai RM5,000 setahun bagi pendidikan berterusan (continuous education) bagi memantapkan dan meningkatkan tahap kemahiran;

3) Program "Kereta Pertama Ku", di mana pembelian kereta pertama dibebaskan dari bayaran cukai;

4) Kadar cukai pendapatan individu dihadkan kepada 15% bagi pekerja berumur 50 tahun ke atas;

5) Perlindungan takaful RM500,000 percuma kepada para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP);

6) Cuti Bersalin Suami (paternity leave) selama 30 hari;

7) Hak berpersatuan bagi pekerja dalam kesemua sektor.

Bagi yang bertanya bagaimana 7 janji "Kontrak Baru" di atas dapat dilunaskan, maka ianya berpandukan 7 langkah berikut:

1) Penambahan produktiviti;

2) Penghapusan subsidi korporat (yang diberi kepada pemegang konsesi tol, penjana kuasa bebas atau IPP, dsb);

3) Penghapusan ketirisan ekonomi;

4) Penghapusan malapetaka rasuah;

5) Penggunaan bermandat khazanah minyak dan gas asli negara;

6) Pentadbiran kerajaan yang lebih baik;

7) Reformasi politik yang menyeluruh, seperti yang telah saya jelaskan dalam Akta Pemansuhan Darurat (APD).

Akhir kata, janganlah kita sesekali melupakan jasa, budi, dan bakti yang telah ditabur kaum pekerja. Semoga suatu hari nanti penghormatan yang cukup setimpal akhirnya akan dapat kita hulurkan kepada mereka ini yang berjuang demi pembangunan tanah air tercinta.

Tiada ulasan:

Nuffnang