Ahad, 15 Mei 2011

i n t a n h i j a u

i n t a n h i j a u


NISA TELUK INTAN EDAR CENDERAMATA DAN RISALAH SEMPENA HARI IBU

Posted: 15 May 2011 03:33 AM PDT


TELUK INTAN, 15 Mei - Menginsafi akan pengorbanan ibu maka sempena Hari Ibu, Nisa Teluk Intan telah mengedarkan cenderamata dan risalah kepada kaum wanita yang bergelar ibu di sekitar bandar Teluk Intan.

Program tersebut telah dilaksanakan pada sebelah pagi di mana ia melibatkan beberapa tempat tumpuan orang ramai. Beberapa kumpulan daripada Unit Nisa Teluk Intan telah dibentuk ke lokasi seperti Pasar Tani, pasar raya TF Value dan The Store.



Kebanyakan ahli Unit Nisa yang terlibat adalah dalam kalangan remaja belasan tahun yang sanggup bertemu dengan setiap wanita di lokasi-lokasi tersebut untuk menyampaikan cenderamata berupa bunga ros serta risalah sebagai tanda penghargaan kepada kaum ibu.

Sesungguhnya, usaha sebegini dapat mengeratkan hubungan di antara Unit Nisa dengan masyarakat serta memberikan pendedahan dan pengalaman kepada ahli Nisa semasa berhadapan dengan orang ramai.

Tahniah Nisa Teluk Intan..!

intanhijau.blogspot.com

16 MEI - SEPATUTNYA HARI PEMBEBASAN GURU DARI TEKANAN DAN BEBAN

Posted: 14 May 2011 06:45 PM PDT


Setiap tahun kita menyambut Hari Guru dengan pelbagai tema yang ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang mana menteri dan timbalan-timbalannya ialah ahli politik. Tema Hari Guru pada tahun ini ialah Guru Penjana Transformasi Pendidikan.

Menyingkap setahun yang lalu sesudah kita menyambut Hari Guru 2010, begitu banyak perkara yang menimpa ke atas para guru di Malaysia akibat amalan politik yang begitu kuat oleh menteri dan timbalan-timbalannya. Begitu banyak tercatat rekod tindakan yang telah diambil ke atas para guru yang telah dikategorikan oleh KPM sebagai guru berpolitik.

Ada yang telah diberikan tindakan amaran, ditukarkan sekolah; dalam daerah, antara daerah dan luar negeri demi 'kononnya memberikan pengajaran' kepada guru tersebut yang tidak jelas kesalahannya. Kes terbaru ialah tindakan ke atas Cikgu Maarof Mutalib yang telah ditukarkan ke sebuah sekolah di daerah lain yang jaraknya 3 jam perjalanan dari rumah. Beliau diambil tindakan atas 'kesalahan' menyalahgunakan cuti sakit untuk berkempen dalam pilihan raya. Cuti sakit Cikgu Maarof telah diperoleh oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan secara tidak profesional demi memuaskan hati pihak UMNO.

Jika di negeri Perak, ramai juga para guru yang telah ditukarkan pada sekitar bulan April dan Mei tahun lepas iaitu bulan di mana para guru meraikan Hari Guru. Bayangkan betapa hancurnya hati para guru yang telah menabur bakti dan jasa kepada sekolah dan pelajar tanpa mengambil kira kaum dan agama, telah diambil tindakan begitu drastik melalui pertukaran serta merta atas sebab semata-mata penglibatan mereka di dalam politik.

Sedangkan, kita dimaklumkan bahawa tindakan menukar guru memang tiada di dalam buku Perintah Am. Pertukaran guru (menurut seorang Guru Besar) hanya sekadar 'mental torture' semata-mata. 

Tidak cukup dengan beban yang diletakkan atas bahu para guru dengan kerja-kerja yang tidak sepatutuya dilakukan demi memudahkan kerja 'orang atas'. 

Oleh itu, bersempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini, maka pihak intanhijau mengucapkan Selamat Hari Guru... sambutlah dengan penuh kesedaran mendalam setakat manakah para guru dihargai dengan wajarnya ? Guru bukan mahu melihat penghargaan dari segi kebendaan seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah 'New Deal'. 

Apa yang penting ialah penghargaan dari segi hati, perasaan dan emosi.

Wahai Menteri Pelajaran, anda berani ?



Tiada ulasan:

Nuffnang