Ahad, 15 Mei 2011

Hamidah Osman

Hamidah Osman


Selagi dunia belum kiamat

Posted: 15 May 2011 05:55 AM PDT

KETIKA berada di dalam lif, dua lelaki yang kelihatan seperti golongan intelek rancak berbual. Seorang daripadanya bertanya serius, berapa ramai penduduk dunia hari ini? Kawannya itu menjawab perlahan, tetapi masih boleh didengar, "kira-kira 6 bilion orang," katanya ringkas. (pendudukan dunia hari ini dianggarkan mencecah 7 bilion orang).

Rakannya bertanya lagi, bila dunia nak kiamat? Kawannya tersentak mendengar soalan itu. Dia tidak menjawab soalan itu, sebaliknya sambil ketawa bersahaja, dia membalas pertanyaan kepada kawannya itu. "Apa pasal kau tanya soalan macam ini?". Rakan yang bertanya itu terpaksa menjawab pula soalan yang dipulangkan kepadanya itu. "Ya lah, dunia ini terlalu banyak masalah," katanya. Ketika itu, pintu lif sudah terbuka dan kedua-dua mereka berjalan keluar dan tidak tahu apa kesudahan perbincangan mereka.

Sekadar menyambung perbahasan mereka, masalah dunia tidak akan berakhir. Selagi ada bulan dan bintang dan selagi ada makhluk bernama manusia, masalah dunia akan berterusan. Agaknya, kedua-dua mereka itu merumuskan bahawa masalah dunia hanya akan selesai bila dunia kiamat.

Bagi manusia, selagi dunia belum kiamat, hidup mesti diteruskan. Pada satu sudut, manusia berhempas-pulas mengejar kemajuan, mencipta teknologi, belajar pelbagai ilmu dan sebagainya, manakala pada sudut yang lain mereka bermusuhan sesama manusia, berdendam dan berbunuhan.

Berasaskan perkembangan di dunia hari ini, hidup manusia sentiasa diancam. Tidak siapa boleh meramalkan apa akan berlaku kepada diri mereka. Setiap hari, manusia terutama di negara yang menghadapi konflik, tidak mempunyai jaminan keselamatan diri. Mereka mungkin diletupkan ketika dalam kereta di jalan raya, sewaktu membeli-belah di pasar raya atau ketika menonton televisyen bersama keluarga di rumah.

Pertikaian kaum dan agama, sering berlaku tanpa penyelesaian walau pun rundingan di peringkat tertinggi tidak diadakan sepanjang masa.
Setiap hari berlaku jenayah pembunuhan sesama manusia yang berpunca daripada sikap rakus manusia. Manusia berbunuhan sesama sendiri – ada yang dianggap jenayah dan dihadapkan ke mahkamah dan ada pula dianggap pembunuhan wajar yang terlepas daripada segala pertuduhan jenayah.

Kematian Osama bin Laden, umpamanya, bukan saja direstui, tetapi sewaktu dibunuh, peristiwa dan saat kematiannya dirakam dan dipertontonkan bagi membuktikan Osama benar-benar sudah mati.

Mereka membunuh Osama tanpa mempedulikan pandangan dunia. Mereka yang menentukan siapa yang patut dihapuskan dan siapa yang dijadikan alat untuk mencapai impian strategik mereka. Mereka berbangga kerana berjaya membunuh seseorang tanpa perlu diberi pembelaan.

Tidak ada mahkamah yang akan menghakimi atau tindakan mereka. Pembunuhan dihalalkan kerana bagi mereka Osama bukan saja penjenayah tetapi pengganas yang paling dikehendaki di dunia. Apa yang berlaku kepada Obama tidak ubah seperti zaman koboi apabila Syerif menembak mati orang yang dikehendaki.

Sememangnya dunia hari ini penuh masalah yang sukar diurus. Di negara maju yang kononnya mengakui bertamadun, manusia yang hidup dalamnya, khasnya mereka yang berada di puncak kekuasaan, bercakap tidak serupa bikin.

Mereka mengiktiraf diri mereka sebagai masyarakat bertamadun, tetapi perbuatan mereka kepada manusia lain, tidak ubah seperti melayan hamba abdi. Sesiapa saja yang dianggap boleh menimbulkan masalah, akan dihapuskan. Isu moral dan kemanusiaan bagi mereka berbeza daripada isu moral dan kemanusiaan yang dilihat oleh orang lain. Inilah budaya pemikiran manusia yang ada kuasa.

Dalam dunia moden, masyarakat bertamadun merujuk kepada kemajuan sesuatu bangsa dalam pelbagai bidang. Antara lain, manusia bertamadun adalah manusia yang maju di bidang sains dan teknologi, inovatif, masyarakat pencipta produk dan sebagainya.

Masyarakat yang berada dalam golongan atau negara ini dianggap masyarakat dan negara bertamadun khasnya di negara-negara maju. Sebaliknya, masyarakat yang kononnya sering bercakaran sesama sendiri dilabel sebagai tidak bertamadun.

Mereka melabel negara yang sering berlaku konflik sebagai tidak bertamadun, apatah lagi jika ia adalah negara dunia ketiga. Barat memperkenalkan pelbagai dasar supaya diamal di negara-negara lain seperti liberalisasi, keadilan sosial, persamaan hak, globalisasi dan sebagainya. Mereka mahu amalan ini diikuti negara lain di dunia. Menentang dasar-dasar yang mereka perkenalkan dianggap sebagai menentang tamadun.

Pada masa yang sama, dunia melihat banyak kepincangan yang berlaku di negara-negara yang menggelarkan diri mereka sebagai negara bertamadun. Mereka membunuh manusia dengan menggunakan senjata pemusnah yang amat menakutkan. Mereka menceroboh negara musuh tanpa mengenal mangsa mereka – anak kecil, orang tua dan sebagainya.

Mereka melakukan tindakan yang bercanggah dengan kepercayaan mereka. Mereka menganggap diri mereka sebagai bangsa bertamadun, tetapi tindakan mereka tidak ubah seperti 'barbarian'. Masalah kezaliman sesama manusia ini tidak akan selesai, selagi dunia belum kiamat.


Oleh Mior Kamarul Shahid

Tiada ulasan:

Nuffnang