Ahad, 3 April 2011

i n t a n h i j a u

i n t a n h i j a u


MESYUARAT AGUNG DEWAN MUSLIMAT PAS KAWASAN TELUK INTAN

Posted: 03 Apr 2011 05:01 AM PDT


TELUK INTAN, 3 April - Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Teluk Intan telah berjaya melaksanakan mesyuarat agungnya bagi kali ke-21 di Markaz PAS Kawasan Teluk Intan, Kg. Padang Tembak dekat sini. 

Mesyuarat telah diadakan bermula jam 8.30 pagi yang telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak, Ustazah Hjh. Bariah binti Alang Sapri. Turut hadir ialah Setiausaha PAS Kawasan Teluk Intan, Sdr. Fareed Al Jarumi selaku wakil PAS Kawasan Teluk Intan.
Timbalan Ketua Muslimat Kawasan, Puan Hjh. Faridah bersama Ustazah Hjh. Bariah.

Ketua Muslimat Kawasan menyampaikan ucaptama.

Di dalam ucapan perasmian, Ketua Dewan Muslimat Perak telah menekankan aspek gerak kerja muslimat. Beliau berharap agar program kebajikan dan kemsyarakatan menjadi kerja utama muslimat dan bukan sekadar aktiviti sampingan sahaja.

Pada masa yang sama, beliau juga berharap agar muslimat mendekati generasi muda melalui pendekatan ilmu dan hiburan yang membina di samping memperkasakan program pentarbiyyahan ahli.

"Sudah tiba masanya untuk muslimat PAS terjun ke dalam masyarakat melalui program-program yang menepati citarasa masyarakat. Muslimat juga perlu mesra alam dengan tidak lokek dengan senyuman apabila berdakwah," ujar Ustaz Bariah.

Akhirnya, beliau berharap muslimat cawangan mesti bergerak senada dan seirama dengan muslimat kawasan agar segala gerak kerja dapat dilaksanakan dengan lancar.
Muslimat Cawangan Batak Rabit telah menerima anugerah Muslimat Cawangan paling aktif.

Kemudian, Ketua Muslimat Perak telah menyampaikan hadiah kepada muslimat cawangan yang aktif iaitu  muslimat cawangan Batak Rabit dan muslimat cawangan Desa Bakti.
Perwakilan meneliti buku ucaptama.

Perwakilan muslimat cawangan.

Di dalam pemilihan jawatankuasa yang baru, jawatan Ketua Muslimat dan Timbalan Ketua Muslimat telah kekal kerana tiada pertandingan yang terus disandang oleh Puan Robiatun binti Mohd. Abas dan Puan Hjh. Faridah binti Ahmad Fakhrur Razi. Manakala jawatan Naib Ketua Muslimat telah dimenangi oleh Puan Hjh. Sisriyati binti Sahari setelah berlaku pertandingan.

Melalui proses pengundian, para perwakilan juga telah memilih lapan orang ahli jawatankuasa baru bagi sesi 2011-2013.

intanhijau.blogspot.com

AGENDA DAKWAH BUKAN AKTIVITI SAMPINGAN

Posted: 03 Apr 2011 04:24 AM PDT


TELUK INTAN, 4 April - Gerak kerja dakwah adalah merupakan agenda utama dalam perjuangan PAS kerana dakwah adalah satu tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul oleh setiap ahli. Demikian antara isi ucapan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Teluk Intan, Puan Robiatun binti Mohd. Abas semasa menyampaikan ucaptama sempena Mesyuarat Agung Dewan Muslimat PAS Kawasan Teluk Intah Kali Ke-21.

"Dalam memikul amanah dan tanggungjawab ini akan menyebabkan kita keletihan dan terkorbannya kerehatan, harta, bahkan nyawa dan yang bakal mengheret insan ke lembah ujian," ujar beliau.
Ustazah Hjh. Bariah, Ketua Muslimat PAS Perak, perasmi mesyuarat agung.

Menurut beliau lagi, demi meniupkan semangat pengorbanan dalam kalangan ahli, maka tema mesyuarat agung bagi tahun ini ialah 'Pengorbanan Wadah Perjuangan' dengan bersama-sama menepati maksud pengorbanan itu sendiri iaitu mengorbankan jiwa, harta, masa, kehidupan dan semua perkara untuk mencapai matlamat suci.

Para muslimat mesti mencontohi Khadijah, Ummu Salamah, Ummu Sulaim, Nusaibah, Asma, dan lain-lain di mana mereka sanggup mengorbankan apa sahaja demi menyebarkan Islam.

"Adakah kita lebih selesa di rumah bersama keluarga lalu menafikan amanah yang sememangnya tanggungjawab kita ?"
Antara perwakilan muslimat cawangan yang hadir.

"Apapun, rebutlah peluang yang ada untuk berkorban masa, tenaga dan harta demi agama Allah dan manfaatnya akan kembali kepada kita juga," ujar beliau lagi.

Mesyuarat agung telah diadakan di Markaz PAS Kawasan, Kg. Padang Tembak. Turut hadir ialah Ustazah Hjh. Bariah binti Alang Sapri, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak sebagai perasmi mesyuarat agung.

Dalam pemilihan kepimpinan bagi sesi yang baru, mesyuarat telah mengekalkan tiga jawatan tertinggi iaitu Ketua Dewan Muslimat, Timbalan Ketua Dewan Muslimat dan Naib Ketua Dewan Muslimat iaitu Puan Robiatun binti Mohd. Abas, Puan. Hjh. Faridah Rajiah binti Ahmad Fakhrur Razi dan Puan Hjh. Sisriyati binti Sahari.

intanhijau.blogspot.com

PROTES INTERLOK : MP TELUK INTAN DITANGKAP

Posted: 03 Apr 2011 03:52 AM PDT



Ahli parlimen Teluk Intan, M Manogaran ditangkap bersama seorang aktivis, MS Arjunan dari Persatuan Progresif Pelajar Tamil Malaysia (MATSAP) ketika mengadakan demonstrasi membantah novel Interlok.

Manogaran (dua dari kanan), dari DAP dan Arjunan (kanan sekali) tiba bersama sekumpulan kecil aktivis awal pagi ini di Kuil Subraminiyar di Batu Caves di Gombak, Selangor, untuk membantah keputusan kementerian pelajaran menjadikan Interlok bacaan wajib Pelajar Tingkatan Lima yang mengambil kesusasteraan Melayu untuk peperiksaan SPM.

Polis bertindak menahan Manogaran dan Arjunan tengahari tadi, apabila berucap kepada kumpulan yang hadir itu dan menggesa masyarakat India supaya bersatu menentang penggunaan novel itu sebagai komponen sastera dalam matapelajaran Bahasa Malaysia.

Manogaran dan Arjunan dibawa ke ibupejabat polis daerah Gombak.

Mereka kemudiannya dibebaskan sekitar jam 2.40 petang selepas polis merakamkan kenyataan mereka.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Arjunan menggesa supaya novel itu tidak dijadikan bacaan wajib.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu kerajaan atau kementerian pendidikan hanya mengubahsuai sebuah buku yang menjadi masalah utama kepada masyarakat India.

Buku itu, kata Arjunan yang membaca satu kenyataan, mengandungi banyak masalah dan menimbulkan isu-isu moral.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan:

Nuffnang