KUALA LUMPUR, 18 April: PAS merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh jentera pilihan raya PAS dari pelbagai peringkat serta orang perseorangan yang bertungkus-lumus dan menyumbang tenaga, masa dan wang ringgit dalam menghadapi Pilihanraya Dewan Undangan negeri Sarawak yang baru sahaja berakhir. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, tahniah juga kepada semua calon PAS yang mampu berhadapan dengan segala bentuk cabaran dan rintangan tanpa penat dan lelah sepanjang tempoh berkempen itu. "Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohamad Izan Yaakob, yang juga merupakan petugas PAS dari Kelantan yang telah kembali ke rahmatullah di bilik gerakan Dun Beting Maro pada hari pengundian dijalankan. Semoga Allah merahmati roh beliau dan ditempatkan di kalangan para solihin," ujarnya dalam satu kenyataan. Kepada semua calon PAS, beliau mahu supaya diteruskan urusan mereka bersama dengan masyarakat di sekeliling anda dengan membawa mesej yang jelas tanpa mengira waktu dan ketika. "Sesungguhnya Allah jualah yang mampu membalas segala kerja buat kita dalam membawa suara Islam yang menjadi asas perjuangan PAS sejak sekalian lama itu," ujarnya yang juga ahli Parlimen Marang. Sesungguhnya, kata beliau keputusan pilihanraya itu adalah merupakan satu muhasabah terhadap langkah dan strategi dalam kita memugar gerombolan lawan kita dalam pilihan raya itu. Tentunya, tambah beliau masih banyak yang perlu ditambah baik oleh kita semua supaya pendekatan kita akan menjadi lebih efektif, dan mampu untuk merobohkan tembok besar yang masih berlegar dalam ruang pemikiran pengundi yang ada di depan kita. Apapun, katanya lagi sekali-kali setiap anggota jentera parti tidak seharusnya merasa lemah dan kecewa dengan keputusan pilihan raya yang sama-sama kita ketahui itu. PAS juga, ujarnya ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pengundi yang memilih PAS dalam pilihan raya ini. "Kami semua tidak akan mengecewakan tuan-puan sekalian, insya Allah kami akan terus berkhidmat kepada semua menerusi calon dan jawatankuasa PAS di peringkat masing-masing." "Saya juga telah mengarahkan Pesuruhjaya PAS Sarawak untuk berbincang dengan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat bagi menentukan masa, kaedah dan tempat yang sesuai untuk meraikan calon dan seluruh petugas pilihan raya PAS di Sarawak menerusi satu majlis khusus yang akan diadakan nanti," katanya lagi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan