Anwar Ibrahim |
- Isu Sabitan Zina: Memahami Peruntukkan Perundangan Islam
- Jangan Kata Video, DNA Juga Bukan Bukti Dalam Islam – Shura
- Peguam, Pakar Gesa Kabinet Kubur Idea Dangkal Tubuh Suruhanjaya
Isu Sabitan Zina: Memahami Peruntukkan Perundangan Islam Posted: 09 Apr 2011 04:09 AM PDT Oleh Tuan Musa Awang Sekarang ini heboh di sana sini tentang video seks seseorang yang dikatakan mirip ketua pembangkang, DS Anwar Ibrahim. Semenjak isu meletup, budak sekolah yang sebelum ini tak tahu apa itu zina dah mulai tahu, bertanya kepada ibu bapa mereka, atau mereka akan 'search' dalam internet maksud perkataan zina. Maka keluarlah tafsiran zina sebagai persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum Syarak, bukan pasangan suami isteri, pelaku kedua-duanya orang yang mukallaf, dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam takrif persetubuhan yang meragukan (wati' syubhah). Bertanyalah pula kanak-kanak ini, apa pula maksud persetubuhan? Lalu tahulah mereka bahawa persetubuhan itu ialah hubungan seks antara seorang lelaki dan seorang perempuan. Sebelum ini, mereka dengar tentang liwat. Kali ini zina pula. Wah, makin bertambahlah 'vocabulary' anak-anak kita dengan istilah-istilah seks ini. Zina adalah suatu perbuatan yang dilarang keras oleh Islam, maka hukumannya juga adalah teramat keras dan mandatori. Jika seorang penzina muhson, yakni seseorang yang telah baligh, berakal, merdeka dan telah pernah berkahwin, apabila disabitkan melakukan perzinaan wajib dikenakan hukuman hudd (rejam) iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati. Bagi penzina ghair muhson, yakni seseorang penzina yang tidak cukup syarat-syarat dinyatakan diatas,hendaklah disebat sebanyak 100 kali sebatan, dan setengah ulama' menambah dengan hukuman buang negeri selama setahun. Hukuman kepada pelaku zina disebut dalam al-Quran. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur ayat 2 yang bermaksud : "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan Kerana ia adalah suatu kesalahan yang berat, hukumannya juga berat,maka sebab itulah ulama' mensyaratkan zina hanya boleh disabitkan samada dengan ikrar atau pengakuan si pelaku atau dengan keterangan empat orang saksi yang cukup syarat-syaratnya. Sejarah Islam mencatatkan bahawa kebanyakan sabitan zina di zaman Rasulullah s.a.w adalah melalui pengakuan salah. Dalam hadith riwayat Abu Hurairah r.a, bahawa seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w di dalam masjid dan mengaku telah melakukakan zina. Baginda berpaling ke arah lain seperti tidak melayan atau menerima pengakuannya, sehingga lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Setelah itu barulah Baginda bertanya, 'adakah engkau gila?' Dia menjawab 'tidak'. Rasulullah s.a.w bertanya lagi, 'adakah engkau telah berkahwin?' Dia menjawab 'ya'. Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan para sahabat membawa lelaki tersebut untuk direjam. Dalam suatu riwayat dari Sulaiman bin Buraidah, bahawa seorang wanita dari qabilah al-Ghamidiyah datang berjumpa Rasulullah dan mengaku sebanyak 4 kali bahawa dia telah mengandung hasil perbuatan zina.Baginda tidak terus menghukum wanita mengandung itu, tetapi meminta wanita itu pulang terlebih dahulu, melahirkan dan menyusukan anak tersebut, sehingga tamat tempoh susuan, barulah beliau diperintahkan untuk direjam. Kalaulah ditakdirkan selepas melahirkan anak, wanita ini menarik balik pengakuannya berzina, maka nescaya Baginda s.a.w akan menarik balik hukuman terhadap wanita tersebut. Ini yang dilakukan oleh Baginda s.a.w di mana Rasulullah s.a.w diriwayatkan telah menegur sahabat baginda dengan keras apabila mereka meneruskan hukuman terhadap Ma'iz bin Malik yang telah melarikan diri ketika hukuman dijalankan. Berdasarkan dalil dan riwayat dia atas, maka rakaman video semata-mata bukanlah bukti yang kukuh untuk mensabitkan zina. Rakaman video adalah bukti yang lemah, dan dalam Islam disebut sebagai bayyinah (keterangan) atau qarinah (tanda). Ulama' Syafie dan Hanafi hanya menerima pensabitan zina melalui iqrar (pengakuan) dan syahadah (kesaksian) 4 orang saksi lelaki, adil dan merdeka sahaja, dan menolak bukti bayyinah atau qarinah. Saya tidak bersetuju dengan kenyataan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar dalam sebuah akhbar tempatan bahawa rakaman video aksi seks boleh digunakan sebagai bahan bukti untuk mensabitkan pelaku terbabit atas kesalahan zina di Mahkamah Syariah. Ulama' Islam jelas telah membahaskan bahawa jenayah zina hanya boleh dibuktikan dengan dua perkara sahaja iaitu pengakuan orang yang berzina dan pengakuan empat orang saksi lelaki, adil dan merdeka yang melihat perlakuan zina itu. Peruntukan tentang perbuatan zina yang terdapat dalam Akta atau Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri kini adalah tidak mengikut Hukum Syarak dan tidak sebagaimana yang telah ditetapkan dalam al-Quran. Bentuk hukuman yang ditakninkan dalam peruntukan ini lebih berupa hukuman takzir. Ini kerana Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 menghadkan bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah hanya ke atas orang Islam, dan untuk kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi 3 tahun atau denda melebihi RM5,000.00 sahaja atau sebatan tidak melebihi 6 kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut. Dengan adanya halangan ini, maka hukuman hudud tidak dapat dilaksanakan di negara ini. Mengambil contoh Seksyen 23 (1) dan (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan bahawa '(1) Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.' Manakala sub-seksyen (2) Akta tersebut memperuntukkan hukuman yang sama kepada mana-mana orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang bukan suaminya. Walaupun hukuman yang terdapat dalam Akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah hanya berbentuk hukuman takzir, maka tidaklah bermakna kita boleh menyatakan bahawa untuk mensabitkan kesalahan zina hanya cukup dengan bukti bayyinah iaitu rakaman video. Ia adalah suatu yang mengelirukan, dan bertentangan dengan ketetapan para ulama' yang meletakkan standard bukti yang kukuh iaitu pengakuan atau syahadah 4 orang saksi sahaja boleh diterima untuk mensabitkan kesalahan zina. Saya juga sependapat dengan Dr Juanda, tamatkanlah segera isu video seks ini. Amat memalukan. Seolah-olah kita tinggal di dunia yang tidak bertamaddun dan tiada undang-undang. Tindakan menyebarkan video seks kepada khalayak ramai, kemudian menjadi perbincangan umum, dan membiarkan masyarakat untuk menghukum adalah suatu yang tidak bermoral, rosak akhlak, serta akan merosakkan akhlak baik masyarakat.Negara ini ada undang-undang. Malah ada dua sistem mahkamah di negara ini, Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Jika benar si pelaku dalam rakaman video itu adalah DS Anwar Ibrahim atau sesiapa sahaja, kenapa tidak segera didakwa di mahkamah? Sebagai rakyat yang mendidik akhlak yang baik kepada anak-anak, pasti saya dan pembaca yang lain mahu melihat si pelaku dan juga orang yang mengedarkan video untuk tontotan umum itu dihukum menurut undang-undang negara ini. Agar kami sebagai warga negara ini berasa selamat dan amat bersyukur tinggal di negara yang aman ini. Menuduh seseorang yang baik lagi suci melakukan zina tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil hukumnya adalah haram,termasuk dalam dosa besar dan boleh dikenakan hukuman had Qazaf (sebat) sebanyak 80 kali sebatan, dan tidak boleh diterima penyaksiannya selama-lamanya kerana dia adalah orang fasiq. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur ayat 4 yang bermaksud : “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi. Maka sebatlah mereka 80 kali sebatan, dan janganlah kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya keranamereka itu adalah orang yang fasiq”. Walaupun dalam ayat menyebut kesalahan menuduh zina kepada wanita, ijma' ulama' bersepakat bahawa tuduhan kepada lelaki juga termasuk dalam ayat ini. Jika aduan dibuat secara tertutup menurut saluran yang ditetapkan, ia akan dibicarakan di dalam Mahkamah, dengan mengemukakan bukti-bukti dan saksi-saksi yang boleh membantu dakwaan. Maka maruah tertuduh tidak akan tercemar atau musnah seteruk perbicaraan di media dan di kalangan masyarakat awam. Apabila dibicarakan di mahkamah, maka hukuman qazaf tidak dikenakan kerana maqasid dari hukuman Qazaf adalah untuk membersihkan nama dan maruah tertuduh dari tercalar di mata awam. Maka, berhati-hatilah dalam membuat tuduhan ke atas seseorang yang lain, terutama tuduhan yang melibatkan hak Allah seperti hudud. Allah memberi peringatan keras sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud "Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan (dan lelaki-lelaki) yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang pedih. Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan." (Surah An-Nur ayat 23-24). - Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). This posting includes an audio/video/photo media file: Download Now |
Jangan Kata Video, DNA Juga Bukan Bukti Dalam Islam – Shura Posted: 09 Apr 2011 02:19 AM PDT Dari Keadilan Daily Kekeliruan dan ketidakpastian dalam tuduhan zina tidak diterima sebagai bukti dalam ajaran Islam sekalipun melibatkan video mahupun asid deoksiribonukleik (DNA), kata Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Abdul Ghani Samsudin. "Yang dituntut syariat bukan seperti kain mengelembung untuk mensabitkan seseorang dalam tuduhan berzina tetapi empat saksi yang melihat situasi yang berlaku seperti timba masuk ke perigi. "Islam menuntut apa yang jelas. Yang tidak pasti, tidak boleh dijadikan bukti kerana boleh menimbulkan kekeliruan, contohnya sampel DNA. Ia juga tidak boleh dijadikan bukti kerana al-Quran tidak menyatakan hal itu. "Walaupun DNA itu benar tetapi tidak boleh dipastikan sama ada dilakukan atau tidak perbuatan tersebut. Contohnya, dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap tuduhan Saiful," katanya kepada Keadilan Daily sambil menegaskan ia bukan bermakna Islam menolak perkembangan kemajuan. Ghani menegaskan, pensabitan jenayah mengikut ajaran Islam adalah melalui qazaf, bukan mengguna pakai pelbagai kaedah lain yang sama sekali tidak pernah dianjur agama itu. "Islam sangat berhati-hati dan tidak menganjurkan cara menjadikan video lucah sebagai bukti. Kalau menggunakan rakaman, itu mesti dikaji siapa yang rakam, pengakuan polis tetapi semua itu boleh dipalsukan," katanya. Ditanya status Malaysia sebuah negara Islam, beliau menganggapnya penganugerahan itu hanya semata-mata nama sedangkan pentadbiran negara tidak mengikut syariat sebenar. "Kalau ikut Islam, mesti hargai kedudukan agama yang disanjung dan diangkat tetapi yang berlaku sekarang semuanya tidak betul kerana salah guna kuasa dan pelbagai penindasan berlaku. "Jika betul negara Islam, keadilan perlu ditegakkan. Tetapi pemimpin Umno ikut dasar Melayu, bukan Islam," katanya. |
Peguam, Pakar Gesa Kabinet Kubur Idea Dangkal Tubuh Suruhanjaya Posted: 09 Apr 2011 02:16 AM PDT Dari Malaysian Insider Beberapa peguam membidas Datuk Seri Nazri Aziz yang mengesyorkan agar diadakan suruhanjaya diraja siasatan bagi mengenal pasti identiti si pelaku dalam video seks didedahkan "Datuk T" bulan lalu — yang didakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim — atas alasan elemen pelacuran. Peguam-peguam yang dihubungi mempertahankan bahawa pelacuran bukan haram di Malaysia meskipun melanggan seks boleh dikenakan tuduhan dan menteri itu dicabar membuktikan alasan beliau. Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee mengecam kenyataan Nazri, yang dikatakan tidak bermutu dan pertubuhan itu turut membantah penubuhan suruhanjaya hanya kerana satu klip video aksi seks. "Jika ada kesalahan jenayah, maka ia seharusnya disiasat sebagai kes jenayah," kata beliau kepada The Malaysian Insider menjawab kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, semalam. Nazri mahukan satu suruhanjaya diraja siasatan diadakan untuk menentukan sama ada wujudnya aksi pelacuran dalam video seks yang didedahkan oleh "Datuk T" 21 Mac lalu, didakwa membabitkan Anwar yang merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat. Malah menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, suruhanjaya tersebut juga perlu menentukan sama ada lelaki yang terlibat dalam aksi seks itu adalah Anwar, yang juga Ketua Umum PKR. Anwar telah pun menafikan yang beliau adalah lelaki dalam rakaman hitam putih 21 minit itu, yang dipertontonkan kepada media pada 21 Mac lalu. Kemudian sedutan klip 107 saat disebarkan menerusi dunia siber awal minggu lalu. "Pelacuran adalah haram di Malaysia. Jika anda terlibat atau anda membantu dan bersubahat dalam (kerja-kerja) pelacuran, anda menaungi pelacur untuk tujuan seks, ini satu jenayah," kata Nazri kepada The Malaysia Insider semalam. "Suruhanjaya diraja akan menentukan identiti lelaki dalam video dan wanita yang dia adakan hubungan seks, sama ada dia itu adalah pelacur," kata beliau lagi. Dalam kenyataan susulan, Lim juga menekankan bahawa tiada peruntukan jelas berkaitan dengan elemen pelacuran. "Pelacuran itu sendiri bukan satu kesalahan jenayah," kata Lim. Beliau mengakui ada beberapa peruntukan dalam undang-undang yang membolehkan mereka yang menawarkan seks bagi tujuan seks didakwa. Sebagai contoh kata beliau, Seksyen 372A Kanun Keseksaan menyediakan peruntukan bagi tindakan ke atas mereka yang hidup hasil daripada atau perdagangan persundalan. Lim menambah, di bawah Akta Inkuiri Suruhanjaya 1950, Yang di-Pertuan Agong akan mempertimbangkan budi bicara baginda dalam menubuhkan suruhanjaya siasatan yang difikirkan mempunyai kepentingan awam. Sehubungan Lim menasihatkan Kabinet agar menolak idea Nazri sambil berkata, suruhanjaya diraja bagi isu semasa membuang masa dan sumber, yang boleh digunakan untuk mengatasi krisis pendatang haram di Sabah, menyiasat dakwaan rasuah membabitkan Ketua Menteri Sarawak dan yang terbaru kematian di pejabat SPRM. "Kabinet mesti beri keutamaan kepada masalah-masalah lebih besar dan penting, yang dihadapi institusi-institusi negara berbanding tingkah laku zina seseorang individu, (dalam kes ini) didakwa (melibatkan) seorang ahli politik," kata beliau. Andrew Khoo yang mengetuai jawatankuasa hak asasi manusia Majlis Peguam juga bersetuju dengan pandangan Lim. "Penubuhan suruhanjaya diraja adalah untuk kepentingan negara dan saya tidak bercakap mengenai individu yang tidak memegang jawatan kerajaan," katanya ketika dihubungi. Khoo menekankan bahawa pada masa-masa lalu kerajaan hanya memutuskan penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat apabila dakwaan yang dibangkitkan berkaitan dengan sikap dan tingkah laku di pihak kerajaan. "Dalam suruhanjaya mengenai (kes) VK Lingam, isunya berkaitan sikap tidak berat sebelah dalam bidang kehakiman. Dalam kes (bekas setiausaha agung MIC) DP Vijendran, beliau merupakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada ketika itu," kata Khoo. "Di sini, persoalannya ialah ‘institusi kerajaan yang mana telah dikompromi?’ Jawapannya tiada. Jadi, mengapa kita perlu mengadakan siasatan sebegitu?" tambah Khoo. Beliau juga menimbulkan persoalan mengapa perlu diberikan layanan khas dalam kes video seks sedangkan ada undang-undang untuk menangani isu berkenaan. Sehubungan itu kata beliau, idea agar diadakan suruhanjaya diraja bagi kes video seks perlu dikuburkan segera kerana jika tidak akan ada cadangan seumpama itu bagi setiap perkara pada masa-masa mendatang. Pakar undang-undang jenayah, Cheow Wee juga berpandangan sedemikian. Cheow berkata beliau tidak boleh percaya bagaimana Nazri boleh mengesyorkan idea sedemikian agar diadakan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan tidak berasas kononnya seorang ahli Parlimen melanggan pelacuran. Malah kata beliau, adalah terlalu awal untuk diadakan sebuah suruhanjaya diraja di peringkat sekarang memandangkan pihak polis belum melengkapkan siasatan mereka. "Jenayah apa yang mereka mengadu? Adakah mereka mengatakan salah bagi dua pihak yang bersetuju untuk mengadakan seks? Atau Anwar tidak boleh mengadakan seks? Atau tindakan itu melibatkan pertukaran wang? "Kita juga tidak tahu adanya (elemen) pelacuran dalam video ini. Dan, jika ia adalah Anwar, dan adakah dia mengadakan seks dengan orang lain?" kata beliau yang turut mengambil bahagian dalam suruhanjaya diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock ketika disiasat SPRM dua tahun lalu. "Ia berkaitan dengan isu moral dan etika kerana ahli-ahli Parlimen dan menteri diharap akan menunjukkan moral yang tinggi, tetapi anda tidak perlukan suruhanjaya diraja bagi tujuan itu," kata Cheow sambil menambah, isu semasa ini dimanipulasikan kerana kepentingan politik. Sebaliknya kata beliau, polis seharusnya menyiasat sama ada wujud kesalahan jenayah membabitkan "Datuk T" yang mengakui terlibat dalam rakaman video seks berkenaan. |
You are subscribed to email updates from Anwar Ibrahim To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan