Ti Lian Ker (Thinking Aloud) |
Pokok Di Tebang....Racun Di Tanam ! Posted: 10 Mar 2011 06:35 PM PST Pemerintahan 1000 Hari Pakatan Rakyat Tidak Terlaksana Segala Janji 100 Hari Mac 2008 telah menjadi satu tarikh yang cukup bersejarah dalam politik negara kita. Pertama kali selepas Mei 13 1969 kuasa majoriti 2/3 Barisan Nasional di Parlimen telah dinafikan. Sebanyak 82 kerusi jatuh di tangan pembangkang. Keadaan ini juga meliputi kekalahan 5 buah negeri pertama kali dalam sejarah politik negara kepada sebuah pakatan yang mengelar diri mereka sebagai Pakatan Rakyat. 3 tahun sudah berlalu dan sudah lebih daripada 1000 hari Pakatan Rakyat memerintah di 4 buah negeri berlainan. Dalam jangka masa 1000 hari pun mereka tidak terlaksana segala janji – janji mereka dalam buku Jingga yang bertemakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat maka apakah logik dan rasionalnya mereka hendak kita memberi mereka peluang untuk melaksanakan segala janji mereka? Mereka hanya bijak berhujah dan memberi alasan demi alasan seolah – olah mereka mampu menipu dan memperdaya kesemua rakyat di negara kita. Pada mulanya mereka mengatakan kita hanya memerintah setahun dan Barisan Nasional pula sudah memerintah lebih daripada 50 tahun. Oleh itu , rakyat perlu rasional untuk memberi mereka masa untuk melaksanakan segala janji dan perjuangan mereka. Bukan sahaja setahun dan dua tahun sudah berlalu tetapi kini sudah memasuki tahun ketiga dan melebihi 1000 hari pemerintahan dan pentadbiran mereka di 4 buah negeri yang berasingan. Sebelum mereka sempat melaksanakan segala janji mereka sebelum Mac 2008 mereka pula kini tampil dengan janji 100 Hari Pakatan Rakyat. Jangka masa 1000 hari adalah 10 kali ganda lebih panjang jangka masanya berbanding 100 Hari. Janji lama belum terlaksana kini pula tampil dengan janji baharu demi mendapat sokongan rakyat menyokong mereka dalam pilihan raya akan datang. Kita akan lihat segala dasar dan polisi negeri pentadbiran Pakatan Rakyat adalah jauh berbeza dengan apa yang mereka janjikan kepada rakyat sebelum ini. Mereka merupakan politikus yang bijak untuk menaburkan janji – janji manis yang tidak diikuti dengan perlaksanaan selepas diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat. Dalam kesemua janji di atas mereka hanya gembira dengan air percuma yang mereka beri kepada rakyat Selangor dan senantiasa mempromosikan usaha ini kepada semua rakyat Malaysia di seluruh negara dalam setiap ceramah mereka. Namun begitu , apa yang tersembunyi dan yang tidak kelihatan adalah peningkatan harga Air di Pulau Pinang dan Kedah yang cuba mereka sembunyikan daripada pengetahuan umum. Apakah pada hari ini Pakatan Rakyat melaksanakan pentadbiran berasingan? Mengapa dasar dan polisi di setiap negeri berbeza dengan negeri – negeri Pakatan Rakyat yang lain? Kita tidak menuntut kesemua negeri mestilah ditadbir dengan dasar dan polisi yang sama tetapi apakah pula sedikit persamaan antara dasar mereka di setiap negeri ? Kita melihat seolah – olah terdapat pentadbiran PAS di negeri Kedah dan Kelantan lebih menjurus kepada dasar dan perjuangan PAS sendiri. Pulau Pinang pula kelihatan melaksanakan perjuangan DAP di sana dan PKR pula melaksanakan perjuangan mereka di Selangor. Persoalannya kini , bagaimana pula dengan dasar bersama Pakatan Rakyat dalam keempat – empat buah negeri tersebut ? Sesebuah Pakatan yang tidak mengangkat perjuangan bersama tidak lagi boleh dianggap sebagai Pakatan Bersama . Keadaan ini hanya menandakan satu Pakatan Individualistik. Sampai bila mereka hendak menggunakan politik menabur janji – janji manis dan idealistik demi mendapatkan sokongan rakyat semata – mata ? Pepatah Inggeris ada menyatakan bahawa " Action Speaks Louder Than Words " . Oleh itu , mereka sepatutnya melaksanakan segala yang mereka rasakan terbaik untuk rakyat dalam setiap negeri pentadbiran mereka. Namun mereka bukan sahaja gagal untuk melaksanakannya malahan terus menaburkan janji – janji baharu yang lain. Rakyat mahukan kepimpinan yang bersifat " Walk The Talk" dan bukannya " Only Talk". Rakyat Malaysia kini perlu sedar akan realiti semasa Pakatan Rakyat yang sudah pun memerintah selama 1000 hari. Demi selamatkan Malaysia kita tidak boleh sesekali mempercayai Janji 100 Hari mereka. Mereka bukan sahaja tidak memiliki satu dasar bersama dalam setiap negeri mereka malahan terdapat pemerintahan berteraskan perjuangan parti masing – masing di setiap negeri yang berbeza. Pakatan sedemikian akan mencapai banyak kesukaran dalam melaksanakan janji mereka ketika berkuasa nanti. Kita risau akhirnya rakyat yang terpedaya hanya akan mengalami kekecewaan berkali – kali dengan pelbagai alasan yang akan diberikan oleh mereka nanti. Salah satu tema Pakatan Rakyat yang diperjuangkan dan dipromosikan oleh DAP sebelum Mac 2008 adalah " Vote For Change " . Tema ini cukup memberi impak psikologi kepada rakyat seolah – olah terdapat harapan untuk mengubah negera kita ke arah kebaikan yang lebih baik dibawah pemerintahan mereka. Persoalannya kini apakah perubahan dalam kehidupan rakyat di setiap negeri Pakatan Rakyat kini yang sebenarnya sudah berubah ? Rakyat masih perlu membayar tol di negeri mereka. Pilihan raya tempatan yang dijanjikan sehingga ke detik ini belum terlaksana. Yang ada hanya alasan demi alasan. Rasuah masih tetapi berlaku dan antara yang paling ketara adalah isu skandal pasir di bawah pemerintahan Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar di Selangor. Perbalahan antara dan sesama parti masih berlaku dan menjadi lebih teruk setelah mereka berkuasa. Kemiskinan dan pengganguran dalam negeri masing – masing tetap berleluasa. Lebih ketara adalah pembangunan fizikal semakin terhad di bawah pemerintahan mereka. Kehidupan rakyat dahulu dan kini masih kekal berada pada paras yang sama dan mungkin ada yang lebih teruk daripada sebelum ini. Yang berubah hanyalah pemerintahan dan pemimpin yang berubah. Yang berubah hanya janji – janji Pakatan Rakyat yang sering berubah. Yang berubah hanyalah drama , lakonan dan watak dalam Pakatan Rakyat yang berubah. Apakah pada hari ini rakyat semakin selesa hidup mereka di bawah Pakatan Rakyat? Adakah ekonomi secara keadaan dan bukannya secara angka bertambah baik ? Adakah kesemua masalah rakyat sudah selesai ? Adakah kualiti kehidupan rakyat bertambah baik ? Adakah pembangunan dan pelaburan asing semakin pesat ? Kita tidak perlu untuk menjawab persoalan – persoalan di atas kerana rakyat sendiri di negeri pemerintahan Pakatan Rakyat dapat merasainya sendiri dan rakyat di luar negeri pentadbiran Pakatan Rakyat ada mata dan telinga untuk memandang dan mendengar sejauh mana perubahan yang mereka laungkan dahulu berbanding dengan status quo keadaan terkini. |
You are subscribed to email updates from Ti Lian Ker (Thinking Aloud) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan