Rabu, 30 Mac 2011

Khalid Samad

Khalid Samad


Rahsia PAS

Posted: 29 Mar 2011 09:39 PM PDT


PAS dewasa ini menjadi satu-satunya wadah bagi golongan yang ingin memperjuangkan Islam melalui proses demokrasi di Malaysia. PAS dianggotai mereka yang faham tuntutan perjuangan Islam dari golongan yang berpendidikan agama secara formal dan golongan yang mempelajari agama tanpa melalui institusi pendidikan agama yang formal. Dalam masa yang sama, PAS turut disertai oleh golongan berlatar-belakangkan gerakan Islam dan juga yang tidak pernah terlibat dengan gerakan Islam kecuali setelah mereka mengenali PAS. Maka, ada yang datang dari ABIM, IRC, JIM, Al-Arqam, Suara Al-Islam, Persatuan Mahasiswa Islam dan ada yang datang dari tarbiyyah PAS itu sendiri sejak muda. Malah ada juga dari golongan masyarakat awam yang disedarkan melalui kuliyyah dan tazkirah di Masjid dan Surau.

Oleh yang demikian, menangani golongan manusia yang beraneka latar-belakang dan tahap pendedahan bukan suatu yang mudah. Namun, rahsia kesatuan dan perpaduan semestinya terletak kepada rujukan yang satu iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah (SAW), Ijma' dan Qiyas. Pada masa yang sama, tarbiyyah amaliyah yang dilakukan PAS terhadap anggotanya menghasilkan kefahaman dan kematangan yang mantap dan padu. Secara amaliyah anggota PAS didedahkan kepada persoalan Siyasah Syariyyah, satu bidang ilmu politik Islam yang mencabar dan memerlukan kefahaman dan ilmu. Timbul darinya konsep 'Tahaluf Siyaasi' dan persoalan perubahan masyarakat secara 'Tadarruj' mengambil kira maslahah dan mafsadah.

'Rahsia' kesatuan PAS ini akan dapat dipertahankan sekiranya semua pihak walau apa sekalipun latar-belakang mereka berpegang teguh kepada konsep syura, ukhuwah Islamiyyah, Huznuz Zann dan rujukan yang sama seperti yang disebutkan tadi. Zaman ini sememangnya satu zaman yang amat mencabar bagi gerakan Islam seluruh dunia, lebih-lebih lagi di Malaysia di mana PAS perlu menghadapi persoalan kefahaman ummat Islam yang beraneka corak di dalam PAS serta yang menyokong PAS itu sendiri. Dalam masa yang sama PAS juga perlu berhadapan dengan kefahaman ummat Islam yang menentangnya dan kefahaman masyarakat bukan Islam yang telah mula memahami kesyumulan perjuangannya.

Sekira PAS tidak mampu menzahirkan perpaduan di kalangan yang bersamanya, di atas alasan berlatar-belakang yang berbeza seperti ABIM, JIM dan sebagainya, bagaimana ianya akan mampu menyatu-padukan rakyat yang berbilang kaum, bangsa dan ugama di Malaysia? Sifat keterbukaan dan inklusif Islam terhadap perbezaan pendapat serta khilaf amat sangat perlu difahami dan dihayati. Maka golongan yang sering berusaha untuk mengadu-domba sesama ahli perlu dipinggirkan dan tidak dilayan. Perbezaan pendapat akan sentiasa wujud, tetapi melalui konsep syura, ukhuwah Islamiyyah, Huznuz Zann dan rujukan kepada sumber yang sama, cabaran ini akan dapat diatasi. Pengalaman akan merapatkan dan selarikan pandangan dan pengalaman ini akan membuktikan ketepatan dan kesilapan sesuatu tindakan.

Allah memberikan kesedaran dan keinsafan kepada manusia melalui berbagai cara. Tidak ada yang memonopolinya dan sekiranya, pada akhirnya mereka semua datang kepada PAS, melalui apa cara dan persatuan sekalipun seperti yang telah ditetapkan Allah, maka PAS berbesar-hati menerima mereka dan mendengar pandangan dan pendapat mereka, membincangnya, menerima yang baik dari mereka, sehingga tertubuhnya satu gerakan massa yang berasaskan Al-Quran dan Sunnah Ar-Rasul seperti yang dicita-citakan semua. Datangnya mereka sebagai ahli atau penyokong, secara peribadi atau berkumpulan seperti NGO, harus disambut baik dan diterima sebagai rakan kerana asas perjuangan, iaitu untuk menjadikan Al-Quran sebagai dustur hidup orang-orang yang beriman dan pembela seluruh ummat manusia, adalah sama.

'Rahsia' wawasan seperti inilah yang akan membangunkan PAS. Tanpanya ia akan menyebabkan PAS lemah dan tidak berkembang.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Golongan Sekular Dalam PAS?

Posted: 29 Mar 2011 09:23 PM PDT

Menjelang Muktamar PAS tahun ini, kedengaran desas-desus kononnya perlu diadakan usaha untuk menjatuhkan 'golongan Sekular' dari jawatan-jawatan tinggi Parti. Saya yakin, desas-desus sebegini dimulakan oleh golongan dari luar parti yang ingin mengadu-domba ahli-ahli PAS yang bertujuan untuk melemahkan kesatuan dan perpaduannya. Bagi orang PAS, seruan yang sebegitu sudah pasti tidak masuk akal.

Ini adalah kerana 'Golongan Sekular' adalah golongan yang berpegang pada prinsip bahawa agama dan politik tidak ada hubung kait di antara satu sama lain. Agama adalah soal peribadi sedangkan politik adalah urusan Negara dan masyarakat, iaitu kehidupan orang ramai, bukan peribadi. Seseorang yang berfahaman sekular tidak akan menyertai PAS! Ini adalah kerana PAS adalah parti politik yang berasaskan prinsip keagamaan dan berjuang supaya prinsip dan ajaran agama digunapakai dalam politik, iaitu dalam arena kenegaraan dan kemasyarakatan, bukan dalam kehidupan peribadi sahaja.

Seseorang yang menjadi ahli PAS sudah pasti menerima perlembagaannya dan dengan itu terbukti tidak berkefahaman sekular walaupun dia bukan dari latar-belakang pendidikan agama. Walaupun institusi pendidikan agama, samada sistem pondok atau sekolah agama lain termasuk sekolah agama kebangsaan merupakan gedung dan benteng pertahanan ilmu keagamaan, namun tidak ada kelompok yang memiliki monopoli ke atas ilmu itu. Dengan rahmat Allah, Ilmu agama itu boleh diperolehi seseorang yang ingin mencarinya. Ia boleh diperolehi melalui beberapa kaedah apabila seseorang mempunyai kesedaran dan keinsafan tentang kewujudan Allah dan tugas dirinya sebagai seorang Muslim.

Kesedaran dan keinsafan ini pula tiada siapa yang mempunyai kuasa untuk menghadirkannya di dalam dada seseorang, melainkan Allah.
Hidayah adalah milik Allah dan Dia boleh berikan kepada sesiapa yang Dia ingini. Itulah sebabnya kita melihat bagaimana ada yang berpendidikan agama, tetapi ilmu mereka digunakan untuk mempertahankan kebathilan. Ada pula yang berlatar-belakang pendidikan 'sekular', tetapi mereka berusaha mempelajari agama Islam dan berdiri teguh bersama parti Islam menentang kebathilan.
"Allah tambahkan (hidayah) bagi mereka yang mengikut hidayah.." (Surah Maryam ayat 76)
Keadaan ini adalah mengikut kehendak Allah.
'Apabila Allah inginkan kebaikan bagi seseorang, Dia berikannya kefahaman tentang agama', maksud Hadith.
Dan tiada siapa yang boleh halang kehendak Allah. Walaupun individu tersebut tidak pernah kakinya berpijak ke dalam sekolah pondok mahupun sekolah agama tetapi sekiranya itulah kehendak Allah, berdasarkan ilmuNya, maka tiada yang boleh menghalangNya. Maka akan dilihat individu tersebut berusaha mempelajari agama Islam melalui berbagai cara dan kaedah, jalan yang jauh lebih mencabar dan tidak tersusun elok baginya, kearah kefahaman kesyumulan dan kebenaran Islam. Namun sudah semestinya apa yang dipelajarinya melalui kitab-kitab ulama' muktabar dirujuk kembali kepada golongan ulama' yang turut mengajar isi kandung kitab-kitab tersebut di Masjid dan Surau serta program usrah. Ini menambah pentingnya mereka berada di dalam PAS, supaya rujukan itu dapat dilakukan dengan baik dan tepat. Celaan bahawa mereka tidak berguru dapat ditangkis dengan keterlibatan mereka dalam program sebegini di mana ilmu yang telah mereka perolehi dari nuqaba' mereka dan secara talaki dapat diimbas kembali.

Kemantapan ilmu yang diperolehi akan terbukti dari amalan dan percakapan dan sekiranya dinyatakan sesuatu maka hendaklah kata-kata itu diterima atau ditolak berdasarkan hujjah dan bukan berdasarkan alasan, 'dia bukan dari latar-belakang sekolah pondok atau sekolah agama'. Sekiranya ada yang tidak tepat, maka hendak dibetulkan dengan mengemukakan hujjah yang menambahkan kefahaman dan bukan dengan celaan latar belakang seseorang. Pembetulan melalui penghujjahan membetulkan keadaan dengan baik, menambahkan kefahaman, sedangkan yang sebaliknya hanya menambahkan kekeliruan dan ketegangan.

Begitu juga hendaknya dengan kata-kata dari mereka yang berlatar-belakangkan pendidikan agama. Tidak semestinya semua yang dikatakan seseorang ustadz itu betul dan perlu diterima tanpa soal. Beliau tetap manusia dan tidak maksum maka lihatlah juga pada kekuatan hujjahnya.

Adalah perlu juga difahami bahawa ada banyak perkara yang terjatuh di bawah kategori pandangan dan bukan kategori hukum. Dalam soal pandangan, tidak semestinya pandangan seseorang ustadz lebih 'afdal' dari pandangan seseorang yang bukan ustadz dan begitulah juga sebaliknya. Sekiranya pandangan Rasulullah (SAW) sendiri boleh disoal dan dibincang dengan para sahabat, maka sudah pasti pandangan sesiapa sekalipun boleh disoal dan dibincang.

Sepertimana yang berlaku semasa peristiwa perang Badr (kedudukan tentera), perang Uhud (berperang di dalam atau di luar kota Medinah) dan perang Ahzab (cara untuk mendamaikan Bani Ghathafan). Malahan, dalam ketiga-tiga peristiwa yang disebutkan di atas, pandangan Rasulullah (SAW) telah ditolak dan tidak diguna-pakai. Bukan semuanya hukum dan sudah pasti, pada zaman kita ini, ianya bukan wahyu.

Namun apa yang penting ialah, setelah dibahas dan dibincang dan keputusan dibuat, maka hendaklah semua berpegang kepadanya.

Konsep "sami'na wa ata'na" dalam erti-kata kepatuhan membabi buta, bukan datangnya dari Islam tetapi dari fahaman diktator dan komunisma. Namun diakui, ada tempat dan ketika apabila kepatuhan sebegitu diperlukan, seperti semasa bertempur dengan musuh, namun seperti di dalama kisah Amar Al-'As, selepas peperangan Dzatus Sulasil, tindakan beliau disoal dan penjelasan tetap diberi.

Amat tepatlah sekali dalam semua persoalan, samada hukum ataupun pandangan, sikap yang dirumuskan oleh Saidina Ali Karamallahu wajhah iaitu "Lihat pada apa yang dikata dan bukan siapa yang mengatakannya".

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang