Sabtu, 31 Ogos 2013

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


Ibubapa mesti saling nasihat menasihati

Posted: 31 Aug 2013 04:09 AM PDT


"Peranan ibu bukan sahaja menasihati anak-anak, akan tetapi mereka juga mesti menasihati suami mereka.
Juga bapa mesti menasihati ibu, dengan saling nasihat-menasihati antara satu sama lain maka insyaAllah mendidik keluarga akan menjadi lebih berkesan," demikian antara nasihat Adun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Beliau berucap ketika menjadi tetamu dalam program Seminar Keibubapaan anjuran Pasti Kawasan Tawau, Sabah
Disamping itu turut ditekankan beliau peri pentingnya doa dalam mendidik anak-anak bagi menuju kejayaan yang dikehendaki Islam.
Ibu bapa juga mestilah menunjukkan contoh yang cemerlang terutama di hadapan anak-anak kerana kepimpinan melalui tauladan itu akan sentiasa diingati oleh anak-anak
Sambil mengutip kisah-kisah dari al-Quran perihal memelihara anak-anak, beliau juga memberikan contoh-contoh doa yang telah dibaca oleh para nabi dan orang-orang soleh agar anak-anak menjadi orang yang berguna kepada agama.
Nabi Yahya menurut beliau lahir setelah bapa baginda Nabi Zakaria sudah terlalu tua, hasil dari doa yang berterusan oleh Nabi Zakaria yang tidak berputus asa untuk mendapat anak yang soleh.
Nabi Yahya kemudiannya menjadi seorang nabi yang kemudiannya dibunuh dalam usia yang muda kerana menegakkan agama Allah.
"Begitulah yang sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa agar tidak berhenti berdoa untuk anak-anak kita menjadi anak yang soleh.
Selain berusaha mendidik dengan sempurna, doa itu sangat penting," ujarnya lagi.
Dengan kes-kes membuang bayi oleh pelajar-pelajar universiti yang kononnya terpelajar, akan tetapi jahil agama, maka sewajarnyalah ibu bapa perlu bimbang kerana tidak tertolak kemungkinan anak-anak mereka juga akan terheret sama.
Oleh itu bagi menjaga masyarkat daripada kepincangan kehidupan, maka para ibu bapa mestilah menekankan secara serius pendidikan di rumah dan bukannya tanggungjawab mendidik anak-anak diserahkan kepada pihak sekolah sahaja.
Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menyeru peserta seminar memerhatikan hasil pendapatan masing-masing supaya teselamat daripada perkara yang haram dan syubhah.
Ustaz Mohd Nor yang dalam program Lawatan Muhibbah ke Tawau bersama dengan rombongan, yakin dengan gabungan didikan yang betul, pendapatan yang halal dan juga doa yang berterusan maka insyaAllah anak-anak akan menjadi manusia yang berguna kepada agama.

Perutusan Kemerdekaan

Posted: 30 Aug 2013 06:58 PM PDT

Bismillahir Rahmaanir Rahiim

Alhamdulillah dan selawat dan salam ke atas junjungan Nabi kita Muhammad s.a.w, keluarga baginda serta para sahabat r.a. Kita panjatkan kesyukuran kepada Allah yang telah menganugerahkan nikmat Islam dan hidayah untuk kita mengharungi zaman yang dipenuhi dengan fitnah akhir zaman. Rasulullah s.a.w telah bersabda :
"Akan berlaku fitnah yang banyak seperti suasana kegelapan malam yang dahsyat"
Sabda baginda lagi :
"Sesungguhnya tanda-tanda hampir kiamat bahawa ilmu akan berkurangan, kejahilan berleluasa, fitnah akan zahir dan banyaknya 'al-Haraj'. Sahabat bertanya apakah itu al-Haraj?, rasulullah menjawab pembunuhan, pembunuhan.
Apabila menjelang 31 Ogos, kita akan mendengar laungan Merdeka! Merdeka! Tapi kita lupa erti kemerdekaan yang sebenarnya. Diwaktu seluruh pemuda di dunia Islam bangkt menuntut kemerdekaan dari pemerintah mereka, ramai pemuda di negara kita cuba dijajah minda dan hati oleh Umno dengan pemikiran lapuk yang berteraskan sekularisme dan pragmatisme. Kerajaan Umno BN terus berusaha menguasai nafsu anak muda dengan agenda hiburan yang melalaikan dan program yang jauh dari menepati nilai-nilai dalam Islam.
Anak-anak muda mesti ingat bahawa sejarah kemerdekaan bukan dicipta reka oleh Umno, tetapi ramai pejuang-pejuang kemerdekaan yang bersemangat anak muda dari pelbagai parti dan pertubuhan menentang segala penjajahan barat, ketika mana Umno menjadi proksi dan perkakas kepada penjajah ketika itu.
Saya mengajak anak muda mengingati sejarah kemerdekaan dengan pengertian yang disebut oleh Rabi'e bin Amir : "Sesungguhnya Allah membangkitkan kita untuk mengeluarkan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah, daripada kezaliman anutan-anutan kepada keadilan Islam dan dari kesempitan dunia kepada keluasannya." Oleh itu anak muda mesti bangkit memerdekakan diri dan rakyat dari penjajahan minda dan kehidupan oleh pihak berkuasa kepada kebebsan hak-hak kemanusiaan dan Islam.
Saya merayu kepada anak-anak muda agar jangan mengisikan kemerdekaan ini dengan kemaksiatan, penzinaan dan kejahatan. Musuh Islam bergembira melihat anak muda Islam rosak dan lalai, ketika mereka boleh memperkasakan penguasaan mereka untuk membolot kekayaan rakyat dan melakukan kezaliman. Cukuplah kita penuhi paparan kehidupan dengan jenayah, gejala sosial dan penyakit masyarakat kerana kita anak muda Islam yang mempunyai kemuliaan dan maruah. Wallahua'lam

Tiada ulasan:

Nuffnang